Sunday, July 9, 2006

Kadayan dan Orang Bunian 10

Written by WaJiD Manis

Mengenali Oang Kabanaan

Topik kali ini membincangkan mengenai sifat – sifat yang ada pada Oang Kabanaan supaya kita boleh mengenali mereka. Manalah tahu pada suatu masa, suatu ketika dan suatu tempat, kita ‘berkesempatan’ berjumpa dengan mereka. Ini kerana sesetengah orang Kadayan percaya bahawa kebanyakan, jika tidak pun semua dari kita, sama ada sedar atau tidak sebenarnya tidak dapat mengelak dari berhubungan dengan oang kabanaan di sepanjang hidup kita.

Mengikut mereka kita mungkin telah bertembung, bercerita malah mungkin berkomunikasi dan bersahabat dengan mereka di masa lalu. Manakala itu, sebahagian dari kita yang belum berjumpa pula, mungkin akan mengalaminya di masa hadapan. Masalahnya kebanyakan dari kita tidak menyedari yang kita sebenarnya telah bertemu dengan mereka. Sebaliknya kita di dalam pertemuan dengan mereka sebagai pertemuan biasa, mungkin menganggap kita bertemu dengan manusia – manusia lain; sedangkan kita pada masa itu kita bertemu dengan Oang Kabanaan.

Zaman mungkin berubah, tetapi manusia yang menjadi penghuni dunia tetap manusia baik di zaman apa sekalipun. Logiknya, keadaan yang sama juga berlaku kepada komuniti Oang Kabanaan. Malah kerana mereka tinggal di alam parallel, komuniti mereka mungkin wujud di tengah kota raya seperti di Kota Kinabalu, Kuala Lumpur malah di New York dan Washington DC sekalipun.

Terus terang dinyatakan bahawa bahagian ini sukar dihuraikan kerana ia bergantung kepada beberapa faktor. Pertama proses mengenali sesuatu adalah bersangkutan dengan fakta – fakta yang tersedia berdasarkan pengalaman – pengalaman masa lalu. Fakta – fakta ini dikumpulkan dan menjadi panduan untuk kegunaan masyarakat di masa hadapan. Bagi kebanyakan displin ilmu seperti matematik, teknologi maklumat dan perubatan moden ia tidak akan mendatangkan masalah kerana perkembangan ilmu yang cepat dan terdapat input yang berterusan bagi menyokong perkembangan yang berterusan. Tetapi sumber fakta itulah yang menjadi masalah utama di dalam menerangkan rahsia – rahsia alam yang tersembunyi seperti perkara Oang Kabanaan ini. Kalaupun fakta boleh didapati, siapa pula yang boleh mengesahkan kesahihan data berkenaan?

Kedua, data – data yang kita kumpulkan adalah berasaskan dakwaan terbanyak [popular] mengikut persepsi orang yang pernah merasai pengalaman mistik berkaitan dengan Oang Kabanaan. Perlu diingat bahawa dakwaan – dakwaan yang dipersembahkan di dalam penulisan ini tidak dapat disahihkan kebenarannya. Lebih dari itu ia mungkin menimbulkan salah faham. Mana tahu, ada di antara pembaca yang salah faham melebelkan orang biasa sebagai Oang Kabanaan semata – mata kerana terdapat ciri – ciri tertentu yang sepatutnya ada pada Oang Kabanaan, ada pada orang itu.

Ketiga, penilaian untuk mengenali Oang Kabanaan tidak boleh dibuat berdasarkan satu – satu ciri tertentu sahaja. Adalah lebih baik jika seseorang yang menemui beberapa keganjilan yang dinyatakan di dalam perbincangan kita berbanding dengan hanya melihat kepada satu tanda pengenalan semata – mata dan terus membuat kesimpulan yang anda telah bertemu dengan Oang Kabanaan.

Mengikut mereka yang mempercayai kewujudan Oang Kabanaan, Oang Kabanaan sebenarnya ada di mana – mana dan menjalani kehidupan di sekeliling kita hatta di zaman moden ini. Oleh itu dari semasa ke semasa boleh mengenali mereka dengan beberapa tanda yang nyata seperti berikut:

---------------------------------------------------------------------------------------------------
Oang Kabanaan ada di sekeliling kita.

Jika kita cukup peka memerhatikan orang - orang yang kita jumpai setiap hari, kita mungkin boleh mengenali mereka berdasarkan beberapa keganjilan - keganjilan yang terdapat pada mereka semasa berada di dunia kita.

Antaranya termasuklah jika orang yang kita jumpai itu:

Tiada lekuk di antara bibir dan hidung

Mempunyai paras yang terlalu cantik atau terlalu hodoh

Saiz fizikal yang terlalu besar atau terlalu kecil

Penggunaan bahasa yang janggal

Pakaian yang ganjil dan ketinggalan zaman

Terlalu mengenali kita pada kali pertama pertemuan

Kejanggalan tingkah

Muncul dan menghilang dengan cepat

Boleh berada di dua tempat dalam masa yang sama

Kehadiran binatang dan bunyi - bunyian yang asing

Kehadiran bau - bauan bunga bungaan

Menarik kejadian alam

Kita terperangkap di dalam menilai masa

Orang yang mendatangkan kesan sampingan kepada kita

Menjadikan kita alpa tanpa disedari
---------------------------------------------------------------------------------------------------

1) Tiada Lekuk Di Antara Bibir Dan Hidung

Kenyataan di atas merupakan ciri yang amat biasa kita dengar dari orang – orang Kadayan apabila kita tanyakan tentang Oang Kabanaan jawapan mereka ialah “Bibie basia tu inda bapait”. Anda boleh menemui mana – mana Orang Kadayan, dan bertanyakan ciri Oang Kabanaan dan dan jawapan utama ialah kenyataan di atas.

2) Paras Yang Terlalu Cantik Atau Terlalu Hodoh

Secara logiknya pengarang tidak tahu bagaimana orang yang bibienya inda bapait boleh dikatakan cantik. Tetapi begitulah mengikut orang – orang yang pandai, Oang Kabanaan sering meletakkan paras mereka di antara dua extreme, dua keadaan yang melampau sebagai iktibar dan tanda pengenalan mereka kepada orang – orang yang peka supaya boleh dikenali. Ya, iktibar untuk anda yang ‘berpeluang’ untuk berjumpa dengan mereka supaya tidak memandang seseorang berdasarkan paras rupa.

3) Saiz Fizikal Yang Terlalu Besar Atau Terlalu Kecil

Ini merupakan satu lagi ciri yang ada pada bentuk fizikal Oang Kabanaan jika anda ingin mengenali mereka. Rasionalnya, walaupun Oang Kabanaan boleh mengabui mata kita dengan merupakan diri mereka sebagai manusia, mereka tidak berupaya ‘meniru’ kira sepenuhnya. Rule of Thumb [kefahaman umum] ialah, benda ‘tiruan’ [Oang Kabanaan] tidak akan mampu menyerupai yang ‘asli’ [manusia].

4) Penggunaan Bahasa Yang Janggal

Kemahiran berbahasa memerlukan seseorang itu menggunakan sesuatu bahasa secara berterusan disepanjang kehidupannya. Kita mungkin mahir dan belajar dan mengkaji secara terperinci mengenai sesuatu bahasa, contohnya bahasa Ibrani, Latin dan Sanskrit. Masalahnya tiada siapa yang mahir berbual menurut tatabahasa seharian di dalam bahasa – bahasa ini. Sebabnya, bahasa ini hanya wujud di dalam kitab – kitab dan buku – buku tua dan terus wujud di dalam penulisan tetapi tanpa sebarang penutur yang asli. Cara bertutur sebenarnya mengikut penutur asli hanya Tuhan yang tahu. Keadaan yang sama berlaku kepada orang – orang asing seperti orang Jepun, Inggeris, China dan India apabila sekali – sekala bertutur di dalam bahasa Kadayan.

Oleh itu tidak hairan jika Oang Kabanaan juga terperangkap di dalam masalah ini apabila berhadapan dengan kita. Mereka mungkin menggunakan tatabahasa yang salah dan perkataan – perkataan yang tidak kena pada tempatnya. Lebih dari itu, kebiasaannya mereka menggunakan istilah lapuk yang tidak kita gunakan lagi seperti perkataan “kula”, “hamba”, “tuan” dan sebagainya.

5) Pakaian

Sepanjang yang didakwa oleh orang yang pernah melihat mereka, Oang Kabanaan tidak suka memakai pakaian yang berwarna – warni dan terlalu bercorak. Mereka agak konservatif di dalam soal pakaian. Warna – warna pakaian yang biasa mereka pakai ialah hitam, putih dan kuning dengan fesyen pakaian yang agak ke belakang berbanding dengan fesyen yang biasa kita lihat. Malah mungkin terlalu ke belakang, dakwa beberapa orang yang pernah melihat mereka. Mereka masih lagi berpakaian seperti pakaian hulubalang dan orang – orang di zaman lampau.

6) Terlalu Mengenali Kita Pada Kali Pertama Pertemuan

Adalah aneh jika pada suatu masa dan tempat tiba – tiba kita bertemu dengan seorang asing yang kita temui untuk pertama kali kelihatan amat mengenali kita. Orang itu mengingati nama kita, ahli – ahli keluarga, sahabat handai kita dan nama – nama penduduk kampung kita malah dia juga kelihatan mengetahui persekitaran tempat tinggal kita dengan baik. Berjaga – jaga, orang ini mungkin Oang Kabanaan.

7) Kejanggalan Tingkah

Kewujudan Orang Kabanaan dapat dikenali di alam kita melalui kejanggalan tingkah mereka di dalam berinteraksi dengan situasi yang melibatkan manusia. Contohnya, mereka mungkin bersikap terlalu tenang semasa berada di dalam situasi yang amat kritikal, ketawa berdekah – dekah semasa berada di dalam kesusahan yang mengancam nyawa serta tidak begitu mempedulikan suhu sekeliling mereka.

Perhatikan situasi ini. Kita mungkin sedang berhadapan dengan mala petaka, musibah dan atau kemalangan, contohnya kemalangan bas. Bas yang anda naiki sedang terhumban ke dalam gaung! Semua penumpang termasuk anda sedang riuh – rendah, hiruk – pikuk menjerit dan mengongoi dalam keadaan panik. Barang- barang penumpang terhumban ke setiap penjuru bas. Anda berusaha membaca segala jampi mentera dan ayat – ayat suci yang dapat diingati, berdoa dengan penuh cemas kerana anda belum lagi bersedia hendak mati. Pada detik itu ekor mata anda sempat menangkap satu wajah. Wajah seorang penumpang yang duduk dengan jarak beberapa kerusi dari kerusi anda. Beliau nyatanya sudah lama memerhatikan anda dan sikapnya terlalu tenang, malah tersenyum dan memberi isyarat tangan kepada anda, jangan risau, relaks….

Penumpang itu mungkin Oang Kabanaan. Mereka mempunyai deria yang lebih peka, di dalam hal ini mungkin mereka tenang kerana mengetahui bas berkenaan tidak akan terhumban ke dalam gaung. Juga, mereka tenang kerana sebagai Oang Kabanaan mereka tidak akan terkesan di dalam kemalangan yang melibatkan kenderaan manusia dengan manusia, mereka adalah orang halus.

8) Muncul Dan Menghilang Dengan Cepat

Oang Kabanaan berupaya muncul dan hilang dengan sekelip mata. Perkara ini sering dialami oleh orang yang mengalami musibah. Contohnya, seorang sedang di dalam perjalanan jauh apabila tiba – tiba kereta yang dipandu rosak ditengah jalan. Pemandu yang malang itu terpaksa keluar, melihat ke sana – sini di bonet hadapan kereta tapi tak tahu pula apa masalahnya kerana tidak pandai membaiki kereta. Di kala sibuk itu lah tiba – tiba pemandu disapa dari belakang, seorang lelaki rupanya. Sedikit berbasa – basi dan turut menjengah ke sana – sini, orang itu seterusnya memberitahu wayar penghubung karburetor telah putus dan menyuruh beliau membaikinya. Pemandu membelek, ya, memang putus lalu beliau pergi ke bonet belakang, mengambil tool box yang diperlukan dan pergi ke hadapan kereta semula. Aikkk, dah hilang mana orang itu telah pergi…

9) Boleh Berada Di Dua Tempat Dalam Masa Yang Sama

Pernah satu kali di dalam era tahun 50an dua orang adik beradik berasal dari Sipitang, masing – masing bekerja mancahai makan di Labuan dan di Negara Brunei Darussalam. Pada zaman itu teknologi kommunikasi masih terlalu jauh ke belakang berbanding dengan zaman sekarang. Suatu malam lebih kurang pukul 10, Si-abang yang berada di Brunei didatangi oleh orang yang tidak dikenali, berpakaian serba putih seolah – olah baru lepas bersolat dari masjid yang berhampiran. Beliau menyampaikan pesan, katanya. Ibumu di kampung sakit kuat dan kamu perlu balik dengan segera. Si-abang terperanjat, ingin bertanya lebih lanjut tapi kata orang itu “saya perlu segera, ada urusan lagi ni”.

Ini adalah perkara hidup dan mati, desis Si-abang. Lalu berangkat balik ke kampung menjenguk ibunya. Sesampainya di kampung ternyata, ibunya sedang nazak. Beliau juga mendapati dapati adiknya telahpun sampai sejak hari sebelumnya. Ibu mereka menghembuskan nafas terakhir pada hari itu juga dan dikebumikan menjelang tengahari esoknya. Petangnya, setelah selesai urusan pengkebumian adiknya menjelaskan bahawa dia didatangi oleh orang yang sama membawa berita mengenai ibu mereka dan tiada seorang pun dikalangan saudara mara termasuk ayah mereka mengetahui orang yang menyampaikan pesan berkenaan.

10) Kehadiran Binatang Dan Bunyi - Bunyian Yang Asing

Kehadiran Oang Kabanaan biasanya diikuti dengan kehadiran serangga dan binatang tertentu seperti rama – rama terutamanya Kulibambang Cindai , hayam hutan dan ular. Sering juga didengari kehadiran bunyi – bunyian seperti gendang, rebana, kecapi, serunai dan lain – lain yang berbunyi merdu. Kita harus berjaga – jaga kerana bunyi – bunyian ini boleh melalaikan.

11) Kehadiran Bau – Bauan Bunga Bungaan

Bau wangi bersumberkan haruman bunga – bungaan asli biasanya memenuhi kawasan sekitar sebelum kedatangan Oang Kabanaan. Adakalanya hanya bau – bauan ini yang dapat dicium oleh manusia dan mereka memilih untuk memberitahu kedatangan mereka dengan menyebarkan bau – bauan sahaja, bukan untuk memperlihatkan diri mereka. Tapi bukan bau wangi semata – mata, malah bau busuk yang aneh juga mungkin mereka gunakan bagi menunjukkan mereka ada di kawasan sekitar.

12 ) Menarik Pengaruh Alam

Kehadiran Oang Kabanaan boleh mengundang beberapa kejadian alam tertentu. Antara kejadian yang sering dikaitkan dengan kehadiran mereka ialah pelangi, hujan dalam, hujan, ribut, kilat dan guntur. Jadi mun ada bangkawat, hujan baai – baai dan anda terjumpa dengan manusia yang tidak anda kenali di hadapan …

13) Perangkap Masa

Perkara ini merupakan fakta yang sering ada, tetapi selalu diketepikan. Pertemuan dengan Oang Kabanaan mengungan perangkap masa. Kejadian pertemuan dan perbualan kita dengan mereka sering kita rasakan begitu sekejap. Mungkin ia hanya kita rasakan belaku di dalam lima enam minit tetapi sebenarnya telah memakan masa sehari suntuk. Atau kita mengira kita mengambil masa sehari bersama – sama mereka, tetapi sebenarnya seminggu telah berlalu tanpa kita sedari.

14) Mendatangkan Kesan Sampingan

Pertemuan dengan Oang Kabanaan boleh mendatangkan kesan sampingan [side effect ] kepada orang yang mengalaminya. Mereka biasanya berada di dalam keadaan terpana, terkejut malah ada yang tidak menyedari keadaan sekeliling beberapa ketika setelah pertemuan berlaku sehingga timbul ungkapan bahawa sudah batah bahau kita takanang kita bajumpa hantu.

15) Menjadi Alpa

Di dalam peringkat yang lebih serius, orang yang mengalami pertemuan berterusan dengan Oang Kabanaan menjadi leka dengan dunianya yang tersendiri kerana dia berada di antara dunia parallel dengan dunia nyata. Mereka ini hanya dapat kembali normal dengan bantuan dari orang sekeliling seperti saudara mara yang merasa gusar dengan keganjilan dan perubahan yang berlaku ke atas diri mereka dan mencari orang – orang yang pandai untuk memulihkan keadaan.

Bersambung ke Siri 11.
--------------------------------

Peringatan: Pendapat pengarang di dalam artikel ini dan mana – mana artikel di laman web ini tidak melambangkan pendirian rasmi kadayanuniverse.com. Oleh itu budibicara para pembaca adalah diperlukan untuk menilai sendiri setiap kandungan artikel yang dipaparkan di dalam laman web ini. Terutama di dalam soal norma – norma sosial, metafizik, fekah, tassauf, kesufian, kebatinan dan seumpamanya, pendirian kadayanuniverse.com bersandar kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut persepsi Mahzab Syafie yang diamalkan di Malaysia. Paparan artikel adalah berdasarkan pandangan peribadi penulis mengenai elemen - elemen yang ada di dalam lingkungan masyarakat Kadayan di tempat – tempat tertentu sahaja dan; mungkin TIADA pada masyarakat Kadayan di tempat lain. Artikel ini dibuat dengan tujuan baik [on good faith] dan kadayanuniverse.com adalah platform untuk para penulis untuk menyalurkan ide mereka secara bebas selari dengan semangat dunia terbuka internet. Kadayanuniverse.com menyiarkannya dengan kepercayaan ia dibuat tanpa tujuan untuk mempersendakan sesiapa atau mengaitkan orang Kadayan dan mana-mana kaum di Malaysia dengan kemunduran dan kebodohan.

No comments:

Post a Comment