Wednesday, April 16, 2008

Aku Oang Daat - Part 4

Kalajiau Ingaa

Laik: Part I, II & III


 

I. Alam Daat yang Ceria

Orang Kadayan memang sinonim dengan permainan gasing. Sudah tentu ini termasuk hal ehwal pembikinan gasing yang menjadi alat permainan.

Laik Gasing
Dengarnya di Sabah, orang-orang Kedayan di Sindumin (Sipitang) sering menghantar pemain-pemain untuk bermain gasing di Semenanjung saban tahun.

Tentang permainan, kami tidaklah maju sampai menjelajah ke semenanjung ketika itu.

Di zaman kanak-kanak, alam permainan kami berjalan di dalam bentuk kitaran. Ia merupakan rentetan dari musim ke musim.

Maksudnya, apabila musim senapang buluh, dari si Nonong yang batampang sampailah si Asan yang bahingoo akan tangkin-tangkin dengan senapang mereka. Tiba musim main guli pula, antie-antie poket seluar kiri dan kanan, penuh dengan guli untuk 'diperjudikan' dengan para pencabar yang sentiasa ada di gelanggang.

Begitulah, sama halnya apabila tiba musim main gasing. Semua ke hulu ke hilir siap dengan peragaan gasing masing-masing.

Seingat saya terdapat dua jenis gasing yang biasa, gasing pupuh dan gasing tahan.

Saya akan menulis dengan lebih lanjut mengenai gasing, nanti.

 II. Laik

Kali ini saya mengemukakan alat yang digunakan untuk membuat gasing, pelarik, kami panggil sebagai “laik”.
Komponen Laik (pelarik) Gasing

Laik ini merupakan jentera manual yang ringkas. Ia boleh anda lihat seperti lakaran di atas.

Jentera ini mengandungi empat komponen berikut:

1. Pelantur anjal – Ia diperbuat daripada batang kayu yang agak panjang, antara 7 hingga 8 kaki dan mampu melentur dan membingkas -mempunyai keanjalan untuk membolehkan putaran laik berlaku. Kemudian harinya pelantur ini beralih kepada bahan yang lebih mudah didapati, baladaa (getah tiub tayar) dan atau, spring.

2. Tali – berfungsi sebagai penghubung kepada pelantur dan pangunggak. Ia dililitkan kepada bakal gasing untuk membolehkannya berpusing.

3. Pelantar Kerja – Tempat di mana proses melarik gasing dilakukan

4. Panggunggak – Pemacu laik supaya pusingan yang berterusan berlaku dan bakal gasing dapat dibentuk.

Laik memang jentera yang ringkas, tetapi penting untuk membentuk gasing yang bermutu.

Laik membolehkan bentuk gasing yang sempurna dibuat. Ini termasuklah dari segi pusingan yang cantik tanpa keadaan gimbal dan rupa gasing yang cantik. Jika hanya mengharapkan parang dan pisau peraut – alamatlah rupa bentuk gasing yang siap macam rupa buah kelapa kering yang kecut, cukup dengan gimbalnya dan menjadi bahan ketawa yang berpanjangan.
 

III. Kemahiran, pengetahuan dan Tamadun

Agak malang kerana penggunaan laik ini terhad terutamanya untuk membuat gasing sahaja. Jika tidak sudah tentu kita boleh mengesan saki baki seni pertukangan tangan kadayan yg lebih besar, meluas dan bermakna seperti pembikinan tingkap, beranda, perabot, alik dan sebagainya.

Pun, ini bukanlah suatu pembaziran kemahiran seluruhnya.

Orang Cina di masa lampau contohnya merupakan pencipta kompas yang pertama di dunia. Masalahnya, alat yang berharga ini hanya diguna oleh sami-sami Tao untuk membetulkan kedudukan keranda semasa pengkebumian, bukan untuk menjadi penunjuk arah yang lebih bermakna.

No comments:

Post a Comment