Thursday, August 7, 2008

Nyamuk dan Bangking

Written by Kalajiau Ingaa

"Selamat dari sesungut nyamuk masuk ke mulut bangking”

Rasanya pada zaman itu penggunaan kulambu adalah meluas di mana-mana jua, tidak terhad kepada dunia kami semata-mata.

Lebih-lebih lagilah di dunia kami yang hanya sedikit berbeza dari rimba raya. Selain dari penuh dengan oksigen, ia juga penuh dengan serangga terutamanya nyamuk.

AKU OANG DAAT - PART 18

Kelambu Kulambu Bangking part 2

Kecuali semburan DDT yang mula diperkenalkan oleh kerajaan melalui Jabatan Kesihatan pada tahun-tahun 1970an, kawalan nyamuk aedes dan demam denggi, aktiviti menyaman orang ramai kerana didapati 'menternak' nyamuk dan sebagainya, merupakan sesuatu keanehan yang tidak kami fahami.

Jadi kulambu merupakan jalan singkat mengelak dari nyamuk, walaupun di bawah setiap rumah oang daat terdapat palacahan (takungan perlimbahan) yang merupakan sumber utama pembiakan jentik-jentik.

Malangnya, ibarat keadaan ini ibarat ”selamat dari sesungut nyamuk masuk ke mulut bangking".

Bangking (pijat tempat tidur) merupakan sejenis pijat yang berwarna merah dan kerjanya juga menghisap darah manusia. Ia sebesar atau kecil sedikit dari biji padi, tetapi bentuknya nipis kecuali apabila kenyang. Bentuk tubuhnya yang nipis ini membolehkannya menyelinap dan bertelur dengan senang di celah-celah jahitan dan bucu bantal, tikar dan kulambu. Badannya lebih besar berbanding dengan nyamuk dan gigitannya mengakibatkan bekas merah yang disedari pada waktu pagi.

Masalahnya kulambu jarang dicuci, pantang pula disasah (sesah, cuci, godam) di sungai. Konon ia mengundang buaya untuk bertandang, siapalah yang berani!

Jadi penyembur serangga digunakan sekali sekala untuk disemburkan pada kulambu untuk menghindar gangguan bangking durjana. Pam ini merupakan penyembur tangan manual tanpa gas. Ia merupakan campuran pesticide (indungan) yang dicampur sendiri dengan kerosen.


Pada masa itu macau aangit (racun nyamuk) bukannya tiada, ada. Warnanya tetap sama hijau dan dijual di dalam kotak dan lingkaran 8 jam yang hampir sama seperti sekarang. Made in China juga, tetapi bentuknya bulat, besar sedikit dari mee basah kuning yang anda biasa lihat (makan) sekarang ini.

Okey, untuk deskripsi yang lebih mudah, bayangkan saja ia seperti lingkaran mi besar dan berwarna hijau. Ia dipanggil macau kerana baunya yang seperti setanggi cina dan ia kurang digemari kerana baunya.

Tapi aah, biarlah. Bangkingkah, busukkah; kulambu tetap mengundang nostalgia sendiri kepada kami oang daat.

No comments:

Post a Comment