Written by kalajiau ingaa | |
Kelazatannya hambuyat dengan sambal bambangan masam adalah bak "candas lickin' good" Makan hambuyatHambuyat dimakan semasa masih panas. Jarang orang memakannya setelah sejuk. Sebaik saja diuntal, ianya direndam seketika ke dalam cacahan sebagai penyejuk semulajadi. Jangan gelojoh memakan hambuyat kerana ia harus ditelan tanpa mengunyah. Bahagian luar mungkin telah menjadi agak sejuk akibat direndam, tetapi bahagian dalam untalan kanji mungkin masih panas. Habanya semasa melalui kerongkong dan bahagian dada mungkin membuat anda berasa tidak keruan beberapa saat setelah menelannya.
Sos cacah hambuyat nombor wahid ialah sambal bambangan yang digaul dengan belacan beserta cili padi. Bagi kebanyakan oang daat kelazatannya adalah bak "candas lickin' good" [kelazatan sehingga menjilat candas]. Tetapi saya lebih mengemari cacah yang lebih mudah iaitu sambal belacan cair digaul dengan asam limau dan cili. Di sini saya awal-awal mengingatkan anda, resepi begini tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Baba's atau rempah kari Adabi.
Hendak dijadikan cerita, suatu masa dulu ada seorang hamba Allah yang gelojoh menelan hambuyat panas. Tidak tahu apa yang dilakukan semasa keadaan huru hara berkenaan; beliau lalu meluru turun ke halaman rumah dan memeluk batang pisang. Beliau bernasib baik kerana kebetulan pokok pisang adalah sejuk kerana batangnya banyak mengandung air. Sekaligus ini berupaya meredakan kesengsaraannya. Tetapi kejadian berkenaan kemudiannya dijadikan peringatan, petua serta paambahan [peribahasa] oang daat supaya berhati-hati ketika memakan hambuyat. Dengan begini, kejadian "hangat-hangat nakul batang pisang" berkenaan dapat dielakkan dari berulang. Satu perkara yang anda perlu ketahui jika bersantap dengan hambuyat ialah; rasa kenyangnya adalah lebih sekejap berbanding dengan makan nasi. Ini kerana kandungan air hambuyat adalah tinggi. Ini sama keadaannya seperti anda makan bubur nasi sebagai makanan utama sewaktu tengahari. Mungkin ini merupakan punca kenapa di kampung kami, nasi tetap merupakan santapan pilihan setelah mencandas hambuyat.
Hambuyat ubikayu Selain batang rumbia, ubikayu [tapioca] juga mempunyai kandungan kanji yang tinggi. Proses mendapatkan hambulong ubi kayu jauh lebih mudah berbanding dengan hambulong umbia. Malah pekerjaan ini biasanya dilakukan oleh anak-anak oang daat sambil separuh bermain. Biasanya ia bermula dengan menggali setakiding [bakul yang digalas di belakang, sejenis 'hover sack” tradisi yang dianyam dari kulit bamban atau buluh]. Ubikayu yang diperolehi kemudian dibuka kulitnya dan dicuci. Selepas itu ia digaut [garut, parut] dan dibancuh bersama air di dalam besen untuk beberapa ketika. Kemudian, bancuhan ini akan diperah ke dalam tapisan dan dibiarkan mendak sehingga serdak hambulong akan mendap di dasar bekas berkenaan. Itu saja, hambulong segar ini sudah boleh ditumpahi menjadi hambuyat. Hambulong yang dihasilkan kelihatan lebih putih dan cantik bak salju. Hambuyatnya juga lebih jernih, lembut dan nipis. Namun penggunaan candas semasa memakannya tidak begitu praktikal kerana keadaan hambuyat ubikayu lebih cair untuk diuntal. Agaknya di sini kita harus mengenepikan SOP [Standard Operating Procedure] hambuyat, pakai saja sudu sebagai penyuap – habis cerita. Sifat hambulong ubikayu yang disebutkan di atas merupakan sebab kenapa ia lebih sesuai dijadikan untuk dijadikan perekat; selain bebas dari sebarang bau seperti yang terdapat pada hambuyat umbia. Suatu ketika dulu, kanji ubikayu juga diberitakan sesuai sebagai bahan pengeras baju sebelum diseterika. |
Tuesday, December 23, 2008
Rumbia, hambulong, hambuyat – Part 3
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment