Monday, June 26, 2006

Kadayan dan Orang Bunian 8

Written by WaJiD Manis

Lagi Pengalaman berkaitan dengan Oang kabanaan …

Paparan kali ini merupakan sambungan dari koleksi cerita – cerita pengalaman orang orang kadayan bertemu dengan Oang Kabanaan yang telah kita paparkan pada siri lepas.

2) Pengalaman Aimulah Imam Hj Bajung

Imam paling suka memburu dan beliau merupakan seorang yang berani. Apabila memburu, beliau tidak suka berkawan tetapi lebih suka pergi memburu sendirian dengan takiding, lampu picit dan senapang dan bermalam di hutan. Imam bukan pula seorang yang terlalu handal memburu, bukan juga seorang pemburu professional. Cuma, beliau minat memburu. Kebiasaannya selepas penat memburu, beliau akan tidur di hutan sebelum balik keesokan harinya. Tips beliau ialah, jika hendak tidur di hutan, cari kawasan lapang, tidur di atas batu yang nampak langit, kita boleh tidur dengan selesa tanpa bimbang dengan gangguan lulu yang merbahaya, entahlah.

Kejadian ini berlaku disekitar tahun 1980an. Pada suatu malam itulah semasa memburu beliau beliau tidur di hutan. Beliau terjaga pada waktu subuh, oleh laungan azan subuh yang berkumandang dengan nyaring dan merdu. Beliau cukup menyedari tiada masjid atau perkampungan di kawasan itu, kerana tiada gunanya memburu di halaman rumah orang. Beliau mendengar azan berkenaan sehingga habis, tetapi kerana penat atau apa, beliau kemudian tertidur dan terjaga lebih kurang pukul 12 tengahari esoknya.

3) Tangah Supot Katagoan

Kejadian ini berlaku pada pertengahan tahun 1980an. Tangah Supot juga biasa di hutan untuk berkebun, memburu dan baamu kayu untuk dibuat rumah. Pada masa itu baamu adalah perkerjaan lumrah samaada untuk membuat beluti dan papan untuk kegunaan sendiri atau untuk dijual. Kayu dan papan yang dihasilkan digemari kerana ia lebih murah, berkualiti dan potongannya lebih fleksibel dipotong mengikut saiz yang diperlukan.

Tangah pada hari itu sedang baamu, di kawasan yang berdekatan dengan anak sungai. Selepas makan tengahari, beliau berehat sebelum menyambung kerja – kerja menggerjagi. Pada masa itulah, semasa berehat dan berada di antara tidur dan jaga beliau ternampak dua orang perempuan mengambil air dan melintas berhampiran tempat beliau berbaring. Sambil berjalan dan mengambil air kedua – duanya berbual di antara satu sama lain. Tangah terdengar dialog berikut “Bah jangan tah ingaa, kaang tabangun dangan tidoo” . Perempuan yang seorang lagi menjawab, “Ooh, Si Supot bah tu, baamu kayu”. Ya lah tu;menegur, dan mengenali… masalahnya teguran berkenaan dipercayai menyebabkan Tangah Supot Katagoan teruk dan demam dengan kritikal dekat sebulan!


4) Cerita Si Nidun Andah

Cerita ini berakhir pada penghujung tahun 1970an. Si Nidun Andah, seperti yang digambarkan oleh namanya adalah seorang yang rendah sahaja ketinggiannya. Di mata kebanyakan penduduk kampung, beliau tergolong sebagai orang yang inda baapa panuh, tetapi tidak mengacau dan menyakiti orang lain. Selain itu beliau cukup dikenali sebagai seorang yang pandai mengubati terutama penyakit kanak – kanak dan orang yang berpenyakit aneh. Cara pengubatan beliau juga cukup aneh, kebanyakannya menggunakan bunga – bungaan dari bunga yang cukup biasa didapati seperti bunga Gulambie Hayam dan bunga – bunga rumput.

Selain dari mengubati orang, Si Nidun seringkali kelihatan mundar mandir tanpa diketahui dari mana dan ke mana perginya. Tetapi Si Nidun ke manapun biasanya akan berjalan kaki dan akan menolak jika di bawa menaiki kereta. Yang ganjilnya ramai orang kampung mendapat cerita baru, Si Nidun seringkali dilihat berada di tempat berlainan pada masa yang sama. Kerana keganjilan ini, keanehan cara perubatannya, dan sikapnya yang sering tidak diketahui dari mana dan ke mana perginya dan adakalanya tidak boleh dijumpai, ramai yang berpendapat beliau sebenarnya berkahwin dengan Oang Kabanaan. Si Nidun mungkin telah pun meninggal dunia, tetapi tiada orang yang tahu di mana kuburnya sehingga sekarang ini.


Bersambung ke Siri 9.
--------------------------------

Peringatan: Pendapat pengarang di dalam artikel ini dan mana – mana artikel di laman web ini tidak melambangkan pendirian rasmi kadayanuniverse.com. Oleh itu budibicara para pembaca adalah diperlukan untuk menilai sendiri setiap kandungan artikel yang dipaparkan di dalam laman web ini. Terutama di dalam soal norma – norma sosial, metafizik, fekah, tassauf, kesufian, kebatinan dan seumpamanya, pendirian kadayanuniverse.com bersandar kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut persepsi Mahzab Syafie yang diamalkan di Malaysia. Paparan artikel adalah berdasarkan pandangan peribadi penulis mengenai elemen - elemen yang ada di dalam lingkungan masyarakat Kadayan di tempat – tempat tertentu sahaja dan; mungkin TIADA pada masyarakat Kadayan di tempat lain. Artikel ini dibuat dengan tujuan baik [on good faith] dan kadayanuniverse.com adalah platform untuk para penulis untuk menyalurkan ide mereka secara bebas selari dengan semangat dunia terbuka internet. Kadayanuniverse.com menyiarkannya dengan kepercayaan ia dibuat tanpa tujuan untuk mempersendakan sesiapa atau mengaitkan orang Kadayan dan mana-mana kaum di Malaysia dengan kemunduran dan kebodohan.

No comments:

Post a Comment