Monday, March 1, 2010

Persatuan Kedayan Sabah? Saya tiada apa-apa kaitan dengannya

aktiviti-aktiviti KEDAYAN patutnya dimaklumkan pada pamimpin tampatan macam kami ani

Written by Arimi Sidek

Sejak beberapa ketika ini dari semasa ke semasa saya menerima SMS dan email dari kawan-kawan mengenai artikel yang tersiar di akhbar Daily Express tentang Persatuan Kedayan Sabah (nama pendek persatuan ini ialah “KEDAYAN”), konon saya merupakan orang yang menulisnya.

Jadi biar dijelaskan di sini, tulisan berkenaan bukannya datang daripada saya. Ramai orang kadayan yang pandai menulis sekarang, kalau tidak percaya selak-selaklah di Facebook. Di sana, bukan saja pandai menulis, semua teruja membuka kumpulan masing-masing, semudah membuka cawangan parti.



Versi bahasa Inggerisnya tidak ditemui,
jadi saya uploadkan versi bahasa Melayu.


Sepatutnya saya adalah ahli KEDAYAN sehingga sekarang. Keahlian saya adalah amat istimewa dan harus dihormati kerana ianya merupakan ahli SEUMUR HIDUP. Akan tetapi itu hanya pada nama.

Saya tiada apa-apa kaitan dengan Persatuan Kedayan Sabah sejak dari tahun 2001 hinggalah sekarang. Sebelum itu ya, pernah terlibat dan terakhir sebagai setiausaha agong KEDAYAN. Agaknya pengelibatan dalam hal ehwal persatuan kedayan adalah selama lebih sedikit dari satu dekad, iaitu dalam tempoh dari 1990-2001.

Akan tetapi walaupun tulisan di Daily Express berkenaan datangnya daripada orang lain, saya amat bersetuju dengan apa yang beliau luahkan.

Sebagai bekas orang dalam KEDAYAN, saya mengakui perjalanan kami selama satu dekad di persatuan kedayan bukanlah selancar mana.

"aktiviti-aktiviti KEDAYAN patutnya dimaklumkan pada pamimpin tampatan macam kami ani"

Paling utama dalam tempoh masa yang agak panjang itu kami berhadapan dengan soal kepercayaan umum yang berkembang biak di dalam masyarakat kadayan. Kononnya, persatuan ini harus dipegang, atau dilekatkan, atau diselaraskan dengan pemimpin dan parti politik yang merujuk kepada wakil rakyat dan parti pemerintah. Meminjam kata arwah Cikgu Mahali, Setiausaha UMNO Bahagian Sipitang yang kebetulan bertembung dengan kumpulan kami di Mesapol dan tidak menyembunyikan ketidaksenangannya ketika itu, “[sebarang] aktiviti-aktiviti KEDAYAN [se]patutnya dimaklumkan pada pamimpin tampatan macam kami ani”. Bagaimanapun nasihat 'percuma' ini tidak kami endahkan. Biasanya kita disogok dengan buah-buahan tempatan, rupanya ada pula pemimpin tempatan.

Kumpulan kami menggerakkan KEDAYAN dengan semangat yang kental (Mungkin kecuali sayalah. Jika ingin mengetahui bagaimana saya mula-mula terlibat dengan persatuan kedayan, anda boleh mengimbasnya di sini). Di dalam kumpulan kami pada masa itu, saya merupakan anggota termuda dengan usia 24 tahun apabila kami bermula. Selain Sdr. Amde, beberapa ahli kumpulan yang masih lekat difikiran termasuklah Sdr. Abdul Rahman Ahmad, Jum Abas, Tahir Muhsin, Mahmud Osman, Jaidin Tamin, Azainey Lamit dan Yusof Osman. Yang belum kena sebut jangan marah, nanti boleh ditambah.

Setiap hujung minggu kami akan memandu ke daerah di mana orang kedayan berada dan menyebarkan maklumat mengenai persatuan kepada mereka. Kereta Sdr. Abdul Rahman atau Amde jadi mangsa tetap. Perbelanjaan tanggung sendiri, hampir saban minggu, berbulan-bulan dan bertahun-tahun demi untuk menghidupkan persatuan.

Rata-rata kami ketika itu percaya bahawa KEDAYAN diperlukan serta akan memberi manafaat kepada masyarakat kedayan. Masalahnya penggerak awal yakni kumpulan kami bukan dari kalangan orang politik dan juga bukan dari golongan parti. Oleh kerana bukan orang parti, maka kami tidak dikira layak untuk memimpin persatuan. Oleh kerana bukan orang parti dan lebih lebih lagi bukan orang pememerintah maka dikira kami tidak harus memegang persatuan. Perkara ini semakin jelas dan aktiviti masuk kampung ini memang mengundang curiga pihak tertentu.

Kami sedar bahawa jentera parti di Sipitang telah digerakkan dengan senyap-senyap untuk mengambilalih kepimpinan KEDAYAN pada Mesyuarat Agong Pertama pada tahun 1999 tetapi nampaknya belum berjaya. (Sebelum 1999 itu kami adalah AJK protem. Terdahulu dari itu pula, kami menganggotai persatuan kedayan yang lama, SEDAYA yang telah dibatalkan pendaftarannya). Oleh itu keseimbangan kuasa dalaman persatuan masih berjaya dikekalkan. Namun usaha ini sudah cukup untuk menyesakkan fikiran. Beberapa orang ahli jawatankuasa baru tajaan parti dapat dilihat sentiasa mencari jalan untuk mendatangkan masalah dalam apa-apa jua urusan persatuan .

Di kalangan pasukan kami suatu perkembangan lain sedang timbul tetapi beritanya kami bendung dari keluar. Selepas satu dekad dan sebenarnya selepas Mesyuarat Agong Pertama, Presiden KEDAYAN Sdr. Amde menyuarakan keputusan melepaskan jawatan kerana sebab-sebab yang tertentu. Tidak syak lagi ini merupakan tamparan bagi kami. Rakan-rakan teras KEDAYAN tidak rela usaha keras bertahun-tahun hilang begitu saja, lalu mula mendesak saya untuk bertanding jawatan presiden bagi mempertahankan kesinambungan usaha yang telah berjalan sekian lama.

Tetapi berbanding dengan sebelumnya, pada Mesyuarat Agong Kedua (2001) di Dewan Serbaguna Sipitang, jentera parti digerakkan dengan lebih tersusun. Ia jelas bukan tandingan kami. Peraih-peraih undi mundar mandir secara terang-terangan. Pamplet kempen kelihatan bertaburan sejak malam sebelum hari pemilihan, malah wang undi berkemungkinan turut berperanan. Terus terang, suasananya lebih kelihatan sebagai perhimpunan bahagian parti, yang biasa. Bezanya jika dibandingkan dengan perhimpunan tahunan parti ialah ketika itu kerana hanya orang kedayan yang datang. Dengan kerja keras parti, keputusannya tidak susah diramal. Bayangkan jentera parti yang tersusun melawan sekumpulan peneraju KEDAYAN yang bendul, tidak mempunyai pengaruh politik dan berfikiran hanya untuk memajukan persatuan dengan tulang empat kerat yang tidak seberapa, ini umpama naga hendak bertempur dengan ular lidi.

Ya, saya kalah teruk dengan mendapat hanya 36 undi.

Kalah atau menang adat bertanding. Tetapi itu bukan pertandingan yang adil. Pun saya terima dan tidak pernah mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai KEDAYAN sehinggalah menulis artikel ini selepas lebih kurang sembilan tahun berlalu. Saya telah menerima kekalahan berkenaan dengan baik. Tambah-tambah lagi pertandingan itu merupakan usaha berpasukan dan bukan kekalahan saya seorang. Ibarat anda mempelawa, orang tak hendak, jadi tidak mengapa. Lalu sampai di sana saja usaha dan cerita saya di dalam KEDAYAN. I therefore, gracefully admitted that I lose the battle.



Tersengih... Presiden KEDAYAN (berbaju Hitam)
bersama YB kedayan dan kulintangan sadaman.


Peristiwa itu adalah pertempuran besar saya yang pertama di dalam KEDAYAN, dan tewas. Pucuk pimpinan KEDAYAN yang sekarang ini merupakan pemenang pertempuran itu. TETAPI setelah sembilan tahun berikutnya, saya tidak merasa sangsi sedikit pun untuk mengeluarkan pendapat bahawa mereka, yang begitu gagah sembilan tahun lepas, telah kalah dalam seluruh peperangan - they won the battle, but lose the war!

Kalau tidak silap pada hari itu, seluruh jentera asal persatuan termasuk saya disingkirkan oleh "dream team" tajaan parti. "Dream team" ini bergabung dengan semua ahli jawatankuasa baru yang dibawa masuk pada Mesyuarat Agong Pertama, juga adalah tajaan parti. Kulintangan sadaman yang berkumandang memainkan irama untuk sang pemenang menjadi saksi kepada kenyataan ini, tidak mungkin saya tersilap kata. Menjelang tengahari setelah selesai pemilihan, ada pula perwakilan KEDAYAN yang tersilap menuntut wang tambang dan sagu hati dari saya. Nasib Mr. Bean, sudah kalah kena tuntut pula.

Tetapi cerita KEDAYAN belum habis di situ. Sila baca perenggan ini semula

"persatuan ini harus dipegang, atau dilekatkan, atau diselaraskan dengan pemimpin dan parti politik yang merujuk kepada wakil rakyat dan parti pemerintah"



Timbalan Presiden
KEDAYAN (2001 - ?)


Jadi tiada yang paling layak selain dari kumpulan yang mengambil alih tampuk kepimpinan KEDAYAN dari pasukan kami pada tahun 2001. Mereka hebat-hebat belaka selain adalah orang yang memegang teraju politik, lekat dangan parti politik dan selaras dengan pemimpin dan parti politik (pemimpin tempatan) berbanding kami yang "tiada apa-apa selain air liur"; meminjam kata-kata seorang AJK Bahagian Parti merangkap AJK KEDAYAN yang selalu menimbulkan masalah.

Setelah KEDAYAN dipegang, dilekatkan, diselaraskan dengan pemimpin dan parti politik pemerintah, sewajarnya ia lebih maju dan lebih baik dari apa yang telah kami lakukan. Jika tidak, perkara ini adalah sesuatu yang memalukan.

Jadi pertanyaan saya ialah kenapa bila sudah cukup tanpa kurang satu apa pun daripada yang diinginkan, KEDAYAN tidak juga maju maju?

Bagi diri saya sendiri, KEDAYAN merupakan satu daripada pengalaman yang mematangkan. Akan tetapi cukuplah sekali. Tiada kali yang kedua, saya sangat pasti mengenai hal ini DAN

Saya tidak ada apa-apa kaitan dengan KEDAYAN.


7 comments:

  1. Ini menyokong 100% pandangan penulis dan juga Suadara Arimi dan rakan-rakan yang telah bersusuah payah untuk memertabkan persatuan ini, tetapi disebabkan segelintir pemimpin yang beria utk meneraju tampuk, akhirnya jatuh terkulai. Walaubagaimana pun, Saudara Arimi tetap kena teruskan perjuangan untuk menghidupkan kembali persatuan kedayan, dari terus dipimpin oleh orang2 yang lemah ini.

    ReplyDelete
  2. gaman!

    bahautah ku tahu yang ADUN sindumin YB Ahmad Hj Bujang pernah juga jadi timbalan presiden kedayan

    ReplyDelete
  3. Ini bukti kepimpinan tamaha. Baik-baik persatuan berjalan, disambar berabis-rabis....

    Sudah dipigang inda ada jua baik jadinya. Gila kuasa!!!

    ReplyDelete
  4. Busuk jua hati usulnya, panya ani kaja bsia atu yah. kes rogol tah ni... orang2 umno sipitang yang memperkosa persatuan kedayan sipitang.

    ReplyDelete
  5. Terima kasih kepada semua pembaca yang sudi meninggalkan komen, terpulanglah pada pendapat masing-masing untuk mentafsirkannya.

    Saya cuma ingin menyambung sedikit mengenai AJK baru yang masuk pada AGM 1999- Mesyuarat Agung Pertama KEDAYAN. Bukan semuanya suka cari masalah, ada juga di antara mereka yang bersikap neutral dan boleh bekerjasama; sekurang-kurangnya itu yang saya percaya. Tetapi yang lain tu, terus teranglah memang bermasalah.

    Saya boleh membuka pekung mereka satu persatu kalau mahu, tapi setakat ini cukuplah dengan apa yang telah dipaparkan.

    Sdr. Mahmud Osman, Yusuf Osman & Rahman Ahmad meninggalkan pasukan kami selepas 1997 kerana sebab-sebab tertentu~tetapi pengelibatan mereka tetap dikenang

    ReplyDelete
  6. "Bagi diri saya sendiri, KEDAYAN merupakan satu daripada pengalaman yang mematangkan. Akan tetapi cukuplah sekali. Tiada kali yang kedua, saya sangat pasti mengenai hal ini ..."

    Nampak mcm sudah patahh hati dgn perjuangan. Pemimpin yg sejati mestilah meneruskan langkah, mana bulih beranti ditangah jalan///

    ReplyDelete
  7. Anon (yg berada di atas posting ini) Patah hati? Bukanlah. Bila semakin meningkat, senarai keutamaan (priority) bertambah. Persatuan Kedayan tiada dalam senarai keutamaan saya.

    Lagipun saya memang bukan seorang pemimpin sejati. Lagipun apa yang saya pimpin? Tiada pun. Saya hanyalah seorang biasa yg suka mencatat pengalaman saya supaya jadi ingatan dan bacaan di masa hadapan.

    ReplyDelete