Atlantis Kadayan 12: Catatan-catatan Plato dan Greek Mengenai Ibu Tamadun
Dari dua artikel pertama siri ini, kita banyak mengulas mengenai conventional wisdom. Salah satu aspek pemikiran umum yang ada pada hari ini ialah menekan minda kita bahawa segala-galanya yang berkaitan dengan kemajuan sekarang ini adalah datang dari barat. Tetapi sebenarnya perkara ini mungkin tidak benar sama sekali. Maksudnya, perangai yang agresif, sikap suka membuli bangsa lain tidak semestinya disamakan dengan keadaan lebih bertamadun.
Di dalam soal bangsa Inggeris misalnya. Apabila Inggeris menekan kita selama lebih 400 lain, prejudis minda bawah sedar kita terus melihat mereka sebagai tuan.
Selebihnya, apa saja yang datang daripada mereka, termasuk bahasa yang mereka tuturkan adalah sangat canggih bagi kita.
Mungkin ada baiknya kita merenung kata-kata yang diluahkan oleh seorang penulis bangsa Eropah sendiri, “Kita seharusnya menghentikan minda Eurocentric ini. Harus diingat bahawa Eropah berada di bawah ais semasa zaman ais terakhir dan dengan itu tidak mempunyai warisan purba, serentak itu dengan mencadangkan bahawa merekalah yang membawa tamadun ke dunia adalah tidak masuk akal.”1
Ya. Mungkin wajar untuk kita mula berbangga dengan sejarah bangsa kita sendiri. Orang-orang Yahudi misalnya, sehingga ke hari ini terus-menerus mendakwa bahawa keturunan mereka “Canaanites” merupakan penduduk asal bumi Palestine sebelum orang-orang Palestine walau pun tanpa bukti kukuh.
Jadi bagaimana dengan orang Kadayan? Orang-orang Kadayan bertapak di Borneo ini sejak dari zaman Atlantis. Dan kita lebih mulia dari orang Yahudi kerana dakwaan ini kita buat sekadar untuk menemukan susur galur keturunan kita di dalam pencarian untuk mencari sesuatu yang boleh dibanggakan oleh bangsa kita sendiri, bukan untuk menjajah sesiapa
Terlebih dahulu, di dalam soal Atlantis Kadayan, saya perlu membawa perhatian anda mengenai Atlantis kepada orang yang terkemuka dan menjadi punca kenapa ia masih hangat dibincangkan sehingga ke hari ini. Pembicaraan yang terperinci itu dimulakan oleh seorang purba yang terkemuka di Greek iaitu Plato. Sehingga kini, catatan-catatan lain terutamanya digali satu persatu di dalam usaha mencari maklumat demi maklumat yang membolehkan kita merungkai persoalan misteri ibu tamadun orang-orang Kadayan, iaitu Atlantis.
Plato, Orator Atlantis yang Terulung
Plato yang juga dikenali sebagai Aristocles dilahirkan di Athen lebih kurang 427 – 428 SM, dan meninggal dunia pada usia 80 tahun (347SM). Semasa hayatnya beliau merupakan ahli falsafah Greek yang disegani. Beliau juga merupakan murid kepada Socrates, seorang lagi ahli falsafah Greek yang dianggap sebagai pengasas kepada ilmu falsafah moden.
Hukuman mati ke atas Socrates pada 399SM mendatangkan kesan yang mendalam ke atas beliau. Plato menghabiskan masa beberapa tahun berkelana dan belajar, sebelum kembali semula ke Athen pada usia 40 tahun. Beliau kemudian “... mengasaskan sekolah falsafah, yang terus beroperasi selama lebih 900 tahun (sehingga orang-orang Kristian menutup sekolah berkenaan kerana disyakki boleh memperkecilkan agama mereka)2.
Dua karya Plato yang menyentuh mengenai Atlantis adalah “Timaeus” dan “Critias”. Kedua-dua karya berkenaan ditulis pada 360SM, mungkin pada usia beliau lebih kurang 67 atau 68 tahun. Kedua-dua hasil penulisan ini merupakan rekod bertulis yang terawal mengenai Benua Atlantis yang tenggelam. Kesemua penulisan mengenai Atlantis yang selepasnya menggunakan karya Plato sebagai rujukan, atau sekurang-kurangnya ingin membuktikan apa yang terkandung di dalam tulisan Plato.
Catatan Plato – Timeaus dan Critias
Cerita mengenai pulau (benua) Atlantis disebutkan untuk pertama kalinya di dalam dua dialog (hasil penulisan) Plato iaitu “Timaeus” dan “Critias”. Cerita Plato berkisar mengenai Solon, ahli perundangan dan penyair terkemuka Greek yang pernah bertandang ke Mesir 150 tahun sebelumnya. Hanya sebagai catatan, Solon memang pernah melawat Sais, Mesir, sungguhpun tarikh yang diberikan oleh Plato mengenai hal ini bercanggah 20 tahun3.
Berdasarkan catatan Solon, sejarah Atlantis bermula sejak permulaan masa. Ketika itulah dewa-dewa membahagikan dunia sesamanya dan memerintah bahagian masing-masing4.
Poseidon (salah satu dewa) telah menerima Atlantis, sebuah pulau yang lebih besar berbanding dengan Libya dan Asia5 digabungkan bersama-sama. Beliau telah memilih Cleito, manusia biasa sebagai isterinya, dan mereka berdua merupakan pengasas kepada keluarga diraja Atlantis6.
Poseidon telah membina kediaman untuk Cleito di atas bukit tinggi di tengah-tengah pulau berkenaan7.
Cleito telah melahirkan anak bagi Poseidon seramai sepuluh orang, lima anak lelaki kembar dua. Atlas yang merupakan anak sulung kembar yang pertama, telah dimahkotakan sebagai raja bagi satu wilayah pemerintahan yang luas oleh ayahanda beliau.
Seterusnya, Poseidon telah merangka undang-undang yang harus diikuti oleh pemerintah Atlantis.
Apabila undang-undang ini mula diengkari, maka masalah mula melanda (Atlantis). Ramai di antara pemerintah-pemerintah in beransur-ansur mengahwini manusia biasa dan mula berkelakuan seperti manusia dungu (atau manusia, yang dungu).
Kemudian kejadian ini sampai ke perhatian Zeus8. Mereka kelihatannya telah mengingkari undang-undang dewa-dewa dan terlibat di dalam persekutuan durjana sebagai manusia9. Dia kemudian menghimpunkan semua para dewa di Olympus bagi menghakimi (menghukum) Atlantis. Cerita Plato di dalam “Critias” tamat di sini10.
“... tetapi kita telahpun mengetahui keputusan mesyuarat berkenaan (dari karya Plato yang satu lagi iaitu) dari Timeaus: i.e., selepas menderita (daripada gegaran) gempa-gempa bumi yang dahsyat dan banjir, Atlantis, dengan seluruh penduduknya, telah dimusnahkan, lenyap di bawah ombak Lautan Atlantik11.
Catatan Greek Mengenai Atlantis
(Greek Chronology)
Orang-orang Atlantis yang digambarkan oleh Plato pada permulaannya merupakan bangsa yang bangsawan; tetapi secara beransur-ansur elemen kedewaan semulajadi mereka dicemari dengan naluri manusiawi yang lebih rendah. Di dalam mitologi Greek, Raja Cronos (raja yang mula bersifat manusiawi atau Titan) telah memerintah di Zaman Keemasan, memperkenalkan pertanian, membina bandar-bandar dan undang-undang. Zaman Keemasan merupakan zaman kemakmuran dan keamanan12.
Herodotus dan Diodorus Siculus (penulis Greek) sama-sama menggambarkan puak-puak “Atlantean” tertentu yang tinggal di Libya. Herodotus menggambarkan mereka sebagai tinggal berdekatan dengan Gunung Atlas (History, Book IV), dan Diodorus (Lib. Hist., Book III) menyebutkan bahawa mereka tinggal “di dalam daerah yang terletak berhampiran dengan pesisir pantai lautan”13.
Adalah menarik untuk diperhatikan contoh bahawa di dalam Critias, Plato menggambarkan upacara menangkapan lembu yang berada di kandang kediaman diraja Poseidon. Di zaman Mesir purba, mahzab lembu telah dicatatkan di dalam teks purba sejauh sehingga Dinasti Pertama. Mahzab Lembu Mesir yang paling dikenali memuja Lembu Apis sehingga ke tahap mayat lembu berkenaan di kubur di dalam ruangan rahsia; dikenali sebagai Serapeum. Lembu Apis sememangnya dikaitkan dengan Ptah dan Osiris, dewa pencipta, kematian dan kehidupan semula. Jangka masa teoritikal diantara kemusnahan Atlantis dan penubuhan Mesir juga adalah amat dekat14.
Kesimpulannya, orang-orang Greek, iaitu orang-orang yang dianggap termaju dan paling bertamadun di zaman kuno menganggap ada lagi satu tamadun di luar wilayah mereka. Lebih dari itu, tamadun berkenaan dianggap lebih maju dan telah wujud beribu tahun lebih lama dari masa mereka. Wilayah ini terletak jauh dari tempat yang mereka ketahui, dan berada di tengah-tengah laut sebelum dimusnahkan oleh banjir.
Bagaimanapun, sumbangan utama mereka di dalam merekodkan Ibu Tamadun ialah di dalam soal perincian bandar, pemerintahan, gaya hidup dan hari-hari terakhir kemusnahan Atlantis. Mereka nampaknya tidak mampu menunjukkan arah kedudukan Atlantis dari segi geografi dengan baik. Ini kerana pengetahuan mereka yang terhad di dalam soal lautan, sehingga mana-mana lautan yang mereka lihat di anggap sebagai lautan Atlantik.
Tetapi walaupun dengan kelemahan begitu, mereka tetap meninggalkan satu petunjuk yang lain pula. Apa yang nyata ialah, apabila mereka membincangkan ibu tamadun ini, rujukan mereka adalah orang Mesir sebagai modal dan model perbicaraan.
Jadi nampaknya di dalam pembicaraan soal tamadun ini, catatan orang-orang Mesir merupakan sesuatu yang perlu diambil kira. Rekod-rekod di tangan mereka adalah lebih berharga bagi memberikan petunjuk yang lebih jelas mengenai lokasi Ibu Tamadun yang sentiasa menjadi lagenda di sepanjang zaman. Ya, lagenda negara asal orang-orang Kadayan.
Akan datang: Catatan India, Mesir dan Phoenicia Mengenai Ibu Tamadun
Endnote:
1user.on.net, 2006.
2unxplained-factor.com, 2006.
3Ibid.
4themystica.com, 2006.
5Libya dan Asia menurut pemahaman orang Greek Purba, bukan Libya dan Asia seperti yang kita faham sekarang ini.
6themystica.com, 2006.
7Ibid.
8Raja segala dewa-dewa
9"and acted in an evil coalition as men"
10themystica.com, 2006.
11Leonard, C., 2006.
12Ibid.
13thothweb.com, 2005.
14Ibid.
Reference:
1. Sudheer Birodkar, 2006. Hindu Beliefs and Folklore - Pralaya, Kalki, Satyuga and Kaliyuga, Swarga and Narka, and Surya Grahana by Sudheer Birodkar. Accessed on 02 Aug 2006. http://www.hindubooks.org/sudheer_birodkar/hindu_history/satyuga.html
2. TheMystica.Com, 2006. Atlantis: the Myth. Accessed on 02 Aug 2006. http://www.themystica.com/mystica/articles/a/atlantis.html Sources: 16, 17.
3. Leonard, C., 2006. ECHOES OF ATLANTIS. Myths and Traditions of Ancient Lands by R. Cedric Leonard. Accessed on 02 Aug 2006. http://www.atlantisquest.com/Myth.html
4. thothweb.com, 2005. Atlantis: the Andes Solution: Ancient History. Posted on Friday, December 16, 2005 (CST) by Thoth. Accessed on 03 Aug 2006. http://www.thothweb.com/index.html
5. Dos Santos, A.N., 1997. CORROBORATING EVIDENCE ON THE REALITY OF ATLANTIS by Prof Dr. Arysio Nunes dos Santos. Accessed on 17 Jan 2007. http://www.atlan.org
6. unxplained-factor.com, 2006. Introduction to Atlantis. Accessed on 22 Nov 2007. http://unxplained-factor.com/index.htm
7. user.on.net, 2006. Accessed on 12 Jul 2006. http://users.on.net/~mkfenn/page10.htm
8. Childress, D.H., 2007. Top Ten Ancient Civilizations With Advanced Technology by David Hatcher Childress. Accessed on 28 Aug 2006. http://www.atlantisrising.com/issue1/ar1topten.html