Thursday, April 10, 2008

Mengundi di kampung

Written by arimi sidek

Pilihanraya 08 Mac 2008. Semacam pesta di kampung kami. Restoran sentiasa penuh dengan para pengunjung yang bertali arus.



Orang-orang BN dengan penuh yakin mengatakan calon mereka akan menang. Orang-orang PKR juga serupa. Masing-masing mengata calon lawan. Minum dan makan pula bersebelahan meja, di dalam restoran yang sama.

Tauke restoran pula tersenyum lebar sampai ke telinga. Tidak kira sama ada pembangkang atau penyokong yang bertandang, pendapatan tetap berganda-ganda berbanding dengan hari-hari biasa.

Saya mengundi di kampung sendiri. Memang tidak pernah berubah sejak mula-mula didaftarkan sebagai pengundi. Pada hari berkenaan, saya menunaikan tanggungjawab kepada negara agak lewat, lebih kurang pukul 10 pagi bersama-sama dengan ibu serta kakak saya.

Dari jauh lagi kelihatan saudara mara, ipar duai dan sahabat handai berbondong-bondong ke pusat pengundian. Tidak hairan saya mengenali begitu ramai pengundi yang datang, ini kan kampung saya sendiri.

Satu-satunya pondok parti yang didirikan lebihkurang 30 meter dari pusat mengundi ialah Pondok Barisan Nasional. Cikgu Arif kelihatan ceria. Anak Cikgu Chemat jadi kerani semakan di pondok berkenaan. Begitu juga dengan Cikgu Tiah (guru KEMAS) Kg Pantai.

Untuk tidak menghampakan mereka saya juga menyemak perincian pengundian saya di sana walaupun saya tahu, petugas SPR di kawasan pusat mengundi akan juga berbuat demikian sekali lagi.

Berbaris di pondok parti, kemudian berbaris lagi di hadapan kerani SPR, juga untuk membuat semakan. Si Anu di sebelah saya diberikan kertas maklumat yang mempunyai lambang BN – Oleh kerani SPR (perempuan) sendiri di hadapan saya.

Naik ke tingkat atas tempat pembuangan undi, si Anu bekas classmate saya menjadi pegawai penyemak untuk parti – dengan jeket berlogo Barisan Nasional.

Rasanya peraturan-peraturan pilihanraya bukan sesuatu yang difahami sangat, diperhatikan sangat. Bagaimanapun inilah tempat tumpah darah saya.

Saya sempat merakamkan gelagat para pengundi pada hari berkenaan. Para pembaca bolehlah melihat video berkenaan dengan mengklik link ini.

No comments:

Post a Comment