Wednesday, August 30, 2006

Selamat Hari Merdeka, Malaysia

Written by KaaWai ^TaNaH^

Merdeka dan kemerdekaan adalah satu perkataan ringkas yang penuh makna. Ia merupakan satu natijah dari kisah yang panjang; satu kesimpulan yang menjadi landasan kepada kehidupan kita sekarang dan di masa hadapan.



Laungan ini bermula dengan cetusan-cetusan anak bangsa yang celik di masa lampau. Di seluruh Malaysia ia bermula dengan penentangan terhadap penjajah secara kecil-kecilan dan tidak tersusun. Ia meletus di tempat-tempat tertentu secara terpencil dan dengan sebab-sebab tertentu samaada ia bersifat peribadi atau / dan kebangsaan.

Penentangan oleh Mat Kilau, Tok Bahaman, Mat Salleh, Rentap dan seumpamanya termasuk ke dalam golongan ini iaitu golongan manusia-manusia yang berjiwa merdeka.

Selepas berlakunya gerakan yang tidak tersusun ini berlaku pula perkembangan yang lebih menarik. Wujud pertembungan budaya melayu dan Timur Tengah hasil dari usaha anak-anak melayu yang belajar di Mesir, Mekah dan Madinah.

Kemudian muncul pula gerakan sosialisme dan aliran kebangsaan.

Perjuangan berteraskan kebangsaan nampaknya lebih mendapat tempat di negara kita sehingga sekarang ini.

Berbalik kepada masa lampau minda merdeka yang rancak itu, unsur-unsur keagamaan, sosialisme dan kemudian nasionalisme menyala secara bertali arus. Kemudian seperti api ia merebak ke semua tempat dan menjadi padu dan menolak minda masyarakat mendambakan kemerdekaan, sehingga pada 31 Ogos 1957 bendera Union Jack diturunkan secara rasmi di Bandar Hilir, Melaka.

Secara ringkasnya begitulah; dan begitulah akhirnya, kita merdeka sebagai satu natijah gelombang pergerakan minda.

Sebenarnya kemerdekaan hanya akan berlaku jika ia diinginkan oleh mana-mana masyarakat itu sendiri. Yang indahnya pula, tiada siapa pun yang boleh menghalang keinginan masyarakat dan minda merdeka mereka.

Di India, gerakan aman Ghandi dengan memboikot garam dan kain buatan Inggeris berjaya memaksa kuasa besar Inggeris memberikan kemerdekaan baginya.

Di Indonesia pula, masyarakat tempatan yang serba kekurangan berjaya menolak Belanda dengan perjuangan bersenjata.

Minda merdeka Nelson Mendela dari Afrika Selatan tetap berjaya mempengaruhi penyokongnya selama 27 tahun dari sangkar penjara.

Orang Kadayan juga mempunyai jiwa merdeka sejak zaman berzaman. Walaupun menjadi "Brunei subject" sejak beratus-ratus tahun, mereka tetap wujud sebagai bangsa Kadayan. Orang Kadayan mempunyai budaya sendiri, aliran fikiran sendiri dan hidup di dalam kelompok mereka sendiri-sendiri.

Di dalam bentuk yang lebih umum, minda merdeka bukan terhad kepada aktiviti-aktiviti bersifat politik sahaja. Di dalam bidang apa sekalipun, merdeka dan kemerdekaan adalah satu impian bagi semua orang.

Bagi orang yang bekerja makan gaji misalnya, mempunyai impian untuk merdeka dari hutan-hutang yang membelengu mereka.

Bagi petani, merdeka mungkin juga bermaksud tuaian yang bebas dari gangguan tikus dan pipit serta serangga perosak yang lain.

Untuk para nelayan pula, merdeka juga bermaksud bebas dari cuaca buruk yang boleh mengganggu pekerjaan mereka.

Oleh itu merdeka adalah penting untuk kita semua.

Tetapi minda merdeka tanpa had juga mempunya masalahnya sendiri jika tidak dibendungi. Minda merdeka ini mewujudkan penampilan yang bersifat individualistik. Oleh kerana semua orang mahu kebebasan, kemerdekaan untuk dirinya, kemerdekaan bagi diri orang itu mungkin satu belenggu kepada orang lain pula.

Contohnya, hujan mungkin satu kemerdekaan bagai seorang pesawah, tetapi bagi pekedai dobi tradisi yang mengeringkan pakaian bergantung kepada cuaca, hujan adalah satu belenggu, bukan kebebasan. Satu kampung kadayan terpisah dari kampung kadayan yang lain, satu rumah kadayan malah terpisah dari rumah kadayan, "aku aku, kau kau".

Oleh itu kemerdekaan dan kebebasan mutlak sebenarnya satu utopia semata-mata. Misalnya bentuk-bentuk keagamaan samada di dalam binaan, relik dan bunyi-bunyian yang terlalu nyata amat disukai oleh penganutnya, tetapi bagi penganut lain adalah satu bentuk gangguan. Jika unsur-unsur gangguan ini keterlaluan, orang lain akan menganggap ia sebagai satu usaha penjajahan. Penjajahan pula adalah satu kesengsaraan bagi orang yang mempunyai minda merdeka.

Oleh itu amatlah penting untuk kita memahami had kemerdekaan kita dan peringkat tolak ansur yang boleh kita terima, untuk kekal dan terus aman di negara yang kita cintai ini.


Selamat Hari Merdeka, Malaysia!

Friday, August 25, 2006

Bajet, Rokok dan Penulis Kadayan

Written by KaaWai ^TaNaH^

Part I

Bajet, perkataan pelik yang ditulis buat pertama kali pada tahun 90an oleh kerajaan Malaysia bagi menggantikan istilah sebelumnya iaitu "belanjawan". Tetapi ianya tidak pelik jika disebut kerana rata-rata mengetahui maksud perkataan berkenaan yang dianggap datang dari perkataan Inggeris "budget".

Tetapi sebenarnya bukan. Asal perkataan "budget" datang dari perkataan lama bahasa Perancis iaitu "bougette" yang bermaksud beg kecil. Ini kerana menteri kewangan di Perancis biasanya membawa beg kecil [yang mungkin berisi wang] semasa membentangkan bajet negara. Perkataan ini pertama kali diguna secara meluas di England insiden sesi parlimen pada tahun 1733 dimana Perdana Menteri dan Chancellor Exchequer, Sir Robert Walpole dituduh membuka [mengosongkan] bajet negara.

Selesai dengan maksud bajet. Tetapi Malaysia sebenarnya bukan sebuah negara yang terlalu miskin, malah bukan tergolong di dalam negara miskin pun. Statusnya ialah termasuk ke dalam peringkat atas negara sedang membangun dan mendekati kepada negara maju. Rasanya kita tidak terlalu miskin sehingga perkataan "bajet" pun kita terpaksa import menggantikan "belanjawan". Sedangkan perkataan belanjawan sebenarnya lebih tepat menerangkan maksud yang diinginkan berbanding dengan bajet yang asalnya membawa maksud sebuah beg kecil.


Apa kena mengenanya beg lama perancis di dalam belanjawan Malaysia?

Jika perkataan beg kecil itulah juga yang amat kita suka untuk menerangkan bajet, bolehlah kita namakan dengan juli, jambil, bahai dan seumpamanya.

---------------------------------------------
Part II

Bajet 2007 dijadual akan dibentang pada 1 Sept 2006 ini di Dewan Rakyat.

Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (sic. ) dipetik oleh Bernama [14 Julai 2006] sebagai berkata bahawa bajet 2007 akan memberi lebih peruntukan kewangan selain menangani cabaran semasa seperti peningkatan yang tinggi di dalam harga minyak dan kadar faedah. Selain itu beliau berkata bahawa sektor perusahaan kecil dan sederhana akan menjadi fokus utama bajet kali ini.

Tiada masalah dengan itu kerana ianya adalah rutin tahunan kerajaan. Tetapi sejak dua-tiga tahun yang lalu, kerajaan telah mengamalkan langkah malas untuk mengumpulkan wang. Caranya ialah menaikkan cukai rokok dan minuman keras pada kadar yang tidak manasabah. Bagi merasionalkan polisi ini, kerajaan mengemukakan alasan kesihatan dan penyakit dan sikap kerajaan untuk tidak menggalakkan rakyat merokok.

Tetapi alasan ini sebenarnya hanya datang dari ahli-ahli ekonomi yang ketandusan ide untuk mengurus sumber pendapatan negara.

Mereka berselindung di atas alasan-alasan basi yang dikemukakan saban tahun iaitu

a) Kerajaan komited untuk membenteras tabiat merokok di kalangan rakyatnya.

b) Merokok dan meminum minuman keras merupakan tabiat buruk yang patut dijauhi.

c) Kerajaan perlu membelanjakan banyak wang untuk hospital dan perubatan kerana tabiat merokok dan minuman keras.

Sedangkan hakikat sebenar ialah:

a) Kerajaan tidak berniat mengharamkan penjualan rokok kerana ia adalah perniagaan besar dan amat menguntungkan. Sebab itulah kerajaan tidak bersikap proaktif didalam membendung masalah rokok dan minuman keras, jika ia benar-benar dikaitkan dengan masalah kesihatan. Proaktif, seperti langkah kerajaan membendung pornografi di kalangan remaja.

b) Cukai rokok dan minuman keras boleh dinaikkan sesuka hati kerana masyarakat tidak akan bersungut atas alasan kesihatan.

c) Cukai rokok dan minuman keras mendatangkan pendapatan yang besar terhadap kerajaan Malaysia DAN,

Masalah lain yang tidak diendahkan oleh ahli-ahli ekonomi negara ialah:

a) Merokok dan minuman keras adalah satu tabiat yang melibatkan ketagihan dan sukar dihentikan.


Nak salahkan rakyat juga kerana membeli rokok?

Ketagih nikotin dan alkohol adalah kelemahan sipenagih. Tetapi moralnya tetap sama di mana-mana. Kelemahan mereka yang mengalami ketagihan iaitu perokok dan pemabuk tidak patut diperalatkan menampung keperluan kewangan negara.

Kalau masalah ketagihan ini boleh dipergunakan atas alasan untuk membangunkan negara, kerajaan bolehlah memperluaskannya untuk mencukai kelompok-kelompok manusia bermasalah yang lain. Mungkin kita boleh mula mencukai aktiviti pelacur, orang-orang yang menerima bantuan beratus ribu kerana hendak menjalani pembedahan, perompak, pembunuh dan seumpamanya.

b) Tabiat merokok dan meminum minuman keras melibatkan semua taraf sosial masyarakat dari orang papa sehingga orang kaya. Lebih-lebih lagi golongan kolar biru, buruh, petani, penternak, nelayan. Walaupun tidak semestinya, golongan bawahan mengaitkan rokok [malah setengahnya minuman keras] sebagai satu barang keperluan; barang perlu yang patut di bawa ke tempat kerja dan perlu digunakan semasa bekerja. Contohnya


Ramai nelayan ke laut dengan bekal nasi, kopi dan rokok!


Ramai pekerja kontrak bekerja dengan bekal nasi, kopi dan rokok!


Ramai petani ke ladang dengan bekal nasi, kopi dan rokok!


Oleh kerana ia melibatkan ketagihan, langkah menaikkan harga rokok mungkin juga mengakibatkan kesan-kesan negatif kepada "bajet" kerajaan seperti berikut :

i) Pertambahan perbelanjaan keluarga yang bakal menjadikan mereka lebih miskin.

ii)Mereka dengan berat hati beralih kepada rokok yang lebih murah, lebih merbahaya dan lebih terdedah kepada masalah kesihatan. Bagi minuman keras, mereka beralih kepada arak buatan sendiri sebagai alternatif untuk mabuk. Akibatnya kerajaan akan terpaksa membelanjakan lebih wang untuk peruntukan hospital dan perubatan.

c) Peningkatan tinggi rokok dan minuman keras menggalakkan pasaran gelap (black market trading) bagi kedua barangan ini. Ianya akan menjadi lebih berleluasa semakin tinggi cukai dikenakan. Ini kerana perniagaan tanpa sebarang tanggungjawab percukaian adalah amat menguntungkan.

Akibatnya kerajaan terpaksa berbelanja lebih sama ada secara langsung atau tidak langsung:

i) Secara langsung kerana meningkatkan langkah penguatkuasaan mencegah pasaran gelap melalui jabatan-jabatannya. Agen penguatkuasa terpaksa diperbesarkan, logistik terpaksa ditambah dan belanjawan kerana perkara ini juga meningkat

ii) Secara tidak langsung kerana kehilangan pendapatan akibat berleluasanya pasaran gelap.

Oleh itu, langkah menaikkan harga rokok sebagai cara cepat untuk menampung defisit perbelanjaan saban tahun haruslah dikaji semula secara bijaksana.

--------------------------------------------

Part III

Sambil memikirkan mengenai kecenderungan bajet kerajaan, rupa-rupanya sudah setahun berlalu apabila ide mengenai kadayanuniverse.com ditimbulkan oleh kawan-kawan sehingga laman web ini ditubuhkan.

Secara jujur, kita masih lagi terlalu miskin dengan kehadiran penulis-penulis kadayan yang sanggup meluangkan masa untuk menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat Kadayan. Adalah diharapkan di masa yang akan datang lebih ramai penyumbang akan ikut serta bersama-sama kadayanuniverse.com.
--------------------------------------------

Part IV

Sehubung dengan itu, kolumnis kadayanuniverse.com Sdr. Amde Sidik ketika dihubungi mengumumkan bahawa "About Kadayan ... part 17 " merupakan siri terakhir beliau di dalam topik berkenaan. Satu pengakhiran yang menarik kerana selepas berbelas siri, akhirnya kita menjenguk latarbelakang Perdana Menteri Malaysia, Pak Lah yang berdarah kadayan dari sebelah ibu beliau.

Kadayanuniverse.com mengucapkan terima kasih kerana sumbangan beliau dan mengharapkan beliau terus menulis bersama-sama kita.


Mungkin Sdr. Amde akan terus bersama kita dengan siri lain pula, siapa tahu?

Tuesday, August 15, 2006

Atlantis Kadayan Siri 8

Written by codec cadaianicus


Misteri Tulisan Ibu Tamadun


Para pengkaji percaya bahawa persamaan yang wujud diantara semua tamadun di dunia datang dari satu punca. Punca berkenaan tak lain tak bukan ialah ibu tamadun. Tamadun ini telah musnah, lesap, lenyap, tetapi jejaknya tetap boleh dikesan wujud di alam anak tamadun dikebanyakan kawasan dunia.

Acuan yang sama walau dimana sekalipun tamadun berkenaan berada, begitulah pendapat mereka yang berilmu di dalam bidang ini.

---------------------------------------------------------------------------------------------------
Mengesan ibu tamadun melalui anak tamadun, sama seperti mengesan populasi rusa dengan mengesan kewujudan singa. Adanya gerombolan singa akan membawa kita kepada kepada sumber makanan mereka. Kita akan mendapati banyak rusa berdekatan dengan singa untuk kelangsungan hidup mereka.
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Kali ini kita akan membincangkan mengenai misteri asal-usul tulisan Rumi1 moden yang kita kenali sekarang ini.

Tulisan Rumi yang ada sekarang adalah mempunyai 26 huruf (A, B, C, ..., Z). Setiap satunya adalah mewakili bunyi suara (fonetik) utama manusia yang berbeza-beza. Gabungan dari huruf-huruf ini melambangkan gabungan bunyi suku kata yang membentuk perkataan. Rentetan perkataan yang dibentuk pula akan melahirkan perkataan dan ayat yang difahami dan direkodkan di seluruh dunia.

Tulisan ini digunakan secara paling meluas di seluruh dunia, menjadikan ia suatu standard de facto di mana-mana sahaja.

Tetapi ia bukanlah tulisan yang sempurna. Salah satu masalahnya ialah bilangan aksaranya yang terhad sebanyak 26 sahaja, menyebabkan bermacam-macam modifikasi terpaksa dilakukan supaya melambangkan bunyi-bunyi unik setempat.





Tulisan Rumi telah mengalami sejarah beribu-ribu tahun sebelum menjadi bentuk yang kita kenali di zaman moden ini.

Sehingga kini tanggapan umum (ingat lagi tentang konsep conventional wisdom?) mengenai tulisan Rumi ialah ia dicipta oleh orang-orang Rom. Kemudian berlaku pertembungan budaya antara orang –orang Rom, Mesir dan India. Perhubungan ini telah menambah, membaiki dan memajukan tulisan tulisan berkenaan sehingga menjadi tulisan mantap yang kita kenali sekarang.

Benarkah begitu?

Sekurang-kurangnya itulah pendapat ahli-ahli sejarah-linguistik yang diterima pakai sehingga sekarang ini.

Kita boleh menerima pertukaran budaya di antara orang-orang Pheonic2 dengan orang-orang Mesir purba serta orang-orang India purba kerana daerah ini masih termasuk di dalam lingkungan dunia lama (Old World). Di dalam peta-peta lama3 daerah-daerah berkenaan telahpun diketahui. Selain dari itu perdagangan di antara ketiga-tiga tamadun berkenaan telah wujud dari zaman sebelum masihi lagi.

Jadi bagaimana jika kita menggunakan soalan cepu emas (acid test) berkenaan dengan pendapat umum ini.

Jika benar ianya terbentuk dan dimajukan hasil dari pertembungan budaya, kenapa tulisan ini mempunyai begitu banyak persamaan dengan tulisan yang datang dari tamadun Maya dari kawasan semenanjung Yucatan, Amerika Selatan?

Kawasan ini adalah terletak di dunia baru (New World yakni bahagian dunia yang hanya ditemui selepas 1492 dengan penjajahan Christoper Columbus). Zaman Roman, Mesir dan India tidak mengenali Amerika Selatan, jadi soal pertembungan dan pinjam-meminjam budaya tidak timbul sama sekali. Perhubungan dunia baru dan dunia lama yang tidak wujud sebelum ini, dan perkara ini akan disahkan jika dibawa ke mana-mana pakar sejarah sekali pun. Ini kerana jarak perjalanan ini adalah amat jauh kerana ia melibatkan perpindahan dari satu benua ke benua yang lain, seperti yang ditunjukkan di dalam peta di bawah ini (sila klik peta untuk melihat peta dunia sebenar).



Tidak hairanlah menurut pendapat sebilangan pengkaji, walaupun sistem tulisan ini dinamakan sebagai tulisan Rumi (Roman), ia bukan dicipta oleh orang-orang Rom sendiri. Pertembungan budaya antara ketiga-tiga tamadun besar di dunia lama (Old World) ini memang berlaku di zaman purba. Tetapi sebenarnya ketiga-tiga tamadun berkenaan mewarisi tulisan berkenaan dari satu sumber yang sehingga kini masih menjadi misteri.


Tetapi siapa yang sebenarnya mencipta tulisan Rumi?


Sehingga para pengkaji mengakui bahawa “tiada penyelesaian mengenai asal usul aksara Eropah kita, kita boleh mengesannya dari [satu] negara ke negara [lain], dari [satu] bentuk ke bentuk [yang lain – menunjukkan evolusi perubahan bentuk aksara], sehingga kita menjangkau kepada orang orang Mesir, dan bentuk-bentuk purba [tulisan] orang-orang Phoenic, Ibrani (Yahudi) dan Cushites, tetapi selepas ini ianya gagal dikesan”4.

Gambar di bawah ini memperlihatkan kaitan diantara tulisan Rumi peringkat awal dengan tulisan Maya (sila klik imej di bawah untuk melihat gambar penuh)




Jika gambar ini dilihat sekilas pandang sekalipun, kita boleh melihat bahawa perkembangan tulisan Maya adalah lebih lambat berbanding dengan tulisan Phoenic dan Mesir. Atau dengan erti kata yang lain, keaslian bentuk tulisan ibu tamadun adalah dipelihara dengan baik oleh orang-orang Maya. Sebaliknya orang-orang Mesir dan Phoenic mengurus warisan tulisan mereka secara lebih dinamik, seperti yang dapat dilihat dari perkembangan beberapa huruf yang dipaparkan di bawah ini (sila klik imej untuk melihat gambar penuh)



Adalah penting untuk dicatitkan bahawa susur-galur tulisan Rumi yang lebih purba sering dikaitkan dengan banjir. Banjir adalah satu kejadian yang pasti apabila berlaku perubahan iklim sedunia secara besar-besaran “tetapi ia mesti diingati bahawa jika lagenda mengenai banjir di Eropah dan di Asia adalah benar, mereka membuktikan bahawa seni penulian telah wujud pada zaman [sebelum berlakunya] banjir, dan rekod-rekod pelajaran purba telah dipelihara oleh mereka yang terselamat dari banjir”5.

Orang-orang Druid percaya kepada buku lebih lama dari banjir. Mereka telah memiliki “The books of Pheryllt” dan “The writings of Pridian6 or Hu”. “Ceridwen merujuk buku-buku ini sebelum dia menyediakan suatu caldron misteri yang melindungi mereka dari malapetaka dahsyat akibat banjir”7.

Dalam The first Avatar of Vishnu kita diberitahu mengenai “peraturan-peraturan suci [buku] telah dicuri oleh syaitan Haya-Griva. Vishnu menjadi ikan; dan selepas banjir, apabila air telah surut dia elah menjumpai buku-buku suci dari dasar lautan8.

Pengulas Yahudi mengenai Kitab Kejadian (Genesis) berkata bahawa "Orang-orang alim di kalangan kami menyatakan bahawa Adam, bapa kami dalam kenangan yang dirahmati, mengarang buku bagi peraturan-peraturan, yang telah disampaikan oleh Tuhan di dalam syurga"9. Begitulah yang dikatakan, orang-orang Yahudi telah memelihara tradisi Ad-ami, yakni kebolehan yang dipunyai oleh orang-orang Atlantis semasa masih menghuni syurga [yang dimaksudkan ini ialah atlantis sebagai ibarat suatu syurga dunia] iaitu, seni penulisan10.

Orang Phoenic tidak mengaku mencipta tulisan mereka

“Menurut orang-orang Phoenic, seni tulisan telah dicipta oleh Tautus atau Taut, ‘yang dikenali oleh orang-orang Mesir sebagai Thouth’, ‘dan orang-orang Mesir berkata ianya dicipta oleh Thouth atau Thoth’, [Toth ini] juga dikenali sebagai ‘Herme yang pertama’, dimana kita boleh melihat secara jelas bahawa orang-orang Phoenic dan Mesir merujuk ciptaan ini ke zaman yang lebih purba dari kewujudan berasingan mereka [kedua-dua kerajaan Pheonic dan Mesir yang sebenarnya wujud secara berasingan, satu di Eropah dan satu di Afrika], dan kepada kerajaan yang lebih tua, di mana mereka menerimanya”11.


Orang Mesir tidak mengaku mencipta tulisan mereka

Orang ramai biasanya menganggap bahawa aksara Rumi adalah hasil dari aksara orang orang Mesir. Tulisan ini kemudian diubah suai dan dipermudahkan oleh orang orang Phoenic dan Ibrani yang merupakan sebahagian daripada empayar Rom. Masalahnya ialah orang-orang mesir sendiri berpendapat bahawa sistem tulisan hieroglyphic yang ada pada mereka bukan mereka cipta sendiri12. Mereka berpendapat bahawa sistem tulisan mereka adalah “bahasa para dewa”13.


Tulisan Maya adalah sama dengan bentuk tulisan Mesir dan Phoenic

Adalah satu fakta yang mengejutkan bahawa di Amerika Tengah mempunyai sistem tulisan berasaskan fonetik.
---------------------------------------------------------------------------------------------------
“Diego de Landa merupakan bishop Yucatan yang pertama. Beliau menulis Sejarah orang-orang Maya dan negeri mereka dan manuskrip ini tersimpan di Royal Academy of History di Madrid … Ia mengandungi gambaran dan penerangan mengenai phonetic alphabet orang-orang Maya. Manuskrip ini kemudiannya terabai begitu saja, sehingga dijumpai oleh seorang paderi Perancis bernama Brasseur de Bourbourg14


---------------------------------------------------------------------------------------------------

Herme yang pertama yang disebutkan oleh orang Phoenic adalah adalah merujuk (juga dikenali oleh orang Roman sebagai Mercury) kepada anak kepada Zeus dan Maia, anak kepada Atlas. [Nama, konsep] Ini adalah Maia yang sama telah dikenalpasti oleh [seorang penyelidik] Abbé Bra eur de Bourbourg sebagai orang-orang Maya yang berada di Amerika Tengah [Semenanjung Yucatan]15.

Orang Maya juga tidak mengaku mencipta tulisan mereka!


“Ini merupakan sistem alpabet orang-orang Maya, orang purba di semenanjung Yucatan yang mendakwa bahawa tamadun mereka datang dari seberang laut dengan kapal-kapal dari arah timur …”16.

Rumusannya, di mana-mana pun asal-usul tulisan ini berada, anak-anak tamadun berkenaan tidak berani untuk mengaku bahawa tulisan yang ada ditangan mereka adalah ciptaan mereka sendiri. Apa yang berlaku ialah setiap mereka mungkin mewarisi tulisan berkenaan pada tahap yang berbeza. Selepas itu berlaku pertembungan budaya diantara mereka untuk membaiki, meniru dan melakukan tokok tambah yang bersesuaian untuk menjadikannya lebih mantap mudah difahami.

Di dalam perkembangan lain pula tulisan Lembah Indus mempunyai persamaan yang paling tinggi dengan tulisan yang terdapat di pulau Easter yang terletak berdekatan dengan New Zealand, beribu-ribu kilometer dari Lembah Indus sendiri.




Pada umumnya, warisan bentuk tulisan yang lebih purba mungkin berada pada tangan orang India, Mesir dan Maya berbanding dengan apa yang diwarisi oleh orang-orang Rom. Ini kerana jarak Lembah Indus adalah lebih dekat dengan Borneo iaitu pusat tamadun dunia sebelum ia merebak ke kawasan lain seperti Empayar Rom.


Bersambung ke siri 9.
--------------------------------

Nota Kaki

1Nama amnya yang paling popular.Tulisan Rumi juga dikenali dengan nama lain sebagai Roman Alphabet, Latin Alphabet dan Tulisan Greek.

2Phoenic, Phoenician. Cabang bangsa Rom / Greek yang berkuasa dan merupakan pelaut yang handal. Keturunan Phoenic ini membentuk bangsa Hebrew / Yahudi. Bangsa ini juga merupakan cabang yang melahirkan bangsa Arab moden.

3Fakta ini boleh dilihat contohnya dari buku Geographia karya Ptolemy, seorang cendikiawan Greek di sekitar tahun 150 Masihi. Pada zaman itu hanya daerah Old World yakni kawasan Eropah, Utara Afrika dan menghala ke timur pesisiran India dan Asia yang diketahui, termasuk Asia Tenggara. Sila rujuk peta Ptolemy yang dipaparkan pada artikel Atlantis Kadayan siri 6 yang lepas.

4Sacred-texts.com, 2004. Chapter VII. The Origin Of Our Alphabet. Accessed on 14 June 2004. http://www.sacred-texts.com/atl/index.htm

5Ibid.

6Kebetulan yang aneh dengan perkataan paadian orang Kadayan – Pengarang.

7Faber's, “Pagan Idolatry” Vol.ii., p.150, 151. di dalam Secret-text.com.

8Sacred-texts.com.

9Smith’s,“Sacred Annals” p.49. di dalam Sacred-texts.com.

10Sacred-texts.com.

11Baldwin's, “Prehistoric Nations,” p.91. di dalam Sacred-texts.com.

12Sacred-texts.com.

13Lenormant and Cheval,”Anc.Hist.of the East,” vol. ii.,p.208. di dalam Sacred-texts.com.

14Baldwin's, “Ancient America,” p.191. di dalam Sacred-texts.com.

15Sacred-texts.com.

16Ibid.



Comments

mr rafiz |2009-01-16 11:06:23

trima kseh

mr rafizal |2009-03-10 00:20:48
mekasehhh.....

kidalisme |2009-05-28 20:01:23
cuba rujuk, siapa sebenarnya jalaludin rumi...kenapa dipanggil tulisan rumi1

Wednesday, August 9, 2006

Atlantis Kadayan Siri 7

Written by codec cadaianicus

Revised text version, 31 May 2008.

Zaman Ais Melenyapkan Ibu Tamadun

Zaman ais adalah satu kejadian alam yang pelik sejak berbillion tahun yang lepas. Peliknya kerana iklim bumi akan menjadi semakin sejuk, kembali panas kemudian sejuk semula secara berterusan. Di dalam jangka masa yang panjang suhu bumi semakin jatuh merudum. Suhu menjadi semakin sejuk menyebabkan air terkumpul dan membeku di kebanyakan tempat di seluruh dunia.



Ada kalanya suhu bumi menjadi terlalu sejuk sehingga ia kelihatan (itupun jika sesiapa boleh melihatnya) seperti bola salji kerana salji melitupi kebanyakan permukaannya.

Keadaan sejuk beku dan jumlah lapisan ais terjadi dengan pesat di semua benua, apa lagi di kawasan kutub. Glasier berada di mana-mana sehingga dekat dengan garisan khatulistiwa. Apa yang menghairankan, selepas mengalami keadaan sejuk beku ini bumi akan menjadi semakin panas semula dan lapisan ais yang terkumpul mula mencair di mana-mana.

Kenapa Zaman Ais Terjadi?

Zaman ais berlaku kerana beberapa sebab seperti berlakunya perubahan di dalam komposisi atmosfera iaitu melibatkan perbandingan jumlah pemelowapan air, karbon dioksida, metana, sulfur dioksida, gas serta partikel terapung yang terdapat di atmosfera. Kewujudannya juga disumbangkan oleh kerana perubahan orbit bumi mengelilingi matahari, dikenali sebagai Kitaran Milankovitch.

Faktor-faktor lain termasuklah perubahan didalam plat tektonik bumi yang mengubah lokasi dan jumlah pentas benua dan lautan di permukaan bumi, perubahan di dalam keluaran cahaya matahari, kedinamikan orbit di dalam sistem Bumi dan bulan dan impak pelanggaran meteor dan letupan gunung berapi super1.

---------------------------------------------------------------------------------------------------

Teori zaman ais mula dikemukakan oleh Jean de Charpentier di sekitar tahun 1825-1833 dari kepercayaan masyarakat mengenai rupa bentuk kawasan pergunungan Alpine di Eropah. Ide ini kemudiannya disokong oleh Louis Agassiz dengan bukunya bertajuk Étude sur les glaciers (Kajian mengenai Glasier-glasier) pada tahun 18402.
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Terdapat empat zaman ais utama yang dikenalpasti telah berlaku di bumi sehingga kini. Di dalam setiap zaman ini “ ... proses sejuk beku (ruduman suhu bumi; kemudian menjadi panas semula – pengarang) berulangkali 40,000 atau 100,000 tahun setiap kali3.

Zaman ais yang terawal dipercayai telah berlaku disekitar 2.7 - 2.3 bilion tahun yang lepas, iaitu pada awal era Proterozoic. Sementara itu, zaman ais yang paling teruk sejak sebilion tahun yang lepas berlaku pada zaman Cryogenian. Kesannya masih terdapat di bumi sehingga sekarang. Zaman ini membentuk Bumi (menjadi seperti) Bola Ais (Snowball Earth) di mana lautan ais terbentang sehingga khatulistiwa4.

Secara popular zaman ais adalah merujuk kepada zaman sejuk beku pada “... zaman ais terakhir yang berakhir sejak lebih kurang 10,000 tahun yang lalu5”.

Zaman ais terakhir ini juga dikenali sebagai “Zaman ais besar (Great Ice Age) yang merupakan perkembangan baru di dalam sejarah bumi satu tempoh kewujudan pembekuan secara besar-besaran6. Di masa itu “... lebih kurang satu pertiga daripada permukaan daratan bumi diliputi oleh ais7.

Tempoh masa yang menjadi tempat tinggal kita sekarang ini dipanggil sebagai Era Holocene8. Zaman ini bermula sejak (lebih kurang) 11,000 tahun yang lepas, dimana berakhirnya zaman beku dan juga menandakan pengakhiran era Pleistocene.

Sejak 11,0009 tahun yang lalu, bumi menjadi semakin panas semula, membentuk muka bumi yang kita kenali sekarang ini. Pada masa ini “saki baki glasier besar sekarang ini meliputi hanya satu persepuluh permukaan bumi10.

Fakta yang menarik ialah, “Jika semua bungkah ais di bumi yang ada sekarang ini lebur, aras laut mungkin meningkat lebih dari 150 kaki11.

Kesan zaman ais boleh kita permudahkan seperti berikut, apabila bumi semakin sejuk, aras laut akan semakin menurun. Ini kerana pada setiap masa, air yang membentuk awan. Tetapi oleh kerana suhu yang sejuk, ia tidak boleh kembali ke laut semula. Sebaliknya awan ini turun menjadi salji yang beku dan akan terkumpul berlapis-lapis di kawasan kutub utara dan selatan dan tanah tinggi semua benua. Jadi setiap hari lautan akan kehilangan air dan setelah beribu tahun, aras air laut boleh menurun sehingga 200 meter dari aras pantai yang kita ketahui sekarang ini.

Apabila ini berlaku, pulau Borneo, Labuan, Gaya dan kebanyakan pulau-pulau lain di seluruh dunia tidak wujud lagi, sebaliknya bersambung menjadi daratan yang besar. Pada tahap ini, suhu bumi akan menjadi semakin sejuk di dalam tempoh 40,000 atau 100,000 tahun. Tetapi selepas itu, suhu bumi akan menjadi panas semula beransur-ansur. Proses panas-sejuk-panas ini merupakan kelakuan semulajadi bumi sejak beribu juta tahun yang lalu.

Apabila bumi menjadi panas kembali, kebanyakan ais yang beku berlapis-lapis di seluruh dunia akan menjadi cari dan bercampur semula dengan air laut. Akibatnya, aras laut akan bertambah dan sekali lagi, secara perlahan-lahan akan membentuk pulau Borneo, Labuan dan Gaya serta kebanyakan pulau lain di seluruh dunia.

Zaman Ais, aras laut dan Ibu Tamadun?

“Tempoh yang penuh dengan peristiwa (zaman ais) ini adalah merupakan zaman pembangunan hebat manusia, perubahan iklim yang drastik, aras laut, hidupan binatang dan tumbuh-tumbuhan ...”12.

Zaman ais memberi ruang yang besar kepada perkembangan tamadun manusia yang amat besar di Asia Tenggara. Pada zaman ais, oleh kerana suhu bumi adalah amat sejuk, kebanyakan air adalah membeku dan membentuk glasier. Oleh itu kebanyakan kawasan bumi tidak sesuai untuk di diami kecuali di kawasan khatulistiwa yang lebih panas, dan Asia Tenggara terletak di kawasan Khatulistiwa.

Kumpulan besar air beku yang membentuk lapisan tebal ais ada di semua benua apa lagi di kawasan kutub. Akibatnya aras laut turun sehingga 200 kaki dari aras sekarang. Bagaimana rupa peta dunia 11,900 tahun yang lepas, semasa zaman ais? Peta berkenaan boleh kita lihat di atas tadi. Sila klik gambar berkenaan untuk melihat imej yang lebih besar.

Tanah pamah tropika, subur dan paling sesuai untuk didiami terbentang dari kawasan Indochina sehingga ke Australia. Terletak di antara Semenanjung Malaysia dan Borneo, adalah kawasan yang paling pamah dan sekarang ini dikenali sebagai laut China Selatan yang terbina di atas pentas Sunda.

Bagaimana pada zaman sejuk beku itu orang-orang Eropah dengan segala kepandaian mendakwa mereka telah membina tamadun besar lebih awal dari orang lain?

Lapisan salji di kawasan Eropah pada masa itu boleh menjangkau sehingga 1 km tebalnya dari permukaan bumi. Pada masa itu keadaan di Eropah dan Mesir adalah sama seperti apa yang ada di kawasan Artik dan Antartika sekarang ini jadi; Apa gaya kan macak tihang mbuat bangunan?

Jadi Borneo dan kawasan sekitarnya di Asia Tenggara adalah kawasan bumi yang bertuah. Semasa bumi bersuhu paling sejuk sekalipun, Borneo tetap boleh didiami dan menjadi kawasan bercucuk tanam kerana ia terletak di sekitar garisan khatulistiwa. Lebih menarik lagi, dengan aras laut yang lebih rendah, pada masa itu Borneo adalah satu daratan benua bersambung dengan Asia dan terbentang membentuk kawasan pamah yang amat luas. Apabila bumi menjadi semakin panas pula, daratan Sunda ini ditenggelami air, tetapi sehingga ke hari ini Borneo tetap boleh didiami dan tetap subur.

Mengikut Oppenheimer13, Atlantis Asia Tenggara yang juga boleh dipanggil sebagai Sundaland kerana ianya sekarang berada di atas pentas Sunda adalah merupakan pemimpin dunia di dalam revolusi Neolithic (permulaan pertanian), menggunakan batu untuk mengisar bijirin liar seawal 24,000 (tahun) yang lalu, lebih tua sepuluh ribu tahun dari(tamadun) Mesir atau Palestin. Sebelum dan terutamanya semasa banjir (akibat peningkatan aras laut) beransur-ansur melanda tanah pamah rendah mereka,orang-orang Sundaland bertebaran keluar ke daratan kejiranan: tanah besar Asia termasuk China, India dan Mesopotamia (Mesir), dan ke kepulauan dunia dari Madagascar sehingga ke Filipina dan New Guinea, dari situ mereka kemudian menduduki Polynesia sehingga ke Pulau Easter, Hawaii dan New Zealand.

Selepas itu apabila suhu bumi semakin panas, salji semakin cair dan aras laut mula bertambah. Masalah lain juga kritikal, kawasan ini terletak di dalam Lingkaran Api Pasifik (Pacific Ring of Fire)14.

Akibatnya tamadun di Asia Tenggara mula tenggelam dan atau musnah oleh gunung berapi. Negeri orang Kadayan hilang ...

Selepas itu apa yang ada bagi ibu tamadun hanyalah hikayat mengenai banjir, air, tenggelam, perahu, naga, garuda. Cerita-cerita yang sama dilaungkan di seluruh dunia, sebagai mengenang kemusnahan tamadun kita akibat zaman ais yang misteri.

Bersambung ke siri 8.
--------------------------------

Nota Kaki
1wikipedia.org, 2006.Ice age. From Wikipedia, the free encyclopedia. Accessed on 2 July 2006. http://en.wikipedia.org/wiki/Ice_age

2Ibid.

3Ibid.

4Ibid.

5Ibid.
6Ray, Louis L., 1999. The Great Ice Age. U.S Geological Survey. USGS Information. Services. Box 25286, Federal Center, Denver CO 80225. Accessed on 20 July 2006. http://pubs.usgs.gov/gip/ice_age/ice_age.pdf

7Ibid.

8Rosenberg, Matt, 2005. The Next Ice Age: Is the Next Ice Age Approaching? From Matt Rosenberg, 29 Dec 2005. Accessed on 23 July 2006. http://geography.about.com/od/globalproblemsandissues/a/nexticeage.htm
9Tahun sebenar kejadian tidak diketahui dengan tepat. Anggaran lain mengenai tahun yang terbabit ialah 11,900, 11,600 atau 10,000 tahun yang lepas – pengarang.
10Rosenberg, Matt, 2005.
11Ibid.

12Ibid. Perbincangan beliau mengenai perkembangan pesat manusia adalah mengenai kewujudan zaman gangsa, bukan ibu segala tamadun. Kenyataan ini diambil bagi memperlihatkan persetujuan beliau mengenai perkembangan pesat di dalam bangsa manusia; tanpa tujuan untuk mengelirukan para pembaca.

13Elst, Koenraad,1999. Koenraad Elst: An Atlantis in the Indian Ocean (Review of Stephen Oppenheimer: Eden in the East).Issue# 1999.47 November 20th, 1999. Accessed on 29 Dec 2005. http://www.swordoftruth.com/swordoftruth/archives/byauthor/koenraadelst/aaitio.html

14Lingkungan kawasan di mana terletaknya garisan aktif gunung berapi bagi seluruh Asia-Eropah menghala ke kawasan lautan Pasifik sehingga ke Mikronesia.


Comments


Dealova - Kadayan Origin From China |2006-08-17 08:09:02
Saya rasa cerita ini amatlah menarik kerana ia telah menampilkan satu pembaharuan di alaf baru ini serta mempamirkan ciri-ciri asal usul orang kadayan tetapi pada pendapat saya penulis seharusnya lebih memfokuskan adakah kemungkinan bangsa kadayan ini mungkin juga merupakan penduduk peribumi dari benua China. Ini dapat dilihat kebanyakan bangsa kadayan ini mempunyai wajah bermiripkan bangsa Cina berketurunan Hailam dan menurut penulis juga kewujudan zaman ais yang mana membolehkan masyarakat kadayan ini berada di kepulauan borneo di mana ada kemungkinan juga mereka berjalan merentasi lautan untuk sampai ke kepulauan borneo. Ini seharusnya difokus dan perlu dititik berat oleh penulis. Di ruangan yang lain saya akan menampilkan hujah dan bukti yang konkrit mengenai kewujudan dan asalnya penduduk kadayam ini. Terima kasih dan Syabas serta tahniah kepada Penulis ini. Saya beri 6 bintang. :zzz

paadian Kadayan |2006-08-25 08:48:52
tulisan yang sangat mencabar minda, untuk difikir-fikirkan. macam boleh dipercaya, macam tak boleh dipercaya ....

macam-macam yang dirasa apabila membaca artikel ini.
teruskan dengan usaha anda mencabar tanggapan umum.

luncai pun luncai lah ...

kadayan paning |2006-11-09 17:57:44
paning... paning
banaa kah yang kau tulis ni?

mazlini mansor - mesopotamia |2007-03-15 21:35:31
bykkan lagi gambar mengenai mesopotamia :roll

Wednesday, August 2, 2006

Atlantis Kadayan Siri 6

Written by codec cadaianicus

Ibu Segala Tamadun

Sesuatu yang hebat, gemilang dan maju pada zamannya seperti ibu tamadun sudah pasti mengundang minat, bualan dan khabar di mana-mana, dari dekat dan jauh. Yang pasti, cerita mengenainya tersebar dengan segala tokok tambah dan berusia lebih panjang dari hayat sebenar ibu segala tamadun yang empunya lagenda. Perkabaran mengenainya hidup dari zaman ke zaman, dari satu keturunan ke satu keturunan yang lain. Perkara ini dibincangkan sejak zaman berzaman oleh orang-orang purba Greek, Mesir, India sehingga ke Polynesia dan Amerika sehingga ke zaman ini.

Cerita mengenai kehebatan tamadun ini tetap wujud walaupun tanpa sebarang bukti. Kegemilangan membolehkan ia menjelma menjadi cerita lagenda, metos dan dongengan popular. Mungkin keadaan ini sama seperti cerita kehebatan dan kegemilangan dinosour yang telah pupus. Walaupun pupus, ia telah kembali semula ke pangkuan masyarakat di dalam bentuk metos, lagenda dan dongengan mengenai naga dan garuda, juga di dalam bentuk fosil tulang dan animasi grafik.

Sehingga sekarang ahli-ahli sejarah sependapat bahawa tamadun Babylon-Sumeria, Byzantine, Roman dan Lembah Indus merupakan tamadun tertua dunia. Sejak 5,000-6,000 tahun yang lepas terdapat perkembangan kemajuan manusia yang ketara berlaku di tempat-tempat berkenaan. Selepas itu sebarang bukti yang menyusuri ke zaman yang lebih kuno menjadi semakin kabur dan lenyap tanpa bekas.

Tidak terdapat bukti bahawa ada tamadun yang lebih tua dapat dikesan bagi menyokong kewujudan sebarang tinggalan sebuah kerajaan yang lebih maju dan, lebih kuno.

Berdasarkan bukti-bukti ini ahli sejarah barat memutuskan bahawa kerajaan Greek Tua1 adalah tamadun purba yang paling gemilang kerana tinggalannya (legacy) masih diikuti sehingga ke hari ini. Mengikut mereka konsep dan ilmu moden barat kebanyakannya bermula dari pencapaian manusia di zaman Rom ini.Ini termasuklah bidang perundangan, perubatan, penulisan, ilmu falsafah, konsep demokrasi, dan sebagainya2. Para cendikiawan Greek juga masih menjadi sumber inspirasi sehingga kini seperti Socrates, Aristotle dan Plato.

Tetapi di sebalik semua kegemilangan ini, pemikir terkemuka Greek pula sendiri mengaku bahawa terdapat satu tamadun yang lebih awal dan lebih maju berbanding dengan mereka sendiri. Malah hipotesis moden mengenai kewujudan ibu tamadun kebanyakannya bertitik tolak dari bertolak dari pemikir terkemuka Greek iaitu Plato. Beliau malah menyebut bahawa ibu tamadun berkenaan adalah bernama Atlantis3.

Para pengkaji yang ingin mencari kebenaran mengenai kewujudan ibu tamadun mengesyakki bahawa ibu tamadun memang pernah berdiri di satu tempat tertentu. Ia merupakan satu cetak biru (blueprint) model asli yang menjadi ikutan oleh tamadun yang muncul kemudiannya setelah ia pupus.

Menurut mereka, tiada tinggalan tidak bermaksud bahawa ibu tamadun tidak pernah wujud. Cuma, ia belum dijumpai sehingga sekarang, tetapi ia adalah satu kerajaan yang paling maju dan paling kuno. Walaupun semua tinggalan dan bukti yang menunjukkan ibu tamadun pernah ada telah lenyap ditelan zaman, ia sebenarnya masih boleh dicari dengan merujuk kepada tinggalan-tinggalan tamadun yang kemudian.

Ini kerana apa bila ibu tamadun musnah, para penduduknya lari bertebaran ke serata dunia dan membina kerajaan dan tamadun baru di tanah yang mereka diami. Dengan itu tamadun baru berkembang di kawasan Asia-Afrika (Babylon-Sumeria), Asia-Eropah (Byzantine), Eropah-Asia (Roman), Asia-India (Lembah Indus), Asia (China) dan melangkaui lautan Pasifik sehingga ke kepulauan Esther. Penduduk-penduduk ibu tamadun ini juga melangkaui lautan Atlantik dan membentuk tamadun Atzec, Inca dan Maya di Amerika Selatan4 . Tinggalan bagi kesemua tamadun yang disebutkan masih boleh dilihat hingga sekarang.

Oleh kerana mereka berasal dari kerajaan yang sama, tempat yang sama, pengetahuan mereka juga adalah hampir-hampir serupa. Ini mempengaruh persamaan menyeluruh kepada tinggalan anak-anak tamadun di selurh dunia kerana mereka mengikuti acuan yang sama iaitu mengikuti model asli ibu tamadun.
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Gambaran mengenai ibubapa boleh dijejaki dari anak cucu mereka yang masih hidup, persamaan wajah, gambar-gambar, rantaian DNA.

Bolehkah Ibu tamadun yang telah pupus dikesan semula dari anak-anak tamadun?

---------------------------------------------------------------------------------------------------

Ibu segala tamadun telah pupus dan kepupusannya adalah satu hakikat. Ia pupus akibat fenomena perubahan iklim dunia yang masih belum difahami sepenuhnya oleh para saintis sehingga sekarang ini. Bagaimana dengan legacy yang ditinggalkannya di merata ceruk dunia? Terdapat beberapa tinggalan ketamadunan yang akan kita bincangkan di dalam beberapa siri yang akan datang iaitu:

a) Perubahan iklim dunia - inilah yang dihikayatkan sebagai banjir, mala petaka dan bencana yang besar oleh cerita-cerita rakyat dari seluruh dunia. Apa yang lebih menarik, dari benua Asia sehingga ke Polynesia, Australia, Eropah, Afrika sehinggalah ke Amerika Utara dan Amerika Selatan, hampir semua pribumi mereka mengaitkan kedatangan mereka ke daratan dengan laut, banjir, perahu dan dunia seberang. Cerita begini digunakan secara konsisten sebagai permulaan mereka menghuni di kawasan berkenaan.

b) Perkembangan tulisan - tulisan Latin / Rumi, Arab dan India yang ada sekarang ini adalah berasal dari ibu tamadun. Ianya telah mengalami sejarah yang panjang menjadi bentuk yang kita kenali sekarang. Tulisan ini berevolusi dari zaman empayar Rom melalui sumbangan orang-orang Greek, Hebrews dan Phoenic5.

Tetapi dalam masa yang sama tulisan ini sebenarnya berkaitan dengan tulisan orang-orang Mesir purba. Sebaliknya pada zaman yang lebih purba bentuk lebih asli tulisan Mesir adalah berkaitan dengan tulisan India yang berpusat di lembah Indus.

Apa yang menakjubkan ialah tulisan dilembah India mempunyai persamaan dengan tulisan di pulau Esther yang terletak beribu batu jauhnya di Polynesia.

Jika itu belum cukup, bentuk-bentuk yang lebih asli daripada tulisan Greek dan Hebrew (di Eropah) boleh dikesan di Amerika Latin!

Perkara ini memang sangat menakjubkan. Ia adalah kerana benua Amerika adalah dikenali oleh orang-orang barat sebagai ”Dunia baru”. Pengetahuan manusia mengenai bumi [geografi] paling hebat di zaman purba boleh dilihat di dalam peta Ptolemy6 di bawah ini (klik gambar berkenaan untuk melihat gambar yang lebih besar).



Merujuk kepada peta di atas, kawasan “Dunia Baru” ini tidak dikenali oleh Ptolemy dan keadaan ini kekal begitu sehinggalah pada tahun 1492 Masihi (lebih kurang 600 tahun yang lepas) apabila Christopher Columbus menjumpai Amerika Tengah.

Oleh itu pertembungan budaya diantara Eropah dan Amerika sebelum itu adalah mustahil, apa lagi sehingga mampu bertukar-tukar tulisan. Sekurang-kurangnya begitulah pendapat umum di kalangan ahli-ahli sejarah.

c) Penjelajahan bumi - tidak akan ada istilah hebat dan gemilang bagi mana-mana tamadun jika empayar dan penguasaan mereka hanya berkisar pada satu tempat yang tertentu sahaja. Lagipun sangat mudah untuk menjadi hebat di kampung sendiri, bukan begitu?

Tetapi pencapaian ibu tamadun jauh lebih hebat. Mereka mengenal dan memetakan benua Antartika sebelum benua berkenaan diliputi ais sepenuhnya, sebelum benua berkenaan betul-betul terletak di kutub selatan.

Peta Ptolemy adalah gambaran jelas tentang pandangan kuno mengenai dunia yang mereka ketahui. Pengetahuan mereka adalah sempit, sedikit berkisar di sekitar pesisiran Eropah dan Utara Afrika tetapi menghala ke Asia Tenggara terutamanya Golden Chersonese7 [Latin - Aurea Chersonesus] tapi masih keliru dengan kedudukan pulau Borneo8. Apa yang sangat istimewa mengenai Asia Tenggara sehingga ia perlu diketahui pada zaman kuno itu?

d) Catatan-catatan lama - cerita mengenai ibu tamadun dicatatkan di dalam kebanyakan codecs keagamaan walaupun maksud pernyataan tamadun di dalam kitab-kitab tua lebih menekankan tentang pengajaran moral cerita, bukan mengenai kehebatan tamadun. Ianya dicatatkan di dalam Veda, Catatan Mesir tua, Kitab Perjanjian lama dan baru malah juga di dalam AlQuran.

e) Tinggalan Senibina - semua tamadun besar dunia meninggalkan kemegahan di dalam bentuk binaan-binaan yang terus wujud dan boleh boleh dilihat dari zaman berzaman. Bangunan dan runtuhan-runtuhannya terus tersergam di merata dunia di dalam saiz yang begit besar, indah dan unik sekali. Tinggalan-tinggalan ini boleh jadi merupakan bekas Bangunan Istana raja dan para pembesar, ruang tempat berkumpul [dewan], pusat sembahan dan bangunan besar, pelik dan tidak diketahui apa kegunaannya sehingga sekarang seperti Piramid.

Walaupun ia kelihatan berbeza dan bertebaran di seluruh dunia, bangunan-bangunan mereka tetap mempunyai ciri-ciri persamaan yang khas, membuatkan para pengkaji bingung dan akhirnya cenderung menuding ke satu kesimpulan. Kesimpulan berkenaan ialah, pengetahuan dan ciri-ciri binaan semua tamadun berpunca dari satu sumber yang asli, ibu tamadun.

Berbalik kepada peta Ptolemy, tidak kah mungkin mereka melihat Golden Chersonese itu sebagai batu tanda awal bagi kubur tamadun tua, mencari dan menggambarkan usaha kuno mencari semula mercu tanda tertinggi ibu tamadun, gunung Kinabalu yang sekarang ini terletak di sebuah pulau ... pulau Borneo, pulau orang-orang Kadayan?
Bersambung ke siri 7.
--------------------------------

Nota Kaki

1Juga di sebut sebagai empayar Roman.

2Sumbangan orang-orang Arab [Islam] di dalam kemodenan juga tidak boleh dinafikan. Mereka memelihara dan memajukan konsep-konsep ilmu yang ada sehingga menjadi bentuk yang boleh difahami dan tersusun lebih dari apa yang diketahui oleh orang-orang Greek sendiri.

3Teks penuh “Critias” yakni karya spara-siap (sic.) Plato boleh anda download di http://kadayan.no-ip.org/component/option,com_remository/Itemid,38/func,fileinfo/id,64/

4Juga dikenali sebagai Amerika Latin. Antara tinggalan tamadun yang banyak diperolehi terletak di semenanjung Yucatan, Amerika Tengah.

5Phoenic adalah cabang penulisan yang menjadi asas kepada penulisan Hebrew [Ibrani / Yahudi] dan juga merupakan cabang yang membentuk tulisan Arab.

6wikipedia.org, 2006.The Ptolemy World Map (circa 150). Accessed on 23 July 2006. http://en.wikipedia.org/wiki/Ptolemy_world_map

7Nama bagi Semenanjung Tanah Melayu. malaspina.com, 2006. Claudius Ptolemy. Accessed on 23 July 2006.http://www.malaspina.com/site/person_961.asp

8Otto Steinmayer, 2991. Satyrs and the People With Tails:A Possible Reference to Borneo in Ptolemy's Geography? by Otto Steinmayer, Universiti Malaya. Sarawak Gazette . vol. cxviii, no. 1517, Sept. 1991, pp. 29-32. Accessed on 01 July 2006. http://www.ikanlundu.com/literary/ptolemy.html

” Where Borneo should be, there in the middle of the sea to the south and east of Malaya, Ptolemy drew a group of three islands and labelled them the "Islands of the Satyrs." A brief note in the text says: "Those who inhabit these islands are said to have tails, such as the ones they paint of satyrs."[1] Ptolemy's coordinates for the Islands of the Satyrs, when they are adjusted according to true values, put them some 9° to the east, and 2 1/2° to the south of the tip of the Malay peninsula, or on modern maps somewhere in West Kalimantan.[2]”


Comments

ko punya name tak de ke??????? - dddddddd |2007-03-07 16:37:13
:cry

halim - wujud ke teknologi yang lebih |2007-06-04 15:21:07
igh