Alkisah tertulis di dalam Hikayat Seribu Satu Malam, tentang Ali Baba dan 40 Orang Penyamun.
Gambar Ali Baba
Ali Baba terserempak dengan sebuah sarang penyamun. Dengan menggadaikan untung nasibnya, dia menyelinap masuk ke dalam gua berkenaan. Beliau kemudian lalu 'menyamun' harta benda penyamun yang ada sedaya upaya, selarat angkatan tulang empat kerat beliau.
Abangnya, Kassim Baba bagaimanapun lebih 'tamaha', tamak. Beliau memaksa Ali Baba memberitahunya tentang kedudukan gua berkenaan dengan harapan dapat 'tumpang sekaki' mengaut harta benda yang bertimbun-timbun di dalam gua.
Tapi Kassim Baba bernasib malang kerana ketamakannya. Beliau mahu mengangkut semua harta-benda yang ada. Akibatnya beliau telah dibunuh, telah kehilangan nyawa sendiri.
Selain dari lucu, cerita di atas sebenarnya sarat dengan pengajaran.
Jika seekor tikus kebetulan terjatuh ke dalam guni beras, 'sebaik-baik' perkara yang mungkin dilakukannya ialah makan makan dan makan sekenyangnya sebelum beredar dari situ.
Tikus tidak begitu bijak dalam politik. Ia tidak mampu menganjurkan 'serangan' besar- besaran dengan mempengaruhi semua puaknya menuju ke guni berkenaan.
Juga, ia tidak mampu untuk mengendalikan sebarang peralatan seperti kereta sorong untuk mengangkut semua beras yang ada di dalam guni. Jadi, jumlah beras yang kurang dari guni adalah sebanyak yang boleh termuat oleh isi perut si tikus sahaja.
Tuan empunya beras tetap dengan habuan yang tertinggal walaupun tetap menyumpah seranah dan memaki hamun si tikus durjana.
Bagi saya, kisah Ali Baba dan si tikus adalah amat dekat dengan politik selain dari hayam laki si Wajid Manis yang sering bikin onar itu.
Politik adalah berkaitan dengan kuasa. Kuasa yang ada menjadikan anda seperti Ali Baba yang terserempak dengan gua penyamun atau si tikus yang terjumpa dengan guni beras.
Saya tidak menyentuh dari segi agama atau etika. Tetapi bagi Ali Baba dan si tikus, mereka menyamun hanya untuk perut mereka, tidak lebih dari itu.
Tetapi yang amat merbahaya di mata saya ialah ahli-ahli politik yang seperti Kassim Baba yang tamaha, tamak yang teramat sangat. Bagaimana kita memikirkan dengan logik seseorang ahli politik menjadi begitu kaya raya dengan harta beratus juta.
Entah dari mana mereka mendapatnya, bagaimana mereka memperoleh hanya Tuhan yang tahu.
Tetapi hakikatnya rakyat biasa seperti saya hanya mampu berpesta dan mendapat wang saku RM20-RM30 setiap lima tahun sekali. Alangkah jauh bezanya begini...
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian KadayanUniverse.Com mengenainya - Kaawai Tanah.
No comments:
Post a Comment