Oang Kabanaan: Saitan kah atau Giin?
Analisis di dalam artikel yang lepas merumuskan bahawa Oang Kabanaan bukan dari golongan malaikat, Iplis, Binatang sagala lulu dan kayu – kayuan. Oleh itu hanya dua golongan yang belum dibincangkan iaitu Saitan dan Giin. Mungkinkah Oang Kabanaan termasuk di dalam salah satu atau kedua – dua golongan ini?
Mula – mula sekali, kita menyentuh golongan pertama iaitu Saitan. Sebenarnya di dalam agama kita Saitan adalah merupakan satu bentuk kerier, bukan suatu spesis. Saitan ialah merujuk kepada mereka yang berada di bawah telunjuk Iplis dan membantunya menyesatkan umat manusia malah Giin sendiri. Oleh itu Saitan boleh jadi dari spesis Giin dan juga manusia, yakni dari kalangan kita sendiri. Giin dan manusia juga adalah Saitan selagi mereka berpaut dan mengikut kehendak Iplis yang durjana di dalam kerja kerja yang menyesatkan. Kita tinggalkan aspek Saitan yang berasal dari manusia bagi membolehkan kita memfokus kepada kehendak artikel ini. Kesimpulan yang kita dapat buat ialah, sejauh yang menyentuh Saitan dari golongan Giin, mereka adalah Giin, berunsur sama iaitu dari anasir api dengan makanan utama mereka kalsium1.
Akhirnya hanya satu kemungkinan yang tinggal dengan satu – satunya golongan yang belum dibincangkan, iaitu Giin. Adakah dan mungkinkah Oang Kabanaan sebenarnya datang daripada golongan ini?
Bagi menjadikan kita lebih memahami persoalan ini, mari kita lihat perincian yang dipaparkan di bawah
Berdasarkan perincian di atas, unsur kejadian manusia ialah dari anasir tanah, dan kita pasti dalam aspek perhubungan sesama manusia [sesama kita], kita boleh berkomunikasi, bersahabat, mengganggu antara satu sama lain, berkahwin dan beranak pinak.
Bagi Giin pula, unsur kejadian mereka ialah dari Api. Sejauh yang difahami, mereka boleh berkomunikasi di antara satu sama lain, mungkin juga bersahabat tetapi tidak pula diketahui samaada mereka mengganggu antara satu sama lain. Mereka juga mungkin berkahwin dan beranak pinak, Cuma tidak diketahui persamaannya dengan cara perkahwinan dan beranak pinak Giin berbanding dengan kita, manusia biasa.
Di dalam soal interaksi Giin dan manusia, yang jelas ialah ada manusia yang diganggu oleh Giin sementara komunikasi dan persahabatan antara Giin – manusia adalah sesuatu yang mungkin. Tetapi di dalam perbincangan kita mengenai Oang Kabanaan ini, corak perhubungan yang di dakwa oleh orang – orang Kadayan yang mengalami dan menceritakannya adalah lebih serius dan mendalam dari yang diketahui pernah berlaku di antara kedua golongan ini. Perhubungan orang - orang Kadayan dan Oang Kabanaan adalah didakwa terjalin sejauh berkahwin dan beranak pinak. Jika Oang Kabanaan adalah Giin, mungkinkah perkara ini terjadi?
---------------------------------------------------------------------------------------------------
Asap membentuk lembaga. Gambar yang diambil oleh Pay_23 pada 01-05-2003 di Inuyama, Jawa. Di belakang rumah beliau terdapat satu tasik dan agak berbukit di sekitarnya. Setelah di proses beliau mendapati asap di dalam gambar berkenaan, dan pada mulanya beliau mengira ia hanya asap biasa. Beliau menegaskan bahawa dia tidak merokok ketika itu. Klik gambar di bawah untuk melihat imej yang lebih besar di tetingkap baru.
http://members.lycos.co.uk/payz/Goblinx.jpg
---------------------------------------------------------------------------------------------------
Paparan pada ruangan C rajah di atas membawa kita kepada beberapa kenyataan yang penting di dalam soal interaksi inter-spesis. Pertama, kedua – dua golongan diciptakan oleh Allah SWT dari unsur – unsur yang berlainan. Manusia dicipta dari tanah manakala Giin pula dicipta dari api. Sifat yang berlainan ini tidak mungkin bersatu, kerana sifat api akan membakar rentung tanah walaupun ironinya tanah akan menjadi subur setelah dibakar. Di dalam urusan berkomunikasi, bersahabat dan kejadian manusia diganggu Giin, ia diyakini ada dan mungkin berlaku walaupun sifat kedua – dua makhluk ini adalah berbeza.
Soalnya bagaimana dengan berkahwin dan beranak? Mungkinkah inter breeding manusia dan Giin berlaku? Kajian dan penemuan saintifik dan teknologi dunia sehingga kini membuktika bahawa soal pembenihan amatlah sensitif di dalam perhubungan antara sepsis. Sensitiviti inilah yang membentuk pola silsilah keturunan manusia, Binatang sagala lulu dan Kayu – kayuan seperti yang kita kenali pada hari ini. Misalnya, selagi perhubungan jenis itu dilakukan sesama manusia, tidak kira apa bangsa, warna kulit, saiz badan dan tempat asalnya, kelahiran anak yakni keturunan adalah satu perkara yang mungkin. Tetapi lain ceritanya apabila manusia berhubungan jenis dengan spesis lain seperti lembu. Perbezaan sperma dan ovari tidak memungkinkan keturunan manusia – lembu dihasilkan. Had ini bukan terhad kepada manusia sahaja malah juga kepada sesama binatang segala lulu dan kayu – kayuan. Selagi kucing sesama kucing, keturunan adalah mungkin, tetapi penyatuan kucing dengan kambing dan pembentukan baka hybrid keduanya adalah tidak mungkin. Sama juga halnya dengan Kayu – kayuan. Percantuman sesama pokok rambutan adalah mungkin, tetapi paduan di antara pokok rambutan dengan pokok timun dan baka rambutan – timun tidak mungkin berlaku, sekurang – kurangnya sehingga penulisan artikel ini dibuat.
Perlu diingat bahawa kesemua kes yang dibincangkan melibatkan manusia , binatang segala lulu dan kayu – kayuan di atas MASIH lagi berada di dalam golongan – golongan yang berasal dari unsur yang sama iaitu tanah. Kita dapati walaupun unsurnya sama, tetap terdapat had yang tidak boleh dilangkaui di dalam soal pembiakan dan baka. Jika perhubungan jenis di antara spesis yang berunsurkan tanah sudah tertakluk kepada had pembiakan [hukum alam], bagaimana pula halnya perhubungan jenis manusia – Giin yang datang dari unsur berbeza iaitu dari tanah dan api menjadi satu perkara yang mungkin dan lebih dari itu, mampu menerbitkan baka.
Jadi rasionalnya, Oang Kabanaan bukan dari golongan Giin. Pembentukan keturunan adalah TIDAK MUNGKIN berlaku diantara kedua spesis manusia – Giin kerana asal kejadian keduanya yang begitu jauh, kecuali terdapat anomaly, paradox yang boleh diterima memungkinkan ia boleh berlaku. Adakah anomaly berkenaan wujud dan adakah Oang Kabanaan ini sebenarnya Manusia seperti kita?
Perbincangan ini akan Bersambung ke Siri 4.
--------------------------------
Nota Kaki
1Kefahaman ini ialah dari hadis Nabi SAW yang melarang kita beristinjak menggunakan tulang kerana tulang merupakan makanan Giin, sementara itu kalsium adalah unsur utama yang terdapat di dalam tulang. Tidak dinafikan juga mungkin unsur makanan utama Giin bukanlah kalsium yang terdapat di dalam tulang. Ini sekadar analogi bahawa bagi kita umat kadayan, makanan ruji kita nasi kerana kita memerlukan unsur utama yang terdapat di dalamnya iaitu karbohidrat.
--------------------------------
Peringatan: Pendapat pengarang di dalam artikel ini dan mana – mana artikel di laman web ini tidak melambangkan pendirian rasmi kadayanuniverse.com. Oleh itu budibicara para pembaca adalah diperlukan untuk menilai sendiri setiap kandungan artikel yang dipaparkan di dalam laman web ini. Terutama di dalam soal norma – norma sosial, metafizik, fekah, tassauf, kesufian, kebatinan dan seumpamanya, pendirian kadayanuniverse.com bersandar kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut persepsi Mahzab Syafie yang diamalkan di Malaysia. Paparan artikel adalah berdasarkan pandangan peribadi penulis mengenai elemen - elemen yang ada di dalam lingkungan masyarakat Kadayan di tempat – tempat tertentu sahaja dan; mungkin TIADA pada masyarakat Kadayan di tempat lain. Artikel ini dibuat dengan tujuan baik [on good faith] dan kadayanuniverse.com adalah platform untuk para penulis untuk menyalurkan ide mereka secara bebas selari dengan semangat dunia terbuka internet. Kadayanuniverse.com menyiarkannya dengan kepercayaan ia dibuat tanpa tujuan untuk mempersendakan sesiapa atau mengaitkan orang Kadayan dan mana-mana kaum di Malaysia dengan kemunduran dan kebodohan.
No comments:
Post a Comment