Saturday, December 29, 2007

Atlantis Kadayan 10: Cerita Rakyat Ibu Tamadun

Written by Codec Cadaianicus


Atlantis Kadayan 10: Cerita-cerita Rakyat dan Banjir di Ibu Tamadun

Setelah membaca sembilan artikel di dalam siri ini, sebahagian besar pembaca termasuk anda sendiri mungkin masih mempersoalkan kewarasan artikel-artikel Atlantis Kadayan yang disiarkan melalui KadayanUniverse.Com. Sekaligus, minda anda terus-menerus menafikan kewarasan idea bahawa orang Kadayan adalah berasal dari Atlantis.



Sehubungan itu, dengan ini saya membuat sedikit rumusan tentang aliran ide-ide yang sepatutnya ingin disampaikan melalui penulisan saya. Gunanya ialah supaya anda tidak terus menerus menganggap saya sebagai seorang tukang karut yang memandai-mandai membuat cerita dongeng semata-mata.

Sekiranya anda masih mampu bertahan dan terus mengikuti siri ini sehingga sepuluh artikel yang akan datang, anda sewajarnya dapat memahami landasan penulisan siri ini dengan seadanya.




Sebagai makluman, terdapat enam perkara pokok yang menjadi ide asal yang sepatutnya dapat diketengahkan melalui siri ini. Perkara-perkara berkenaan adalah seperti berikut:

1. Saya sebenarnya sekadar menyokong pendapat para penulis yang mencabar conventional wisdom yang mengatakan bahawa dunia barat merupakan sumber tamadun manusia.

2. Atlantis yang diagung-agungkan sebagai ibu tamadun dunia sebenarnya terletak di Nusantara. Ide ini diutarakan oleh ramai penulis, termasuklah orang-orang akademik bertaraf “otium cum dignitate” seperti Prof Dr. Dos Santos. Perkara ini bukanlah datang dari ide saya sendiri.

3. Kemusnahan Ibu tamadun menyebabkan penduduknya berhijrah keluar bagi menyelamatkan diri. Ini merupakan hakikat untuk mana-mana negara yang dilanda mala petaka.

4. Salah satu tempat penghijrahan yang juga menghasilkan tamadun yang dibanggakan ialah Lembah Indus, India.

5. Penduduk Lembah Indus ini kemudian bertandang semula ke Borneo, mengasaskan kerajaan yang purba yang pertama dirantau ini bernama Kutai Kartanegara.

6. Tidak syak lagi terdapat pertalian yang amat rapat diantara Kutai dengan orang-orang kadayan.

Dengan memahami aliran pemikiran yang mudah ini, diharap anda akan lebih mudah untuk meneruskan pembacaan anda.

Sekian, Selamat Tahun Baru 2008 dan Selamat Membaca.

-------------------------------------------------

Nota: Saya memohon maaf kepada para pembaca kerana siri ini telah terbengkalai untuk jangkamasa yang agak lama, iaitu lebih kurang 15 bulan dari September 2006 sehinggalah sekarang. Syukurlah, pada penghujung tahun ini saya dapat bercuti dan boleh membelek-belek sumber-sumber rujukan saya yang bertaburan di dalam hard drive, menyusunnya kembali dan merangka sambungan siri ini yang seterusnya. Saya berharap akan boleh menamatkan siri ini dengan bergaya sehingga penghujungnya.

Sudah tentu anda menghadapi masalah untuk membuat tanggapan yang adil tentang kewarasan artikel ini. Namun begitu, anda mungkin boleh berfikir kali kedua dengan meneliti cebisan-cebisan bukti yang ada ditangan mereka semua.

-------------------------------------------------

Kisah Banjir Ibu Tamadun dicatat dalam Cerita Rakyat (folklore) di seluruh dunia.

-------------------------------------------------

Untuk permulaan, kita boleh meneliti persamaan yang wujud di dalam cerita-cerita rakyat di seluruh benua. Kesemua cerita rakyat menunjukkan bahawa permulaan bangsa mereka adalah bermula dengan banjir. Sila klik gambar di bawah untuk melihat deskripsi yang lebih terperinci



Secara geografi tema tema-tema serupa di dalam cerita rakyat ini bertebaran di seluruh dunia termasuklah Formosa (Taiwan), Borneo, Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu, India, Baratdaya China,Timur laut China, Kawasan pedalaman Mancuria, Kawasan Siberia, Kawasan Steppe Asia Tengah, Amerika Utara dan Amerika Tengah1.

Mengikut Ting-Jui Ho komponen penting di dalam cerita rakyat yang menyangkut mengenai lebihan matahari atau bulan adalah seperti berikut. Beberapa matahari atau bulan telah kelihatan di angkasa bersama-sama (mungkin secara simbolik menerangkan gejala letusan gunung berapi di kawasan Pentas Sunda). Kepanasan melampau matahari dan kesejukan melampau bulan menyebabkan kesengsaraan kepada manusia (apa lagi yang hendak kita katakan jika ini bukan mengenai perubahan iklim?). Seterusnya ia adalah berkaitan dengan Kisah pahlawan budaya (keturunan) yang telah membunuh (mengatasi) lebihan matahari dan bulan2.


Di dalam tema kelahiran bangsa mereka pula, mengikut cerita rakyat di seluruh dunia, bangsa baru adalah wujud dari sumbang mahram selepas banjir. Rangka umum tema ini ialah pada satu masa dahulu, dunia telah dimusnahkan oleh banjir, dan hanya pasangan adik beradik yang terselamat.


Di dalam tema ini, motif penting komponen adalah banjir dan melarikan diri dari banjir. Kemudiannya, bangsa baru (bangsa mereka) lahir dari sumbang mahram selepas mala petaka berkenaan3.

-------------------------------------------------

Para pendakwah awal Eropah terkejut kerana cerita rakyat di seluruh dunia membincangkan tentang banjir.
-------------------------------------------------

Cerita-cerita rakyat di seluruh dunia mengenai banjir telah didokumenkan sebagai sejarah atau lagenda di hampir seluruh pelusuk dunia. Para pendakwah Eropah (Old world missionaries) yang awal melaporkan ketakjuban mereka apabila mendapati puak puak terpencil telah juga memiliki persamaan yang amat ketara dengan catatan-catatan kitab Injil mengenai banjir besar sedunia. H.S. Bellamy di dalam Moons, Myths and Men menjangkakan bahata terdapat lebih 500 lagenda banjir di seluruh dunia. Tamadun kuno China, Babylonia, Wales, Russia, India, America, Hawaii, Scandinavia, Sumatra, Peru, dan Polynesia) kesemuanya mempunyai versi mereka sendiri mengenai banjir raksaksa1.

Sila klik gambar untuk melihat imej yang terperinci.



Anda mungkin tertanya-tanya mengenai kebenaran fakta bahawa Nusantara merupakan pusat Ibu Tamadun. Ini kerana tiada saki baki tinggalan monumen-monumen perkasa yang amat kuno di perolehi di sekitar Borneo. Apa yang jelas ialah, sebagai pulau tropika yang terletak di garisan Khatulistiwa, kadar kelembapan (humidity) kawasan ini amatlah tinggi untuk sesebuah monumen boleh bertahan melebihi 11,600 tahun.

Di seluruh dunia, rata-rata monumen tertua yang masih bertahan adalah berusia 5,000 tahun ke bawah. Pastinya monumen adalah sebahagian dari kehidupan masyarakatnya, sama ada saki baki bangunan kediaman, rumah ibadat, bandar atau infrastruktur. Kesemua ini tentunya adalah dibina di kawasan yang padat dengan penduduk. Masalahnya kawasan itulah yang telah ditenggelami air dan sekarang ini berada di tengah-tengah Laut China Selatan.

Anda juga mungkin memikirkan bahawa jika benar Nusantara pernah menjadi Ibu Tamadun, kenapa keturunan yang tercicir di Borneo dan cebisan kepulauan Nusantara tidak mampu mengulangi kehebatan nenek moyang mereka. Jawapannya ialah, mereka yang tercicir, tertinggal di belakang, tidak pergi ke mana-mana dan hanya menyandarkan untung nasib mereka di Borneo dan kepulauan Nusantara adalah golongan yang paling tidak berkemampuan.

Lazimnya yang mampu berpindah dan mempunyai perancangan untuk berpindah tanpa menunggu sehingga negara mereka benar-benar tenggelam adalah terdiri golongan cerdik pandai, mempunyai kemampuan, berharta dan berpengaruh. Oleh sebab itulah mereka mampu mengulangi keajaiban tamadun asal dengan mewujudkan anak-anak tamadun di seluruh dunia.



Akan datang: Atlantis Kadayan 11: Lari dari Petaka Banjir di Ibu Tamadun.

Endnote:

1Ting-jui Ho, 1964. East Asian Themes in Folktales of the Formosan Aborigines. Ting-jui Ho Asian Folklore Studies, Vol. 23, No. 2. (1964), pp. 35-47. Asian Folklore Studies is currently published by Asian Folklore Studies, Nanzan University.

2Ibid.

3Ibid.

4nwcreation.net, 2006. Flood Legends From Around the World. Northwest Creation Network. 23208 55th Ave W. Mountlake Terrace, WA 98043 206-465-1635. Accessed on 26 June 2007. http://www.nwcreation.net/index.html


Comments

meera ed
ora - cerita yang menarik |2008-07-18 16:33:50
saya amat meminati cerita yang telah ditulis oleh saudari


fatyn |2009-05-20 22:58:31
seok2 nyamu..creta2nya ane.urg bunai ne kdiaku anii..

No comments:

Post a Comment