Atlantis Kadayan 11: Lari Dari Petaka Banjir di Ibu Tamadun
Ibu Tamadun, yang dikenali secara umum sebagai Atlantis tidak dinafikan masih lagi merupakan suatu misteri sehingga ke hari ini. Perbalahan diantara sesama para pengkaji, sama ada pengkaji akademik, pengkaji popular mahupun pemburu cerita-cerita misteri masih berkisar pada perkara pokok iaitu di mana sepatutnya Atlantis terletak. Telahan saya ialah, ianya tetap akan menjadi suatu misteri sampailah bukti-bukti yang nyata mengenainya diperolehi dengan pencapaian sains dan teknologi yang lebih maju di masa hadapan.
Terdapat beberapa konsensus yang boleh dirumuskan dari kesemua bahan bacaan saya setakat ini. Pertama, terdapat kemungkinan yang amat besar bahawa tamadun manusia telah mencapai tahap yang tinggi pada masa lampau sama ada ia bernama Atlantis atau tidak.
Kedua, dengan kemajuan dan peningkatan pemahaman dunia masa kini dalam bidang geografi, geologi dan metereologi, secara umum dunia seluruhnya memahami keadaan iklim dan tingkahlaku bumi dengan lebih baik. Serentak dengan itu juga, kawasan Pentas Sunda memang merupakan kawasan yang paling sesuai untuk didiami mengambilkira perubahan iklim global.
------------------------------------------------------------------------------------
Manusia telahpun maju di zaman lampau.
Pentas Sunda tempat kediaman penduduk dunia yang paling sesuai sebelum aras laut meningkat.
Keupayaan manusia di seluruh dunia meningkat dengan mendadak selepas banjir.
------------------------------------------------------------------------------------
Ketiga, serentak dengan kenaikan aras laut, kemahiran manusia untuk membuat peralatan tembikar, persenjataan kemahiran bercucuk tanam, persenjataan, kemahiran hidup serta ketamadunan tiba-tiba bertambah secara mendadak dan merebak ke serata dunia. Jadi di dalam hal ini, correlation di antara perubahan iklim, peningkatan aras laut atau dengan kata yang lebih mudah, banjir, dengan munculnya kemajuan yang mendadak di serata pelusuk dunia.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------
Sila klik peta di bawah untuk melihat imej peta yang lengkap
--------------------------------------------------------------------------------------------------------
Banjir adalah satu petaka, dan ia secara semulajadi adalah suatu kemusnahan. Satu-satunya manafaat banjir yang boleh dibanggakan ialah, tanah yang dilandanya akan menjadi semakin subur di kemudian hari. Ini kerana ia membawa suatu lapisan baru ke atas tanah yang sedia ada. Tetapi banjir semata-mata tidak akan membuatkan manusia pandai membuat tembikar, misalnya.
Oleh itu jika manusia di seluruh dunia tiba-tiba menjadi semakin pintar selepas banjir yang amat besar, terdapat hanya satu kemungkinan yang berlaku. Kemungkinan itu ialah para penduduk dari satu kawasan maju yang dilanda banjir dahsyat terpaksa bertempiaran lari menyelamatkan diri. Mereka kemudiannya terdampar dan meneruskan kehidupan mereka di mana-mana menyebabkan peningkatan kehidupan di kawasan berkenaan.
Di mana “banjir” ini adalah merujuk kepada fenomena pemanasan global akibat perubahan iklim dunia, keadaan bertempiaran bermaksud lari dari petaka dan terdampar di belahan dunia yang jauh dari tempat asal. Anak-anak Kadayan di Atlantis yang tenggelam lari menghala ke bahagian atas benua Asia membentuk orang-orang China moden, sebagai menyebutkan suatu contoh.
Masalahnya, golongan akademik sehingga kini menganggap proses migrasi China-Nusantara ini berlaku sebaliknya. Mereka menyimpulkan bahawa orang-orang Cinalah yang berhijrah ke seluruh kepulauan Nusantara dan Polynesia. Kesimpulan ini dibuat atas alasan orang-orang Cina mempunyai sejarah ketamadunan yang lebih panjang, bilangan mereka yang lebih ramai serta kawasan yang mereka diami lebih luas berbanding dengan Nusantara.
Namun, untuk masa-masa yang terkebelakang yakni masa yang terlebih hampir dengan masa kita , pastinya kawasan Pentas Sunda dan kepulauan Nusantara sekarang ini tetap merupakan sesuatu lautan (yang cetek) dan gugusan pulau-pulau yang teristimewa bagi mereka yang telah berkampung di China. Penghijrahan semula (yang sepatutnya disebut sebagai “pulang” ataupun “lawatan nostalgik”) bagi keturunan mereka yang kemudian adalah sesuatu yang diduga dan tidak sekali-kali menghairankan.
------------------------------------------------------------------------------------
Penduduk Atlantis telah berhijrah ke negeri China, Lembah Indus, kawasan Sumeria dan Babylon, Polynesia serta Amerika Tengah akibat banjir.
-----------------------------------------------------------------------------------
“Banjir” akibat peningkatan aras laut adalah merupakan fenomena yang dahsyat. Amat pasti tidak semua anak-anak Atlantis boleh bergerak secara teratur dan menuju ke atas Asia dengan teratur didalam barisan rombongan penghijrah yang panjang.
Jika anda merupakan seorang anak Kadayan Atlantis pada masa yang kacau bilau itu, segala-galanya akan bergantung di bahagian Pentas Sunda yang mana anda berada. Jika anda berada di bahagian pantai barat Pentas Sunda, anda paling mungkin untuk bersama-sama menyertai gerombolan Atlantis malang yang bergegas menuju ke kawasan India sekarang ini. Mungkin anda dengan segala rintihan dan jerih payah mengharung samudera ganas yang terbentang luas kemudian menemui satu pantai dunia baru yang amat luas.
Lalu anda dan kumpulan meneruskan langkah dan mengheret segala yang mampu diangkut, berjalan dan akhirnya anda menemui satu dataran yang pamah, permai dan agak setanding dengan kampung halaman anda yang tenggelam dan telah ditinggalkan. anda bersama sedikit serpihan dari satu gerombolan yang besar memutuskan untuk tinggal di kawasan ini.
Kawasan inilah nantinya yang dikenali sebagai lembah Indus. Keturunan anda terus membuat imitasi ketamadunan dan tamadun anda nantinya dikenali di dalam sejarah sebagai Tamadun Lembah Indus.
Sebahagian lain yang terus berjalan dan belayar sehingga ke kawasan Mesir sekarang. Mereka terus mara dan nantinya membentuk anak tamadun baru yang dikenali dengan Tamadun Sumeria dan Babylon.
Tidak kurang jerihnya juga anda bakal alami jika berada di bahagian selatan pantai Pentas Sunda ketika itu. Anda akan menjadi ahli gerombolan yang aampa-miaa dengan perahu di kawasan hemisfera selatan. Sebahagian perahu berpuas hati dengan terdampar di pulau-pulau kecil di kawasan Polynesia dan New Zealand. Sebahagian yang lain pula bersikap lebih tegar. Mereka memperjudikan untung nasib dengan meneruskan pelayaran membelah lautan atlantik lalu membuka petempatan di Amerika Tengah kerana iklim di kawasan ini sama dengan tanahair asal mereka. Keturunan mereka inilah yang kemudian membentuk Tamadun Inca, Maya dan Atzec yang terkenal di benua Amerika.
Akan datang: Catatan-Catatan Plato dan Greek Mengenai Ibu Tamadun.
No comments:
Post a Comment