Wednesday, June 7, 2006

Pesta Menuai Orang Kadayan?

Written by WaJiD Manis

Revised Version (text), 29 May 2008.

Pesta menuai bukanlah suatu peristiwa yang wujud secara eksklusif untuk orang - orang Dusun1 . Orang - orang Kadayan juga mempunyai peristiwa yang dinamakan sebagai "Abis Ngatam" selaras dengan sumber kejadian yang sama iaitu berlaku setelah selesai menuai padi.

"Pesta" menuai biasanya mengadakan pertandingan Ratu Cantik [Unduk Ngadau] dan keramaian "pesta - pestaan" seperti yang kita kenali sebelum dan pada 30 dan 31hb Mei setiap tahun di negeri Sabah dan di Sarawak.

Tetapi ini bukanlah berada di dalam mood asal kegembiraan berikutan usainya proses menuai padi di dalam mana - mana tradisi kaum apa sekalipun, termasuklah bagi orang Dusun.

Ia hanya timbul, ditampal-tampalkan, ditempel-tempelkan, diada - adakan, di"ritual"kan terutama selepas Sabah merdeka melalui Malaysia. Sabah dan Sarawak sebagai negeri-negeri di dalam Persekutuan Malaysia mendapat peruntukan beberapa hari "Cuti Umum" yang dimaktubkan di dalam sistem pentadbiran awam negara.

Berbalik kepada soal peristiwa "Abis Ngatam", timbul pula persoalannya.

Sukar untuk kita membincangkan secara empirikal kerana dokumentasi bertulis mengenainya amat kurang. [Tetapi kalau betul kurang, kitalah yang memulakan pendokumentasiannya dari sekarang, apa pula yang sukar - pengarang].

Bagaimana rupa Pesta Menuai yang benar - benar merupakan tradisi orang - orang Kadayan2 ?

Konstruksi deskriptif secara analogi mengenai usul peristiwa Abis Ngatam ialah seperti berikut:

a) Padi [nasi] merupakan makanan ruji [staple food] orang - orang Kadayan.

b) Corak penanaman padi orang - orang Kadayan ialah setahun sekali. Ia adalah bersandarkan peredaran monsun. Tiada peluang untuk orang Kadayan untuk menanam padi kali kedua di dalam musim yang sama [tahun yang sama]. Jika padi musim berkenaan tidak menjadi [hampa], alamatnya adalah mala petaka bagi keluarga yang si penanam. "Inda ada dangan yang bapadi aii halat liau, apa kan di makan anak bini tahun ani, kan panyabal - nyabal sampai ka tahun hadapan".

c) Menanam padi bukanlah satu kerja yang senang apabila ia melibatkan kerja manual sepenuhnya seperti yang biasanya dibuat oleh orang Kadayan sehingga awal tahun 1980an. Kelengkapan penanaman padi orang Kadayan yang jelas ialah "Maang Panabas, Candung, Cangkul, Tugal dan Katam". Proses penanaman adalah melalui proses "nabas tabasan, nyamai jan maumputi" sampailah kepada proses "ngatam" dan kesemuanya sangat bersifat intensif buruh. Intensif buruh, sampai berlaku perpindahan dari rumah sebenar petani ke "junjung padi di "paya" terutamanya selepas proses "maumput" dan "ngatam". Ini belum lagi termasuk tugas "masang talinting" dan "mbuu pipit". Bertanam padi merupakan kerja yang sukar dan tidak boleh dibuat sambil lewa.

d) Padi, walaupun tidak sampai ke peringkat dipuja - puja seperti yang dilakukan oleh para dukun [Bobohizan] orang - orang Dusun, juga merupakan tanaman yang dihormati oleh orang Kadayan. "Padi asas ditauh usai - usai", Benih padi diutamakan dan terutamanya, "jaan dibuai-buaikan", "jaan di saambaana akan". "Nasi makan sampai abis, jaan bajuit baaampa aii makan" sampai ke peringkat ungkapan ini "Nduui malaiku, bukan ku saambaana kan kau" jika ia tertumpah ke lantai semasa makan.

Berdasarkan empat fakta di atas, peristiwa "Abis Ngatam" suatu peristiwa kemenangan dan kegembiraan kepada petani Kadayan. Tahun ini tidak akan berlaku "abis baas". "Duung panuh, apa kan diingaukan". Oleh itu demi meraikan kejayaan ini peristiwa - peristiwa berikut akan berlaku dengan aktif sebaik sahaja abis ngatam [walaupun ia juga berlaku pada masa - masa yang lain di sepanjang tahun]:

i) Mbaiki Umah [kerana rumah utama yang biasanya beratapkan nipah dan berdinding pelupuh terbiar selama beberapa bulan semasa menanam padi]
ii) Makan - Makan Doa Salamat
iii) Ngamping
iv) Batukaa baas bahau
v) Bajual padi bahau - jika berlaku lebih baas
vi) Ngawinkan anak

Namun sepanjang yang aku ketahui, perkara ini TIDAK terjadi semasa Abis Ngatam:


i) Memeram beras yang berlebihan dari musim sebelumnya untuk dijadikan tuak dan diminum [mauk - mauk] semasa makan - makan doa selamat.


ii) Unduk Ngadau [ he... he... ]


Nota kaki:
1Bangsa Kadazan dan / atau Dusun atau Kadazandusun. Orang Kadazandusun sememangnya berbangsa Dusun. Mereka "berjaya" memanjangkan nama bangsa mereka selepas Kongres Dusun/Pasok pertama pada tahun 1961 melalui ketetapan satu resolusi untuk mengubah nama bangsa mereka dengan nama Kadazan atas sebab - sebab tertentu. Masalahnya ialah tidak semua orang Dusun mematuhi keputusan ini. Walaupun sebahagian dari mereka ingin dikenali sebagai Kadazan, sebahagian besar yang lain tetap mahu dikenali sebagai Dusun. Akibatnya, timbul istilah "Kadazandusun" dan "Kadus". Jika diteliti, "paduan" nama inipun tidak betul kerana ia sepatutnya menjadi "Dusunkadazan", bukan sebaliknya kerana mengikut kekananannya [seniority] istilah Dusun adalah istilah yang digunakan terlebih dahulu sejak zaman berzaman.


2Juga Orang - orang "Kedayan" dan orang - orang "Kadaian", sejauhmana ejaan berkenaan adalah berkaitan kerana semuanya merujuk kepada satu bangsa yang sama. Adalah menjadi harapan kita supaya tiada perbalahan mengenai ejaan nama Kadayan akan berlaku kerana takut ejaan nama jadi "Kadayankedayankadaian" nantinya.



Bacaan lanjutan:

Berikut merupakan bacaan tambahan yang disyorkan (ItsUrDay) mengenai topik yang sama:

1. Where do Kadayans stand in Hari Gawai & Tadau Kaamatan?

2. Padi Kadayan



REVISIONS HISTORY:

1st Revision, 27 May 2008.

2nd Revision, 29 May 2008.


No comments:

Post a Comment