Tuesday, July 4, 2006

Kadayan dan Orang Bunian 9

Written by WaJiD Manis

Lagi …, pengalaman bertemu dengan Oang kabanaan

Si – Lai adalah seorang berbangsa Bisaya dari daerah Beaufort, tetapi isteri beliau adalah orang Kadayan dari Sipitang. Beliau bekerja sendiri membawa van penumpang1 di daerah Beaufort, antara Beaufort – Sipitang malah di kawasan Sipitang juga. Ini kerana beliau biasa dengan kampung beliau sendiri dan kampung halaman isteri beliau.

5) Pengalaman Si – Lai

Si – Lai adalah seorang berbangsa Bisaya dari daerah Beaufort, tetapi isteri beliau adalah orang Kadayan dari Sipitang. Beliau bekerja sendiri membawa van penumpang1 di daerah Beaufort, antara Beaufort – Sipitang malah di kawasan Sipitang juga. Ini kerana beliau biasa dengan kampung beliau sendiri dan kampung halaman isteri beliau.

Prinsip hidup Si – Lai adalah mudah. Ketika cerita ini berlaku iaitu di pertengahan tahun 90an, adalah satu kelaziman bila anak – anak beliau berpindah sekolah dua kali setahun. Beberapa bulan anak beliau akan bersekolah di Beaufort. Semasa musim durian, beliau akan memindahkan anaknya untuk bersekolah di Sipitang pula. Di masa – masa beginilah beliau selalu berulang alik di antara Beaufort dan Sipitang untuk menghantar penumpang termasuk penumpang yang menyewa khas [cataa, chartered].

Lebuhraya Beaufort – Sipitang harus melalui satu kawasan berbukit berhampiran sempadan Sempadan Beaufort dan Sipitang dikenali dengan nama bukit Si Nyangau. Kawasan ini tidaklah terlalu jauh dengan penempatan orang Kadayan, tetapi betul – betul di kawasan ini tiada orang tinggal. Di kawasan inilah Si Lai pernah dua tiga kali terserempak dengan ramai manusia – manusia pelik, hendak dikatakan Oang Kabanaan tidak pula Si Lai berani membuat dakwaan sedemikian. Apa yang pasti beberapa kejadian yang beliau pernah lalui dilebuhraya berkenaan bukan sesuatu yang biasa dan beliau pula bukan seorang yang penakut.

Satu peristiwa yang paling menarik ialah apabila pada satu malam, lebih kurang pukul 12 – 1 pagi, Si Lai balik ke Sipitang dari Beaufort kerana menghantar penumpang catar. Sampai di kawasan ini, beliau nampak ramai orang berbondong – bondong di tepi jalan sebelah kiri berjalan di dalam keadaan suram tanpa bersuluh. Beliau memerhatikan orang – orang yang berjalan itu, kesemuanya berpakaian hitam seperti pakaian orang di zaman lampau. Yang peliknya, mereka nampaknya tidak berbual – bual diantara satu sama lain dan tidak mempedulikan kereta beliau. Beliau memperlahankan van, takut orang – orang itu kahabukan kerana pada waktu itu jalanraya berkenaan belum diturap dengan aspal.

Kelihatan kumpulan orang – orang ini berjalan dalam satu barisan yang panjang. Berderet – deret ke satu arah yang sama. Van Si Lai terus maju, mara dan menyusuri sehingga ke hadapan barisan berkenaan. Di barisan paling hadapan, beliau melihat sekumpulan orang sedang mengusung Keranda!

Di kiri kanan perkampungan ini adalah merupakan penempatan orang – orang Kadayan. Satu hal yang Si Lai pasti walaupun beliau seorang Bisaya, beliau amat biasa dengan budaya orang Kadayan. Menurut beliau, sepanjang yang beliau tahu orang Kadayan tidak pernah tergesa – gesa untuk mengebumikan orang meninggal pada tengah malam atau dini hari, apatah lagi tiada kawasan perkuburan di kawasan itu.
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Lirik Lagu AllahYarham Tan Sri P.Ramlee

SERI BUNIAN


Indah nian istana bunian

Puteri bunian manis menawan

Indah nian istana bunian

Puteri bunian manis menawan

Korus

**Berat rasa nak kutinggalkan la sayang

Kerna hati dah tertawan

Bagai bulan jatuh ke tangan

Wahai puteri seri bunian

Bagai bulan jatuh ke tangan

Wahai puteri seri bunian

---------------------------------------------------------------------------------------------------

6) Kisah Si - Jisma

Ini merupakan kisah terbaru pengalaman orang Kadayan berurusan dengan Oang Kabanaan. Ia berlaku lebih kurang bulan Mei, 2006. Si - Jisma berasal dari Sipitang. Manakala suami beliau berasal dari Kuching, Sarawak dan juga seorang Kadayan. Suami beliau dan merupakan seorang kakitangan di sebuah jabatan kerajaan di Labuan. Menurut Si-Jisma dan rakan – rakan yang mengenali, suaminya seorang yang nda pambunyi, nda banyak caita

Mereka menyewa di kampung yang sunyi di kawasan bukit Laju, Labuan. Rumah sewa ini sebenarnya kepunyaan ayah saudara Si - Jisma juga, dan ayah saudara beliau yang bujang dengan lapang hati membenarkan Si - Jisma menyewa di rumah berkenaan. Sekurang – kurangnya ada teman, kata ayah saudara Si – Jisma. Sementelahan pula hanya terdapat empat rumah di kawasan kebun seluas lima belas ekar itu. Lagi, hanya dua rumah yang berpenghuni sebelum Si - Jisma datang menyewa.

Setiap hari hanya Si - Jisma dan tiga orang anak beliau yang masih kecil berada di kawasan itu apabila suami beliau bekerja. Ayah saudara beliau di rumah sebelah juga akan menjalankan perniagaan beliau setiap hari.

Kehidupan beliau di kawasan sunyi itu berjalan seperti biasa, sehingga setelah beberapa waktu Si - Jisma menyedari bahawa persekitaran yang sunyi itu anehnya tidak beliau rasakan sunyi. Sukar untuk dia menggambarkan, tetapi dia cukup pasti bahawa di dalam rumah itu sebenarnya tidak sunyi, seolah – olah ramai orang yang tinggal bersama – sama.

Tapi setakat merasakan sunyi atau ramai di satu – satu tempat bukanlah sesuatu yang aneh bagi sesiapa pun. Ianya adalah sekadar perasaan seseorang, termasuklah Si - Jisma.

Tetapi ternyata itu bukan perasaan yang biasa, ia memang sesuatu yang aneh. Aneh, aneh dan lebih aneh. Pada suatu hari semasa suaminya pergi bekerja tiba – tiba entah dari mana datangnya, muncul seorang ‘wanita’ yang tidak dikenali di rumahnya, datang di dalam keadaan marah – marah. Amat mengejut dan menyesakkan nafas Si - Jisma, ‘wanita’ itu mendakwa dia adalah ‘isteri’ kepada suaminya.

Menurut wanita itu, dia telah berkahwin dengan suami Si - Jisma sebelum terlebih dahulu sebelum Si - Jisma sendiri, malah mempunyai beberapa ‘anak’ yang meningkat remaja. Si - Jisma terpinga – pinga, terkejut, kecewa dan tidak percaya suaminya beristeri lagi. Tidak cukup dengan itu ‘wanita’ berkenaan mendakwa Si - Jisma tidak menjaga suaminya dengan baik. Di dalam keadaan kelam – kabut itu juga, kerana anak – anaknya merengek meminta perhatian Si - Jisma menyedari ‘wanita’ itu tiada lagi di rumahnya. Wanita itu hilang, lenyap secepat munculnya.

Apa lagi, sebaik sahaja suaminya balik Si - Jisma mendesak agar suaminya berterus – terang. Akhirnya rahsia terbongkar. Sang suami mengaku bahawa dia telah berkahwin dengan oang kabanaan dan mempunyai beberapa orang anak sebelum berkahwin dengan Si - Jisma. Malah ‘isteri’nya itu sebenarnya tinggal bersama – sama di rumah berkenaan.

Berita itu paling mengejutkan Si - Jisma dan amat sukar untuk dipercayai. Pertama kerana suami yang dikenalinya tidak pun menunjukkan sebarang tanda – tanda atau keanehan yang patut dicurigai selama ini. Kedua, beristeri lebih dari satu itu satu hal, masalahnya ‘isteri’ suaminya adalah oang kabanaan, bukan manusia!
Tetapi masalah Si - Jisma tidak berhenti di situ.

‘Wanita’ itu menemuinya lebih dari sekali di rumah semasa ketiadaan suaminya. Lebih dari itu dia sering berleter, meleteri Si - Jisma memaksa Si - Jisma mendengar ‘kata – kata’nya tanpa dapat dilihat. Nadanya tetap sama setiap kali, memarahi Si - Jisma kerana tidak menjaga suaminya dengan baik.

Masalahnya kata Si – Jisma, “apa jua yang inda ku jaga laki ku tu, aku pun inda paham”

Tidak tahan dengan keadaan ini, Si - Jisma mengambil keputusan balik ke Sipitang dan mengadu kepada keluarganya mengenai masalah yang dihadapi. Untuk lebih menggemparkan cerita,‘wanita’ itu turut ke kampungnya meneruskan gangguannya. Suaminya juga menyusul kemudian, mungkin untuk menjernihkan keadaan. Pada masa cerita ini di tulis Si – Jisma sedang diubati oleh oang – oang yang pandai di kampung beliau.

Penamatan cerita Si - Jisma belum lagi boleh dipastikan, mudah – mudahan beliau tidak akan diganggu lagi di masa hadapan.

Bersambung ke Siri 10.
--------------------------------

Nota Kaki

1Orang Kadayan menyebut pekerjaan ini sebagai mairit [pirate, pirating]. Secara umumnya merujuk kepada van pengangkut penumpang yang diusahakan tanpa permit yang sah.

--------------------------------

Peringatan: Pendapat pengarang di dalam artikel ini dan mana – mana artikel di laman web ini tidak melambangkan pendirian rasmi kadayanuniverse.com. Oleh itu budibicara para pembaca adalah diperlukan untuk menilai sendiri setiap kandungan artikel yang dipaparkan di dalam laman web ini. Terutama di dalam soal norma – norma sosial, metafizik, fekah, tassauf, kesufian, kebatinan dan seumpamanya, pendirian kadayanuniverse.com bersandar kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut persepsi Mahzab Syafie yang diamalkan di Malaysia. Paparan artikel adalah berdasarkan pandangan peribadi penulis mengenai elemen - elemen yang ada di dalam lingkungan masyarakat Kadayan di tempat – tempat tertentu sahaja dan; mungkin TIADA pada masyarakat Kadayan di tempat lain. Artikel ini dibuat dengan tujuan baik [on good faith] dan kadayanuniverse.com adalah platform untuk para penulis untuk menyalurkan ide mereka secara bebas selari dengan semangat dunia terbuka internet. Kadayanuniverse.com menyiarkannya dengan kepercayaan ia dibuat tanpa tujuan untuk mempersendakan sesiapa atau mengaitkan orang Kadayan dan mana-mana kaum di Malaysia dengan kemunduran dan kebodohan.

No comments:

Post a Comment