Revised text version, 31 May 2008.
Zaman Ais Melenyapkan Ibu Tamadun
Zaman ais adalah satu kejadian alam yang pelik sejak berbillion tahun yang lepas. Peliknya kerana iklim bumi akan menjadi semakin sejuk, kembali panas kemudian sejuk semula secara berterusan. Di dalam jangka masa yang panjang suhu bumi semakin jatuh merudum. Suhu menjadi semakin sejuk menyebabkan air terkumpul dan membeku di kebanyakan tempat di seluruh dunia.
Ada kalanya suhu bumi menjadi terlalu sejuk sehingga ia kelihatan (itupun jika sesiapa boleh melihatnya) seperti bola salji kerana salji melitupi kebanyakan permukaannya.
Keadaan sejuk beku dan jumlah lapisan ais terjadi dengan pesat di semua benua, apa lagi di kawasan kutub. Glasier berada di mana-mana sehingga dekat dengan garisan khatulistiwa. Apa yang menghairankan, selepas mengalami keadaan sejuk beku ini bumi akan menjadi semakin panas semula dan lapisan ais yang terkumpul mula mencair di mana-mana.
Kenapa Zaman Ais Terjadi?
Zaman ais berlaku kerana beberapa sebab seperti berlakunya perubahan di dalam komposisi atmosfera iaitu melibatkan perbandingan jumlah pemelowapan air, karbon dioksida, metana, sulfur dioksida, gas serta partikel terapung yang terdapat di atmosfera. Kewujudannya juga disumbangkan oleh kerana perubahan orbit bumi mengelilingi matahari, dikenali sebagai Kitaran Milankovitch.
Faktor-faktor lain termasuklah perubahan didalam plat tektonik bumi yang mengubah lokasi dan jumlah pentas benua dan lautan di permukaan bumi, perubahan di dalam keluaran cahaya matahari, kedinamikan orbit di dalam sistem Bumi dan bulan dan impak pelanggaran meteor dan letupan gunung berapi super1.
---------------------------------------------------------------------------------------------------
Teori zaman ais mula dikemukakan oleh Jean de Charpentier di sekitar tahun 1825-1833 dari kepercayaan masyarakat mengenai rupa bentuk kawasan pergunungan Alpine di Eropah. Ide ini kemudiannya disokong oleh Louis Agassiz dengan bukunya bertajuk Étude sur les glaciers (Kajian mengenai Glasier-glasier) pada tahun 18402.
---------------------------------------------------------------------------------------------------
Terdapat empat zaman ais utama yang dikenalpasti telah berlaku di bumi sehingga kini. Di dalam setiap zaman ini “ ... proses sejuk beku (ruduman suhu bumi; kemudian menjadi panas semula – pengarang) berulangkali 40,000 atau 100,000 tahun setiap kali3”.
Zaman ais yang terawal dipercayai telah berlaku disekitar 2.7 - 2.3 bilion tahun yang lepas, iaitu pada awal era Proterozoic. Sementara itu, zaman ais yang paling teruk sejak sebilion tahun yang lepas berlaku pada zaman Cryogenian. Kesannya masih terdapat di bumi sehingga sekarang. Zaman ini membentuk Bumi (menjadi seperti) Bola Ais (Snowball Earth) di mana lautan ais terbentang sehingga khatulistiwa4.
Secara popular zaman ais adalah merujuk kepada zaman sejuk beku pada “... zaman ais terakhir yang berakhir sejak lebih kurang 10,000 tahun yang lalu5”.
Zaman ais terakhir ini juga dikenali sebagai “Zaman ais besar (Great Ice Age) yang merupakan perkembangan baru di dalam sejarah bumi satu tempoh kewujudan pembekuan secara besar-besaran6”. Di masa itu “... lebih kurang satu pertiga daripada permukaan daratan bumi diliputi oleh ais7”.
Tempoh masa yang menjadi tempat tinggal kita sekarang ini dipanggil sebagai Era Holocene8. Zaman ini bermula sejak (lebih kurang) 11,000 tahun yang lepas, dimana berakhirnya zaman beku dan juga menandakan pengakhiran era Pleistocene.
Sejak 11,0009 tahun yang lalu, bumi menjadi semakin panas semula, membentuk muka bumi yang kita kenali sekarang ini. Pada masa ini “saki baki glasier besar sekarang ini meliputi hanya satu persepuluh permukaan bumi10”.
Fakta yang menarik ialah, “Jika semua bungkah ais di bumi yang ada sekarang ini lebur, aras laut mungkin meningkat lebih dari 150 kaki11”.
Kesan zaman ais boleh kita permudahkan seperti berikut, apabila bumi semakin sejuk, aras laut akan semakin menurun. Ini kerana pada setiap masa, air yang membentuk awan. Tetapi oleh kerana suhu yang sejuk, ia tidak boleh kembali ke laut semula. Sebaliknya awan ini turun menjadi salji yang beku dan akan terkumpul berlapis-lapis di kawasan kutub utara dan selatan dan tanah tinggi semua benua. Jadi setiap hari lautan akan kehilangan air dan setelah beribu tahun, aras air laut boleh menurun sehingga 200 meter dari aras pantai yang kita ketahui sekarang ini.
Apabila ini berlaku, pulau Borneo, Labuan, Gaya dan kebanyakan pulau-pulau lain di seluruh dunia tidak wujud lagi, sebaliknya bersambung menjadi daratan yang besar. Pada tahap ini, suhu bumi akan menjadi semakin sejuk di dalam tempoh 40,000 atau 100,000 tahun. Tetapi selepas itu, suhu bumi akan menjadi panas semula beransur-ansur. Proses panas-sejuk-panas ini merupakan kelakuan semulajadi bumi sejak beribu juta tahun yang lalu.
Apabila bumi menjadi panas kembali, kebanyakan ais yang beku berlapis-lapis di seluruh dunia akan menjadi cari dan bercampur semula dengan air laut. Akibatnya, aras laut akan bertambah dan sekali lagi, secara perlahan-lahan akan membentuk pulau Borneo, Labuan dan Gaya serta kebanyakan pulau lain di seluruh dunia.
Zaman Ais, aras laut dan Ibu Tamadun?
“Tempoh yang penuh dengan peristiwa (zaman ais) ini adalah merupakan zaman pembangunan hebat manusia, perubahan iklim yang drastik, aras laut, hidupan binatang dan tumbuh-tumbuhan ...”12.
Zaman ais memberi ruang yang besar kepada perkembangan tamadun manusia yang amat besar di Asia Tenggara. Pada zaman ais, oleh kerana suhu bumi adalah amat sejuk, kebanyakan air adalah membeku dan membentuk glasier. Oleh itu kebanyakan kawasan bumi tidak sesuai untuk di diami kecuali di kawasan khatulistiwa yang lebih panas, dan Asia Tenggara terletak di kawasan Khatulistiwa.
Kumpulan besar air beku yang membentuk lapisan tebal ais ada di semua benua apa lagi di kawasan kutub. Akibatnya aras laut turun sehingga 200 kaki dari aras sekarang. Bagaimana rupa peta dunia 11,900 tahun yang lepas, semasa zaman ais? Peta berkenaan boleh kita lihat di atas tadi. Sila klik gambar berkenaan untuk melihat imej yang lebih besar.
Tanah pamah tropika, subur dan paling sesuai untuk didiami terbentang dari kawasan Indochina sehingga ke Australia. Terletak di antara Semenanjung Malaysia dan Borneo, adalah kawasan yang paling pamah dan sekarang ini dikenali sebagai laut China Selatan yang terbina di atas pentas Sunda.
Bagaimana pada zaman sejuk beku itu orang-orang Eropah dengan segala kepandaian mendakwa mereka telah membina tamadun besar lebih awal dari orang lain?
Lapisan salji di kawasan Eropah pada masa itu boleh menjangkau sehingga 1 km tebalnya dari permukaan bumi. Pada masa itu keadaan di Eropah dan Mesir adalah sama seperti apa yang ada di kawasan Artik dan Antartika sekarang ini jadi; Apa gaya kan macak tihang mbuat bangunan?
Jadi Borneo dan kawasan sekitarnya di Asia Tenggara adalah kawasan bumi yang bertuah. Semasa bumi bersuhu paling sejuk sekalipun, Borneo tetap boleh didiami dan menjadi kawasan bercucuk tanam kerana ia terletak di sekitar garisan khatulistiwa. Lebih menarik lagi, dengan aras laut yang lebih rendah, pada masa itu Borneo adalah satu daratan benua bersambung dengan Asia dan terbentang membentuk kawasan pamah yang amat luas. Apabila bumi menjadi semakin panas pula, daratan Sunda ini ditenggelami air, tetapi sehingga ke hari ini Borneo tetap boleh didiami dan tetap subur.
Mengikut Oppenheimer13, Atlantis Asia Tenggara yang juga boleh dipanggil sebagai Sundaland kerana ianya sekarang berada di atas pentas Sunda adalah merupakan pemimpin dunia di dalam revolusi Neolithic (permulaan pertanian), menggunakan batu untuk mengisar bijirin liar seawal 24,000 (tahun) yang lalu, lebih tua sepuluh ribu tahun dari(tamadun) Mesir atau Palestin. Sebelum dan terutamanya semasa banjir (akibat peningkatan aras laut) beransur-ansur melanda tanah pamah rendah mereka,orang-orang Sundaland bertebaran keluar ke daratan kejiranan: tanah besar Asia termasuk China, India dan Mesopotamia (Mesir), dan ke kepulauan dunia dari Madagascar sehingga ke Filipina dan New Guinea, dari situ mereka kemudian menduduki Polynesia sehingga ke Pulau Easter, Hawaii dan New Zealand.
Selepas itu apabila suhu bumi semakin panas, salji semakin cair dan aras laut mula bertambah. Masalah lain juga kritikal, kawasan ini terletak di dalam Lingkaran Api Pasifik (Pacific Ring of Fire)14.
Akibatnya tamadun di Asia Tenggara mula tenggelam dan atau musnah oleh gunung berapi. Negeri orang Kadayan hilang ...
Selepas itu apa yang ada bagi ibu tamadun hanyalah hikayat mengenai banjir, air, tenggelam, perahu, naga, garuda. Cerita-cerita yang sama dilaungkan di seluruh dunia, sebagai mengenang kemusnahan tamadun kita akibat zaman ais yang misteri.
Bersambung ke siri 8.
--------------------------------
Nota Kaki
1wikipedia.org, 2006.Ice age. From Wikipedia, the free encyclopedia. Accessed on 2 July 2006. http://en.wikipedia.org/wiki/Ice_age
2Ibid.
3Ibid.
4Ibid.
5Ibid.
6Ray, Louis L., 1999. The Great Ice Age. U.S Geological Survey. USGS Information. Services. Box 25286, Federal Center, Denver CO 80225. Accessed on 20 July 2006. http://pubs.usgs.gov/gip/ice_age/ice_age.pdf
7Ibid.
8Rosenberg, Matt, 2005. The Next Ice Age: Is the Next Ice Age Approaching? From Matt Rosenberg, 29 Dec 2005. Accessed on 23 July 2006. http://geography.about.com/od/globalproblemsandissues/a/nexticeage.htm
9Tahun sebenar kejadian tidak diketahui dengan tepat. Anggaran lain mengenai tahun yang terbabit ialah 11,900, 11,600 atau 10,000 tahun yang lepas – pengarang.
10Rosenberg, Matt, 2005.
11Ibid.
12Ibid. Perbincangan beliau mengenai perkembangan pesat manusia adalah mengenai kewujudan zaman gangsa, bukan ibu segala tamadun. Kenyataan ini diambil bagi memperlihatkan persetujuan beliau mengenai perkembangan pesat di dalam bangsa manusia; tanpa tujuan untuk mengelirukan para pembaca.
13Elst, Koenraad,1999. Koenraad Elst: An Atlantis in the Indian Ocean (Review of Stephen Oppenheimer: Eden in the East).Issue# 1999.47 November 20th, 1999. Accessed on 29 Dec 2005. http://www.swordoftruth.com/swordoftruth/archives/byauthor/koenraadelst/aaitio.html
14Lingkungan kawasan di mana terletaknya garisan aktif gunung berapi bagi seluruh Asia-Eropah menghala ke kawasan lautan Pasifik sehingga ke Mikronesia.
Comments
Dealova - Kadayan Origin From China |2006-08-17 08:09:02
Saya rasa cerita ini amatlah menarik kerana ia telah menampilkan satu pembaharuan di alaf baru ini serta mempamirkan ciri-ciri asal usul orang kadayan tetapi pada pendapat saya penulis seharusnya lebih memfokuskan adakah kemungkinan bangsa kadayan ini mungkin juga merupakan penduduk peribumi dari benua China. Ini dapat dilihat kebanyakan bangsa kadayan ini mempunyai wajah bermiripkan bangsa Cina berketurunan Hailam dan menurut penulis juga kewujudan zaman ais yang mana membolehkan masyarakat kadayan ini berada di kepulauan borneo di mana ada kemungkinan juga mereka berjalan merentasi lautan untuk sampai ke kepulauan borneo. Ini seharusnya difokus dan perlu dititik berat oleh penulis. Di ruangan yang lain saya akan menampilkan hujah dan bukti yang konkrit mengenai kewujudan dan asalnya penduduk kadayam ini. Terima kasih dan Syabas serta tahniah kepada Penulis ini. Saya beri 6 bintang. :zzz
paadian Kadayan |2006-08-25 08:48:52
tulisan yang sangat mencabar minda, untuk difikir-fikirkan. macam boleh dipercaya, macam tak boleh dipercaya ....
macam-macam yang dirasa apabila membaca artikel ini.
teruskan dengan usaha anda mencabar tanggapan umum.
luncai pun luncai lah ...
kadayan paning |2006-11-09 17:57:44
paning... paning
banaa kah yang kau tulis ni?
mazlini mansor - mesopotamia |2007-03-15 21:35:31
bykkan lagi gambar mengenai mesopotamia :roll
No comments:
Post a Comment