Wednesday, February 18, 2009

Pahalu - Jaluut, Jalurut

Written by kalajiau ingaa


jaluut bigi bayam,

***** **** dipatuk hayam1

Pantun dua kerat di atas merupakan nyanyian kanak-kanak di dunia oang daat, dunia kami.

Pembayangnya menyentuh tentang sejenis kuih yang amat terkenal di zaman tamu dan pahalu iaitu jaluut. Selain dari jaluut kuih-muih lain yang juga popular termasuklah kuih talam, pinyaam, kuih lapis dan kuih kacang. Tapi bagi saya jaluut tetap unik atas alasan tersendiri dan akan saya terangkan di dalam artikel ini.

Kuih jaluut (jelurut) ini merupakan kuih tradisi yang masih boleh didapati sehingga sekarang. Kami menikmatinya sebagai sejenis juadah lumrah hasil dari kewujudan tamu.

Besar kemungkinan kuih ini berasal dari dunia orang laut.

Sepanjang yang saya lalui, ia hanya diperolehi dari tamu-tamu dan pahalu yang kami kunjungi. Ini kerana masa senggang para wanita mereka jauh lebih besar berbanding dengan wanita-wanita daat. Kampung mereka terletak di persisiran pantai. Para lelaki menjadikan laut sebagai gelanggang kehidupan, keluar sama ada secara berkumpulan dan berasingan dari dini hari ke lewat senja atau sebaliknya, dari awal senja menghala ke dini hari.

Hanya para lelaki yang bekerja sepenuh masa begini. Para wanita tidak; kerana perlu menguruskan rumah tangga. Sekaligus ini bermaksud mereka juga mempunyai lebih banyak masa untuk mengurus rumah tangga; tidak seperti wanita daat yang biasanya bekerja bersama-sama suami masing-masing sepanjang hari. Banyak masa untuk mengurus rumah tangga maksudnya termasuklah di dalam soal penyediaan juadah, makanan, kuih muih dan sebagainya.

Semasa kenduri-kendara, jika ada – pembuatnya mungkin sekali adalah saudara-saudara yang berkaitan dengan orang laut, yang bersuamikan oang daat.

Mungkin juga dibeli pukal – jika majlis berkenaan kebetulan bertepatan dengan hari tamu atau pahalu. Malah pembalutnya juga menggunakan bahan dari laut pucuk nipah.

Dinamakan demikian kerana balutannya mudah dibaluut (balurut, ba + lurut, diburai).

Pucuk Nipah ini dilerai dari bilahnya dan kemudian digulung memanjang menjadi kon yang berongga. Balutan (gulungan yang dililitkan memanjang) pucuk nipah membentuk kon yang panjang seolah-olah cengkerang siput yang panjang.

Ia dibuat dari tepung yang diadun dan dikukus.

Setelah masak, teksturnya lembut dan semakin lembut semakin ke atas kon. Di hujung kon, teksturnya paling lembut – walaupun lebih keras dari dadih kacang soya yang telah beku (taufu). Warnanya kekuning-kuningan dan rasanya agak manis.

Saya suka kuih ini. Memakannya merupakan suatu seni. Anda akan memakannya secara perlahan-lahan. Sedikit demi sedikit kulit luarnya dilerai untuk tujuan ini.

1Diharap para pembaca tertentu tidak tersinggung dengan pantun yang dipaparkan di atas. Artikel ini sekadar merekodkan pengalaman hidup penulis di masa lalu dan tidak mengandungi sebarang maksud untuk menyinggung sesiapa.