Pengalaman berkaitan dengan Oang kabanaan
Sejak enam siri yang lepas, kita telah cuba untuk menjelaskan mengenai siapa yang dikatakan sebagai Oang Kabanaan. Secara umumnya, keputusan analisis kita cenderung untuk menyimpulkan bahawa Oang Kabanaan berkemungkinan besar merujuk kepada golongan Giin, manusia atau kedua – duanya, bergantung kepada gambaran – gambaran yang diperolehi dari orang – orang Kadayan yang pernah bertemu dengan mereka. Oleh yang demikian kali ini kita akan memaparkan pengalaman beberapa orang Kadayan berhubungan dengan Oang Kabanaan.
Kesemua cerita ini diperolehi dari daerah Sipitang dan WP Labuan dan peristiwa – peristiwa yang berlaku adalah dari 1960 sehingga sekarang. Terdapat tiga sumber lisan, samaada diterima terus oleh penulis dari orang yang mengalaminya [pihak kedua] ataupun diterima oleh penulis dari orang yang mendengar cerita dari orang yang mengalaminya [pihak ketiga]. Cerita ini adalah asli, bukan disunting dari mana – mana artikel atau majalah misteri, bukan juga rekaan penulis sendiri. Nama orang – orang yang terlibat dan tempat diubah bagi mengelakkan sensitiviti yang mungkin berbangkit di belakang hari nanti.
1. Cerita – cerita dari Aimulah Tua
Aimulah Tua memiliki perwatakan yang biasa dan kuat beragama. Beliau kelihatan amat biasa, tetapi sangat jovial dan bukan orang yang cenderung ke arah ilmu – ilmu kebatinan Kadayan. Tetapi beliau memiliki kelainan yang tersendiri, hidup beliau amat dekat dengan kehidupan hutan. Beliau memiliki 15 ekar tanah di kawasan berbukit bukau bernama Akaab. Kawasan ini pernah dirancang untuk menjadi kampung, tetapi rancangan berkenaan terbengkalai menyebabkan kawasan ini dipenuhi dengan hutan. Walau bagaimanapun Tua dan sahabatnya Aimulah Tangah Kanah meneruskan usaha mereka membangunkan kebun getah. Oleh itu sebahagian besar dari masa mereka adalah berurusan dengan hutan, di dalam seminggu mungkin dalam empat, lima hari dan selebihnya di kampung untuk berurusan dengan anak isteri dan menambah bekalan yang habis. Berikut merupakan beberapa pengalaman beliau yang menarik untuk tatapan pembaca:
a) Azan Subuh di hutan
Mengikut Tua, pada tahun – tahun awal beliau memugar tanah, di dalam tahun 1968 – 1969, pada kebanyakan masa beliau adalah berseorangan tinggal junjung beliau. Tambahan pula kedudukan kebun beliau dengan Tangah Kanah adalah umpama dari sudut paling kiri ke sudut paling kanan di antara tanah adik beradik Tua dan tanah adik beradik Tangah Kanah. Tanah Tangah Kanah paling hampir dengan kampung yang terdekat, lebih kurang satu jam setengah perjalanan kaki. Lebihkurang sejam lagi diperlukan untuk sampai ke tanah beliau. Oleh itu pada kebiasaannya Tua tinggal di junjung beliau seorang diri. Terlalu lama dan biasa tinggal keseorangan di dalam hutan boleh menerbitkan perasaan yang aneh, menurut Tua dan Tangah Kanah. Kita akan menjadi amat sensitif dengan persekitaran. Yang menariknya, kita akan dapat “merasakan” kehadiran orang lain di sekitar dua, tiga batu dan bila ini berlaku mereka akan ngokok1.
Pada suatu Subuh, Tua terjaga untuk menunaikan Solat dan pada ketika itulah laungan azan begitu kuat dan merdu dari kawasan tanah milik Sunding, seorang Lundayeh. Tua cukup pasti tiada orang di sekitar, apatah lagi tanah berkenaan masih merupakan hutan tua2. Suara berkenaan cukup merdu, bergema, tidak bingit tetapi amat jelas dari mula sehingga akhir. Bagi Tua, semua azan yang pernah didengarnya sebelum dan selepasnya tidak mampu menandingi azan subuh di bukit Kab. Tetapi menurut Tua, Ungkapan "assolatu khairu minan naum" di dalam azan Subuh berkenaan ditukar menjadi "assolatu khairu minan nok".
b) Anak Kecil di atas batu
Pada sekitar tahun 1969 Tua sekali kagi mengalami peristiwa yang lebih aneh. Pada suatu senja kira - kira waktu maghrib, suasana senja mula meremang meliputi kawasan sekitar. Tua pula ketika itu di dalam perjalanan pulang dari kebun menuju ke kampung dan sedang berada di antara junjung Tangah Kanah dengan hujung kampung. Kiri kanan kawasan adalah hutan tanpa penghuni dan Tua sedang melewati satu anak sungai berbatu. Tiba tiba beliau melihat seorang anak kecil di dalam usia empat hingga lima tahun di atas batu di hadapan. Budak itu nampaknya sedang mandi tetapi ketika itu hendak tergelincir. Tua dengan tindakbalas semulajadi beliau sebagai orang dewasa, dengan bakang di sikut di belakang dan parang dipinggang terus meluru ke hadapan dan sempat menangkap tangan anak berkenaan sebelum jatuh.
Tidak diketahui apa yang berlaku selepas itu, penulis tidak sempat bertanya lanjut. Cerita ini timbul kembali di dalam tahun 1991. Dalam satu pertemuan dengan seorang kawan, orang itu secara misteri tiba - tiba bertanya kepada Tua sama ada, ada atau tidak Oang Kabanaan bernama Hj Soman di kawasan berkenaan, dan Tua menafikannya. Namun begitu beberapa hari kemudian Tua memberitahu anak beliau bahawa Hj Soman memang ada dan anak Hj Somanlah yang beliau selamatkan tempoh hari.
c) Manusia Aneh
Pengalaman ini dialami oleh Aimulah Tua pada tahun 1992, lebih kurang sebulan sebelum beliau meninggal dunia kerana kemalangan di kebun. Malam berkenaan beliau sedang memburu di sekitar kawasan yang agak jauh dari kebun. Lengkap bersuluh, bakang autan kegemaran beliau, bersenjatakan parang dan senapang, mencari apa – apa binatang; pelanduk, kijang, payau kah kan jadi pauntungan. Besoknya hari Khamis, dan Tua biasanya akan balik ke kampung untuk ke pekan menjual getah, membeli barang keperluan serta menunaikan solat Jumaat. Beliau tiba di kawasan berbukit dan seterusnya menuju ke kawasan yang agak landai tetapi menaik dan kiri kanan saluk berkenaan dipenuhi halingkawang.
Terdapat batang kayu selari dengan saluk yang menjadi laluan beliau. Pada masa inilah Tua melihat kelibat sesuatu yang bergerak gerak. Pelanduk mungkin, fikir beliau sambil menghalakan lampu suluh ke arah kelibat berkenaan dengan tangan kiri dan mencapai senapang yang disikut dengan sling3. Sebaik sahaja lampu suluh Tua menerangi sudut yang dimaksudkan, alangkah terkejutnya beliau kerana yang disuluh itu ternyata manusia laki bini yang bersaiz kecil.
Kecil kerana pasangan manusia tidak lebih tinggi dari batang kayu yang mahalintang saluk berkenaan. Tua menggosok matanya berkali – kali, juga baastagapaa berulang – ulang, tetapi makhluk berkenaan tetap wujud di hadapannya. Setelah beberapa ketika Tua dapat mengawal diri dan meyakinkan dirinya sendiri betapa besarnya keagungan Allah SWT. Beliau juga menyedari suluhan lampu picit beliau mungkin membuatkan pasangan berkenaan menjadi silau, jadi beliau bertindak meletakkan lampu picitnya di tanah, mengalih arah suluhan tetapi masih menerangi lokasi sekitar, termasuk pasangan manusia aneh itu.
Tua mengambil keputusan untuk berhenti. Beliau melepaskan bakang beliau, melihat ke jam tangan beliau menunjukkan lebih kurang pukul 9 lebih. Kedua manusia berkenaan juga tidak berjalan, sebaliknya yang lelaki, dalam lingkungan 50an sesekali kelihatan berkata – kata dengan isterinya mengenai sesuatu. Kadang kala menampar muka, badan dan kaki mungkin untuk menghalau nyamuk. Pada ketika ini Tua telah pun bertenang malah duduk menghadap manusia itu di dalam jarak empat hingga enam kaki dari tempat mereka berdiri. Percaya atau tidak, Tua dengan tenang malah mengeluarkan kantung sigup kasaa, menggulung dan siap usai usai basigup sambil terus memerhati.
Sesekali Tua dan orang lelaki berkenaan bertukar pandang, tetapi tanpa sepatah kata dari mulut masing – masing. Tiada raut cemas di muka orang itu terserempak dengan Tua. Orang lelaki berkenaan berambut pendek, bermisai hitam tebal dan pakaian kedua – duanya berwarna hitam seperti pakaian orang di zaman lampau, tidak berkasut dan nyikut sesuatu. Manakala isteri beliau berpakaian seolah – olah berkemban juga berwarna hitam. Dari pemerhatian Tua, pasangan ini akan berjalan ke arah bawah saluk.
Keadaan saling memerhati ini berterusan sehingga Tua habis menghisap kiai beliau, lebih kurang sepuluh, lima belas minit. Seterusnya Tua berdiri semula, mengenakan sikutan, mengambil senapang dan lampu picit beliau lalu berkata kepada pasangan berkenaan “Kita ni sama – sama mancahai makan, tapi tajumpa pulang kita malam ani. Bah, bajalan tah kita. Aku ni kan ka hadapan, ku lihat kamu ni kan ka sana” . Pasangan itu jelas memahami perkataan Tua, lalu mereka berjalan ke arah bawah. Tua menyuluhi mereka dari tempatnya berdiri dan kelihatan kedua – duanya gaamak – gaamak, inggut – ingut sehingga hilang dari pandangan.
Tua terus balik ke junjung beliau selepas insiden itu, tetapi beliau tidak puas hati mengenai satu perkara iaitu saiz mereka yang kecil. Besoknya sebelum beliau balik ke kampung, sekali lagi beliau memeriksa lokasi misteri berkenaan. Ternyata kayu yang mahalintang itu masih ada, dan tingginya adalah separas lutut beliau sahaja!
---------------------------------------------------------------------------------------------------
Hantu filem "Three Man And A Baby". Anak panah menunjukkan objek hantu kanak-kanak yang muncul di dalam filem "Three Man And A Baby". "Kanak-kanak" itu tidak kelihatan semasa penggambaran filem berkenaan. Menurut cerita, rumah tempat lakunan filem tersebut merupakan rumah yang pada suatu masa dahulu di huni oleh keluarga kanak-kanak tersebut. Dia dikatakan mati tertembak dirinya sendiri ketika bermain dengan senapang kepunyaan bapanya.
http://www.geocities.com/muzzafar/3man.html.
---------------------------------------------------------------------------------------------------
Bersambung ke Siri 8.
--------------------------------
Nota Kaki
1Cara orang Kadayan menyapa antara satu sama lain jika jarak antara mereka samaada terlindung ataupun berada jauh diantara satu sama lain. Kokok melibatkan jeritan perkataan yang tidak bermakna tetapi bernada tinggi seperti Oooohhhhhhh! atau Uhhhhhoiiiii!. Ia kelihatan agak pelik tetapi selepas bertahun – tahun, setiap orang boleh mengenali suara dan dua tiga jenis kokokan seorang. Suara dan nada kokokan ini dikenali secara khas, boleh dibezakan dan sukar untuk ditiru oleh orang yang baru datang ke satu – satu tempat itu.
2Hutan yang belum dipugar, belum dipersiapkan untuk dikebuni.
3Tali yang digunakan untuk menggandar senapang.
--------------------------------
Peringatan: Pendapat pengarang di dalam artikel ini dan mana – mana artikel di laman web ini tidak melambangkan pendirian rasmi kadayanuniverse.com. Oleh itu budibicara para pembaca adalah diperlukan untuk menilai sendiri setiap kandungan artikel yang dipaparkan di dalam laman web ini. Terutama di dalam soal norma – norma sosial, metafizik, fekah, tassauf, kesufian, kebatinan dan seumpamanya, pendirian kadayanuniverse.com bersandar kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut persepsi Mahzab Syafie yang diamalkan di Malaysia. Paparan artikel adalah berdasarkan pandangan peribadi penulis mengenai elemen - elemen yang ada di dalam lingkungan masyarakat Kadayan di tempat – tempat tertentu sahaja dan; mungkin TIADA pada masyarakat Kadayan di tempat lain. Artikel ini dibuat dengan tujuan baik [on good faith] dan kadayanuniverse.com adalah platform untuk para penulis untuk menyalurkan ide mereka secara bebas selari dengan semangat dunia terbuka internet. Kadayanuniverse.com menyiarkannya dengan kepercayaan ia dibuat tanpa tujuan untuk mempersendakan sesiapa atau mengaitkan orang Kadayan dan mana-mana kaum di Malaysia dengan kemunduran dan kebodohan.
No comments:
Post a Comment