Tuesday, December 9, 2008

Rumbia, hambulong, hambuyat - Part 2

Written by kalajiau ingaa

Ahh, hambuyat memang sukar. Setelah bertahun-tahun saya masih gagal memasak hambuyat dengan baik. Dalam 10 tumpahan, 8 daripadanya paling sesuai untuk makanan itik sahaja.


Hambuyat di dalam besen untuk santapan oang daat

Hambuyat adalah sejenis kanji dan boleh dijadikan gam pelekat kertas. Dengan adanya hambulung, jika setakat hendak melekatkan setem dan sampul surat kami tidak perlu risau. Dijamin memang tiada masalah. Sekali masak kanjinya boleh bertalam-talam. Berbanding dengan kanji jenis lain, sari hambuyat adalah lebih tebal dan keras. Bagaimana pun ini bukan merupakan masalah jika pandai mencairkannya dengan menggunakan sukatan air yang tertentu.

Makan kanji menggantikan nasi?


Hambuyat dengan Chopstick Borneo

Ya betul, sagu rumbia boleh dijadikan makanan ruji [makanan harian, staple food] bersama-sama sayur mayur dan lauk pauk. Satu tambahan yang pasti iaitu cacahan [sejenis sos ramuan ringkas tempat mencicah hambuyat sebelum ditelan]. Saya difahamkan suatu ketika dulu orang-orang bisaya dan tatana (juga merupakan oang daat yang hidup berhampiran) di kawasan Beaufort pernah menjadikan hambuyat sebagai makanan ruji.


Di negeri Sabah yang bermasyarakat majmuk ini, agak sukar untuk mendakwa bahawa hambuyat ini si anu punya, atau hambulung itu pula kami yang punya. Hambuyat ada di dalam kehidupan oang kadayan, juga didapati dalam kehidupan etnik lain. Di sana ada, di sini pun ada juga. Siapa yang benar-benar empunya hambulung ini, entahlah. Lihat saja contohnya tarian magunatip. Di Sabah tarian ini sinonim dengan etnik Murut. Namun ia juga terdapat di dalam budaya penduduk Filipina serta penduduk asli Taiwan. Pendeknyaa hambuyat adalah harta kehidupan kepunyaan bersama [common property] masyarakat di pantai barat Borneo.

---------------------------------------------------------------------------------------

Hambuyat (brunei: ambuyat). Sagu rumbia, pati sagu, pokok royong, Metroxylon sagus / rumphii Family : Palmae)

--------------------------------------------------------------------------------------

Kami seisi kampong juga menggemari hambuyat. Tetapi bagi kami hambuyat jarang dijadikan makanan tunggal, sebaliknya lebih merupakan pembuka selera dan makanan tambahan. Selepas memakannya, kami tetap akan menjamah nasi walau sedikit.

Proses memasaknya dipanggil numpahi aing hangat [air panas yang baru mendidih akan ditumpahkan] sedikit demi sedikit ke atas ketulan hambulong yang tersedia di dalam besen sederhana besar. Sebenarnya bukan sekadar menuang air panas; kemahiran tinggi perlu untuk menukar hambulong menjadi hambuyat yang sesuai untuk dimakan. Proses mencairkan kanji untuk menjadi gam lebih senang kerana asal cair, bolehlah dilekatkan.

Jika anda melihat orang memasak hambulong, pasti akan kagum. Orang yang memasak hambulung akan memegang cerek berisi air panas secukupnya dengan sebelah tangan. Sebelah lagi memegang gagawi [senduk khas pengaut nasi]. Air akan dituang sedikit demi sedikit sementara gagawi pula digunakan untuk memusing bancuhan hambulung. Hasilnya, bancuhan di dalam besen akan berputar dan berpusar. Kemudian semakin sedikit air dituangkan dan pusingan gagawi semakin lambat sehingga pada tahap yang paling sesuai pusaran akan terhenti sendiri.

Pada ketika ini cecair mula menjadi separa beku umpama agar-agar yang melekit. Warna putih hambulung bertukar menjadi jernih sebagai tanda ia telah masak dan menjadi hambuyat. Jika sedikit air dari yang sepatutnya dituangkan, hambulung tidak akan masak. Terlebih air pula, kanji tidak akan menjadi separa beku. Terlebih pusing gagawi, anda akan sukar mengimbangi jumlah air yang dituang. Jika kurang pusing, lompang-lompang [bubbles] putih hambulung mentah akan terbentuk di dalam hambuyat. Ahh, numpahi hambuyat memang sukar. Setelah bertahun-tahun saya masih gagal memasak hambuyat dengan baik. Dalam 10 tumpahan, 8 daripadanya paling sesuai untuk makanan itik.


Hambuyat [kanji masak] adalah bahan separa cecair yang agak melekit. Jaga mulut! Anda tidak boleh menyuapnya begitu saja kerana ianya dimakan semasa masih panas. Peralatan khas digunakan untuk tujuan ini dan walaupun sudu dan garfu boleh diguna untuk menyuap ke dalam mulut, ia tidak termasuk di dalam modus operandi memakan hambuyat. Tidak ada kelas makan hambuyat dengan sudu dan garfu.


Hambuyat diuntal

Ia biasanya dimakan menggunakan candas [chopstick] yang khas. Kita namakan saja candas ini sebagai Chopstik Borneo kerana memang boleh dikatakan begitu. Kegunaan utamanya khusus untuk memakan hambuyat. Namun, memandangkan ia merupakan penyepit yang mudah, ia juga sesuai untuk kegunaan lain seperti mengangkat ikan dari tempat salaian api dan sebagainya. Hambuyat akan diuntal [digulung] dan dipilas sebelum membentuk ketulan lembut sebesar yang kita selesa untuk muluk [menelan sekaligus tanpa mengunyah].

No comments:

Post a Comment