Sunday, June 11, 2006

Kadayan dan Orang Bunian 2

Written by WaJiD Manis

Teks dikemaskini 3 Feb 2010

Malaikat, Iplis, Saitan, Giin, Binatang Sagala Lulu jan Kayu – kayuan dan Oang Kabanaan?

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Oang Kabanaan merupakan satu istilah tambahan [extra] di dalam penggolongan makhluk – makhluk yang terdapat di dunia. Perkara ini membingungkan kerana jika makhluk berkenaan benar benar ada, mustahil ia tidak dimasukkan ke dalam golongan – golongan yang telah diselaras mengikut pengkelasan yang dinyatakan di atas. Dengan ertikata yang lebih mudah, Oang Kabanaan seharusnya termasuk salah satu dari mana – mana golongan iaitu malaikat, Iplis, Saitan, Giin, Binatang sagala Lulu jan Kayu – Kayuan.


Apa yang jelas ialah, bentuk perhubungan di antara orang – orang Kadayan dan Oang Kabanaan yang telah diterangkan pada siri 1 adalah terbahagi kepada enam bentuk iaitu berkomunikasi, bersahabat, bersosial, berkahwin, beranak dan diganggu oleh Oang Kabanaan. Oleh itu, secara mudah malaikat, binatang sagala lulu jan kayu – kayuan boleh disisihkan dari analisis kita.

---------------------------------------------------------------------------------------------------
Objek Hantu Di Ulu Yam, Selangor. Khabarnya gambar ini datang dari satu keluarga yang dalam perjalanan menaiki kereta. Ketika bayi itu menangis salah seorang daripada penumpang di dalam kereta itu telah mengambil gambar dengan tujuan bayi berkenaan akan berhenti menangis. Setelah gambar siap dicuci ada sesuatu di luar tingkap kereta. Ianya objek berbentuk seperti manusia berkelubung seluruh tubuh.



http://www.geocities.com/muzzafar/uluyam.html

---------------------------------------------------------------------------------------------------

Tidak mungkin Oang Kabanaan adalah dari golongan malaikat. Ini kerana mereka adalah satu kejadian yang suci, berasal dari nur dan dengan satu tujuan hidup iaitu demi untuk beribadat dan patuh kepada suruhan Allah SWT. Jadi tiada ruang untuk mereka menggunakan budi bicara sendiri di dalam menjalani kehidupan, apa lagi untuk bersosial, berkahwin dan sebagainya.

Dalam soal binatang sagala – lulu dan kayu – kayuan pula, terdapat anggapan di sana – sini yang makhluk ini mungkin boleh berkomunikasi, bersahabat dan mengganggu manusia. Contohnya ada samangat di pokok tertentu yang menyeramkan, yang baik atau yang jahat. Bagi binatang pula ada konsep pahingan ambuk, pahingan ucing, pahingan kali dan sebagainya yang boleh mendatangkan pengaruh kepada kehidupan seseorang terutama kerana tersilap langkah di dalam satu – satu hal atau pun melanggar pantang. Di dalam keadaan yang lain, binatang sagala lulu malah juga kayu – kayuan ini boleh mendatangkan mudarat kepada seseorang kerana ia dimiliki oleh ampuan yang perlu diminta kebenaran sebelum boleh diubah, ditebang, diburu dan sebagainya. Tetapi, kedua – dua golongan makhluk ini tidak mungkin boleh bersosial sehingga ke peringkat pinjam meminjam pinggan – mangkuk untuk kenduri kendara, apatah lagi untuk berkahwin dan mempunyai anak dengan manusia biasa. Tahap rasional akal fikiran kita tidak membenarkan, kemajuan dan keputusan kajian saintifik dan teknologi sehingga kini tidak memungkinkan malah, kecerdikan mereka tidak mencapai taraf untuk membolehkan mereka berhubungan dengan manusia sejauh itu.

Bagaimana dengan Iplis? Iplis yang diketahui adalah merupakan raja bagi Saitan. Ia merupakan penghulu kejahatan dan berkuasa sejauh yang dibenarkan oleh Allah SWT untuk menjalankan tugas – tugas durjananya. Dijadikan dari anasir api, Iplis mempunyai kakitangannya sendiri iaitu Saitan – saitan yang “diamanahkannya” untuk menjalankan tugas. Sebagai “Boss Besar” , kerja – kerja pengurusan harian dan “tugasan – tugasan” yang perlu tentulah dilaksanakan oleh kakitangan yang ada. Oleh itu, di dalam analisis ini kita sisihkan juga kemungkinan bahawa Oang Kabanaan adalah dari Iplis. Lebih – lebih lagi sejauh yang difahami Iplis adalah adalah spesis singular [Eka] manakala Oang Kabanaan adalah berbentuk plural. Manakan tidak mempunyai bilangan yang banyak; Oang Kabanaan boleh berkenduri kendara dan berkampung berhampiran dengan kampung manusia.

Jadi, jika kita tetap hendak mengkelaskan Oang Kabanaan dengan mana – mana golongan yang kita fahami hanya tinggal dua golongan makhluk yang belum kita bincangkan. Adakah Oang Kabanaan ini Saitan atau Giin?


Perbincangan ini akan Bersambung ke Siri 3 yang akan datang.

--------------------------------
Peringatan: Pendapat pengarang di dalam artikel ini dan mana – mana artikel di laman web ini tidak melambangkan pendirian rasmi kadayanuniverse.com. Oleh itu budibicara para pembaca adalah diperlukan untuk menilai sendiri setiap kandungan artikel yang dipaparkan di dalam laman web ini. Terutama di dalam soal norma – norma sosial, metafizik, fekah, tassauf, kesufian, kebatinan dan seumpamanya, pendirian kadayanuniverse.com bersandar kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut persepsi Mahzab Syafie yang diamalkan di Malaysia. Paparan artikel adalah berdasarkan pandangan peribadi penulis mengenai elemen - elemen yang ada di dalam lingkungan masyarakat Kadayan di tempat – tempat tertentu sahaja dan; mungkin TIADA pada masyarakat Kadayan di tempat lain. Artikel ini dibuat dengan tujuan baik [on good faith] dan kadayanuniverse.com adalah platform untuk para penulis untuk menyalurkan ide mereka secara bebas selari dengan semangat dunia terbuka internet. Kadayanuniverse.com menyiarkannya dengan kepercayaan ia dibuat tanpa tujuan untuk mempersendakan sesiapa atau mengaitkan orang Kadayan dan mana-mana kaum di Malaysia dengan kemunduran dan kebodohan.

No comments:

Post a Comment