Monday, July 17, 2006

Kadayan dan Orang Bunian 11

Written by WaJiD Manis

Melangkah ke Alam Bunian

Berdasarkan perancangan asal, topik Kadayan dan Orang Bunian 10 sepatutnya merupakan siri terakhir di dalam kupasan mengenai Oang kabanaan di kadayanuniverse.com. Namun sejak siri berkenaan disiarkan, beberapa orang kawan dan juga pembaca setia kadayanuniverse.com mencadangkan supaya saya memberi kupasan lanjut mengenai Oang Kabanaan. Mereka mencadangkan supaya siri ini pergi lebih jauh, iaitu menerangkan cara bagaimana kita boleh menerokai alam Oang Kabanaan yang penuh misteri.

Pada mulanya ingin saya mengatakan ungkapan protes kadayan yang tersohor

“kau pulang1

Tapi perkataan berkenaan tidak pula keluar dari mulut saya. ‘Mencari jalan untuk menghubungi Oang Kabanaan atau pergi ke kampung mereka, kerja gila ni, aku bukan bomoh’, bisik saya di dalam hati. Tetapi kemudian setelah berfikir secara mendalam, apa salahnya, kata hati saya.

Saya memang mengenali beberapa orang yang dianggap orang sebagai arif dalam perkara – perkara mistik kadayan, atau sekurang – kurangnya mendakwa mereka mengetahui perkara – perkara berkenaan Oang Kabanaan. Lagi pula tujuan penulisan bersiri “Kadayan dan Orang Bunian” adalah sebagai proses dokumentasi satu elemen yang terdapat di dalam mindset orang Kadayan di zaman. Dokumentasi ini diharap boleh menjadi sebagai tatapan generasi akan datang, bukan untuk melihat samaada ia mangasi atau tidak.
---------------------------------------------------------------------------------------------------

RAUB 9 Jun 2006 - “Kami nampak jalan yang amat cantik dan dipenuhi dengan pelbagai bunyi-bunyian. Ia berlaku di satu simpang, lalu kami ikut jalan yang cantik itu dan tiba-tiba kami terasa seperti berada dalam alam lain,” kata Chew Tsyr Yee, 16, yang hilang di Bukit Fraser ketika ditemui di Hospital Raub di sini.



Dia temui oleh sekumpulan Orang Asli yang menjejaki mereka setelah hilang bersama-sama dua adiknya, Chew Tsyr Han, 14, Chew Tsyr Ming, 10, serta sepupu, Jeremy Teo, 9, sejak Isnin lalu. Mereka dijumpai berhampiran sebatang sungai yang dikenali sebagai Sungai Sempang oleh empat Orang Asli yang diketuai Tok Batin Chambah Mohammad, 48, dari Serendah, Kuala Kubu Baru.

Chambah berkata, jalan yang dikatakan indah itu sebenarnya berbecak-becak.



“Mereka kena rasuk... mereka sebenarnya tidak hilang, kena sembunyi saja,” kata Chambah kepada para wartawan. Beliau enggan mengulas lanjut. Mereka dijumpai dalam kedudukan tujuh kilometer di utara Muar Cottage dekat jalan masuk ke denai Bishop pada pukul 11.40 pagi ini. Ketika kami sedang asyik menikmati keindahan pemandangan itu, kami tersedar dan dapati berada di tempat yang sama, tetapi tidak nampak jalan untuk berpatah balik walaupun dengan menggunakan arah jalan masuk dari Muar Cottage. Kami terus panik apabila denai yang kami lalui tiba-tiba hilang daripada pandangan. Kami terus berjalan dan berjalan tanpa menoleh ke belakang lagi sehingga tersesat.”

Pasukan penyelamat, yang terdiri daripada anggota polis, tentera, unit pengesan Senoi Praag dengan bantuan unit udara dan unit anjing pengesan serta penduduk di kawasan sekitar, menjalankan gerakan mencari di kawasan hutan seluas lapan kilometer persegi di sekitar Bukit Fraser.
Sumber: UTUSAN ONLINE

---------------------------------------------------------------------------------------------------

Ada kaedah yang boleh dan pernah digunakan sebagai cara untuk menghubungi Oang Kabanaan. Namun saya tidak akan terlalu memperincikan kaedah berkenaan agar tidak mengundang masalah yang lain pula. Manalah tahu, ada orang yang benar – benar mencubanya tanpa persediaan yang cukup, itu tentunya akan memeningkan kepala kadayanuniverse.com nanti.

Untuk menghubungi Oang Kabanaan, cara yang digunakan adalah samaada berdasarkan ayat – ayat Al-Quran dan ibadat sembahyang serta puasa, ataupun berdasarkan jampi mentera dan amalan yang tidak diketahui asal usulnya. Kaedah – kaedah berkenaan akan dipaparkan di bawah ini:

1) Puasa

Puasa adalah pra – syarat penting bagi membolehkan kita menemui Oang Kabanaan dengan sengaja. Puasa ini bergantung kepada tempoh – tempoh tertentu seperti satu, tiga atau tujuh hari mengikut rukun ibadah puasa yang kita ketahui. Ada pula puasa khusus, iaitu seseorang perlu berpuasa dan Cuma makan beras putih dalam tempoh tiga hari, dikenali sebagai puasa mutih. Amalan berpuasa ini gunanya sebagai persediaan mental untuk menghadapi Oang Kabanaan.

2) Melalui Mimpi

Berbanding dengan kaedah – kaedah yang lain, menghubungi Oang Kadayan melalui mimpi dilihat sebagai cara yang paling selamat. Setelah kita berpuasa, kita membaca beberapa perkataan yang terdapat di dalam Ayat-Ul Kursi sebanyak 99 kali, dan berdoa supaya kita dipertemukan dengan penghulu mereka. Sebaik – baiknya pada malam Jumaat2 dan berwudhu’ terlebih dahulu. Insya-Allah, anda akan bertemu dengan Oang Kabanaan di dalam mimpi.

3) Amalan A

Amalan ini juga memerlukan anda berpuasa terlebih dahulu dengan perancangan bahawa amalan ini akan anda lakukan pada hari Khamis malam Jumaat. Misalnya, jika anda merancang untuk menjalani puasa tiga hari sebelum beramal, anda harus mula berpuasa pada hari Selasa dan puasa tiga hari anda akan tamat pada hari Khamis. Begitulah juga halnya dengan amalan puasa sehari dan seminggu anda. Anda harus memulakan upacara anda sendirian pada pukul 12 malam. Bermula dengan mengambil wudhu’, bersembahyang sunat dua rakaat anda memulakan wirid berikut

Alfatihah 1X

Surah Al-Ikhlas 3X

Surah Al-Falaq 1X

Surah An-Nas 1X

Zikir Lailaha ilallah 99X

Satu ayat di dalam Surah Al-Jinn ATAU

Beberapa perkataan di dalam Ayat-Ul Kursi DAN

Diulang – ulangi tanpa had sehingga anda mendapat dua kesan berikut:

i) Badan anda akan terasa melayang dan menjadi ringan. Anda masih perlu meneruskan wirid.

ii) Terdapat bayang – bayang seperti asap akan berada di hadapan anda. Berhenti berwirid, tumpukan perhatian sehingga bayang – bayang berkenaan menjadi jelas.

iii) Beri salam kepadanya, anda sedang berhadapan dengan Oang Kabanaan

4) Amalan B

Amalan ini adalah amalan freestyle, sesuai bagi orang yang tidak suka mengikuti prosedur yang berjela – jela. Tidak memerlukan seseorang itu berpuasa, ia adalah kaedah yang berteraskan semadi [sammadi, pertapaan, bataak] dan memerlukan keberanian yang tinggi. Ada yang mensyaratkan jampi mentera, ada yang tidak. Tetapi, seseorang harus pergi ke hutan seorang diri terutama pada malam Jumaat waktu terang bulan. Tempat yang paling diutamakan ialah di kawasan air terjun yang kecil [jeram, wasai] samaada di pinggir hutan atau hutan rimba, dengan niat dan tekad yang kuat untuk berjumpa Oang Kabanaan. Kononnya ia lebih berkesan [Iyalah tu kan, kerana mungkin tiada seorang pun yang berani untuk mencubanya …]

Sebaik – baiknya, sesiapa yang benar – benar berminat untuk menghubungi atau melawat tempat tinggal, perkampungan Oang Kabanaan harus mencari orang yang arif dan mempunyai pengetahuan mengenainya, bukan sekadar hentam kromo semata – mata. Bukan apa, takut nanti lain yang dicari, lain pula yang didapati.

[Mungkin akan] Bersambung [lagi?] ke Siri yang akan datang.
--------------------------------

Nota kaki

1 Maksudnya “bukannya sanang tu liau, cuba kau mbuat sandii pulang!”

2 Perhatikan keistimewaan malam Jumaat dalam kebanyakan aspek amalan mistik Kadayan. Perkara ini sebenarnya berkaitan dengan kepercayaan agama Islam bahawa hari Jumaat adalah penghulu segala hari, hari yang besar berbanding dengan hari – hari yang lain.
--------------------------------

Peringatan: Pendapat pengarang di dalam artikel ini dan mana – mana artikel di laman web ini tidak melambangkan pendirian rasmi kadayanuniverse.com. Oleh itu budibicara para pembaca adalah diperlukan untuk menilai sendiri setiap kandungan artikel yang dipaparkan di dalam laman web ini. Terutama di dalam soal norma – norma sosial, metafizik, fekah, tassauf, kesufian, kebatinan dan seumpamanya, pendirian kadayanuniverse.com bersandar kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut persepsi Mahzab Syafie yang diamalkan di Malaysia. Paparan artikel adalah berdasarkan pandangan peribadi penulis mengenai elemen - elemen yang ada di dalam lingkungan masyarakat Kadayan di tempat – tempat tertentu sahaja dan; mungkin TIADA pada masyarakat Kadayan di tempat lain. Artikel ini dibuat dengan tujuan baik [on good faith] dan kadayanuniverse.com adalah platform untuk para penulis untuk menyalurkan ide mereka secara bebas selari dengan semangat dunia terbuka internet. Kadayanuniverse.com menyiarkannya dengan kepercayaan ia dibuat tanpa tujuan untuk mempersendakan sesiapa atau mengaitkan orang Kadayan dan mana-mana kaum di Malaysia dengan kemunduran dan kebodohan.

No comments:

Post a Comment