Thursday, June 8, 2006

Kadayan dan Orang Bunian 1

Written by WaJiD Manis


Istilah yang paling hampir bagi orang Bunian di dalam bahasa Kadayan ialah Oang Kabanaan1. Oang Kabanaan ini agak dekat hubungannya dengan orang Kadayan sejak zaman berzaman dan dari semasa ke semasa menjadi perbincangan yang berbentuk nostalgik [si anu, bapa si anu, nenek si anu dahulunya berkawan dengan Oang Kabanaan] dan isu semasa [si anu kadapatan kawin sama Oang Kabanaan] walaupun tiada sebarang bukti yang boleh kita kemukakan.

Di antara cerita yang biasa diutarakan termasuklah kejadian kejadian yang berlaku seperti di bawah ini:


a) Berkomunikasi dengan Oang Kabanaan - komunikasi yang mendatang tanpa dirancang dan mungkin terjadi secara spontan kerana mengalami keadaan tertentu di tempat tertentu sama ada secara sedar atau separa sedar. Komunikasi ini mungkin berlanjutan atau menjadi pengalaman sekali seumur hidup yang tidak akan dilupakan oleh orang yang mengalaminya. Komunikasi ini mungkin terjadi dalam bentuk sehala atau dua hala di dalam bentuk audio [terdengar suara yang tidak sepatutnya] atau visual [terserempak dengan kelibat Oang Kabanaan sama ada secara jelas atau kabur] dan kedua - duanya.


b) Bersahabat dengan Oang Kabanaan - biasanya setelah mengalami keadaan a) di atas atau kerana pergi ke satu - satu tempat tertentu, seperti ketika mengerjakan haji seseorang itu berjumpa dengan orang yang tidak pernah dijumpainya di kampung tetapi amat mengenalinya. Persahabatan berkenaan berlanjutan apabila orang berkenaan balik ke kampung halamannya.


c) Diganggu - Pengalaman malang yang tidak diingini oleh sesiapa pun jua.


d) Bersosial - Cerita nostalgia yang sering kedengaran di dalam pertemuan dan kenduri kendara. Kononnya pada satu ketika dulu terdapat pergaulan meluas di antara penduduk sesebuah kampong dengan Oang Kabanaan. Mereka boleh bersosial dengan kampung Oang Kabanaan di pinggir kampong [di pinggir hutan] tetapi tidak lagi berterusan kerana kesilapan penduduk kampung sendiri yang melanggar syarat perhubungan lalu hubungan baik di antara mereka terjejas. Contohnya keadaan di mana penduduk satu - satu kampung boleh meminjam pinggan mangkuk dari kampung Oang Kabanaan bagi mengadakan kenduri kendara, makan makan doa salamat, bakawin kawinan tetapi dek melanggar janji kerana tidak memulangkan sebahagian peralatan yang dipinjam, mereka telah kehilangan keistimewaan yang ada.


e) Berkahwin - Cerita yang dirujuk kepada secara khusus kepada peribadi orang Kadayan yang tertentu samaada yang masih hidup ataupun telah meninggal dunia. Biasanya orang – orang yang mempunyai keluarga yang inda kalihatan ani mempunyai perilaku yang agak aneh; "lain upanya".


f) Beranak - Cerita yang paling sensasi melibatkan individu - individu Kadayan tertentu. Ia melibatkan wanita yang tidak berkahwin atau telah berkahwin mengandung di dalam keadaan yang tidak sepatutnya atau kandungan hilang begitu sahaja setelah cukup masa untuk dilahirkan. Atau, bagi orang lelaki yang belum atau sudah berkahwin dianggap dan di yakini mempunyai ciri - ciri orang yang mempunyai anak atau mempunyai anak "tambahan". Yang paling menggemparkan, ada juga individu yang mendakwa mereka mempunyai silsilah keturunan Oang Kabanaan.



---------------------------------------------------------------------------------------------------
Gambar ini dikatakan diambil oleh seorang jemaah haji ketika mengambil gambar di Gua Hirak. Ketika gambar di ambil tidak ada apa yang muncul di hadapan kamera melainkan batu-batan. Tetapi setelah gambar dicuci barulah imej makhluk ganjil ini muncul. Klik gambar di bawah untuk melihat imej yang lebih besar di tetingkap baru.


http://www.geocities.com/muzzafar/hantuhira.html
---------------------------------------------------------------------------------------------------
Soalnya siapakah Oang Kabanaan ini?

Di dalam Islam, jelas dan selalu disentuh di dalam Al-Quran dan Hadis – hadis Nabi SAW bahawa terdapat makhluk – makhluk lain yang juga berkaitan dengan dunia [alam]. Makhluk - makhluk lain selain dari manusia yang turut menghuni di dunia ialah para Malaikat, Iblis2, Syaitan - syaitan, Binatang dan segala unggas mergastua, tumbuh - tumbuhan dan JIN. Cuma berbeza sebutan, orang Kadayan telahpun sekian lama menyeragamkan dan menyerap kefahaman ini ke dalam dunia mereka. Bagi orang Kadayan, makhluk - makhluk berkenaan ialah Malaikat, Saitan, Iplis [kedua - dua spesis ini juga di kenali dengan istilah hantu], binatang sagala lulu, kayu - kayuan dan GIIN (juga kadangkala dikenali dengan nama hantu).


Anehnya, semua istilah yang dipadankan di atas tidak menyentuh soal Oang Kabanaan. Orang Kadayan telah menyerap istilah yang sama bagi Malaikat, Syaitan, Iblis, Binatang dan unggas tumbuh – tumbuhan dan JIN, tetapi Oang Kabanaan ialah istilah yang tersendiri. Pendek kata Oang Kabanaan adalah suatu istilah extra, iaitu lebihan yang tidak dipadankan dengan mana – mana makhluk yang difahami di dalam Al-Quran dan Hadis, sekurang – kurangnya berdasarkan istilah yang dibincangkan di atas.

Bersambung ke siri 2.



--------------------------------

Nota Kaki:


1 Maksud harfiahnya di dalam bahasa Melayu ialah Orang Kebenaran.

2 Malaikat, Iblis dan Syaitan ini tidak diketahui tempat tinggalnya. Mereka mungkin tidak menghuni cuma bertandang, hanya Allah SWT yang Maha tahu.


--------------------------------

Peringatan: Pendapat pengarang di dalam artikel ini dan mana – mana artikel di laman web ini tidak melambangkan pendirian rasmi kadayanuniverse.com. Oleh itu budibicara para pembaca adalah diperlukan untuk menilai sendiri setiap kandungan artikel yang dipaparkan di dalam laman web ini. Terutama di dalam soal norma – norma sosial, metafizik, fekah, tassauf, kesufian, kebatinan dan seumpamanya, pendirian kadayanuniverse.com bersandar kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut persepsi Mahzab Syafie yang diamalkan di Malaysia. Paparan artikel adalah berdasarkan pandangan peribadi penulis mengenai elemen - elemen yang ada di dalam lingkungan masyarakat Kadayan di tempat – tempat tertentu sahaja dan; mungkin TIADA pada masyarakat Kadayan di tempat lain. Artikel ini dibuat dengan tujuan baik [on good faith] dan kadayanuniverse.com adalah platform untuk para penulis untuk menyalurkan ide mereka secara bebas selari dengan semangat dunia terbuka internet. Kadayanuniverse.com menyiarkannya dengan kepercayaan ia dibuat tanpa tujuan untuk mempersendakan sesiapa atau mengaitkan orang Kadayan dan mana-mana kaum di Malaysia dengan kemunduran dan kebodohan.

Comments


rosly orog - gambar ganjil |2007-03-23 22:55:58
gambar ganjil

tuah |2007-06-17 16:37:04
Uja dangan bukannya gambaa mahluk ganjil, tetapi hanya replika ciptaan manusia untuk makhluk asing di salah satu tempat di Amerika.

biabas - banarkan uja mu atu.. |2008-10-19 14:29:18
baie kan inda pacaya ujamu atu..
gambarnya tah lg..
bkn2..
dusta mu eh..
hahaha..
jgn marah ha..
baiebun ba..

No comments:

Post a Comment