Written by kalajiau ingaa | |
Tuesday, 28 October 2008 | |
Ahh, kalau suasana nyaman begini biarlah hujan sepanjang hari! Sekarang ini tidak syak lagi merupakan musim hujan. Di kawasan perumahan tempat saya berkampung tinggal, sepanjang hari ini hujan memanjang. Itu belum dikira hari kelmarin. Atau hari- hari yang sebelumnya. Dah berhari-hari sukar hendak melihat sinar matahari siang.
Cuaca mendung sentiasa. Persekitaran menjadi basah, lembab, lecah dan tanah tanih menjadi becak. Suhu sekeliling pula menurun dan udara menjadi sejuk segar. Dalam cuaca begini tidur menjadi semakin nyaman. Selimut menjadi terlalu berat dikuak untuk bangkit mengerjakan solat Subuh.
Krriiiiiinnnggggg!!!.... "Bangun bang, solat"; sang isteri mengingatkan. "Aarghh, sekejap lagilah" Iyalah, sekejap. Sedar-sedar sudah pun pukul 8.30 pagi. Nasib baiklah hari ini merupakan hari cuti umum [Hari Deepavali]. Jika tidak, sudahnya gerenti terpaksa bohong sunat meminta MC, dek kerana 'terponteng' ke pejabat. Dari dahulu sampai sekarang musim hujan adalah sinonim dengan udara yang segar, sejuk dan nyaman. Dahlah bangun lewat, masih juga kubut-kubut [ke sana ke mari] berkain pelekat sahaja dengan penuh senggang hingga ke petang. Seterusnya, makan, makan dan makan. Selera bertambah menjadi besar berganda-ganda di musim hujan. Melangkaui lewat pagi pukul 11 dan kemudian mengundang awal petang pukul 3, tetap juga berkain pelekat. Lagi pula hendak ke mana lagi dalam becak begini. Jadi kain pelekat menjadi pakaian rasmi sambil bersila di ruang tamu dengan sebatang rokok yang berasap di tangan. Hendak menyedapkan cerita, ada pula secawan kopi panas. Asap nipis yang berkepul-kepul seiring dengan aroma kopi arabica yang cukup asli. Belum cukup lagi; tidak lama kemudian sang isteri berlenggang membawa sepiring penuh ubi kayu rebus lengkap dengan segenggam gula digaul dengan kelapa parut. Aah, kalau begini biarlah hujan terus sepanjang hari... Tetapi di dunia oang daat, sebenarnya hujan juga merupakan masalah kepada mereka. Seingat saya musim hujan mengganggu rutin dan memperlahankan aktiviti penduduk kampung. Hujan yang berterusan sehingga dua tiga hari cukup menyakitkan. Ini adalah suatu masalah besar. Sukar mencari kayu api; dahan kayu semuanya basah. Jangan berangan hendak menjemur padi, silap-silap nanti buah padi yang bercambah menjadi semaian. Yang kerjanya ke laut pula, ini merupakan musim cuti yang panjang. Senang saja nak tahu keadaan cuaca.
Jengah ke laman, ayam pun telah tidak lagi menghiraukan titis-titis hujan yang turun – mereka mencari makan di tengah hujan! |
Wednesday, October 29, 2008
Musim Hujan 1: Hujan, Lembab dan Sejuk
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment