Paradox 1: Oang Kabanaan
Secara rasionalnya penyatuan diantara Giin, jika Giin adalah Oang Kabanaan; dengan manusia tidak mungkin terjadi, apatah lagi sehingga ke peringkat yang membuahkan baka keturunan. Namun perbincangan mengenai perkara ini kita teruskan untuk membolehkan kita lebih memahami misteri mengenai Oang Kabanaan.
Rumusan dari perbincangan sebelum ini memutuskan bahawa Iplis, Saitan1 dan Giin adalah diciptakan dari unsur api. Jadi kita harus memahami ciri – ciri api yang berhubung kait dengan perbincangan kita kali ini. Terdapat tiga perilaku utama api seperti yang dinyatakan berikut:
a) Api merupakan sumber cahaya. Manakala cahaya, berbanding dengan kegelapan adalah berkemampuan untuk menerangkan rupa bentuk wujud, memperjelaskan ruang sekeliling dan memungkinkan pemandangan bersatu dengan pandangan. Pandangan, seperti juga pemandangan boleh berlaku di dalam bentuk real [sebenar] dan surreal [ imaginasi / bawah sedar / bukan sebenar] bergantung kepada cahaya, si pemandang dan apa yang dipandangnya. Jika bentuk seperti manusia yang dipandang adalah manusia sebenar ianya adalah satu pandangan real. Tetapi bayangkan semasa anda melalui jalan yang sunyi seorang diri, tunggul di tepi jalan boleh membentuk suatu lembaga manusia yang sedang duduk, dan ini merupakan bentuk pandangan imaginatif, surreal. Di dalam keadaan ini, pandangan dan pemandangan tetap sama, tetapi ia menggambarkan bentuk yang tidak sepatutnya dan pandangan ini dikenali sebagai ilusi. Ringkasnya, cahaya boleh membentuk ilusi!
b) Api menerbitkan bahang. Bahang yang dimaksudkan ialah kepanasan dan panas ini mempengaruhi deria kita, dipanggil rasa.
c) Api mempunyai kuasa untuk membakar. Keseluruhan kuasa membakar ini mengakibatkan suatu proses yang dipanggil perubahan.
Berdasarkan fakta di atas, manusia akan menerima kesan tertentu apabila Giin yang berunsurkan api bersatu dan berhubungan dengannya kerana manusia dijadikan dari unsur tanah. Pertamanya, cahaya api akan menerangi dan memperjelaskan rupa dan rupabentuk tanah. Ini termasuklan memperlihatkan perincian – perincian tanah, juga menjelaskan keburukan dan kelemahan tanah secara sepatutnya dan yang lebih buruk, mendatangkan ilusi. Kedua, bahang api mampu untuk membuatkan tanah yang dihampiri menjadi kering kontang. Akhir sekali, kuasa membakar api boleh mengubah bentuk tanah, yakni menyebabkan perubahan ke atas tanah2.
Perbincangan diatas boleh dipermudahkan seperti berikut. Giin mampu menerbitkan ilusi di dalam fikiran manusia. Mereka mampu membuai manusia dengan memperjelaskan sifat sifat manusiawi kita, menerangkan perincian – perincian kehidupan, memanipulasi keburukan dan kelemahan serta menzahirkan keindahan separa sedar kita sehingga keperingkat melalaikan. Selanjutnya manusia boleh merasakan kehadiran Giin malah sehingga boleh tertipu dengan menganggap ilusi yang dialami sebagai kejadian sebenar; seolah – olah ianya benar – benar terjadi dan dialaminya. Giin boleh membawa perubahan dengan mempengaruhi jasad dan menunggangi fikiran sehingga orang yang mengalaminya tenggalam menjadi surrealist, terasing hidup di dalam alamnya sendiri dan hidup dengan kaki mereka tidak lagi berpijak di bumi nyata.
Ilusi ialah keadaan yang melampaui batas ruang, masa dan tempat. Pengalaman ilusi alias khayal ini boleh menyangkut apa – apa sahaja pengalaman manusia yang tidak – tidak, termasuklah berkomunikasi, bersahabat, bersosial, berkahwin dan beranak pinak dengan mereka. Jika di dalam sedar ini pun kita boleh berkhayal pergi ke bulan, menakluki bintang, menjadi presiden, perdana menteri dan sebagainya, apatah lagi jika dipengaruhi oleh anasir yang tidak kita ketahui. Semakin kuat pengaruh berkenaan, semakin berkesanlah ilusi yang dialami sehinga bukan saja mempengaruhi dirinya, tetapi orang yang berada di lingkungan persekitarannya, mungkin juga seluruh kampung!
---------------------------------------------------------------------------------------------------
Peristiwa di sekitar tahun 2005 di Brunei. Khabarnya juga 2 pelajar yang bertanggungjawab dengan 'games spirit' menggunakan darah di STPRI, Brunei menyebabkan kerasukan. Gambar ini menunjukkan seorang kerasukan jin. Jin berkenaan kemudian memeluk islam dan memilih Idrus sebagai nama barunya. Video klip ini sangat popular dan di dapati dengan meluas di internet dan di dalam bentuk MMS.
Peristiwa berkenaan turut mengundang lawatan DYMM Sultan Brunei. Khabarnya Baginda sendiri bercakap-cakap dengan pelajar yang di rasuk tadi dan permintaan yang sama masih lagi di nyatakan 'darah kamu'.
http://www.tokeikedai.net
---------------------------------------------------------------------------------------------------
Soalnya Giin yang bagaimana yang mengganggu manusia sehingga manusia tenggelam di dalam ilusinya?
Kita patut memahami maksud satu hadis Nabi SAW bahawa “Sebaik – baik jin adalah sejahat – jahat manusia”. Maksudnya sebaik – baik Giin adalah sama seperti Firaun, Abu Lahab, Hitler dan lain – lain penyangak? Jika kenyataan ini dijadikan sandaran, maka gangguan ini boleh terjadi samaada kebetulan atau disengajakan; samaada oleh Giin biasa ataupun Saitan. Tetapi apa yang penting ialah, walaupun Giin boleh mengganggu manusia, mereka tidak berkuasa untuk memusnahkan manusia. Kita harus percaya bahawa hanya Allah SWT yang maha berkuasa melakukan segala – galanya. Ini malah boleh dibuktikan secara rasional, tanah akan menjadi lebih subur selepas dibakar. Maksudnya, gangguan – gangguan sedemikian hanya akan menjadikan manusia lebih tabah dan memahami kehidupan dengan lebih baik, dengan syarat manusia sendiri berusaha ke arah itu.
Bagaimana pula jika manusialah sebenarnya yang mengganggu Giin?
Perbincangan ini akan Bersambung ke Siri 5.
--------------------------------
Nota Kaki
1Selain dari Saitan manusia kerana seperti yang telah dibincangkan pada siri 3 sebelum ini kerana Saitan boleh jadi dari golongan Giin dan manusia.
2Ironinya, kesuburan tanah akan menjadi lebih baik selepas dibakar.
--------------------------------
Peringatan: Pendapat pengarang di dalam artikel ini dan mana – mana artikel di laman web ini tidak melambangkan pendirian rasmi kadayanuniverse.com. Oleh itu budibicara para pembaca adalah diperlukan untuk menilai sendiri setiap kandungan artikel yang dipaparkan di dalam laman web ini. Terutama di dalam soal norma – norma sosial, metafizik, fekah, tassauf, kesufian, kebatinan dan seumpamanya, pendirian kadayanuniverse.com bersandar kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut persepsi Mahzab Syafie yang diamalkan di Malaysia. Paparan artikel adalah berdasarkan pandangan peribadi penulis mengenai elemen - elemen yang ada di dalam lingkungan masyarakat Kadayan di tempat – tempat tertentu sahaja dan; mungkin TIADA pada masyarakat Kadayan di tempat lain. Artikel ini dibuat dengan tujuan baik [on good faith] dan kadayanuniverse.com adalah platform untuk para penulis untuk menyalurkan ide mereka secara bebas selari dengan semangat dunia terbuka internet. Kadayanuniverse.com menyiarkannya dengan kepercayaan ia dibuat tanpa tujuan untuk mempersendakan sesiapa atau mengaitkan orang Kadayan dan mana-mana kaum di Malaysia dengan kemunduran dan kebodohan.
No comments:
Post a Comment