Thursday, April 1, 2010

Kedayan Brunei: Menyiut Mangkutut / Bangkutut (udang)

Written by Ali Sofie

Jaga jaga angang, nanti masuk ke dalam seluar!




Orang-orang kedayan kitani suka menyiut mangkutut1. Kegiatan ini biasanya dilakukan di anak-anak sungai, wasai atau arah anak sungai hiliran permandian burung parak, selangkir, kungkot, mantis, sakak dan lainnya.

Menyiut paling digemari semasa musim kemarau kerana anak-anak sungai banyak putus putus dan semasa aing baru naik. Bah, masa-masa begini biasanya ikan BANTANG timbul ke permukaan dan mudah untuk disiut.



1Terdapat variasi sebutan dan ejaan, termasuklah mangkutut, mengkutut, bangkutut dan bengkutut, semuanya merujuk kepada udang air tawar - editor.

Peralatan yang diguna oleh puak Kedayan semasa menyiut termasuklah BAYUNG, BAHAI, PARANG dan SIUT. Bayung adalah diperbuat dari daun mengkuang, buluh yang diraut dan kulit bamban yang sama bentuk dan kualitinya sebagai tempat menyimpan mangkutut yang dapat disiut. Siut pula adalah alat penangkap ikan atau udang. Batang siut biasanya dibuat dari pohon BELUBUH, PAOK, JELAYAN, AKAR PUTIH, DAHANAN dan apa jua yang menyerupai atau sama dengan kualiti kayu-kayu ini. Rawa siut pula diperbuat dari benang nylon dan berbagai bagai jenis.

Semasa menyiut BAHAI jarang ketinggalan sebagai tempat membawa bekalan makanan. Biasanya di dalam bahai atu macam-macam isinya, termasuklah nasi berlauk ikan masin dalam bungkusan UPIH PINANG, ini pun ada.

Disamping digunakan untuk umpan untuk mengail ikan DALAK/TOMAN, haruan dan lain-lain mangkutut juga sedap dimasak tumis serta untuk djadikan SAPAK, yakni sebagai ramuan tambahan dalam masakan sayur. Apalagi kalau dicampur dengan HUMBUT LUBA, BAYAM NOWUR, PUCUK UBI KAYU dan sebagainya.

Mangkutut juga disebut Jangkang

Kalau di Negara Brunei Darussalam khususnya di KAMPUNG SUBOK kedayan di sini menamakan mangkutut besar sebagai JANGKANG. Jangkang anitah yang selalu dicari, biasanya mudah didapati dalam lubang batu dan GEROMBONG BULUH. Sepitnya lebih besar daripada mangkutut biasa kerana usianya yang lebih tua.

Selain mangkutut, yang dapat di siut juga ialah HARAMA GABUK (ketam air tawar). Biasanya bila nenek nenek menyiut, anak cucu selalu minta harama dan mereka jadikan mainan.

Kadangkala, lain yang dicari lain pula yang ditemui. Menyiut mangkutut, tersiutlah pula ANGANG (cicak air). Apabila tersiut binatang angang ani, sipenyiut selalunya bertempiaran melompat ke tebing kerana terkejut dan takut pula kalau-kalau ia menyusup masuk ke dalam seluar atau kain ~walaupun yang namanya KEDAYAN, tetap ada juga yang geli geleman.

Menggetah Parak

Selain kerja menyiut di musim kemarau, sebenarnya ada lagi kerja sampingan puak Kedayan dan mungkin juga ada pada masyarakat lain. Kerja yang dimaksudkan ini ialah menggetah burung Parak yang mandi di anak sungai mengunakan GETAH TIKUS dicampur dengan getah manungan / tarap /nangka. Getah campuran ini dililit pada kayu lurus sebesar pensel dan panjangnya mengikut sesukahati, di Brunei dipanggil Bantiyai. Kayu bergetah ini kemudian dipacakkan di tempat hinggap burung yang bermandi manda. Tempat mandian ini biasanya sama setiap kali dan lazimnya sebahagian akan hinggap ke atas batang kayu yang disimpan getah tikus berkenaan.

Berbalik semula dengan cerita menyiut ani, pada masa ani nampaknya zaman sudah berubah. Tidak hairanlah di setengah tempat kelihatan siut digantikan dengan BUBU BOTOL yang diumpan dengan ikan masin. Ada masanya hasil dari cara ini lebih lumayan daripada menyiut. Cara membuatnya agak senang. Potong kepala botol atu dan terbalikan seperti bubu biasa. Kemudian dicucuk cucuk, ditebuk lubang sedikit supaya airnya keluar dan isinya tinggal di dalam. Mengikut cerita tidak tau darimana sumbernya, BUBU BOTOL ani diperkenalkan oleh masyarakat Thailand yang bekerja di Brunei Darussalam dan jua mungkin ditempat awda (awang dan dayang) di sana.

Atu saja yang dapat aku ceritakan kepada awda mengenai siut ani.

Salam hormat dari Alisofie.

1 comment:

  1. auu tangah nya luus uja jamu tu..aiee kami kakal kanak kanak masaei bah ku tuut menyiut mangkutut tu

    ReplyDelete