Friday, October 24, 2008

Expedisi Daly ke Sungai Padas 2, 1883

Written by KaaWai ^TaNaH^

Naluyan kampong Murut, Daly sebenarnya ke mana?

(Terjemahan oleh Arimi Sidek)

Daly meneruskan penjelajahannya ke bahagian sungai Padas, sungai kedua terpanjang di negeri Sabah dan bersambung dengan sungai Mengalong iaitu kawasan orang-orang kadayan.

“Kami sekarang menuju ke lembah, dan di aras 2310 kaki telah tiba ke kawasan tebing yang dipanggil Sumpongho (Jimpangah?), di sana terdapat dua teduhan atau rumah tumpangan untuk para musafir....”

Catatan Daly menjadi semakin menarik!

“Sebelah tengahari kami hilir lagi ke kawasan lembah subur dan indah di sungai Pegalan, cabang terbesar sungai Padas. Sungai Pegalan ini mudik menghala banjaran gunung Kinabalu. Kami telah melintasi kawasan lalang yang luas, i.e tumbuhan rumput yang tumbuh selepas hilang kesuburan kerana ditanami padi berulang kali; namun tanah tanih [di kawasan berkenaan] nampaknya lembab dan paling produktif; nampaknya hanya direhatkan. Naloyan; berhampiran dengan sungai Pagalan, pada altitud 610 kaki, merupakan kampung pertama kami jejaki, dan ketua Murut Zalimbuh menyediakan rumahnya yang besar untuk kami. Ini merupakan kediaman yang besar, 50 kaki persegi, sangat besih, tiada babi [dipelihara] dibawahnya, walaupun banyak babi-babi di kawasan kejiranan.”

Aneh, ataupun pengetahuan am saya agak ketinggalan. Satu-satunya Naloyan [Naluyan] yang saya ketahui sehingga kini adalah sebuah kampung orang-orang Kadayan yang beragama islam sebelum sampai ke pekan kecil Mesapol di daerah Sipitang.

Tidak syak lagi Zalimboh merupakan orang Murut, mungkin dari suku Tinangol atau Tagol.

Ini kerana di rumahnya "ada lima puluh dua kepala manusia dan serpihan tulang temulang manusia bergantungan di atas tiang tiang atap; beberapa daripada kulit muka [tengkorak] berkenaan telah diawet dengan begitu baik dengan proses pengecutan sehingga raut expresi mereka masih boleh dikenal pasti.”

Daly sebenarnya pergi ke mana ni?

Sumber:

Explorations in British North Borneo, 1883-87. D. D. Daly. Proceedings of the Royal Geographical Society and Monthly Record of Geography, New Monthly Series, Vol. 10, No. 1. (Jan., 1888), pp. 1-24


Comments

A.S. Kasah - Naluyan kampung Murut? |2008-10-23 13:18:11
Berdasarkan kepada keterangan di atas, pada hemat saya berada di Tenom atau Keningau dan bukannya di Daerah Sipitang. Perkampungan Naloyan (Naluyan) yang dimaksudkan ialah sebuah perkampungan di Tenom dimana sebatang sungai yang bergelar Sg Naluyan masih ada hingga sekarang.

Jika anda memandu dari Keningau ke Tenom, anda akan bertemu dengan sebatang sungai yang di gelar Sg Naluyan. Ini jelas dimana pihak berkuasa telah mendirikan papan tanda menunjukkan nama sungai berkenaan.

Jadinya Naloyan yang dimaksudkan oleh Daly itu pada hemat saya adalah sebuah perkampungan di Daerah Tenom bukannya Kg Naluyan di Mesapol (kampung penulis komen).

Pangait |2008-10-23 22:00:23
Teruskan pengembaraan ini... moyang saya dari Jempangah

No comments:

Post a Comment