Wednesday, April 30, 2008

Aku Oang Daat - Part 6

Written by kalajiau ingaa

Tumpung 2. Ruang dapur oang daat.
Kamar mandi? Jangan berguraulah.
Rumah kami oang daat tiada konsep kamar mandi bah. Kecualilah anda seorang bayi, orang tua lali, orang sakit, baru beranak atau mati. Biasanya di zaman saya, kami TIDAK mandi di rumah.
dapur orang kedayan
Tiada singki di rumah. Tiada tandas. Yang ada ialah 'kawasan basah' berdekatan dengan dapur. Ia merupakan kawasan berlantai jarang supaya air senang jatuh ke bawah rumah dan lama kelamaan air bertakung, menjadi kawasan 'palacahan'.
Hati-hati berada di kawasan ini. Saya katakan demikian kerana struktur lantainya jarang dan lagi pula sentiasa basah. Jadi ada kawasan yang mungkin telahpun mumut, dan anda mungkin akan tapuuk di mana-mana jika tidak cermat.
Bagaimanapun jua kawasan basahan adalah kawasan serbaguna. Ia merupakan pusat aktiviti rumahtangga seperti untuk membasuh pinggan mangkuk, menyiang ikan, memandikan bayi, kawasan membuang air kecil dan sebagainya.
Kawasan ini mengandungi tadahan air yang mampu menampung keperluan air dalam rumah berkenaan untuk sehari dua.
Ada dua bekas air yang mesti ada di semua rumah oang daat.
Pertama tajau. Kedua tampayan. Kedua-duanya pun disebut tempayan di dalam bahasa melayu baku. Tajau (juga dikenali sebagai ipang) merupakan jenis tempayan yang bermulut kecil. Sekurang-kurangnya itu yang kami faham. Manakala tempayan merupakan tempayan yang bermulut besar dan biasanya ditutup menggunakan talam.
Air dari tajau dan tampayan dicedok keluar menggunakan gayung. Sebelum diganti dengan gayung plastik, ia diperbuat dari tempurung kelapa yang bertangkai panjang panjang (disebut tataan).
Di setengah rumah pernah saya lihat, tin susu isian pekat manis, susu 'junjung' diubah suai dengan diberi tataan menjadi gayung.
TIADA peti ais ketika itu. Soal air masak, air mati atau air jarang tidak begitu dipedulikan. Lepas makan, lepas main atau bila-bila kaing lihii, terus luju-luju ka dapoo, cedok air dari tajau dan terus minum begitu saja.
Kami malah menggemarinya. Rasanya sejuk, tanpa asa asap dan sejuk segar. Apa punya perut daa, rasanya kuman pun surrender dengan perut oang daat ani.
Tajau tampayan ini perlu dibersihkan sekali sekala.
Bila tiba masa untuk nguah-nguahi, ngiah-ngiahi tajau atau tampayan kami dikerah untuk mengambil air untuk keperluan mencuci dan juga untuk memenuhinya semula.
Untung ketika itu, kecuali musim banjir (baah), air sungai jernih hampir setiap masa. Agaknya ketika itu aktiviti pelupusan hutan, pembalakan, hakisan tanah belum mejadi isu seperti sekarang ini.
Sekarang ini, semua jadi kenangan. Air sungai sentiasa kelihatan kabut sepanjang masa. Air paip pula tidak boleh dipercayai, banyak masa untuk air tiada berbanding ada.


Comments

No comments:

Post a Comment