Sepuluh Sebab Kenapa Kerajaan Tidak Patut Menaikkan Harga Petroleum
Entah betul entah tidak, tetapi di mana-mana terdengar desas-desus kerajaan bakal menaikkan harga petroleum sekali lagi pada awal tahun depan, 2008. Sebagai rakyat biasa, tentunya khabar angin tentang perkara ini bukan sesuatu yang saya alu-alukan. Kenaikan petrol bukanlah satu perkara yang main-main. Kesannya terhadap ekonomi negara amat besar sekali, contohnya krisis tenaga pada tahun 1973 kerana tindakan OPEC telah menjadikan ekonomi negara-negara hampir lumpuh.
Namun jika ditinjau dari perkembangan harga terkini bahanapi utama itu pada paras USD96 setong kemungkinan kenaikan harga dilaksanakan oleh kerajaan memang ada. Asakan harga pasaran nampaknya manasabah untuk menjadi sebab yang paling sesuai kenapa kerajaan menggambil langkah sedemikian.
Tentunya pakar-pakar ekonomi negara kita menyedari hal ini, tetapi manalah tahu sebagai manusia biasa mereka lupa. Jadi ada baiknya sebagai orang biasa, kita menunaikan juga tanggungjawab sosial sebagai pembayar cukai mengingatkan mereka kenapa kerajaan tidak sepatutnya menaikkan harga petroleum semata-mata disebabkan oleh turun-naik (fluctuation) harga petroleum di pasaran. Terdapat sepuluh sebab utama, sebab yang paling asas dan paling diketahui umum, malah oleh pakcik dan makcik di kampung kenapa kerajaan tidak patut menaikkan harga petroleum sewenang-wenangnya.
1. Apabila Harga Petrol Naik, Harga Semua Barangan Lain Akan Naik
Petroleum bukan sembarang barangan ekonomi yang boleh dinaik-turunkan sesuka hati. Ia merupakan sumber tenaga utama bagi hampir keseluruhan industri di dalam negara kita. Kenaikan harga petroleum akan menyebabkan rantaian kenaikan yang berpanjangan kepada indeks harga pengguna sesebuah negara. Akibat besarnya ke atas peningkatan kos bagi semua industri adalah sesuatu hakikat kerana peningkatan di dalam kos pengeluaran, harga sumber tenaga, pengangkutan dan sebagainya.
2. Apabila Harga Petrol Turun, Harga Barang-barang Lain TIDAK Akan Turut Turun Semula
Terimalah hakikat bahawa mekanisma pasaran bukan segala-galanya. Kerajaan mungkin berlandaskan faktor turun-naik harga pasaran semasa menaikkan harga minyak. Tetapi kerajaan harus menyedari, jika satu hari nanti harga petroleum turun semula, mekanisma pasaran malah kerajaan sendiri TIDAK akan berupaya untuk menurunkan harga semua barangan lain yang sebelumnya telah naik kerana kenaikan harga petroleum dengan berkesan. Ini adalah tabiat semulajadi pasaran kapitalis anutan negara kita yang menamakan pemaksimuman keuntungan sebagai matlamat utamanya.
3. Pasaran Petrol Adalah Tertakluk Kepada Turun Naik Harga dan Keseimbangan Pasaran
Sebagai pembeli dan pengguna petroleum, kerajaan nampaknya menyedari petroleum sebagai suatu komoditi ekonomi. Harganya adalah turun naik dari satu masa ke satu masa yang lain bergantung kepada keadaan sosio-politik, penemuan sumber-sumber baru, tindakan oligopolistik pengeluar, gangguan sumber dan sebagainya. Tetapi sebagai pemerintah, kerajaan harus menerima hakikat bahawa subsidi petrol adalah satu tanggungjawab kerajaan yang terus-menerus selama-lamanya (perpetual responsibility). Tiada alasan yang kerajaan patut berikan di dalam soal bebanan tanggungjawab petroleum.
4. Subsidi Juga Naik Turun Bergantung Kepada Turun Naik Harga Petrol
Jika kita meneliti perkara 3 di atas, kita akan dapat memahami bahawa walaupun kerajaan akan menanggung subsidi ini selama-lamanya, nilai subsidi yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan juga akan sentiasa turun naik mengikut harga petroleum semasa. Oleh itu, kerajaan tidak wajar melihat saiz bebanan yang ditanggung dari ukuran jangka pendek semata-mata. Memandangkan harga pasaran adalah turun naik, maka beban subsidi kerajaan juga akan ikut turun naik. Jika kerajaan merasa berhak untuk merungut tentang beban besar yang ditanggungnya kerana harga petroleum di pasaran dunia meningkat, apa pula insentif tambahan yang kerajaan akan umumkan apabila harga petroleum turun nanti?
5. Subsidi Perlu Untuk Memperlahankan Kadar Inflasi Di dalam Jangka Panjang
Subsidi petroleum adalah selama-lamanya perlu untuk rakyat. Rakyat membayar cukai kepada kerajaan beratus billion ringgit setiap tahun. Jadi, subsidi adalah satu bentuk cara untuk membelanjakan semula wang berkenaan kepada rakyat. Subsidi akan naik turun juga dan berbeza jumlahnya bergantung kepada kadar harga pasaran semasa. Tetapi, dengan adanya subsidi, turun naik indeks harga pengguna dengan sendirinya yang datang dari pengaruh harga petroleum akan sentiasa dapat distabilkan. Subsidi memang sentiasa merupakan satu bentuk bebanan kepada kerajaan.
Akan tetapi, jika kerajaan mengambil keputusan untuk menghapuskannya, beban harga pasaran akan menjadi tanggungan kepada semua orang dan termasuk kerajaan sendiri. Lagi apa pula kegunaan kerajaan jika ia tidak dapat membantu rakyat di dalam soal asas kehidupan?
6. Inflasi Akan Mendorong Peningkatan Gaji Nominal
Kejadian inflasi yang ketara amat mungkin sekali akan mendorong kerajaan meningkatkan gaji pekerja-pekerja sektor awam. Tetapi memandangkan indeks harga pengguna juga turut naik di masa yang sama, kenaikan gaji ini tidak akan membawa ekonomi ke mana-mana pun. Kuasa beli para pengguna akan tetap berada ditahap lama, malah mungkin akan menjadi lebih teruk lagi.
Keadaan ini adalah serupa dengan memiliki RM100 dan kemudian berbelanja sebanyak RM100. Kemudian gaji ditingkatkan menjadi RM200 dan di dalam masa yang sama perbelanjaan meningkat RM200 akibat peningkatan di dalam harga barang-barang dan perkhidmatan. Jadi di dalam hal ini peningkatan berkenaan hampir-hampir tidak berguna, selain dari pertambahan angka wang yang dimiliki.
7. Kenaikan Harga Memberi Kesan Yang Paling Teruk Kepada Golongan Pertengahan
Memang benar jika kita mengira kesan terdekat, yakni kesan kenaikan petroleum terhadap perbelanjaan petroleum harian golongan ini. Golongan atasan tidak akan banyak terkesan jika diukur dari angka mutlak pendapatan mereka. Contohnya jika pendapatan anda RM1 juta sebulan, peningkatan perbelanjaan untuk petroleum sehingga RM50, 000 walaupun besar, tidak akan mendatangkan banyak masalah kepada pendapatan mutlak anda kerana anda masih mempunyai lebihan RM950,000 untuk dibelanjakan ke atas perkara lain.
Golongan penternak, nelayan dan petani pula biasanya dijanjikan dengan pelbagai subsidi tambahan oleh kerajaan atas alasan mereka perlu dibantu bagi mengimbangi bebanan tambahan yang ditimpakan ke atas mereka. Jadi bagaimana dengan golongan pertambahan? Mereka sering terabai begitu sahaja.
8.Kenaikan Harga Petroleum dan Malaysia Sebagai Negara Pengeksport Petroleum
Kenaikan petroleum yang keterlaluan oleh kerajaan merupakan satu perkara yang agak ganjil sebagai negara pengeksport petroleum yang bermutu tinggi. Katakan kita memerlukan 100 tong petroleum yang berharga RM1 setong. Jadi kita perlu berbelanja sebanyak RM100 setahun untuk keperluan negara. Bagi kes Malaysia sebagai pengeksport petroleum pula, dalam masa yang sama katakan kita mengeksport 60 tong petroleum yang berharga RM1.40 setong, pendapatan tahunan kita adalah RM84.
Mengikut kira-kira congak yang paling mudah, kita cuma memerlukan tambahan perbelanjaan sebanyak RM16 untuk memenuhi keperluan petroleum di negara kita. Jadi bebanan subsidi kerajaan yang bagaimana kita perlu kurangkan lagi?
9. Kenaikan Harga Petroleum Dan Sumber Tenaga Alternatif
Kenaikan harga petroleum harus diimbangi dengan usaha kerajaan untuk mencari dan mempromosikan sumber tenaga alternatif. Jika terdapat usaha yang bersungguh-sungguh ke arah mempromosikan sumber-sumber tenaga yang lain, tidak akan ada masalah untuk kita sebagai rakyat biasa untuk mendengar harga petroleum ditingkatkan semaksimum mungkin kerana kita boleh beralih kepada sumber tenaga berkenaan.
Malangnya kita tidak nampak hal sedemikian diusahakan oleh kerajaan, malah tiada kemajuan teknologi ke arah memperagakan penggunaan sumber tenaga alternatif yang boleh dibanggakan setakat ini, seperti penggunaan bio diesel dan seumpamanya. Oleh itu, tanpa sebarang sumber alternatif, kerajaan tidak harus memperjudikan kehidupan rakyat dengan memberikan beban yang tidak mampu mereka tanggung untuk jangkamasa yang panjang.
10. Kenaikan Petroleum dan Kestabilan Negara
Kenaikan petroleum akan mengundang rasa tidak puas hati rakyat. Kenaikan yang keterlaluan akan menimbulkan kemarahan mereka. Kemarahan yang meluas pula boleh mengundang perkara-perkara yang tidak diingini, seperti demonstrasi jalanan, penentangan, timbulnya kebencian dan kerajaan mungkin akan menjadi sibuk dan terpaksa berbelanja lebih besar di dalam hal ehwal keselamatan berbanding dengan perbelanjaan subsidi petrol, untuk mengamankannya semula.
Selamat Tahun Baru 2008.
No comments:
Post a Comment