Wednesday, August 30, 2006

Selamat Hari Merdeka, Malaysia

Written by KaaWai ^TaNaH^

Merdeka dan kemerdekaan adalah satu perkataan ringkas yang penuh makna. Ia merupakan satu natijah dari kisah yang panjang; satu kesimpulan yang menjadi landasan kepada kehidupan kita sekarang dan di masa hadapan.



Laungan ini bermula dengan cetusan-cetusan anak bangsa yang celik di masa lampau. Di seluruh Malaysia ia bermula dengan penentangan terhadap penjajah secara kecil-kecilan dan tidak tersusun. Ia meletus di tempat-tempat tertentu secara terpencil dan dengan sebab-sebab tertentu samaada ia bersifat peribadi atau / dan kebangsaan.

Penentangan oleh Mat Kilau, Tok Bahaman, Mat Salleh, Rentap dan seumpamanya termasuk ke dalam golongan ini iaitu golongan manusia-manusia yang berjiwa merdeka.

Selepas berlakunya gerakan yang tidak tersusun ini berlaku pula perkembangan yang lebih menarik. Wujud pertembungan budaya melayu dan Timur Tengah hasil dari usaha anak-anak melayu yang belajar di Mesir, Mekah dan Madinah.

Kemudian muncul pula gerakan sosialisme dan aliran kebangsaan.

Perjuangan berteraskan kebangsaan nampaknya lebih mendapat tempat di negara kita sehingga sekarang ini.

Berbalik kepada masa lampau minda merdeka yang rancak itu, unsur-unsur keagamaan, sosialisme dan kemudian nasionalisme menyala secara bertali arus. Kemudian seperti api ia merebak ke semua tempat dan menjadi padu dan menolak minda masyarakat mendambakan kemerdekaan, sehingga pada 31 Ogos 1957 bendera Union Jack diturunkan secara rasmi di Bandar Hilir, Melaka.

Secara ringkasnya begitulah; dan begitulah akhirnya, kita merdeka sebagai satu natijah gelombang pergerakan minda.

Sebenarnya kemerdekaan hanya akan berlaku jika ia diinginkan oleh mana-mana masyarakat itu sendiri. Yang indahnya pula, tiada siapa pun yang boleh menghalang keinginan masyarakat dan minda merdeka mereka.

Di India, gerakan aman Ghandi dengan memboikot garam dan kain buatan Inggeris berjaya memaksa kuasa besar Inggeris memberikan kemerdekaan baginya.

Di Indonesia pula, masyarakat tempatan yang serba kekurangan berjaya menolak Belanda dengan perjuangan bersenjata.

Minda merdeka Nelson Mendela dari Afrika Selatan tetap berjaya mempengaruhi penyokongnya selama 27 tahun dari sangkar penjara.

Orang Kadayan juga mempunyai jiwa merdeka sejak zaman berzaman. Walaupun menjadi "Brunei subject" sejak beratus-ratus tahun, mereka tetap wujud sebagai bangsa Kadayan. Orang Kadayan mempunyai budaya sendiri, aliran fikiran sendiri dan hidup di dalam kelompok mereka sendiri-sendiri.

Di dalam bentuk yang lebih umum, minda merdeka bukan terhad kepada aktiviti-aktiviti bersifat politik sahaja. Di dalam bidang apa sekalipun, merdeka dan kemerdekaan adalah satu impian bagi semua orang.

Bagi orang yang bekerja makan gaji misalnya, mempunyai impian untuk merdeka dari hutan-hutang yang membelengu mereka.

Bagi petani, merdeka mungkin juga bermaksud tuaian yang bebas dari gangguan tikus dan pipit serta serangga perosak yang lain.

Untuk para nelayan pula, merdeka juga bermaksud bebas dari cuaca buruk yang boleh mengganggu pekerjaan mereka.

Oleh itu merdeka adalah penting untuk kita semua.

Tetapi minda merdeka tanpa had juga mempunya masalahnya sendiri jika tidak dibendungi. Minda merdeka ini mewujudkan penampilan yang bersifat individualistik. Oleh kerana semua orang mahu kebebasan, kemerdekaan untuk dirinya, kemerdekaan bagi diri orang itu mungkin satu belenggu kepada orang lain pula.

Contohnya, hujan mungkin satu kemerdekaan bagai seorang pesawah, tetapi bagi pekedai dobi tradisi yang mengeringkan pakaian bergantung kepada cuaca, hujan adalah satu belenggu, bukan kebebasan. Satu kampung kadayan terpisah dari kampung kadayan yang lain, satu rumah kadayan malah terpisah dari rumah kadayan, "aku aku, kau kau".

Oleh itu kemerdekaan dan kebebasan mutlak sebenarnya satu utopia semata-mata. Misalnya bentuk-bentuk keagamaan samada di dalam binaan, relik dan bunyi-bunyian yang terlalu nyata amat disukai oleh penganutnya, tetapi bagi penganut lain adalah satu bentuk gangguan. Jika unsur-unsur gangguan ini keterlaluan, orang lain akan menganggap ia sebagai satu usaha penjajahan. Penjajahan pula adalah satu kesengsaraan bagi orang yang mempunyai minda merdeka.

Oleh itu amatlah penting untuk kita memahami had kemerdekaan kita dan peringkat tolak ansur yang boleh kita terima, untuk kekal dan terus aman di negara yang kita cintai ini.


Selamat Hari Merdeka, Malaysia!

No comments:

Post a Comment