Thursday, July 2, 2009

Pahalu

Written by kalajiau ingaa

Peraturan pahalu – hanya para penjual orang laut yang duduk dan berjualan di dalam pondok dan orang darat menghurunginya.







Tamu moden di Jalan Gaya, Kota Kinabalu


Tamu merupakan pasar tradisi Borneo yang terus hidup sehingga sekarang. Di Sabah, tamu Jalan Gaya Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud merupakan antara yang paling terkenal.

Sebaliknya, pahalu merupakan variasi tamu di dunia kami yang telah pupus hanya baru-baru ini. Fungsinya sama dengan tamu tetapi berlangsung dalam skala yang lebih kecil. Pahalu merupakan tempat pertemuan di antara komuniti oang daat dan orang laut yang telah ditetapkan dan berlangsung sekali atau dua kali seminggu, sekurang-kurangnya itu yang berlaku di tempat kami (dua minggu). Tetapi apa yang saya perhatikan, pahalu pada hari Rabu biasanya lebih meriah berbanding pada hari Isnin – entahlah apa sebabnya.










Peniaga berjualan di tamu

Ia dipanggil pahalu [pa + halu; sinonim - hintu, bawaan (m.) habu, buah tangan, ole-ole untuk dihurungi].

Di tempat kelangsungannya, kedua- dua komuniti ini bersua muka serta membawa hasil tuaian masing-masing. Orang kadayan, lundayeh [kami kenali dengan panggilan "muut"], murut tagol [kami panggil "tagal"] yang tinggal di kawasan berdekatan akan berduyun-duyun datang bagi menjual barangan dan atau memenuhi keperluan masing-masing.

Di pahalulah segala transaksi membeli dan bertukar barang berlaku. Biasanya ia merupakan pondok beratap yang berderetan, umpama sebaris meja para penjual ikan yang ada di pasar pada masa ini. Agak ironi untuk difikirkan – perempuan-perempuan orang laut akan tiba terlebih dahulu dan bersiaga sambil duduk bersimpuh dengan agak selesa di dalam pondok. Kemudian bungkusan demi bungkusan dibuka dan akhirnya di hadapan mereka terhidang segala jualan yang dipertaruhkan. Biasanya ini merupakan variasi yang sama setiap minggu. Maksudnya, empat lima jenis kuih muih beserta pais (ikan yang diberi ramuan dan dibakar di dalam bungkusan daun nipah), beberapa jenis ikan kering dan ikan tamban salai.


Ikan segar jarang di bawa di dalam pahalu, leceh untuk diuruskan agaknya.


Tetapi berikut ini merupakan peraturan pahalu – hanya para penjual orang laut yang duduk dan berjualan di dalam pondok. Sehingga sekarang saya masih mengagak bahawa scenario ini bukanlah sesuatu yang disengajakan. Jika disengajakan ini merupakan penghinaan kepada kami, oang daat. Agakan saya adalah kerana merujuk kepada barang-barang jualan (bawaan, habuan, haluan) yang mereka bawa. Kuih muih rata-ratanya adalah delicate, highly perishable dan harus diurus dengan cermat.

Tetapi terus terang, peniaga orang laut juga hampir sentiasa berada di pihak yang lebih untung. Habuan yang mereka bawa ke pahalu adalah merupakan barangan akhir yang telah ditambah nilai (final goods, value-added goods). Satu contoh – mereka mendapatkan padi dari oang daat pada pahalu yang lepas. Kemudian padi ini diproses menjadi beras, tepung, diuli, dicampur gula dan bahan-bahan lain; dibungkus dan ditempa menjadi kuih yang telah dimasak. Akhirnya ia datang semula ke dunia kami di dalam bentuk kuih-muih yang kami beli semula dengan harga yang lebih mahal.

Oang-oang daat datang setelah penjual di pondok bersedia dan menghurungi pondok-pondok berkenaan bersama takiding, basung dan lasuk [semuanya adalah hoversack tradisi] yang berisi sayur-mayur dan buah-buahan segar.

Barter trade berlaku secara berleluasa membayangkan hakikat bahawa kedua-dua kelompok oang daat dan orang laut sebenarnya amat memerlukan antara satu dengan yang lain. Dua sisir pisang Util untuk sebungkus ikan salai. Secupak beras untuk dua tiga jenis kuih. Tiga sisir pisang Kaling untuk seekor ikan masin yang besar, dan sebagainya.

Pada amnya hasil-hasil pertanian kami dinilaikan agak rendah oleh para penjual di pondok. Lebih dari itu mereka merupakan penimbang tara [jurunilai] kepada barangan kami, sekaligus mempunyai kuasa menentukan harga yang mereka akan bayar di dalam bentuk barangan kepunyaan mereka ke atas barangan kami. Setelah beberapa ketika, kami mula mengecam si anu penjual pondok merupakan penukar yang kait [kedekut], si anu yang lain pula penukar yang pemurah dan menjadi pilihan di dalam proses penukaran barangan.





Makcik peniaga dengan barang jualan

Namun tidak ramai juga yang endah mengenainya, rendah pun rendahlah asalkan ada. Setahu saya oang daat mudah diurus. Kami sudah cukup bersyukur kerana saudara-saudara dari laut datang membeli barangan kami, di tempat kami sendiri pula. Jika tidak kami terpaksa juga menjualnya kepada orang tengah yang lain atau, mengangkut dan memunggah barang-barang dari kampong dan menjual ke pekan, banyaknya kerja …

Sistem barter trade ini masih berjalan secara terhad di tamu- tamu daerah kami sehingga sekarang.

Akan tetapi sebaliknya, saiz pahalu semakin kecil dan kemudian lenyap ditelan arus pembangunan bermula pada awal dekad 90an yakni pada alaf yang lepas. Proses pembandaran [urbanization] dan jalinan jalanraya yang semakin baik secara ketara banyak mengubah dunia oang daat. Kuasa monopoli orang tengah semakin lemah pada amnya. Kami juga semakin berupaya berurusan terus dengan pasaran di bandar dan pekan yang menjadi pilihan. Sekaligus, nilai barangan pertanian turut menjadi lebih tinggi berbanding sebelumnya.