LHDN Buka Kaunter Permohonan BR1M 2.0 Mulai 1 Nov - 31 Dis 2012

Thursday, November 8, 2012
Author kaawai Category , , , , , , , , ,



MIRI: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mulai membuka kaunter-kaunternya hari ini untuk permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 bagi tahun 2013.

Pengarah Cawangan LHDN Miri, Toh Yong Lai, memberitahu orang ramai tidak perlu berebut-rebut untuk datang ke pejabat berkenaan pada hari ini kerana kaunter permohonan tersebut akan dibuka selama dua bulan.


“Kaunter permohonan mulai dibuka pada 1 November ini dan akan berlangsung sepanjang dua bulan sehingga 31 Disember (hari Isnin), akhir tahun ini. Jadi, orang ramai tidak perlu berebut-rebut atau menyerbu kaunter beramai-ramai mulai esok (hari ini),” katanya.

Toh memberitahu kaunter-kaun-ter akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang, sepanjang waktu pejabat.

Sehubungan itu, katanya, mereka yang belum membuat permohonan atau tidak sempat berbuat demikian pada tahun lepas dan mereka yang gagal dalam permohonan pada tahun lepas, boleh mengemukakan permohonan semula kali ini.

“Bagaimanapun, kelulusan bukan di tangan pihak kami, ia adalah bidang kuasa pihak kementerian (Kewangan). LHDN hanya memproses borang-borang permohonan sahaja,” tambahnya.

Bagi mereka yang mengemas kini maklumat atau mahu memaklumkan sebarang perubahan seperti pertukaran nombor telefon, alamat, status ataupun sebagainya, mereka juga digalak untuk datang ke kaunter permohonan.

Mengenai jumlah pemohon kali ini, Toh mengakui, jumlahnya dijangka bertambah kerana BR1M 2.0 turut melibatkan golongan bujang atau yang masih belum berkahwin dengan pendapatan di bawah RM2,000.

Ditanya kemungkinan berlaku penipuan dalam permohonan, Toh berkata setiap pemohon akan dimaklumkan dalam borang mereka bahawa mereka boleh dikenakan hukuman penjara jika didapati menipu.

Selain itu juga, katanya, LHDN dan beberapa agensi berkaitan mempunyai sistem mereka sendiri untuk memproses maklumat pemohon dan menentukan sama ada maklumat mereka benar ataupun palsu.

Bercakap kepada pemberita di sini semalam, Toh memberitahu LHDN Miri akan memproses semua permohonan dari bahagian Miri yang me-rangkumi Marudi, Bekenu dan Batu Niah serta Lawas dan Limbang.

Hadir sama ialah Pegawai Perhubungan Awam LHDN Miri, Md Safiee Mohd Salleh.

Terdahulu mereka berdua menghadiri kempen derma darah anjuran jabatan tersebut di bangunan pejabatnya di sini.

Penyelaras kempen derma darah LHDN Miri, Nor Hafizah Awng Seruji memberitahu kempen tersebut merupakan aktiviti tahunan agensi tersebut dan ia dibuka kepada kakitangan LHDN dan agensi kerajaan yang lain serta orang awam.

“Kami menyasarkan 50 pain darah, tetapi nampaknya ia melebihi sasaran memandangkan sambutan setakat ini sudah menerima pendaftaran daripada seramai 132 orang penderma darah tetap,” katanya.

LHDN Miri berharap melalui aktiviti seumpama itu, ia akan mengeratkan lagi hubungan di antara LHDN dengan agensi kerajaan serta swasta yang lain serta orang awam.- UB


Sumbere: Suapan Kadayan Universe Reborn 2012

0 comments:

Post a Comment