Friday, June 20, 2008

Gubang - Perahu tradisi Kedayan

Written by kalajiau ingaa

Gubang tidak syak lagi merupakan perahu hasil kreaviti lampau kami oang daat, kedayan.

gubang perahu orang kedayan

Bakal gubang merupakan struktur yang amat tidak stabil. Orang daat menemui kemahiran tersendiri untuk menstabilkannya melalui proses pembakaran.

AKU OANG DAAT - PART 13

Gubang tidak syak lagi merupakan perahu hasil kreaviti lampau kami oang daat, kedayan.

Gubang berbeza dari tamuai atau buis - perahu oang laut, oang Buunai.

Perahu-perahu yang sedemikian kami panggil Paahu Buunai, walaupun pembuatnya bukan semesti orang Berunai. Ini kerana di Borneo kemahiran sedemikian juga dimiliki oleh orang-orang ‘Sama’ (Bajau), Suluk, Banjar dan tentunya orang-orang Bugis Samarinda. Secara amnya perahu mereka lebih kukuh, besar dan mampu mengharung ombak lautan yang lebih mencabar.

Gubang pula merupakan alat pengangkutan di sungai dan muara sungai dengan diluncur menggunakan pengayuh.

Sebuah gubang dihasilkan dari sebatang kayu balak yang ditebuk.

bakal gubang

Kayu sesuai adalah dari jenis seraya, yang timbul di permukaan air. Ia ditebuk dengan baji, kapak, maang panyimpaa dan baliung sebagai peralatan utama. Kayu yang garis pusatnya sehingga 0.8 meter sesuai untuk dijadikan gubang. Lubang dikorek di bahagian dalam dan kemudiannya membentuk ruang dalaman gubang.

Kerja-kerja menebuk memerlukan kesabaran dan ketelitian. Tebukan demi tebukan harus dibuat dengan berhati-hati agar lubang yang dibentuk sesuai dengan bentuk gubang yang diinginkan. Perkembangan ketara hanya boleh mungkin selepas berberapa hari atau mungkin beberapa minggu, terutamanya jika kerja-kerja menebuk dilakukan seorang diri.

Bakal gubang yang telah disimpaa dan dibaliung merupakan struktur asas yang dipanggil sebagai ‘bakal’1 gubang. Pada peringkat ini struktur berkenaan masih belum sesuai diapungkan di permukaan air, apa lagi untuk dinaiki.

Sememangnya, gubang bukan 'catamaran' orang-orang Polynesia, walaupun persamaaan keduanya amat dekat di antara satu dengan lain. Ini kerana kedua-duanya merupakan perahu kayu balak yang ditebuk. Tetapi jika dihalusi secara perbandingan, catamaran adalah gubang yang diubahsuai, sementara gubang pula merupakan catamaran tunggal yang dipertingkatkan.

catamaran

Gubang Polynesia siap setakat peringkat 'bakal' saja. Untuk menstabilkannya, mereka membina 2 sampii di kiri kanan, atau menggunakannya secara berkembar di kiri dan kanan. Hasilnya gubang kecil ini menjadi amat stabil dan mudah dikendalikan di laut.

Seperti yang dikatakan tadi, bakal gubang merupakan struktur yang amat tidak stabil. Ia lingga dan perlu dilebarkan untuk menstabilkannya. Di sinilah orang daat Borneo menemui kemahiran tersendiri, kami menstabilkan gubang melalui proses pembakaran.

bakar bakal gubang

Dengan membakarnya, bakal gubang akan mengembang dan takat garispusat gubang bertambah lebar dan lampai. Jadinya gubang boleh terapung dan meredah arus sungai, ceruk dan lubuk yang penuh aba dengan baik sekali.

Semasa pembakaran, untuk menjamin kedua belah dinding gubang mengembang (mencapai lebar yang dikehendaki) batang-batang kayu kecil akan disangga secara melintang dengan banyaknya di sepanjang badan gubang.

Secara umumnya kayu-kayu berkenaan adalah lebih panjang dari lebar gubang bagi membolehkannya bertindak sebagai spring penganjal. Dengan menyangga secara melintang, kayu-kayu kecil ini terbentur dan melentur secara semulajadi. Ia menolak dinding gubang dan menjadi lebar, selebar yang dikehendaki.

Sangga-sangga ini ditambah dan dikurangkan mengikut kehendak lebar gubang disepanjang tempoh pembakaran.

Selepas selesai dibakar, permukaan gubang yang hampir siap ini akan diperhalusi dengan menggunakan ketam kayu.

Siap diketam, banyak lubang akan ditebuk di badan kapal. Lubang-lubang ini kemudian ditutup menggunakan pasak. Gunanya untuk mengukuhkan struktur, menyekat retak dari merebak, mengurangkan retak badan gubang, juga senang untuk mengeluarkan air dari gubang pada masa-masa tertentu.

Proses akhir bagi gubang yang tidak bercat ialah dengan menampal tali jut (guni) pada semua retak dan lubang yang ada di badan kapal, serta menyapunya dengan lapisan damar bercampur minyak yang menjadi perekat kalis air yang kuat dan tahan lama, dipanggil ‘gala-gala’.

Gubang yang telah siap ini boleh bertahan sehingga 5 tahun bergantung kepada penjagaan dan penggunaannya.

Nota Kaki:

1Bakal merupakan prefix bagi merujuk kepada banyak jenis hasil pekerjaan separa siap oang daat. Ini meliputi bakal gubang, bakal hulu maang, bakal saong maang, bakal gambus - tetapi tidak pula disebut bakal rumah.


Comments


sepupu jin - gubang |2008-06-19 13:37:04
Walaupun pembuatannya cukup seni, tetapi gubang tidak praktikal pada zaman ini kalau berdasarkan kaedah pembuatannya seperti yang diceritakan. Bayangkan, sebatang balak boleh dijadikan sebatang gubang, cuba kalau dijadikan papan dan dijadikan perahu yang biasa, kan lebih besar saiz perahu yang dapat dihasilkan?

Kedayan Indon - gubang |2008-08-20 21:25:16
Auk ada jua banaa nya komen liau atu, nganya dalam hal ani aku pikie bukan masaalah praktikalnya yang cuba di utarakan oleh penulis ani....soal caita mulanya(sajarah owang kadayan) ni liau..ada jua papatah owang kadayan tu jamu, " amun inda ada yang dahulu payah jua kan ada yang kaangani"....!!!!

zmk7259 |2008-06-19 21:07:45
lawa perahu tu liau,aku x sempat merasainya,mun sampat jua ku lihat diWeston dulu,skg ani byk perahu asli telah diupgradekan,maklumla,org kita ani,kreatif...,tp mcm pernah ku lihat lukisan itu,tp dmana ya?

kedayan indon - gubang |2008-08-20 21:07:35
Auk banaa, amun kaangani payah sudah kan manhunjaa gubang yang oiejinal macam atu,kakal ku ingat jau tu mulanya maasaie ku malihat aimulah liau ku mbuat gubang damiatu atu, sabahaa batunu baindah tu banaa, amun kaangani mabali nganya bah dangan paahu asbestus atu..bah atu tah nganya dahulu aie lain kita bajumpa lagi...

No comments:

Post a Comment