Tuesday, July 24, 2012

Menyumbang Kepada Malaysia dengan Membangkang

Bagaimana pula kalau pembangkang menjadi terlalu kuat? Oii mangkuk! Kalau terlalu kuat, jadilah namanya kerajaan, bukan lagi pembangkang!


Media arus perdana terutamanya alat propaganda kerajaan seperti Utusan Melayu, TV1, TV2 dan  TV3 semakin tidak releven dengan pembangunan negara sekarang ini. Perkara ini bukan soal idealisme, tetapi lebih kepada praktikaliti. Tidak praktikal membelanjakan beratus juta ringgit setiap tahun mempertahankan prasarana media yang hanya menghasilkan berita dengan mutu tercorot di dunia.  Ya, corot tanpa nilai etika kewartawanan yang sepatutnya dengan berita senget sepanjang masa. Gambaran seolah-olah segala-gala yang buruk adalah kepunyaan pembangkang dan hanya kerajaan yang suci, bersih lemak berkrim. 

Pemimpin dan penyokong Pembangkang adalah merupakan rakyat Malaysia. Samalah seperti pemimpin dan penyokong kerajaan, semuanya adalah rakyat Malaysia. Jika seseorang membangkang dan bukan pula rakyat Malaysia, bolehlah perkara sedemikian disifatkan sebagai musuh negara. Akan tetapi, memandangkan sama-sama rakyat Malaysia, hak mereka untuk memilih sama ada menjadi penyokong atau pembangkang kerajaan haruslah dihormati. Proses demokrasi memerlukan dua pihak bertembung untuk membolehkan rakyat memilih hanya pemimpin yang terbaik .

Pembangkang merupakan orang yang patriotik kepada negara. Jangan terlalu percaya dengan  propaganda kerajaan seperti Utusan Melayu, TV1, TV2 dan  TV3 yang saban hari memburuk-burukkan pembangkang dari segenap sudut. Menjadi pembangkang sebenarnya berganda-ganda susah berbanding dengan menjadi penyokong kerajaan. Menjadi pembangkang memerlukan suatu ide pembaharuan untuk mendatangkan kebaikan pada negara di masa hadapan. Menyatakan pendirian memerlukan keberanian, ketabahan menghadapi kesukaran dan kemungkinan ditindas sepanjang masa demi menegakkan apa yang ingin dicapai.

Pembangkang adalah rakyat yang penyumbang kepada kemajuan dan pembangunan kepada negara kita dengan cara membangkang. Tanpa pembangkang tiada yang menegur kerajaan. Tanpa ada sebarang teguran maka segala keputusan perbelanjaan negara akan dibuat sesuka hati, pembaziran akan berlaku dan rasuah semakin bermaharaja lela.  Contoh perbelanjaan sesuka hati dan tidak berkualiti. Muzium Sultan Mizan, Terengganu berharga RM450 juta misalnya runtuh hanya berusia 367 hari setelah siap dibina .

Pembangkang adalah terdiri dari pelbagai latar belakang kehidupan. Ada diantara mereka yang telah mempunyai kebebasan kewangan dan tidak perlu bergantung kepada kontrak-kontrak kerajaan untuk menampung hidup. Ada yang menjadi pembangkang kerana ditindas dan tidak pernah mendapat kontrak untuk menampung hidup. Ada juga menjadi pembangkang kerana merasa tiada apa-apa rugi sama ada menyokong atau membangkang kerajaan.  Ada yang menjadi pembangkang kerana terpinggir. Ada pula yang menjadi pembangkang kerana meminggirkan diri dan tidak mahu bersekongkol dengan kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah dan kader-kadernya. Akan tetapi walau dari mana latar belakang mereka sekalipun, matlamatnya adalah sama. Pembangkang adalah menawarkan satu ide alternatif pembangunan dan penambahbaikan dari sudut berbeza mengambilkira kelemahan-kelemahan yang tidak dipandang secara wajar oleh kerajaan yang ada dan dianggap perlu diambilkira untuk halatuju pembangunan yang lebih baik untuk rakyat sekaliannya.

Bagaimana pula kalau pembangkang menjadi terlalu kuat? Kalau terlalu kuat, jadilah namanya kerajaan, bukan lagi pembangkang 

No comments:

Post a Comment