Monday, April 28, 2008

Cigu Tangah, Aktivis Gasing Sipitang

Written by Arimi Sidek

En. Tengah @Mohd Idris bin Hj. Bongsu, 54, merupakan seorang aktivis gasing yang amat dikenali di negeri Sabah. Beliau telah berkecimpung aktif di dalam sukan ini sejak 10 tahun yang lalu. Di Sipitang, beliau lebih dikenali dengan nama “Cigu Tangah” (Cikgu Tangah).


 Cikgu Tangah aktivis gasing Sipitang

Sekarang ini Cigu Tangah adalah merupakan jurulatih rasmi pasukan untuk pemain-pemain gasing di bawah 13 tahun, menerusi Program Jurulatih Seni Budaya Negara (JSBN) 2008 sejak tiga tahun lepas (2005 – kini).



Anak-anak didik beliau tidak syak lagi adalah pasukan pelapis permainan gasing yang bakal menentukan kesinambungan satu aspek budaya kedayan ini di masa hadapan.

Pada ketika ini pasukannya yang terdiri dari kanak-kanak sekolah rendah adalah berjumlah seramai 20 orang. 17 daripada mereka merupakan pemain tetap yang terbabit di dalam mana-mana pertandingan yang disertai.

Pencapaian terbaik pasukan mereka ialah mendapat tempat ketiga selepas pasukan Selangor dan Negeri Sembilan di dalam pertandingan gasing di Festival Kesenian Kanak-kanak peringkat kebangsaan 2006 yang telah diadakan di Kuantan, Pahang.

Menurut beliau, pusat sebenar perkembangan gasing Sabah ialah di Sipitang. Kawasan yang paling aktif pula di kg. Sindumin, kg. Pantai dan sedikit di Ulu Sipitang.

Cigu Tangah turut menyebutkan beberapa tokoh gasing di daerah ini.

Di antaranya ialah En Anuar Hj. Ibrahim – rakan beliau di dalam bergasing. Anuar merupakan pengurus pasukan gasing dewasa selain dari pakar pembuatan tali gasing moden yang dibuat dari tali benang (gantihan gudang).

Sementara itu pakar pembuat gasing yang terkemuka di daerah Sipitang ialah Hj. Hamid Saban. Beliau membuka bengkel tetap di rumahnya dan mempunyai tiga pelarik elektrik yang diguna untuk menghasilkan gasing-gasing moden berdasarkan spesifikasi piawaian AGA – Asian Gasing Association.

Banyak suka duka dan pahit maung perjuangan Cigu Tangah di dalam dunia gasing.

Paling pahit, beliau turut diseret di dalam ceca merba politik persatuan yang lumrah di mana-mana. Menurutnya, segelintir ahli yang yang tidak berpuas hati dengan pengurusan persatuan telah berusaha untuk membatalkan pendaftaran Persatuan Gasing Sipitang atas masalah teknikal pada 2007.

Namun semua ini tidak mematahkan semangatnya untuk terus bergiat di dalam sukan gasing. Ketika ditemui beliau sedang rancak mengatur strategi untuk pertandingan yang terdekat, Sukan Gasing Borneo 2008 sempena sambutan harijadi DYMM Sultan Brunei di Bandar Seri Bagawan, Negara Brunei Darussalam.

Comments

A.S. Kasah - Ucapan Tahniah dan Syabas |2008-04-28 10:30:46


Tahniah dan Syabas saya ucapkan kepada Sdr Arimi Sidek atas usaha beliau menulis berkaitan budaya dan tradisi Kadayan di dalam laman web ini. Saya yakin Sdr Arimi Sidek dan ramai lagi aktivis-aktivis budaya dan tradisi Kadayan diluar sana yang dapat menyumbang ke atas memperkasa budaya dan trasisi Kadayan. Tahniah.

No comments:

Post a Comment