Written by kalajiau ingaa | |
Tumpung 1. Pangkalan Oang Daat Semua rumah di kampung kami di bina berdekatan dengan tebing sungai. Pertimbangan ini penting untuk sesiapa saja yang ingin berumah dan berkampung di daat. Paling jauh, jarak rumah dan sungai adalah sepelaung. Maksudnya sekali kokok, dalam jarak dua rantai dari batang sungai, tidak lebih dari itu. Sebabnya, tiada bekalan air paip yang dirawat di daat ini. Tetapi sama ada air yang dirawat atau tidak, yang pasti penduduk kampung memerlukan sumber air yang berterusan untuk keperluan seharian. Air sungai adalah satu kemestian, tiada telaga di belahan dunia kami ini. Tempat turun ke sungai setiap hari dikenali sebagai pangkalan. Pangkalan merupakan tapak segala aktiviti di sungai bagi sesebuah keluarga. Ia boleh jadi juga atau dikongsi oleh sebahagian penduduk kampung yang sama. Kerja mengangkut air dalam keluarga merupakan tanggungjawab bersama. Ia adalah kerja yang “dipikul sama berat dan dijinjing sama ringan”. Suatu kemestian bagi setiap orang, besar kecil tua muda membawa tadahan air apabila ke sungai. Besar kecil bekas pengangkut adalah berdasarkan keupayaan masing-masing setiap kali turun ke pangkalan. Tanpanya, gerenti kena kunyanyang punya. Ungkapan kunyanyang biasanya bukanlah kata-kata yang lemak manis, tapi merupakan kutukan membuat orang yang berkenaan menjadi serik. Contohnya seperti "ka sungai balinggang kangkung mbawa bigi p*lie nganya" atau "ka sungai tampap-tampap jan b*it nganya, mbawa aing pun inda cakap". Ya, orang kedayan cukup pandai mendera minda dengan kata-kata. Pendek kata, semua bertanggungjawab mengangkut air. Sang bapa membawa tataan dengan dua baldi dan akan digandar semasa balik. Si mama juga dengan dua baldi. Satu untuk air, satu lagi baldi atau besen yang penuh dengan kain baju sasahan. Abang juga dengan dua baldi. Kakak kadang dua, kadang satu. Tapi bagaimana bagi kami yang masih kecil? Alahai, bala la alamatnya kalau mengangkut air menggunakan baldi. Memanjat dari bawah pangkalan sampai ke tebing, air di dalam baldi sudah pun malimbak tinggal separuh. Sampai di tebing, lumpoo pula dah melekat ke paras lutut. Air di baldi lagi jadi sasaran untuk membasuh kaki. Sepanjang di jalan air limbak lagi, padahnya baldi jadi hampir kosong sebaik tiba di tangga rumah. Jadi penyelesaiannya, kami dibekalkan dengan tumpung seorang satu. Ia merupakan bekas air berbentuk cylinder memanjang dalam ukuran 2 - 3 kaki panjang dengan garispusat lebih kurang 6 inci. Ahh, penerangan yang agak canggih untuk tumpung. Sebenarnya, ia hanyalah seruas buluh yang dipotong, guna untuk mengangkut dan menyimpan air. Kapasiti takungan air tumpung agak kecil, Tetapi bentuknya yang panjang membuatkan air sukar untuk malimbak sewenang-wenang asalkan sipembawa tidak tatuhap semasa berjalan pulang. Pendek kata, ia merupakan bekas air tradisional yang unggul bagi oang daat. Tumpung kemudian dicabar oleh kehadiran gilin (gelen) air kitar semula. Ia lebih ringan dan mempunyai penutup di bahagian atas dan memang tidak malimbak punya. Janganlah anda bertanya tentang isu kesihatan sebagai akibat daripada penggunaan gilin. Anda mungkin terkejut. Tetapi, kebanyakan gilin yang kami gunakan ketika itu adalah merupakan bekas simpanan racun rumput dan atau minyak enjin kereta yang kosong, sebelum di kitar menjadi tempat simpanan air! |
Monday, April 21, 2008
Aku Oang Daat - Part 5
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment