Mahat Gatah 2: Mahat vs Menoreh

Thursday, April 30, 2009
Author kaawai Category

Written by kalajiau ingaa

Pekerjaan menoreh kami kenali dengan nama “mahat”. Lebih kurang samalah ertinyanya dengan istilah baku bagi pekerjaan menoreh getah.

Menoreh maksudnya mengkelar atau melukakan. “Mahat (me + pahat)” pula bermaksud menebuk yakni mengakibatkan tebukan di batang gatah. Memahat biasanya melibatkan tekanan menyorong, sedangkan menoreh (biasanya) merupakan luka yang dibuat dari atas ke bawah.

Kebetulan pisau penoreh juga terdapat dua jenis iaitu jenis sorong dan tarik. Kedua-duanya merupakan pisau yang praktikal bagi seseorang penoreh.

Hanya di peringkat yang lebih terkemudian barulah pisau yang lebih canggih diperkenalkan. Ianya merupakan hybrid sorong dan tarik, jadi menoreh dan memahat boleh dilakukan mengikut keperluan penoreh.

Namun begitu teknik torehan adalah tetap sama; iaitu mengikuti bentuk tulang herring yang diperkenalkan oleh H.N. Ridley melalui eksperimen-eksperimen beliau sebelum getah diperkenalkan dengan lebih meluas di Malaya.

Lagi kelas sejarah…

Di bahagian Pedalaman Bawah Borneo Utara sehingga penghujung 1950an, pekan getah yang paling dikenali ialah Mesapol (Masapol). Pekan ini pernah diserang oleh Rundum, pahlawan Murut Tagol (Tagal) yang memberontak terhadap kompeni pada tahun 1915.

Di zaman itu, Mesapol merupakan pusat pentadbiran Syarikat Berpiagam Borneo Utara (juga dikenali sebagai kompeni, paintah – perintah, pemerintah) bagi satu daerah yang dinamakan sebagai Mangalong; sempena sungai yang terbesar di kawasan ini.

Urusan pentadbiran daerah Mangalong dibahagikan kepada tiga buah mukim. Masing-masing mempunyai pusat kegiatan ekonomi merangkap pusat pentadbiran setempat iaitu Masapol sendiri, Malamam (bangunan kedainya telah lama berkubur) dan Sindumin (bangunan kedainya telah terbakar dua tahun lepas).

Sindumin merupakan pengkalan terakhir bagi kompeni Borneo Utara. Ia bersebelahan dengan Marapok (Merapok) yang ditadbir di bawah jajahan kerajaan Rajah Putih Sarawak. Sempadan politik ini tidak begitu jelas bagi kami kerana kawasan ini masih berada dalam ruang lingkup dunia kami – dunia daat kami. Ia terus bersambung ke Lawas, limbang dan Miri dan Brunei. Kecuali Brunei, ketika itu kesemua kawasan-kawasan yang disebut ini juga berurusan dengan getah sebagai nadi ekonomi utama.

Dari dunia kami menghala ke sebelah atas, kita akan tiba ke Beaufort iaitu pekan yang dikenali sempena nama pegawai daerahnya. Sedikit ke barat ialah Weston iaitu pelabuhan bagi Residensi pedalaman.

Terdapat laluan kereta api bermula dari Tenom, Bukau dan berakhir di Weston dari tempoh 1884 - 1972. Perlu juga disebutkan bahawa Mesapol merupakan hentian terakhir perjalanan keretapi untuk penduduk Mengalong.

Lebih ke utara kita akan menemui pekan-pekan getah lain yang juga tidak kurang pentingnya. Di antaranya ialah Bongawan dan Kimanis yang terletak di dalam daerah Papar iaitu salah sebuah dari pada tiga residensi terawal Borneo Utara bersama-sama Tuwwaran / Joowaran (Tuaran) dan Kudat.

0 comments:

Post a Comment