Tuesday, June 20, 2006

Kadayan dan Orang Bunian 6

Written by WaJiD Manis


Oang Kabanaan: Manusia?

Beberapa orang tua – tua Kadayan yang ditemui masing – masing memberikan teori mereka sendiri mengenai siapa yang dinamakan sebagai Oang Kabanaan. Menurut mereka Oang Kabanaan sebenarnya adalah manusia biasa yang mempunyai ilmu yang tinggi, memiliki keistimewaan dan kelebihan – kelebihan tertentu sehingga mereka menjadi Oang Kabanaan. Oang Kabanaan adalah manusia yang telah menemui sesuatu rahsia alam yang tersembunyi.


Rahsia ini mereka gunakan untuk hidup secara tersendiri di dunia secara terpisah dari manusia – manusia biasa yang lain. Oleh kerana keistimewaan ini mereka kemudian wujud menjadi orang alus. Mereka hidup dalam masyarakat mereka sendiri [self sustenance]. Sekali sekala berdasarkan keperluan jika mereka mahu, mereka akan berhubung dengan kita. Mereka juga mungkin akan membantu kita [mungkin juga mengganggu] jika mereka mahu. Ringkasnya, Oang Kabanaan adalah manusia istimewa yang menjadi alus disebabkan mereka mempunyai ilmu, kelebihan atau pun kerana mereka menemui rahsia – rahsia alam yang tidak diketahui oleh orang lain.

Perkataan alus di sini bukannya bermaksud damit, tetapi kerana ia tidak dapat dicapai dengan pandangan mata kasar kita. Istilah lathif, latif di dalam bahasa Arab lebih tepat menerangkan keadaan ini. Sesetengah orang tua – tua memberikan sebab kenapa mereka menjadi orang alus; “mun inda sasak kita luan hantap banyak yang tinggal jan kita di dunia ani”. Satu penyelesaian kepada masalah kependudukan yang baik, jika ia benar – benar berlaku. Setidak – tidaknya, kita tidak lagi perlu bersandar kepada teori kependudukan Malthus untuk menyelesaikan masalah perkembangan kependudukan dan perkembangan makanan.

---------------------------------------------------------------------------------------------------
Gambar diambil menggunakan kamera telefon di dalam apartment di Mont Kiara, Selangor. Perhatikan "wanita" yang duduk di sebelah belakang lelaki ini. Dia tidak sepatutnya berada di situ kerana tiada tempat untuk duduk di sebelah luar pagar beranda apartment berkenaan.



http://www.liewcf.com/blog/archives/2004/07/believe-it-or-not-hantu/
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Istilah Oang Kabanaan itu sendiri adalah mengundang rasa ingin tahu kita, kenapa orang Kadayan memanggil mereka dengan istilah itu. Istilah yang terhampir Oang Kabanaan di dalam istilah Bahasa Melayu ialah “Orang Bunian”, entahkan betul entahkan tidak. Penyelarasan istilah ini sebenarnya tidak pernah dibuktikan, sebaliknya dibuat kerana wujudnya persamaan bentuk komunikasi yang berlaku antara Oang Kabanaan – Orang Bunian – manusia.

Perkataan pokok “Kabanaan” ialah banaa. Jika dimelayukan secara literal1 bermaksud kebenaran2. Oleh itu Kabanaan3 dengan dengan menambilkira fungsi imbuhannya boleh membawa maksud luan hantap banaa, kebenaran dan membenarkan. Tiga perkataan ini nampaknya mudah tetapi maksudnya amatlah dalam. Perhatikan, Al-Amin adalah gelaran kepada Nabi SAW dan Siddiq merupakan sifat Baginda. As-Siddiq juga merupakan gelaran kepada Saidina Abu Bakr. Al-Amin dan As-Siddiq membawa erti yang sama iaitu kebenaran dan membenarkan. Di dalam sejarah Islam, hanya Saidina Abu Bakr yang digelar dengan gelaran ini. Ini kerana sifat beliau yang mempunyai keimanan [kepercayaan] yang amat tinggi, membenarkan kata kata Nabi SAW serta mengikutinya dengan penuh keyakinan tanpa keraguan. Beliau percaya sejak dari kali pertama mendengar perkara tauhid yang tidak sebelum itu asing kepadanya daripada Rasulullah SAW.

Perkataan membenarkan juga mempunyai tempat yang tinggi di dalam pengajian kesufian dan tassauf. Ia adalah keadaan, pandangan, sikap dan perilaku yang tidak diikuti dengan penafian, prasangka dan sebarang tanggapan apa jua pun. Hamzah Fansuri menjelaskan bahawa di dalam maqam makrifat keadaannya ialah menyaksikan [syahid] mengenai apa yang disaksikan [tasyahud] dan apa yang disaksikan itulah kesaksian [syuhud] dan alam ini ialah alam kesaksian [musyahadah] yakni alam yang membenarkan.

Kesimpulannya, jika manusia menjadi Oang Kabanaan kerana ilmu maka sudah pasti ilmu mereka adalah sangat tinggi. Ilmu yang dimiliki membolehkan mereka tinggal di alam parallel4 secara beramai –ramai dengan membawa seluruh keluarga mereka ke alam berkenaan. Bukan itu sahaja, sehingga keturunan mereka juga masih memiliki keistimewaan berkenaan! Jika benar, maqam makrifat yang mereka miliki melebihi kemampuan tokoh – tokoh sufi terkenal dunia seperti Mansor Al-Hallaj, Abdul Qadir Al-Jilani, Muhyuddin Al-Arabi, Jalaluddin Al-Rumi dan Hamzah Fansuri. Al-Hallaj dan Fansuri misalnya, tidak akan berserah untuk dihukum bunuh jika mereka mempunyai cara untuk tinggal di dunia parallel.

Bagaimana jika manusia menjadi Oang Kabanaan kerana kelebihan dan keistimewaan yang dianugerahkan kepada Allah SWT kepada mereka?

Ini adalah persoalan menarik, tetapi anugerah yang terlalu istimewa dan berlawanan dengan sunnatullah [hukum alam] biasanya terjadi untuk keadaan tertentu yang sangat istimewa dan kepada orang yang terpilih bagi menunjukkan kekuasaanNya. Contohnya Nabi Isa AS dilahirkan tanpa bapa, Nabi Khidir AS dianugerahkan dengan umur yang panjang dan tujuh penghuni gua5 tidur sehingga melebihi tiga abad lamanya. Tetapi para faquha6 telah memberikan panduan, perkara berkenaan tidak terjadi kepada manusia biasa, hanya kepada manusia – manusia pilihan. Jadi, sukar untuk membayangkan bagaimana keistimewaan berkenaan diberikan kepada begitu ramai orang sehingga manusia mampu membentuk kelompok Oang Kabanaan.

Kemungkinan ketiga ialah manusia menjadi Oang Kabanaan kerana menemui rahsia tertentu alam sehingga mereka berupaya melakukan perkara – perkara yang luarbiasa termasuk tinggal secara parallel di dunia ini. Rahsia alam memang ada dan banyak. Selaras dengan namanya iaitu rahsia, ia adalah suatu pauntungan kepada mereka yang mempunyainya sahaja dan tetap tersembunyi dari pandangan luar. Di antara rahsia alam yang baru – baru diketahui dan diketahui ada tetapi tidak diketahui sebab musababnya ialah:


a) Di udara terdapat kelompang arus yang merupakan rahsia kenapa rama – rama yang biasanya tidak terbang laju mengembara beribu kilometer di antara Taiwan dan Jepun dengan kelajuan yang tinggi.

b) Kemajuan teknologi geografi kuno lebih maju dari masa sekarang. Di dalam kurun ke 16 seorang Panglima Tentera Turki, Pirri Reis menemui peta purba yang menggambarkan bentuk mukabumi benua Antartika di Kutub Selatan sebelum benua berkenaan dilitupi ais sedangkan, sehingga tahun 1970an, tiada siapa pun yang tahu mengenai mukabumi benua berkenaan.

c) Orang Atzec di Amerika Selatan boleh meraut, membentuk dan menempa batu –batuan seperti orang Kadayan bertukang kayu.

d) Di kawasan tertentu seperti kawasan misteri Bermuda Triangle di Amerika Selatan yang ditakuti kerana banyak peristiwa kehilangan kapal dan kapalterbang, ada ciri – ciri alam di sana yang tidak sepatutnya ada di mukabumi seperti ada aliran magnetic yang aneh dan sebagainya.


Tetapi bukti – bukti di atas masih belum menjawab persoalan mengenai kehadiran rahsia alam berkaitan dengan wujudnya ruang parallel di dunia ini. Mungkinkah?



Bersambung ke Siri 7.
--------------------------------
Nota Kaki

1Diterjemahkan secara harfiah, secara kasar mengikut congak lebih kurangnya.

2Perkataan seerti yang lain ialah truth, true, hakikat.

3Tetapi sebelum itu kita harus memahami kewujudan imbuhan “ka” dan “an” pada perkataan berkenaan di dalam konteks bahasa Kadayan. Bagi orang Kadayan, penambahan imbuhan boleh menyebabkan erti sesuatu perkataan berkenaan menjadi berlainan langsung berbanding dengan maksud asalnya. Contohnya kabilangan. Bilang bermaksud hitung, tetapi penambahan “ka” dan “an” padanya membawa masuk terbilang, tersohor malah juga perilaku seseorang yang berlagak. Contoh lain ialah kabalikan. Balik bermaksud songsang, tetapi penambahan “ka” dan “an” menerangkan proses – proses karma iaitu merupakan balasan yang seakan akan sama ke atas perbuatan dan perkataan yang dilakukan oleh seseorang kepada orang lain.

4Ruang, tempat tinggal selari dengan alam kita tetapi tidak kelihatan. Jalan tinggal yang batapas tapas, aah kita aah basia jua tapi kita inda taasai, basia pun inda taasai, masing masing jan dunianya.

5Ashabul Kahfi.


6Cerdik pandai di dalam bidang perundangan Islam , ahli – ahli fekah.
--------------------------------


Peringatan: Pendapat pengarang di dalam artikel ini dan mana – mana artikel di laman web ini tidak melambangkan pendirian rasmi kadayanuniverse.com. Oleh itu budibicara para pembaca adalah diperlukan untuk menilai sendiri setiap kandungan artikel yang dipaparkan di dalam laman web ini. Terutama di dalam soal norma – norma sosial, metafizik, fekah, tassauf, kesufian, kebatinan dan seumpamanya, pendirian kadayanuniverse.com bersandar kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut persepsi Mahzab Syafie yang diamalkan di Malaysia. Paparan artikel adalah berdasarkan pandangan peribadi penulis mengenai elemen - elemen yang ada di dalam lingkungan masyarakat Kadayan di tempat – tempat tertentu sahaja dan; mungkin TIADA pada masyarakat Kadayan di tempat lain. Artikel ini dibuat dengan tujuan baik [on good faith] dan kadayanuniverse.com adalah platform untuk para penulis untuk menyalurkan ide mereka secara bebas selari dengan semangat dunia terbuka internet. Kadayanuniverse.com menyiarkannya dengan kepercayaan ia dibuat tanpa tujuan untuk mempersendakan sesiapa atau mengaitkan orang Kadayan dan mana-mana kaum di Malaysia dengan kemunduran dan kebodohan.

No comments:

Post a Comment