Written by kalajiau ingaa | |
Suap kopi dan gula ke dalam mulut, haa, lepas tu togok air sungai! Apa punya perut kadayan daa ... AKU OANG DAAT – PART 16 Kopi II: 'Pokok angkat' kesayangan oang daat Tanpa TV dan Radio pada zaman lampau, oang daat mempunyai sesi santai khas di malam hari. Ia dipanggil badudun1 dan bacaita2. Jika ngam caita, sesi berkenaan boleh menjengah titisan embun jantan yang pertama. Di sini, kopi adalah pelengkap sesi. Satikuan3 demi satikuan akan mendatang, berserta atau tanpa biskut dan makanan lain ~ kopi bujang bagi menjamin kesegaran berjaga dan mengelakkan mengantuk. Entah apa yang diminum oleh oang daat sebelum kopi tiba ke pulau Borneo. Ini kerana pokok kopi bukan berasal dari sini. Ia diperkenalkan di Borneo Utara oleh Syarikat Borneo Utara British pada penghujung abad ke 194, kesemuanya merupakan spesis arabica5. Sejak itu ia menjadi sebahagian dari kehidupan oang daat. Di tempat kami, buah spesis arabica saiznya adalah sebesar ibu jari. Tetapi paling banyak didapati ialah spesis kopi yang buahnya bantut. Saiznya kecil, mungkin 1/3 dari saiz arabica biasa. Entah kenapa ia bantut, mungkin sejak ia menjadi pokok angkat oang daat. Kami memetik kopi dari kebun di belakang rumah menggunakan takiding atau basung6. Biji-biji kopi yang telah matang berwarna merah saga yang ranum. Di dalamnya terdapat dua biji buah kopi keras yang rupanya seolah-olah terbelah dua. Buah ini berwarna kuning muda dan agak perang. Untuk meleraikan biji kopi dari kulitnya, buah-buah kopi ditumbuk di dalam lesung kayu di halaman rumah. Ia ditumbuk bersama-sama dengan kelongsong pisang yang kering, jika tidak kerja-kerja menumbuk menjadi sukar dan buah kopi akan berselerak ke luar lesung. Biji yang telah ditumbuk akan dijemur supaya buah dan biji terlerai sepenuhnya. Biji kering ini boleh disimpan beberapa lama, sehingga bertahun, jika disimpan di tempat kering. Apabila tiba masa hendak digunakan, ia akan digoreng kering7 tanpa minyak dan campuran lain dalam kuali sehingga menjadi separuh hangus (hitam legam). Selepas itu ditumbuk juga di lesung batu sehingga lati (hancur), diayak halus dan disimpan. Pada peringkat ini ia siap untuk digunakan. Kopi hampir-hampir menjadi kemestian semasa baamu8. Ia adalah part and parcel daripada bahata – bekal makanan dan minuman – yang dibawa. Mungkin kerana inilah timbul fungsinya sebagai pantan, ia merupakan bahan yang sentiasa ada di sekeliling apabila diperlukan oleh oang daat. Mengenai pantan, saya rasa keistimewaan kopi ialah apabila bercampur dengan darah, ia akan membentuk karamel yang agak keras hampir serta merta. Ia bertindak menjadi kuiping tiruan dan membentuk lapisan plaster kepada luka. Lapisan ini boleh menghalang jangkitan yang mungkin berlaku akibat mata luka yang terdedah kepada persekitaran. Namun campuran ini mestilah pekat. Untuk itu kuantiti serbuk kopi akan dituyung (ditambah) ke atas luka sehingga ia menjadi pekat. Tentang fungsi kandungan caffeine dan bahan-bahan larut lain yang terdapat di dalam kopi, itu saya kurang arif tentangnya. Kami oang daat menikmati kopi kerana ia adalah kopi – hanya campuran kopi bersama air panas dan gula. Kopi tidak dinikmati sebagai menjadi hidangan yang ditokok tambah menjadi latte, macchiato, espresso, mocha, cappuccino dan sebagainya. Kami juga tidak mengubahsuainya menjadi Nescafe atau Indo-cafe. Kami meminum kopi 'O' tanpa susu, kopi talaa. Tidaklah talaa seratus peratus, kerana bancuhannya masih memerlukan air panas dan gula. Tetapi menurut pak cik saya, bapa beliau (argh, atuk sayalah tu) menikmati kopi cukup hanya berbekalkan kopi dan gula, bukan air kopi yang sudah dibancuh. Pagi-pagi di tempat kerja, cukup dengan beliau menyuapkan kopi dan gula ke dalam mulut, haa, lepas tu togok air sungai! Kalau ini bukan gaya kopi yang betul-betul kaw dan talaa, entah apa lagilah namanya. Ke hutan, kopi. Ke sungai, kopi. Ke lautan, kopi. Ke paya, kopi. Namun bagi kebiasaan ramai oang daat, penggunaan kopi biasanya merupakan air minuman yang telah sedia dibancuh, sama ada dimasukkan ke dalam termos atau sekadar botol yang bersesuaian. Endnote: 1menziarahi, mengunjungi jiran, saudara mara, dan sahabat handai. Biasanya masa lapang pada waktu malam agak panjang tanpa aktiviti lain. Pada waktu siang semua orang sibuk bekerja. Ada juga kes di mana sekali sekala saudara jauh datang bertamu sehingga dua tiga hari. Dalam hal ini sesi badudun akan menjadi semakin meriah. 2Sesi bersembang, berborak, bercerita (bacaita) panjang sebagai pengisi masa senggang. Ia merupakan waktu santai. Isi cerita yang digemari ialah pengalaman si anu si anu dan nenek moyang, pengalaman menarik dan kegagahan indung-indung mereka, serta caita ilmu – ilmu batin, jampi serapah dan hal-hal keagamaan yang mendalam dan pelik-pelik, gerenti tidak dapat ditelaah dari buku-buku fekah yang ada didapati sekarang ini. Biasanya ia dibincangkan apabila malam semakin larut dan kanak-kanak telah tidur. 3teko, seteko. 4Tahun-tahun1880an telah menyaksikan perubahan besar di Borneo di bawah pentadbiran orang-orang British. Pentadbir-pentadbir British yang datang ke Borneo merupakan pengadu nasib dan penjelajah ... Tidak lama kemudian Syarikat Borneo Utara British (British North Borneo Company) mula menyokong penuh mengenai percubaan penanaman kopi, kelapa, tembakau, ramin dan koko dan ini telah menggalakkan pembangunan kemudahan-kemudahan infrastruktur yang diperlukan. Sumber: steam.dial.pipex.com, 2008. The North Borneo Railway Project. http://www.steam.dial.pipex.com/trains/borneo.htm. Dicapai pada 03 Julai, 2008. Sejarah penanaman kopi di Sabah bermula dengan penghantaran William Pryer ke Northe Borneo pada tahun 1878 untuk membangunkan British North Borneo Company dengan merangka pelan-pelan pembangunan pertanian termasuklah langkah-langkah yang diperlukan untuk membina ladang-ladang kopi. Sumber: Ada Pryer & Susan Morgan, 2001. A Decade in Borneo by Ada Pryer , Susan Morgan , 2001. Continuum International publishing Group. 5Spesis asal kopi arabica (disebut sebagai əˈræbɪkə) berasal dari Habsyah (Ethiopia) dan Yemen. Ia dipercayai merupakan spesis kopi pertama yang ditanam, dan penanamannya di bahagian barat daya semenanjung Arab telahpun melebihi 1,000 tahun. http://en.wikipedia.org/coffee 6dihua, hua-hua, war-war, dikacau, digaul. 7bekas simpanan yang dianyam dan lebih rendah dari takiding. Biasanya untuk menyimpan padi semasa mengetam. 8Baamu – menyediakan ramuan-ramuan, alat kelengkapan, peralatan, kayu-kayan yang diperlukan untuk kehidupan oang daat. Bekerja, ber + ramu = baamu. |
Thursday, July 10, 2008
Kopi 'pokok angkat' kesayangan oang daat
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment