Sunday, July 9, 2006

Kadayan dan Orang Bunian 10

Written by WaJiD Manis

Mengenali Oang Kabanaan

Topik kali ini membincangkan mengenai sifat – sifat yang ada pada Oang Kabanaan supaya kita boleh mengenali mereka. Manalah tahu pada suatu masa, suatu ketika dan suatu tempat, kita ‘berkesempatan’ berjumpa dengan mereka. Ini kerana sesetengah orang Kadayan percaya bahawa kebanyakan, jika tidak pun semua dari kita, sama ada sedar atau tidak sebenarnya tidak dapat mengelak dari berhubungan dengan oang kabanaan di sepanjang hidup kita.

Mengikut mereka kita mungkin telah bertembung, bercerita malah mungkin berkomunikasi dan bersahabat dengan mereka di masa lalu. Manakala itu, sebahagian dari kita yang belum berjumpa pula, mungkin akan mengalaminya di masa hadapan. Masalahnya kebanyakan dari kita tidak menyedari yang kita sebenarnya telah bertemu dengan mereka. Sebaliknya kita di dalam pertemuan dengan mereka sebagai pertemuan biasa, mungkin menganggap kita bertemu dengan manusia – manusia lain; sedangkan kita pada masa itu kita bertemu dengan Oang Kabanaan.

Zaman mungkin berubah, tetapi manusia yang menjadi penghuni dunia tetap manusia baik di zaman apa sekalipun. Logiknya, keadaan yang sama juga berlaku kepada komuniti Oang Kabanaan. Malah kerana mereka tinggal di alam parallel, komuniti mereka mungkin wujud di tengah kota raya seperti di Kota Kinabalu, Kuala Lumpur malah di New York dan Washington DC sekalipun.

Terus terang dinyatakan bahawa bahagian ini sukar dihuraikan kerana ia bergantung kepada beberapa faktor. Pertama proses mengenali sesuatu adalah bersangkutan dengan fakta – fakta yang tersedia berdasarkan pengalaman – pengalaman masa lalu. Fakta – fakta ini dikumpulkan dan menjadi panduan untuk kegunaan masyarakat di masa hadapan. Bagi kebanyakan displin ilmu seperti matematik, teknologi maklumat dan perubatan moden ia tidak akan mendatangkan masalah kerana perkembangan ilmu yang cepat dan terdapat input yang berterusan bagi menyokong perkembangan yang berterusan. Tetapi sumber fakta itulah yang menjadi masalah utama di dalam menerangkan rahsia – rahsia alam yang tersembunyi seperti perkara Oang Kabanaan ini. Kalaupun fakta boleh didapati, siapa pula yang boleh mengesahkan kesahihan data berkenaan?

Kedua, data – data yang kita kumpulkan adalah berasaskan dakwaan terbanyak [popular] mengikut persepsi orang yang pernah merasai pengalaman mistik berkaitan dengan Oang Kabanaan. Perlu diingat bahawa dakwaan – dakwaan yang dipersembahkan di dalam penulisan ini tidak dapat disahihkan kebenarannya. Lebih dari itu ia mungkin menimbulkan salah faham. Mana tahu, ada di antara pembaca yang salah faham melebelkan orang biasa sebagai Oang Kabanaan semata – mata kerana terdapat ciri – ciri tertentu yang sepatutnya ada pada Oang Kabanaan, ada pada orang itu.

Ketiga, penilaian untuk mengenali Oang Kabanaan tidak boleh dibuat berdasarkan satu – satu ciri tertentu sahaja. Adalah lebih baik jika seseorang yang menemui beberapa keganjilan yang dinyatakan di dalam perbincangan kita berbanding dengan hanya melihat kepada satu tanda pengenalan semata – mata dan terus membuat kesimpulan yang anda telah bertemu dengan Oang Kabanaan.

Mengikut mereka yang mempercayai kewujudan Oang Kabanaan, Oang Kabanaan sebenarnya ada di mana – mana dan menjalani kehidupan di sekeliling kita hatta di zaman moden ini. Oleh itu dari semasa ke semasa boleh mengenali mereka dengan beberapa tanda yang nyata seperti berikut:

---------------------------------------------------------------------------------------------------
Oang Kabanaan ada di sekeliling kita.

Jika kita cukup peka memerhatikan orang - orang yang kita jumpai setiap hari, kita mungkin boleh mengenali mereka berdasarkan beberapa keganjilan - keganjilan yang terdapat pada mereka semasa berada di dunia kita.

Antaranya termasuklah jika orang yang kita jumpai itu:

Tiada lekuk di antara bibir dan hidung

Mempunyai paras yang terlalu cantik atau terlalu hodoh

Saiz fizikal yang terlalu besar atau terlalu kecil

Penggunaan bahasa yang janggal

Pakaian yang ganjil dan ketinggalan zaman

Terlalu mengenali kita pada kali pertama pertemuan

Kejanggalan tingkah

Muncul dan menghilang dengan cepat

Boleh berada di dua tempat dalam masa yang sama

Kehadiran binatang dan bunyi - bunyian yang asing

Kehadiran bau - bauan bunga bungaan

Menarik kejadian alam

Kita terperangkap di dalam menilai masa

Orang yang mendatangkan kesan sampingan kepada kita

Menjadikan kita alpa tanpa disedari
---------------------------------------------------------------------------------------------------

1) Tiada Lekuk Di Antara Bibir Dan Hidung

Kenyataan di atas merupakan ciri yang amat biasa kita dengar dari orang – orang Kadayan apabila kita tanyakan tentang Oang Kabanaan jawapan mereka ialah “Bibie basia tu inda bapait”. Anda boleh menemui mana – mana Orang Kadayan, dan bertanyakan ciri Oang Kabanaan dan dan jawapan utama ialah kenyataan di atas.

2) Paras Yang Terlalu Cantik Atau Terlalu Hodoh

Secara logiknya pengarang tidak tahu bagaimana orang yang bibienya inda bapait boleh dikatakan cantik. Tetapi begitulah mengikut orang – orang yang pandai, Oang Kabanaan sering meletakkan paras mereka di antara dua extreme, dua keadaan yang melampau sebagai iktibar dan tanda pengenalan mereka kepada orang – orang yang peka supaya boleh dikenali. Ya, iktibar untuk anda yang ‘berpeluang’ untuk berjumpa dengan mereka supaya tidak memandang seseorang berdasarkan paras rupa.

3) Saiz Fizikal Yang Terlalu Besar Atau Terlalu Kecil

Ini merupakan satu lagi ciri yang ada pada bentuk fizikal Oang Kabanaan jika anda ingin mengenali mereka. Rasionalnya, walaupun Oang Kabanaan boleh mengabui mata kita dengan merupakan diri mereka sebagai manusia, mereka tidak berupaya ‘meniru’ kira sepenuhnya. Rule of Thumb [kefahaman umum] ialah, benda ‘tiruan’ [Oang Kabanaan] tidak akan mampu menyerupai yang ‘asli’ [manusia].

4) Penggunaan Bahasa Yang Janggal

Kemahiran berbahasa memerlukan seseorang itu menggunakan sesuatu bahasa secara berterusan disepanjang kehidupannya. Kita mungkin mahir dan belajar dan mengkaji secara terperinci mengenai sesuatu bahasa, contohnya bahasa Ibrani, Latin dan Sanskrit. Masalahnya tiada siapa yang mahir berbual menurut tatabahasa seharian di dalam bahasa – bahasa ini. Sebabnya, bahasa ini hanya wujud di dalam kitab – kitab dan buku – buku tua dan terus wujud di dalam penulisan tetapi tanpa sebarang penutur yang asli. Cara bertutur sebenarnya mengikut penutur asli hanya Tuhan yang tahu. Keadaan yang sama berlaku kepada orang – orang asing seperti orang Jepun, Inggeris, China dan India apabila sekali – sekala bertutur di dalam bahasa Kadayan.

Oleh itu tidak hairan jika Oang Kabanaan juga terperangkap di dalam masalah ini apabila berhadapan dengan kita. Mereka mungkin menggunakan tatabahasa yang salah dan perkataan – perkataan yang tidak kena pada tempatnya. Lebih dari itu, kebiasaannya mereka menggunakan istilah lapuk yang tidak kita gunakan lagi seperti perkataan “kula”, “hamba”, “tuan” dan sebagainya.

5) Pakaian

Sepanjang yang didakwa oleh orang yang pernah melihat mereka, Oang Kabanaan tidak suka memakai pakaian yang berwarna – warni dan terlalu bercorak. Mereka agak konservatif di dalam soal pakaian. Warna – warna pakaian yang biasa mereka pakai ialah hitam, putih dan kuning dengan fesyen pakaian yang agak ke belakang berbanding dengan fesyen yang biasa kita lihat. Malah mungkin terlalu ke belakang, dakwa beberapa orang yang pernah melihat mereka. Mereka masih lagi berpakaian seperti pakaian hulubalang dan orang – orang di zaman lampau.

6) Terlalu Mengenali Kita Pada Kali Pertama Pertemuan

Adalah aneh jika pada suatu masa dan tempat tiba – tiba kita bertemu dengan seorang asing yang kita temui untuk pertama kali kelihatan amat mengenali kita. Orang itu mengingati nama kita, ahli – ahli keluarga, sahabat handai kita dan nama – nama penduduk kampung kita malah dia juga kelihatan mengetahui persekitaran tempat tinggal kita dengan baik. Berjaga – jaga, orang ini mungkin Oang Kabanaan.

7) Kejanggalan Tingkah

Kewujudan Orang Kabanaan dapat dikenali di alam kita melalui kejanggalan tingkah mereka di dalam berinteraksi dengan situasi yang melibatkan manusia. Contohnya, mereka mungkin bersikap terlalu tenang semasa berada di dalam situasi yang amat kritikal, ketawa berdekah – dekah semasa berada di dalam kesusahan yang mengancam nyawa serta tidak begitu mempedulikan suhu sekeliling mereka.

Perhatikan situasi ini. Kita mungkin sedang berhadapan dengan mala petaka, musibah dan atau kemalangan, contohnya kemalangan bas. Bas yang anda naiki sedang terhumban ke dalam gaung! Semua penumpang termasuk anda sedang riuh – rendah, hiruk – pikuk menjerit dan mengongoi dalam keadaan panik. Barang- barang penumpang terhumban ke setiap penjuru bas. Anda berusaha membaca segala jampi mentera dan ayat – ayat suci yang dapat diingati, berdoa dengan penuh cemas kerana anda belum lagi bersedia hendak mati. Pada detik itu ekor mata anda sempat menangkap satu wajah. Wajah seorang penumpang yang duduk dengan jarak beberapa kerusi dari kerusi anda. Beliau nyatanya sudah lama memerhatikan anda dan sikapnya terlalu tenang, malah tersenyum dan memberi isyarat tangan kepada anda, jangan risau, relaks….

Penumpang itu mungkin Oang Kabanaan. Mereka mempunyai deria yang lebih peka, di dalam hal ini mungkin mereka tenang kerana mengetahui bas berkenaan tidak akan terhumban ke dalam gaung. Juga, mereka tenang kerana sebagai Oang Kabanaan mereka tidak akan terkesan di dalam kemalangan yang melibatkan kenderaan manusia dengan manusia, mereka adalah orang halus.

8) Muncul Dan Menghilang Dengan Cepat

Oang Kabanaan berupaya muncul dan hilang dengan sekelip mata. Perkara ini sering dialami oleh orang yang mengalami musibah. Contohnya, seorang sedang di dalam perjalanan jauh apabila tiba – tiba kereta yang dipandu rosak ditengah jalan. Pemandu yang malang itu terpaksa keluar, melihat ke sana – sini di bonet hadapan kereta tapi tak tahu pula apa masalahnya kerana tidak pandai membaiki kereta. Di kala sibuk itu lah tiba – tiba pemandu disapa dari belakang, seorang lelaki rupanya. Sedikit berbasa – basi dan turut menjengah ke sana – sini, orang itu seterusnya memberitahu wayar penghubung karburetor telah putus dan menyuruh beliau membaikinya. Pemandu membelek, ya, memang putus lalu beliau pergi ke bonet belakang, mengambil tool box yang diperlukan dan pergi ke hadapan kereta semula. Aikkk, dah hilang mana orang itu telah pergi…

9) Boleh Berada Di Dua Tempat Dalam Masa Yang Sama

Pernah satu kali di dalam era tahun 50an dua orang adik beradik berasal dari Sipitang, masing – masing bekerja mancahai makan di Labuan dan di Negara Brunei Darussalam. Pada zaman itu teknologi kommunikasi masih terlalu jauh ke belakang berbanding dengan zaman sekarang. Suatu malam lebih kurang pukul 10, Si-abang yang berada di Brunei didatangi oleh orang yang tidak dikenali, berpakaian serba putih seolah – olah baru lepas bersolat dari masjid yang berhampiran. Beliau menyampaikan pesan, katanya. Ibumu di kampung sakit kuat dan kamu perlu balik dengan segera. Si-abang terperanjat, ingin bertanya lebih lanjut tapi kata orang itu “saya perlu segera, ada urusan lagi ni”.

Ini adalah perkara hidup dan mati, desis Si-abang. Lalu berangkat balik ke kampung menjenguk ibunya. Sesampainya di kampung ternyata, ibunya sedang nazak. Beliau juga mendapati dapati adiknya telahpun sampai sejak hari sebelumnya. Ibu mereka menghembuskan nafas terakhir pada hari itu juga dan dikebumikan menjelang tengahari esoknya. Petangnya, setelah selesai urusan pengkebumian adiknya menjelaskan bahawa dia didatangi oleh orang yang sama membawa berita mengenai ibu mereka dan tiada seorang pun dikalangan saudara mara termasuk ayah mereka mengetahui orang yang menyampaikan pesan berkenaan.

10) Kehadiran Binatang Dan Bunyi - Bunyian Yang Asing

Kehadiran Oang Kabanaan biasanya diikuti dengan kehadiran serangga dan binatang tertentu seperti rama – rama terutamanya Kulibambang Cindai , hayam hutan dan ular. Sering juga didengari kehadiran bunyi – bunyian seperti gendang, rebana, kecapi, serunai dan lain – lain yang berbunyi merdu. Kita harus berjaga – jaga kerana bunyi – bunyian ini boleh melalaikan.

11) Kehadiran Bau – Bauan Bunga Bungaan

Bau wangi bersumberkan haruman bunga – bungaan asli biasanya memenuhi kawasan sekitar sebelum kedatangan Oang Kabanaan. Adakalanya hanya bau – bauan ini yang dapat dicium oleh manusia dan mereka memilih untuk memberitahu kedatangan mereka dengan menyebarkan bau – bauan sahaja, bukan untuk memperlihatkan diri mereka. Tapi bukan bau wangi semata – mata, malah bau busuk yang aneh juga mungkin mereka gunakan bagi menunjukkan mereka ada di kawasan sekitar.

12 ) Menarik Pengaruh Alam

Kehadiran Oang Kabanaan boleh mengundang beberapa kejadian alam tertentu. Antara kejadian yang sering dikaitkan dengan kehadiran mereka ialah pelangi, hujan dalam, hujan, ribut, kilat dan guntur. Jadi mun ada bangkawat, hujan baai – baai dan anda terjumpa dengan manusia yang tidak anda kenali di hadapan …

13) Perangkap Masa

Perkara ini merupakan fakta yang sering ada, tetapi selalu diketepikan. Pertemuan dengan Oang Kabanaan mengungan perangkap masa. Kejadian pertemuan dan perbualan kita dengan mereka sering kita rasakan begitu sekejap. Mungkin ia hanya kita rasakan belaku di dalam lima enam minit tetapi sebenarnya telah memakan masa sehari suntuk. Atau kita mengira kita mengambil masa sehari bersama – sama mereka, tetapi sebenarnya seminggu telah berlalu tanpa kita sedari.

14) Mendatangkan Kesan Sampingan

Pertemuan dengan Oang Kabanaan boleh mendatangkan kesan sampingan [side effect ] kepada orang yang mengalaminya. Mereka biasanya berada di dalam keadaan terpana, terkejut malah ada yang tidak menyedari keadaan sekeliling beberapa ketika setelah pertemuan berlaku sehingga timbul ungkapan bahawa sudah batah bahau kita takanang kita bajumpa hantu.

15) Menjadi Alpa

Di dalam peringkat yang lebih serius, orang yang mengalami pertemuan berterusan dengan Oang Kabanaan menjadi leka dengan dunianya yang tersendiri kerana dia berada di antara dunia parallel dengan dunia nyata. Mereka ini hanya dapat kembali normal dengan bantuan dari orang sekeliling seperti saudara mara yang merasa gusar dengan keganjilan dan perubahan yang berlaku ke atas diri mereka dan mencari orang – orang yang pandai untuk memulihkan keadaan.

Bersambung ke Siri 11.
--------------------------------

Peringatan: Pendapat pengarang di dalam artikel ini dan mana – mana artikel di laman web ini tidak melambangkan pendirian rasmi kadayanuniverse.com. Oleh itu budibicara para pembaca adalah diperlukan untuk menilai sendiri setiap kandungan artikel yang dipaparkan di dalam laman web ini. Terutama di dalam soal norma – norma sosial, metafizik, fekah, tassauf, kesufian, kebatinan dan seumpamanya, pendirian kadayanuniverse.com bersandar kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut persepsi Mahzab Syafie yang diamalkan di Malaysia. Paparan artikel adalah berdasarkan pandangan peribadi penulis mengenai elemen - elemen yang ada di dalam lingkungan masyarakat Kadayan di tempat – tempat tertentu sahaja dan; mungkin TIADA pada masyarakat Kadayan di tempat lain. Artikel ini dibuat dengan tujuan baik [on good faith] dan kadayanuniverse.com adalah platform untuk para penulis untuk menyalurkan ide mereka secara bebas selari dengan semangat dunia terbuka internet. Kadayanuniverse.com menyiarkannya dengan kepercayaan ia dibuat tanpa tujuan untuk mempersendakan sesiapa atau mengaitkan orang Kadayan dan mana-mana kaum di Malaysia dengan kemunduran dan kebodohan.

Thursday, July 6, 2006

Atlantis Kadayan Siri 1

Written by Codec Cadaianicus

Conventional Wisdom

Susah untuk menterjemahkan istilah berkenaan ke dalam bahasa Melayu. Sebahagian kesukaran itu bukan kerana tidak terdapat perkataan yang menyerupainya, tetapi kerana kekurangan pengetahuan pengarang mengenai perbendaharaan kata bahasa Melayu itu sendiri. Transliterasi yang paling dekat ialah “kebijaksanaan sejagat”, tetapi maksudnya bukan tertumpu kepada kebijaksanaan. Ini kerana conventional wisdom juga meliputi keadaan yang boleh diungkapkan sebaliknya iaitu “kebodohan sejagat”.

Secara kasar ia bolehlah dikatakan sebagai “persejagatan pendapat”, bukan “kebijaksanaan sejagat” kerana menuruti dan mengikuti mana-mana pendapat secara membabi buta tanpa mengetahui duduk sebenar betulnya sesuatu perkara itu bukan satu kebijaksanaan walau di dalam masyarakat mana sekalipun.

Jadi dengan lebih mudah, conventional wisdom boleh membawa maksud mengenai persetujuan, pendapat umum di mana-mana mengenai sesuatu perkara. Juga sesuai untuk diterjemahkan sebagai “kebiasaan umum”. Rata-ratanya orang menerima pendapat berkenaan sebagai benar dan telah digunapakai sejak sekian lama.

“Palak mata ada tia sudah”

Memandangkan ia adalah melibatkan persetujuan umum dan kebenarannya adalah suatu anggapan, ia menjurus kepada persepsi dan penerimaannya bergantung kepada runtunan sosial masyarakat. Adakalanya seluruh masyarakat diarah dan dipaksa untuk menerima nilai-nilai tertentu sehingga ia sudah dianggap biasa dan perlu diikuti. Conventional Wisdom boleh datang di dalam bentuk norma, persetujuan umum dan suatu pensetaraan nilai, pempiawaian [standardization].

Contoh norma masyarakat kita ialah pendapat umum yang berkata "inda baik bakamih badii". Di dalam aspek lain pula, masyarakat kita secara amnya adalah tertakluk kepada persetujuan umum mengenai kod warna lampu trafik yang telah diterimapakai sejak sekian lama. Kita bersetuju dan dimestikan bersetuju bahawa nyalaan Lampu Lijau membawa maksud kita boleh bergerak maju kehadapan [jalan], Lampu Oren membawa maksud kita bersedia untuk berhenti dan akhirnya nyalaan Lampu Merah membawa maksud bahawa kita harus berhenti. Masyarakat kita juga menerima sistem Metrik sebagai anggaran pengukuran, beralih dari sistem imperial [dari kati menjadi kilo] sejak tahun 1982.

Tidak diketahui pula kenapa kencing berdiri tidak baik, samaada dari sudut kesihatan ataupun budaya. Selain itu tiada sebab yang konkrit kenapa lampu merah harus merah untuk menggambarkan orang berhenti. Atau, kita tidak tahu apa sebab yang sebenar-benarnya yang menjadikan sistem imperial harus ditukar kepada sistem metriks. Tetapi semua perkara di atas diterima seadanya tanpa bantahan. Rata-rata orang menganggapnya tiada masalah untuk diikuti dan tiada kemudaratan yang timbul dari mematuhinya.

Tetapi benarkah tiada bantahan? Satu petua untuk berurusan dengan conventional wisdom ialah anda harus mengikutinya. Jika anda tidak bersetuju mengenainya, anda harus berpura-pura setuju. Jika anda hendak melanggarnya, lakukan secara diam-diam tetapi jika anda nanti kedapatan, akui kesilapan anda dan tunggu dan lihat selepas beberapa waktu, teruskan aktiviti pelanggaran anda.

Petua diatas kedengarannya begitu pelik, tetapi itulah hakikatnya. Kita diajar jangan kencing berdiri, tetapi lihatlah semua bangunan persendirian, bangunan kerajaan, hotel, restoran semuanya menyediakan tempat untuk anda kencing berdiri. Begitu juga dengan lampu trafik. Antara kesalahan utama lalulintas di Malaysia ialah melanggar lampu merah. Dan cuba anda pergi ke pasar untuk membeli ikan, "Ahhh ikan bos, ikan bos, sakati lapan ringgit, sa kilo dua blas ringgit, mari... mari..."

Contoh-contoh di atas adalah berkenaan dengan aktiviti rutin kita setiap hari, dan keputusan kita samada untuk mengikuti atau mengingkari mungkin tidak begitu mempengaruh kehidupan kita. Keputusan kita untuk melanggar lampu isyarat misalnya, paling teruk akan mengundang saman pihak berkuasa. Yang lebih penting dan membahayakan kita ialah lingkungan conventional wisdom yang menjerut mental kita sebagai orang Kadayan merdeka. Lihat dan teliti ke mana norma, persetujuan dan piawaian kita diarahkan pada kebanyakan waktu. Kita adalah tertakluk dan diikat oleh conventional wisdom setiap saat. Orang Putih mengajar kita supaya menentang mata orang yang menjadi kawan kita berbicara. Bahasa Inggeris adalah bahasa sains dan teknologi. England dan Amerika Syarikat adalah pusat tammadun dunia. Ia adalah menjadi model kita untuk berbicara dan pusat rujukan bagi semua perkara, malah dirujuk untuk orang Kadayan mengetahui tentang orang Kadayan, dirujuk oleh orang Islam untuk mengetahui tentang agama Islam dan dirujuk oleh orang Melayu untuk mengetahui orang Melayu.

Apabila orang Amerika menganjurkan "War On Terror", kita pun mengikuti perang keganasan. Apabila orang Islam dilabel sebagai pengganas, kita ikut melabelkan orang Islam sebagai pengganas [tetapi dengan alasan untuk mengelak malu "Yang ganas tu orang Arab, bukan orang Melayu"]

Bolehkah Conventional Wisdom dicabar?

Jawapannya sangat jelas dan telah dibuktikan sejak sekian lama iaitu; Boleh. Kebanyakan kalaupun bukan semua perkara yang berkaitan dengan conventional wisdom sebenarnya merupakan perkara yang subjektif. Ia tidak semestinya betul walaupun di dalam masa yang sama juga, ia tidak semestinya salah.

Tetapi agak sukar untuk menemui orang yang berani menentang arus melanggarnya. Biasanya orang yang melanggar conventional wisdom akan dianggap ganjil, pelik dan bersikap anti-sosial. Lebih teruk lagi lagi orang-orang ini dianggap sebagai pembangkang, anasir subversif, mengundang huru – hara, chaos, dan perlu di’senyap’kan bagi mengelak berlakunya anarki di dalam masyarakat.

Tetapi di dalam masa yang sama orang-orang sepertinya mempunyai akal yang cerdas. Mereka merupakan orang-orang yang mampu berfikir dan bertindak mendahului zamannya. Yang agak malang, sumbangan mereka akan hanya diakui oleh orang yang hidup di zaman akan datang. Jika kita mempelajari sejarah dunia, pergolakkan zaman semuanya dianjurkan oleh mereka yang melanggar conventional wisdom tanpa mengira mereka itu adalah orang yang benar-benar baik, jahat ataupun diantara kedua-duanya. Galileo Galilei, Napoleon Bonaparte, Kamal Attaturk, George Washington adalah beberapa contoh orang-orang yang berani melanggar kebiasaan umum dan kemudian mengubah sejarah. Di rantau kita Jose Rizal [Filipina], Sukarno[Indonesia], Ibrahim Yaakob [Malaya], Mat Salleh [Sabah], Azahari [Brunei] adalah sekadar beberapa contoh orang-orang yang berani dan keberanian mereka mengundang sanjungan atau kejian di belakang hari, kerana tindakan mereka melanggar kebiasaan dan kefahaman masyarakat dan / atau pihak berkuasa.

Bagaimana conventional wisdom mengenai orang-orang Kadayan?

Jangan khuatir, soalan diatas akan mendapat jawapan segera dari orang yang kita tanyakan, baik orang itu Kadayan ataupun bukan. Jika orang itu ialah orang Kadayan besar kemungkinan jawapan yang bakal kita perolehi adalah seperti berikut

"Inda ada apa-apa yang kan dibanggakan, Inda ada sultan, Inda ada aja, Inda ada kaajaan sama asal-usulnya inda diketahui”


Iya kah begitu? Bagaimana jika ada sesorang yang mencabar convensional wisdom ini dengan mengatakan

KADAYAN sebenarnya mengasaskan TAMADUN DUNIA
KERAJAAN KADAYAN adalah IBU KERAJAAN TERTUA di era Pleistocene dan
KADAYAN adalah pengasas kerajaan pertama di BORNEO



Reaksi pertama kita yang paling mungkin ialah dengan tiga ungkapan berikut:

”huh”
”iya kian”
”Jaih pakah kau ni, inda kau jaih?”


Codec Cadaianicus, Jul 2006.

Comments

hana - kapaluian sadunia? |2006-07-11 17:36:37
dapat jua diubah jadi kapaluian sadunia tu

Tuesday, July 4, 2006

Kadayan dan Orang Bunian 9

Written by WaJiD Manis

Lagi …, pengalaman bertemu dengan Oang kabanaan

Si – Lai adalah seorang berbangsa Bisaya dari daerah Beaufort, tetapi isteri beliau adalah orang Kadayan dari Sipitang. Beliau bekerja sendiri membawa van penumpang1 di daerah Beaufort, antara Beaufort – Sipitang malah di kawasan Sipitang juga. Ini kerana beliau biasa dengan kampung beliau sendiri dan kampung halaman isteri beliau.

5) Pengalaman Si – Lai

Si – Lai adalah seorang berbangsa Bisaya dari daerah Beaufort, tetapi isteri beliau adalah orang Kadayan dari Sipitang. Beliau bekerja sendiri membawa van penumpang1 di daerah Beaufort, antara Beaufort – Sipitang malah di kawasan Sipitang juga. Ini kerana beliau biasa dengan kampung beliau sendiri dan kampung halaman isteri beliau.

Prinsip hidup Si – Lai adalah mudah. Ketika cerita ini berlaku iaitu di pertengahan tahun 90an, adalah satu kelaziman bila anak – anak beliau berpindah sekolah dua kali setahun. Beberapa bulan anak beliau akan bersekolah di Beaufort. Semasa musim durian, beliau akan memindahkan anaknya untuk bersekolah di Sipitang pula. Di masa – masa beginilah beliau selalu berulang alik di antara Beaufort dan Sipitang untuk menghantar penumpang termasuk penumpang yang menyewa khas [cataa, chartered].

Lebuhraya Beaufort – Sipitang harus melalui satu kawasan berbukit berhampiran sempadan Sempadan Beaufort dan Sipitang dikenali dengan nama bukit Si Nyangau. Kawasan ini tidaklah terlalu jauh dengan penempatan orang Kadayan, tetapi betul – betul di kawasan ini tiada orang tinggal. Di kawasan inilah Si Lai pernah dua tiga kali terserempak dengan ramai manusia – manusia pelik, hendak dikatakan Oang Kabanaan tidak pula Si Lai berani membuat dakwaan sedemikian. Apa yang pasti beberapa kejadian yang beliau pernah lalui dilebuhraya berkenaan bukan sesuatu yang biasa dan beliau pula bukan seorang yang penakut.

Satu peristiwa yang paling menarik ialah apabila pada satu malam, lebih kurang pukul 12 – 1 pagi, Si Lai balik ke Sipitang dari Beaufort kerana menghantar penumpang catar. Sampai di kawasan ini, beliau nampak ramai orang berbondong – bondong di tepi jalan sebelah kiri berjalan di dalam keadaan suram tanpa bersuluh. Beliau memerhatikan orang – orang yang berjalan itu, kesemuanya berpakaian hitam seperti pakaian orang di zaman lampau. Yang peliknya, mereka nampaknya tidak berbual – bual diantara satu sama lain dan tidak mempedulikan kereta beliau. Beliau memperlahankan van, takut orang – orang itu kahabukan kerana pada waktu itu jalanraya berkenaan belum diturap dengan aspal.

Kelihatan kumpulan orang – orang ini berjalan dalam satu barisan yang panjang. Berderet – deret ke satu arah yang sama. Van Si Lai terus maju, mara dan menyusuri sehingga ke hadapan barisan berkenaan. Di barisan paling hadapan, beliau melihat sekumpulan orang sedang mengusung Keranda!

Di kiri kanan perkampungan ini adalah merupakan penempatan orang – orang Kadayan. Satu hal yang Si Lai pasti walaupun beliau seorang Bisaya, beliau amat biasa dengan budaya orang Kadayan. Menurut beliau, sepanjang yang beliau tahu orang Kadayan tidak pernah tergesa – gesa untuk mengebumikan orang meninggal pada tengah malam atau dini hari, apatah lagi tiada kawasan perkuburan di kawasan itu.
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Lirik Lagu AllahYarham Tan Sri P.Ramlee

SERI BUNIAN


Indah nian istana bunian

Puteri bunian manis menawan

Indah nian istana bunian

Puteri bunian manis menawan

Korus

**Berat rasa nak kutinggalkan la sayang

Kerna hati dah tertawan

Bagai bulan jatuh ke tangan

Wahai puteri seri bunian

Bagai bulan jatuh ke tangan

Wahai puteri seri bunian

---------------------------------------------------------------------------------------------------

6) Kisah Si - Jisma

Ini merupakan kisah terbaru pengalaman orang Kadayan berurusan dengan Oang Kabanaan. Ia berlaku lebih kurang bulan Mei, 2006. Si - Jisma berasal dari Sipitang. Manakala suami beliau berasal dari Kuching, Sarawak dan juga seorang Kadayan. Suami beliau dan merupakan seorang kakitangan di sebuah jabatan kerajaan di Labuan. Menurut Si-Jisma dan rakan – rakan yang mengenali, suaminya seorang yang nda pambunyi, nda banyak caita

Mereka menyewa di kampung yang sunyi di kawasan bukit Laju, Labuan. Rumah sewa ini sebenarnya kepunyaan ayah saudara Si - Jisma juga, dan ayah saudara beliau yang bujang dengan lapang hati membenarkan Si - Jisma menyewa di rumah berkenaan. Sekurang – kurangnya ada teman, kata ayah saudara Si – Jisma. Sementelahan pula hanya terdapat empat rumah di kawasan kebun seluas lima belas ekar itu. Lagi, hanya dua rumah yang berpenghuni sebelum Si - Jisma datang menyewa.

Setiap hari hanya Si - Jisma dan tiga orang anak beliau yang masih kecil berada di kawasan itu apabila suami beliau bekerja. Ayah saudara beliau di rumah sebelah juga akan menjalankan perniagaan beliau setiap hari.

Kehidupan beliau di kawasan sunyi itu berjalan seperti biasa, sehingga setelah beberapa waktu Si - Jisma menyedari bahawa persekitaran yang sunyi itu anehnya tidak beliau rasakan sunyi. Sukar untuk dia menggambarkan, tetapi dia cukup pasti bahawa di dalam rumah itu sebenarnya tidak sunyi, seolah – olah ramai orang yang tinggal bersama – sama.

Tapi setakat merasakan sunyi atau ramai di satu – satu tempat bukanlah sesuatu yang aneh bagi sesiapa pun. Ianya adalah sekadar perasaan seseorang, termasuklah Si - Jisma.

Tetapi ternyata itu bukan perasaan yang biasa, ia memang sesuatu yang aneh. Aneh, aneh dan lebih aneh. Pada suatu hari semasa suaminya pergi bekerja tiba – tiba entah dari mana datangnya, muncul seorang ‘wanita’ yang tidak dikenali di rumahnya, datang di dalam keadaan marah – marah. Amat mengejut dan menyesakkan nafas Si - Jisma, ‘wanita’ itu mendakwa dia adalah ‘isteri’ kepada suaminya.

Menurut wanita itu, dia telah berkahwin dengan suami Si - Jisma sebelum terlebih dahulu sebelum Si - Jisma sendiri, malah mempunyai beberapa ‘anak’ yang meningkat remaja. Si - Jisma terpinga – pinga, terkejut, kecewa dan tidak percaya suaminya beristeri lagi. Tidak cukup dengan itu ‘wanita’ berkenaan mendakwa Si - Jisma tidak menjaga suaminya dengan baik. Di dalam keadaan kelam – kabut itu juga, kerana anak – anaknya merengek meminta perhatian Si - Jisma menyedari ‘wanita’ itu tiada lagi di rumahnya. Wanita itu hilang, lenyap secepat munculnya.

Apa lagi, sebaik sahaja suaminya balik Si - Jisma mendesak agar suaminya berterus – terang. Akhirnya rahsia terbongkar. Sang suami mengaku bahawa dia telah berkahwin dengan oang kabanaan dan mempunyai beberapa orang anak sebelum berkahwin dengan Si - Jisma. Malah ‘isteri’nya itu sebenarnya tinggal bersama – sama di rumah berkenaan.

Berita itu paling mengejutkan Si - Jisma dan amat sukar untuk dipercayai. Pertama kerana suami yang dikenalinya tidak pun menunjukkan sebarang tanda – tanda atau keanehan yang patut dicurigai selama ini. Kedua, beristeri lebih dari satu itu satu hal, masalahnya ‘isteri’ suaminya adalah oang kabanaan, bukan manusia!
Tetapi masalah Si - Jisma tidak berhenti di situ.

‘Wanita’ itu menemuinya lebih dari sekali di rumah semasa ketiadaan suaminya. Lebih dari itu dia sering berleter, meleteri Si - Jisma memaksa Si - Jisma mendengar ‘kata – kata’nya tanpa dapat dilihat. Nadanya tetap sama setiap kali, memarahi Si - Jisma kerana tidak menjaga suaminya dengan baik.

Masalahnya kata Si – Jisma, “apa jua yang inda ku jaga laki ku tu, aku pun inda paham”

Tidak tahan dengan keadaan ini, Si - Jisma mengambil keputusan balik ke Sipitang dan mengadu kepada keluarganya mengenai masalah yang dihadapi. Untuk lebih menggemparkan cerita,‘wanita’ itu turut ke kampungnya meneruskan gangguannya. Suaminya juga menyusul kemudian, mungkin untuk menjernihkan keadaan. Pada masa cerita ini di tulis Si – Jisma sedang diubati oleh oang – oang yang pandai di kampung beliau.

Penamatan cerita Si - Jisma belum lagi boleh dipastikan, mudah – mudahan beliau tidak akan diganggu lagi di masa hadapan.

Bersambung ke Siri 10.
--------------------------------

Nota Kaki

1Orang Kadayan menyebut pekerjaan ini sebagai mairit [pirate, pirating]. Secara umumnya merujuk kepada van pengangkut penumpang yang diusahakan tanpa permit yang sah.

--------------------------------

Peringatan: Pendapat pengarang di dalam artikel ini dan mana – mana artikel di laman web ini tidak melambangkan pendirian rasmi kadayanuniverse.com. Oleh itu budibicara para pembaca adalah diperlukan untuk menilai sendiri setiap kandungan artikel yang dipaparkan di dalam laman web ini. Terutama di dalam soal norma – norma sosial, metafizik, fekah, tassauf, kesufian, kebatinan dan seumpamanya, pendirian kadayanuniverse.com bersandar kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut persepsi Mahzab Syafie yang diamalkan di Malaysia. Paparan artikel adalah berdasarkan pandangan peribadi penulis mengenai elemen - elemen yang ada di dalam lingkungan masyarakat Kadayan di tempat – tempat tertentu sahaja dan; mungkin TIADA pada masyarakat Kadayan di tempat lain. Artikel ini dibuat dengan tujuan baik [on good faith] dan kadayanuniverse.com adalah platform untuk para penulis untuk menyalurkan ide mereka secara bebas selari dengan semangat dunia terbuka internet. Kadayanuniverse.com menyiarkannya dengan kepercayaan ia dibuat tanpa tujuan untuk mempersendakan sesiapa atau mengaitkan orang Kadayan dan mana-mana kaum di Malaysia dengan kemunduran dan kebodohan.

Monday, July 3, 2006

Apa Kian Gayanya Maintah Naagi kita ni?

Written by giin buagas


Si-Namak Langap - Langap: Apa Kian Gayanya Maintah Naagi kita ni?

He claimed that Abdullah had breached a ‘gentleman's agreement’ they made before his retirement just after he took over. He knows, I know (the content of the agreement. It was made just before I stepped down (and) it was broken two weeks after I stepped down.

[Beliau mendakwa bahawa Abdullah telah mengingkari perjanjian para budiman1 yang dibuat sebelum beliau bersara, sejurus sebelum beliau (PakLah) mengambilalih (tampuk pemerintahan). Dia tahu, saya tahu (tentang kandungan perjanjian berkenaan. Ia telah dibuat sejurus sebelum saya bersara (dan) ia mula dilanggar dua minggu selepas saya bersara]

"Can, sit down (with him) no problem. But talking with him I don't know lah."

[Boleh, duduk (dengan dia) tiada masalah. Tetapi bercakap dengan dia saya tidak tahu lah]


“Fourth floor is more powerful than the fifth floor as the fifth floor (the primiers' office) did not go to Oxford University", he said.

[Tingkat empat lebih berkuasa daripada tingkat lima kerana tingkat lima (pejabat Perdana Menteri) tidak belajar di Universiti Oxford”, kata beliau.]


“Sometimes we go over to Singapore to play golf and pat each other on the back over every little thing, then send the son-in-law ..."

[Kadangkala kami pergi ke Singapura untuk bermain golf, tepuk – tepuk belakang lebih kurang, lepas tu hantar menantu lelaki …]

- Kata – kata Tun Dr Mahathir Mohammed kepada para hadirin di sebuah majlis forum yang dianjurkan oleh portal atas talian Malaysia Today [Daily Express Newspaper, 28 June 2006.p3)


Terus Si-Namak langap – langap. Takulat – kulat macam hayam bahia kapo. Apa gayanya kian maintah naagi ani?



Bukan Si-Namak seorang sahaja yang keliru dengan kenyaataan ini, ramai lagi orang lain. Di Malaysia ini, mengkritik pemimpin walaupun tidak dikategorikan sebagai perkara dilarang, tetapi kadangkala dilihat sebagai perkara yang sangat sensitif. Bukan satu perkara yang menghairankan bila tiba- tiba kata - kata biasa oleh seseorang boleh menjadi isu yang besar. Ingat lagi bila biduan M.Nasir dituduh oleh seorang wartawan Utusan Melayu sebagai mengatakan ungkapan “Siapa Mahathir?” beberapa tahun lalu? Perkara berkenaan meleret- leret sehingga beberapa bulan sebelum ianya lenyap begitu sahaja.

Sekarang kita berhadapan dengan situasi yang lain. Perdana Menteri kita yang lebih dikenali sebagai Pak Lah dituduh sebagai “mengingkari perjanjian para budiman”. Dengan ertikata lain Pak Lah dikatakan sebagai seorang yang tidak menepati janji. Janji ini pula dibuat dalam bentuk persetujuan antara ‘orang lelaki’, persetujuan tanpa bertulis, paundingan lain, diam - diam ada caita. Si-Namak bukan seorang pemimpin, apatah lagi seorang pemimpin negara. Beliau hanya seorang rakyat Malaysia yang tinggal di Sabah, sekolah beliau pun bukan tinggi, tapi bolehlah kalau setakat inggut - inggut membaca suratkhabar berbahasa Inggeris. Tetapi yang beliau musykil sangat - sangat, rupanya begitukah caranya memimpin negara; berdasarkan ‘gentleman’s agreement’. Bukan melalui Mesyuarat Mingguan Kabinet dan persidangan Dewan Negara / Dewan Rakyat?

Musykil, musykil. Perdana Menteri dikritik teruk oleh Bekas Perdana Menteri yang digantinya. Masalahnya seperti yang disiarkan di media massa, hanya mereka berdua sahaja yang tahu isi kandungan caita berkenaan. Jadi orang lain semua tidak mengetahui apa yang dijanjikan. Tetapi melihat pada kritikan yang diluahkan oleh Tun Dr. Mahathir, perkara – perkara yang diluahkan oleh beliau berkisar kepada perkara – perkara di sekitar industri otomobil negara. Antaranya termasuklah pemberian permit import [AP-Approved Permit] kereta mewah yang banyak kepada syarikat milik individu tertentu, Isu kontrak Datuk Tengku Mahallel [Ketua Eksekutif Proton] yang tidak diteruskan dan penjualan syarikat motorsikal pegangan Proton MV Agusta dengan harga 1 Euro. Yang paling baru ialah isu pembatalan projek Jambatan kedua Johor – Singapura.

Jadi kesimpulan Si-Namak ialah, kandungan caita basia dua ialah Tun dan Pak Lah berjanji supaya jangan meluluskan banyak AP kereta mewah kepada syarikat milik individu tertentu, Kontrak Datuk Tengku Mahallel patut disambung, MV Agusta harus terus dipegang oleh Proton dan Projek Jambatan Kedua Johor – Singapura patut diteruskan. Begitukah?

Tapi rasa – rasanya macam bukan pulak. Sukar untuk Si-Namak membayangkan para pemimpin menguruskan negara kita dengan rakyatnya yang berjumlah 25 juta orang menggunakan ‘gentleman’s agreement’.Takkanlah itu cara dan isunya. Tambahan pula kesemua perkara yang berkenaan bukan kepunyaan peribadi mereka berdua sehingga sampai hendak berurusan secara ‘gentleman’s agreement’. Sebagai orang – orang professional dan berpengalaman tidak patut rasanya mereka menjadikan soal pengurusan negara seolah – olah menguruskan harta peribadi mereka sendiri.

Tetapi berdasarkan kenyataan yang dipetik di atas, ada perkara selain dari ‘gentleman’s agreement’ yang turut disentuh iaitu soal orang yang menasihati Pak Lah dan soal menantu? Jika ini sebenarnya yang menjadi punca kritikan, ia lebih manasabah kerana ia soal gaya [preference] yang berbeza. Ia juga menyentuk soal cara orang lama melihat orang baru dari belakang [lihatlah cara seorang bapa mengkritik anaknya, “Sanang bah kamu kaang ani ni, mun kami mulanya, ai kan makan malastik buung dahulu,kan mbaai yuran sikulah mahat dahulu, kan bahia pun nda bajamban,(tapi kan bakamih nda payah mbaai …)”].
Disgruntles? mungkin, tapi nadanya keras, fokus dan terperinci.

Nampaknya Tun tidak suka pelaksanaan perkara yang telah dimulakannya dahulu diubah, selain dari mengkritik para penasihat Pak Lah yang membantunya membuat keputusan pentadbiran negara. Jadi Pak Lah wajar ke hadapan untuk mengurus perkara ini supaya ia diselesaikan dengan segera. Terutamanya, jangan sehingga masyarakat berpendapat PM tidak tegas untuk mempertahankan pendiriannya dan membuktikan bahawa beliau mempunyai gaya yang tersendiri untuk memerintah negara.
--------------------------------

Nota Kaki

1Antara lain dimaksudkan juga sebagai persetujuan antara ‘orang lelaki’, persetujuan tanpa bertulis, paundingan lain, diam – diam ada caita.

Wednesday, June 28, 2006

Dilema Kadayan: Auu .... !!!

Written by giin buagas


Dilema Kadayan: Auu……………….!!!


“auu”

“aaaaaawuuu”

“auuuuuuuuuu”

Jangan salah faham, ketiga – tiga ungkapan di atas bukan suatu ungkapan gimik para khunsa1 yang popular iaitu “awwww, engko ni nyaah”. Tidak. Ia adalah ungkapan Kadayan yang bermaksud “ya” di dalam bahasa Melayu. Sinonimnya di dalam bahasa lain ialah “yes”, “amma”, “na’am”, “ja” dan sebagainya.

Tetapi perhatikan, ketiga – tiga ungkapan di atas berbeza penekanannya samaada pada huruf ‘a’ yang dipanjangkan, penekanan diantara huruf ‘a’ dengan ‘u’ sehingga menerbitkan limpahan bunyi ‘w’ yang tidak diperlukan atau, pengucapan seadanya iaitu ‘auu’.

Dilemanya ialah kita harus belajar memahami penekanan bunyi berkenaan apabila kita berbicara dengan orang Kadayan. Ia adalah satu pemahaman yang hanya boleh kita kuasai setelah lama bergaul dengan mereka. Pelik bukan, kerana perkataan yang seharusnya berbentuk persetujuan (agreement) ini boleh memberikan maksud yang betul – betul berlainan seperti bantahan (disagreement), sindiran malah boleh menjadi jawapan yang melambangkan protes.

Keadaan ini mungkin juga boleh kita lihat di dalam pengucapan ‘ya’ di dalam bahasa Melayu. Kerana, Kadayan sebenarnya bukan tergolong di dalam rumpun Melayu. Sebaliknya dan hakikatnya Kadayan adalah golongan Melayu "proper", bukan rumpun Melayu. Bahasa Kadayan umumnya adalah bahasa Melayu lama tanpa huruf r, e, f, z dan o dengan persamaan sehingga 80% berbanding dengan bahasa Melayu standard. Budaya dan rupa fizikal orang Kadayan hampir serupa dengan orang Melayu manakala, agama orang Kadayan ialah agama Islam.

Persoalannya kenapa orang Kadayan lebih suka dikenali sebagai bangsa Kadayan?

Tiada sebab yang khusus mengapa ia jadi begitu, sekurang - kurangnya sepanjang pengetahuan saya sebagai orang Kadayan selama ini. Kadayan sudah dilabelkan begitu sejak sekian lama dan kekal dikenali sebagai begitu sehingga sekarang. Mungkin atas sebab yang menjadikan keadaan yang sama berlaku pada bangsa Jerman. Penduduk negara Jerman dikenali dengan nama Jerman, tetapi penduduk negara Austria lebih suka dikenali dengan nama orang Austria. Hakikat sebenarnya ialah bangsa mereka adalah sama iaitu bangsa Aryan [juga dikenali sebagai bangsa Prussia dan Jerman].

Berbalik kepada ‘auu’, asas perkataan ini ialah mengiakan, iaitu bermaksud ‘ya’. Tetapi orang Kadayan jarang bersikap konfrontasi di dalam perbualan mereka. Konfrontasi hanya akan berlaku jika orang berkenaan memang sudah bertujuan membangkang sejak sebelum perbualan berkenaan. Jelasnya pada kebiasaan orang Kadayan, konfrontasi berlaku dengan disertai emosi, seperti bengang, batah sudah nauh, marah kerana kejadian sebelumnya yang telah berlaku dan sebagainya. Konfrontasi begini adalah jalan kedua terakhir bagi mereka. Jalan yang terakhir ialah hilap dan mangamuk.

Di sinilah keperluan untuk kita memahami maksud ‘auu’ mereka. ‘auu’ yang diungkapkan dengan terlalu pendek adalah ungkapan yang boleh mengelirukan. Ia mungkin bermaksud sebagai penggalakan (encouragement) untuk menyambung perbualan. Ia juga mungkin bermaksud bosan, tajuk bicara berkenaan tidak menarik dan sipendengar meminta agar bicara berkenaan dihentikan. Selain itu ungkapan begini juga boleh bermaksud sipendengar tidak bersetuju dengan apa yang disuarakan. Sambil meng‘auu’kan mereka akan melirik ke muka anda [yang berbicara] seolah – olah berkata “ nda ngam baitu, tapi kaang mun ku batutuan salah hati pulang kau”. Sikap inilah yang amat biasa di kalangan orang – orang Kadayan, sehingga membawa ungkapan “auu auu babauu”.

Namun walaupun ‘auu’ pendek ini bersifat mengelirukan, jawapan sebegini tidak merbahaya dan masih boleh diketepikan (ignored) jika anda ingin meneruskan perbualan pada tajuk yang sama. Maksudnya, mungkin walaupun sipendengar merasakan berbicara dengan anda seolah – olah seperti duduk baduii jubo, beliau masih sudi meluangkan masa bersama anda atas dasar menjaga muka. Sekurang – kurangnya orang itu masih lagi menghormati anda.

Bagaimana dengan “aaaaaawuuu”? Ia adalah berbentuk affirmation [pengukuhan] dan authoritative [kekuasaan]. Ungkapan ini bertujuan untuk mengesahkan dan meyakinkan mengenai persetujuan tentang sesuatu yang telah dikatakan sebelumnya atau persetujuan mengenai sesuatu perkara. Ia juga berkenaan dengan penekanan (to stress) terhadap perkara yang telah dipersetujuinya tetapi dalam masa yang sama pengesahan mengenainya dipastikan sekali lagi.

Ungkapan yang paling bahaya ialah “auuuuuuuuuu”. Ungkapan ini tidak boleh dipercayai. Ia boleh bermaksud apa sahaja, dari bermaksud sinis, tidak percaya, tidak bersetuju, marah malah hanya mengungkapkan dengan maksud tersiratnya “pergilah kau dari sini”

Kesimpulannya, apa bila ‘auu’ sebenarnya bermaksud ‘tidak’ adalah penting untuk kita meneliti bahasa badan (gesture) orang Kadayan yang mengucapkannya. Bahasa badan di sini tidak semestinya melibatkan pertembungan mata (eye contact).

Jangan percaya dengan teori komunikasi barat jika berbual dengan orang Kadayan. Pertembungan mata tidak semestinya melambangkan ketidakyakinan, tidak ikhlas dan tidak menumpukan perhatian. Ide mengenai pertembungan mata adalah idea import; tanpa prejudis samaada ia baik atau tidak kepada penekanan serta keberkesanan untuk berbual. Seorang Kadayan masih boleh berbual dengan baik, bacaita, walaupun dia membelakangi kawannya berbual.

Bukan orang Kadayan sahaja yang berpendapat lain mengenai idea tentang kepentingan pertembungan mata semasa berbual. Di penjara, pertembungan mata adalah lebih merbahaya. Ia adalah insiden yang perlu dielakkan kerana ia disifatkan sebagai keinginan untuk berlawan (aggression symbol).
--------------------------------

Nota Kaki

1Pondan, golongan Mak Nyah.

Monday, June 26, 2006

Kadayan dan Orang Bunian 8

Written by WaJiD Manis

Lagi Pengalaman berkaitan dengan Oang kabanaan …

Paparan kali ini merupakan sambungan dari koleksi cerita – cerita pengalaman orang orang kadayan bertemu dengan Oang Kabanaan yang telah kita paparkan pada siri lepas.

2) Pengalaman Aimulah Imam Hj Bajung

Imam paling suka memburu dan beliau merupakan seorang yang berani. Apabila memburu, beliau tidak suka berkawan tetapi lebih suka pergi memburu sendirian dengan takiding, lampu picit dan senapang dan bermalam di hutan. Imam bukan pula seorang yang terlalu handal memburu, bukan juga seorang pemburu professional. Cuma, beliau minat memburu. Kebiasaannya selepas penat memburu, beliau akan tidur di hutan sebelum balik keesokan harinya. Tips beliau ialah, jika hendak tidur di hutan, cari kawasan lapang, tidur di atas batu yang nampak langit, kita boleh tidur dengan selesa tanpa bimbang dengan gangguan lulu yang merbahaya, entahlah.

Kejadian ini berlaku disekitar tahun 1980an. Pada suatu malam itulah semasa memburu beliau beliau tidur di hutan. Beliau terjaga pada waktu subuh, oleh laungan azan subuh yang berkumandang dengan nyaring dan merdu. Beliau cukup menyedari tiada masjid atau perkampungan di kawasan itu, kerana tiada gunanya memburu di halaman rumah orang. Beliau mendengar azan berkenaan sehingga habis, tetapi kerana penat atau apa, beliau kemudian tertidur dan terjaga lebih kurang pukul 12 tengahari esoknya.

3) Tangah Supot Katagoan

Kejadian ini berlaku pada pertengahan tahun 1980an. Tangah Supot juga biasa di hutan untuk berkebun, memburu dan baamu kayu untuk dibuat rumah. Pada masa itu baamu adalah perkerjaan lumrah samaada untuk membuat beluti dan papan untuk kegunaan sendiri atau untuk dijual. Kayu dan papan yang dihasilkan digemari kerana ia lebih murah, berkualiti dan potongannya lebih fleksibel dipotong mengikut saiz yang diperlukan.

Tangah pada hari itu sedang baamu, di kawasan yang berdekatan dengan anak sungai. Selepas makan tengahari, beliau berehat sebelum menyambung kerja – kerja menggerjagi. Pada masa itulah, semasa berehat dan berada di antara tidur dan jaga beliau ternampak dua orang perempuan mengambil air dan melintas berhampiran tempat beliau berbaring. Sambil berjalan dan mengambil air kedua – duanya berbual di antara satu sama lain. Tangah terdengar dialog berikut “Bah jangan tah ingaa, kaang tabangun dangan tidoo” . Perempuan yang seorang lagi menjawab, “Ooh, Si Supot bah tu, baamu kayu”. Ya lah tu;menegur, dan mengenali… masalahnya teguran berkenaan dipercayai menyebabkan Tangah Supot Katagoan teruk dan demam dengan kritikal dekat sebulan!


4) Cerita Si Nidun Andah

Cerita ini berakhir pada penghujung tahun 1970an. Si Nidun Andah, seperti yang digambarkan oleh namanya adalah seorang yang rendah sahaja ketinggiannya. Di mata kebanyakan penduduk kampung, beliau tergolong sebagai orang yang inda baapa panuh, tetapi tidak mengacau dan menyakiti orang lain. Selain itu beliau cukup dikenali sebagai seorang yang pandai mengubati terutama penyakit kanak – kanak dan orang yang berpenyakit aneh. Cara pengubatan beliau juga cukup aneh, kebanyakannya menggunakan bunga – bungaan dari bunga yang cukup biasa didapati seperti bunga Gulambie Hayam dan bunga – bunga rumput.

Selain dari mengubati orang, Si Nidun seringkali kelihatan mundar mandir tanpa diketahui dari mana dan ke mana perginya. Tetapi Si Nidun ke manapun biasanya akan berjalan kaki dan akan menolak jika di bawa menaiki kereta. Yang ganjilnya ramai orang kampung mendapat cerita baru, Si Nidun seringkali dilihat berada di tempat berlainan pada masa yang sama. Kerana keganjilan ini, keanehan cara perubatannya, dan sikapnya yang sering tidak diketahui dari mana dan ke mana perginya dan adakalanya tidak boleh dijumpai, ramai yang berpendapat beliau sebenarnya berkahwin dengan Oang Kabanaan. Si Nidun mungkin telah pun meninggal dunia, tetapi tiada orang yang tahu di mana kuburnya sehingga sekarang ini.


Bersambung ke Siri 9.
--------------------------------

Peringatan: Pendapat pengarang di dalam artikel ini dan mana – mana artikel di laman web ini tidak melambangkan pendirian rasmi kadayanuniverse.com. Oleh itu budibicara para pembaca adalah diperlukan untuk menilai sendiri setiap kandungan artikel yang dipaparkan di dalam laman web ini. Terutama di dalam soal norma – norma sosial, metafizik, fekah, tassauf, kesufian, kebatinan dan seumpamanya, pendirian kadayanuniverse.com bersandar kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut persepsi Mahzab Syafie yang diamalkan di Malaysia. Paparan artikel adalah berdasarkan pandangan peribadi penulis mengenai elemen - elemen yang ada di dalam lingkungan masyarakat Kadayan di tempat – tempat tertentu sahaja dan; mungkin TIADA pada masyarakat Kadayan di tempat lain. Artikel ini dibuat dengan tujuan baik [on good faith] dan kadayanuniverse.com adalah platform untuk para penulis untuk menyalurkan ide mereka secara bebas selari dengan semangat dunia terbuka internet. Kadayanuniverse.com menyiarkannya dengan kepercayaan ia dibuat tanpa tujuan untuk mempersendakan sesiapa atau mengaitkan orang Kadayan dan mana-mana kaum di Malaysia dengan kemunduran dan kebodohan.

Friday, June 23, 2006

Kadayan dan Orang Bunian 7

Written by WaJiD Manis

Pengalaman berkaitan dengan Oang kabanaan

Sejak enam siri yang lepas, kita telah cuba untuk menjelaskan mengenai siapa yang dikatakan sebagai Oang Kabanaan. Secara umumnya, keputusan analisis kita cenderung untuk menyimpulkan bahawa Oang Kabanaan berkemungkinan besar merujuk kepada golongan Giin, manusia atau kedua – duanya, bergantung kepada gambaran – gambaran yang diperolehi dari orang – orang Kadayan yang pernah bertemu dengan mereka. Oleh yang demikian kali ini kita akan memaparkan pengalaman beberapa orang Kadayan berhubungan dengan Oang Kabanaan.

Kesemua cerita ini diperolehi dari daerah Sipitang dan WP Labuan dan peristiwa – peristiwa yang berlaku adalah dari 1960 sehingga sekarang. Terdapat tiga sumber lisan, samaada diterima terus oleh penulis dari orang yang mengalaminya [pihak kedua] ataupun diterima oleh penulis dari orang yang mendengar cerita dari orang yang mengalaminya [pihak ketiga]. Cerita ini adalah asli, bukan disunting dari mana – mana artikel atau majalah misteri, bukan juga rekaan penulis sendiri. Nama orang – orang yang terlibat dan tempat diubah bagi mengelakkan sensitiviti yang mungkin berbangkit di belakang hari nanti.

1. Cerita – cerita dari Aimulah Tua

Aimulah Tua memiliki perwatakan yang biasa dan kuat beragama. Beliau kelihatan amat biasa, tetapi sangat jovial dan bukan orang yang cenderung ke arah ilmu – ilmu kebatinan Kadayan. Tetapi beliau memiliki kelainan yang tersendiri, hidup beliau amat dekat dengan kehidupan hutan. Beliau memiliki 15 ekar tanah di kawasan berbukit bukau bernama Akaab. Kawasan ini pernah dirancang untuk menjadi kampung, tetapi rancangan berkenaan terbengkalai menyebabkan kawasan ini dipenuhi dengan hutan. Walau bagaimanapun Tua dan sahabatnya Aimulah Tangah Kanah meneruskan usaha mereka membangunkan kebun getah. Oleh itu sebahagian besar dari masa mereka adalah berurusan dengan hutan, di dalam seminggu mungkin dalam empat, lima hari dan selebihnya di kampung untuk berurusan dengan anak isteri dan menambah bekalan yang habis. Berikut merupakan beberapa pengalaman beliau yang menarik untuk tatapan pembaca:


a) Azan Subuh di hutan

Mengikut Tua, pada tahun – tahun awal beliau memugar tanah, di dalam tahun 1968 – 1969, pada kebanyakan masa beliau adalah berseorangan tinggal junjung beliau. Tambahan pula kedudukan kebun beliau dengan Tangah Kanah adalah umpama dari sudut paling kiri ke sudut paling kanan di antara tanah adik beradik Tua dan tanah adik beradik Tangah Kanah. Tanah Tangah Kanah paling hampir dengan kampung yang terdekat, lebih kurang satu jam setengah perjalanan kaki. Lebihkurang sejam lagi diperlukan untuk sampai ke tanah beliau. Oleh itu pada kebiasaannya Tua tinggal di junjung beliau seorang diri. Terlalu lama dan biasa tinggal keseorangan di dalam hutan boleh menerbitkan perasaan yang aneh, menurut Tua dan Tangah Kanah. Kita akan menjadi amat sensitif dengan persekitaran. Yang menariknya, kita akan dapat “merasakan” kehadiran orang lain di sekitar dua, tiga batu dan bila ini berlaku mereka akan ngokok1.

Pada suatu Subuh, Tua terjaga untuk menunaikan Solat dan pada ketika itulah laungan azan begitu kuat dan merdu dari kawasan tanah milik Sunding, seorang Lundayeh. Tua cukup pasti tiada orang di sekitar, apatah lagi tanah berkenaan masih merupakan hutan tua2. Suara berkenaan cukup merdu, bergema, tidak bingit tetapi amat jelas dari mula sehingga akhir. Bagi Tua, semua azan yang pernah didengarnya sebelum dan selepasnya tidak mampu menandingi azan subuh di bukit Kab. Tetapi menurut Tua, Ungkapan "assolatu khairu minan naum" di dalam azan Subuh berkenaan ditukar menjadi "assolatu khairu minan nok".


b) Anak Kecil di atas batu

Pada sekitar tahun 1969 Tua sekali kagi mengalami peristiwa yang lebih aneh. Pada suatu senja kira - kira waktu maghrib, suasana senja mula meremang meliputi kawasan sekitar. Tua pula ketika itu di dalam perjalanan pulang dari kebun menuju ke kampung dan sedang berada di antara junjung Tangah Kanah dengan hujung kampung. Kiri kanan kawasan adalah hutan tanpa penghuni dan Tua sedang melewati satu anak sungai berbatu. Tiba tiba beliau melihat seorang anak kecil di dalam usia empat hingga lima tahun di atas batu di hadapan. Budak itu nampaknya sedang mandi tetapi ketika itu hendak tergelincir. Tua dengan tindakbalas semulajadi beliau sebagai orang dewasa, dengan bakang di sikut di belakang dan parang dipinggang terus meluru ke hadapan dan sempat menangkap tangan anak berkenaan sebelum jatuh.

Tidak diketahui apa yang berlaku selepas itu, penulis tidak sempat bertanya lanjut. Cerita ini timbul kembali di dalam tahun 1991. Dalam satu pertemuan dengan seorang kawan, orang itu secara misteri tiba - tiba bertanya kepada Tua sama ada, ada atau tidak Oang Kabanaan bernama Hj Soman di kawasan berkenaan, dan Tua menafikannya. Namun begitu beberapa hari kemudian Tua memberitahu anak beliau bahawa Hj Soman memang ada dan anak Hj Somanlah yang beliau selamatkan tempoh hari.

c) Manusia Aneh

Pengalaman ini dialami oleh Aimulah Tua pada tahun 1992, lebih kurang sebulan sebelum beliau meninggal dunia kerana kemalangan di kebun. Malam berkenaan beliau sedang memburu di sekitar kawasan yang agak jauh dari kebun. Lengkap bersuluh, bakang autan kegemaran beliau, bersenjatakan parang dan senapang, mencari apa – apa binatang; pelanduk, kijang, payau kah kan jadi pauntungan. Besoknya hari Khamis, dan Tua biasanya akan balik ke kampung untuk ke pekan menjual getah, membeli barang keperluan serta menunaikan solat Jumaat. Beliau tiba di kawasan berbukit dan seterusnya menuju ke kawasan yang agak landai tetapi menaik dan kiri kanan saluk berkenaan dipenuhi halingkawang.

Terdapat batang kayu selari dengan saluk yang menjadi laluan beliau. Pada masa inilah Tua melihat kelibat sesuatu yang bergerak gerak. Pelanduk mungkin, fikir beliau sambil menghalakan lampu suluh ke arah kelibat berkenaan dengan tangan kiri dan mencapai senapang yang disikut dengan sling3. Sebaik sahaja lampu suluh Tua menerangi sudut yang dimaksudkan, alangkah terkejutnya beliau kerana yang disuluh itu ternyata manusia laki bini yang bersaiz kecil.

Kecil kerana pasangan manusia tidak lebih tinggi dari batang kayu yang mahalintang saluk berkenaan. Tua menggosok matanya berkali – kali, juga baastagapaa berulang – ulang, tetapi makhluk berkenaan tetap wujud di hadapannya. Setelah beberapa ketika Tua dapat mengawal diri dan meyakinkan dirinya sendiri betapa besarnya keagungan Allah SWT. Beliau juga menyedari suluhan lampu picit beliau mungkin membuatkan pasangan berkenaan menjadi silau, jadi beliau bertindak meletakkan lampu picitnya di tanah, mengalih arah suluhan tetapi masih menerangi lokasi sekitar, termasuk pasangan manusia aneh itu.

Tua mengambil keputusan untuk berhenti. Beliau melepaskan bakang beliau, melihat ke jam tangan beliau menunjukkan lebih kurang pukul 9 lebih. Kedua manusia berkenaan juga tidak berjalan, sebaliknya yang lelaki, dalam lingkungan 50an sesekali kelihatan berkata – kata dengan isterinya mengenai sesuatu. Kadang kala menampar muka, badan dan kaki mungkin untuk menghalau nyamuk. Pada ketika ini Tua telah pun bertenang malah duduk menghadap manusia itu di dalam jarak empat hingga enam kaki dari tempat mereka berdiri. Percaya atau tidak, Tua dengan tenang malah mengeluarkan kantung sigup kasaa, menggulung dan siap usai usai basigup sambil terus memerhati.

Sesekali Tua dan orang lelaki berkenaan bertukar pandang, tetapi tanpa sepatah kata dari mulut masing – masing. Tiada raut cemas di muka orang itu terserempak dengan Tua. Orang lelaki berkenaan berambut pendek, bermisai hitam tebal dan pakaian kedua – duanya berwarna hitam seperti pakaian orang di zaman lampau, tidak berkasut dan nyikut sesuatu. Manakala isteri beliau berpakaian seolah – olah berkemban juga berwarna hitam. Dari pemerhatian Tua, pasangan ini akan berjalan ke arah bawah saluk.

Keadaan saling memerhati ini berterusan sehingga Tua habis menghisap kiai beliau, lebih kurang sepuluh, lima belas minit. Seterusnya Tua berdiri semula, mengenakan sikutan, mengambil senapang dan lampu picit beliau lalu berkata kepada pasangan berkenaan “Kita ni sama – sama mancahai makan, tapi tajumpa pulang kita malam ani. Bah, bajalan tah kita. Aku ni kan ka hadapan, ku lihat kamu ni kan ka sana” . Pasangan itu jelas memahami perkataan Tua, lalu mereka berjalan ke arah bawah. Tua menyuluhi mereka dari tempatnya berdiri dan kelihatan kedua – duanya gaamak – gaamak, inggut – ingut sehingga hilang dari pandangan.

Tua terus balik ke junjung beliau selepas insiden itu, tetapi beliau tidak puas hati mengenai satu perkara iaitu saiz mereka yang kecil. Besoknya sebelum beliau balik ke kampung, sekali lagi beliau memeriksa lokasi misteri berkenaan. Ternyata kayu yang mahalintang itu masih ada, dan tingginya adalah separas lutut beliau sahaja!

---------------------------------------------------------------------------------------------------
Hantu filem "Three Man And A Baby". Anak panah menunjukkan objek hantu kanak-kanak yang muncul di dalam filem "Three Man And A Baby". "Kanak-kanak" itu tidak kelihatan semasa penggambaran filem berkenaan. Menurut cerita, rumah tempat lakunan filem tersebut merupakan rumah yang pada suatu masa dahulu di huni oleh keluarga kanak-kanak tersebut. Dia dikatakan mati tertembak dirinya sendiri ketika bermain dengan senapang kepunyaan bapanya.


http://www.geocities.com/muzzafar/3man.html.
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Bersambung ke Siri 8.
--------------------------------

Nota Kaki

1Cara orang Kadayan menyapa antara satu sama lain jika jarak antara mereka samaada terlindung ataupun berada jauh diantara satu sama lain. Kokok melibatkan jeritan perkataan yang tidak bermakna tetapi bernada tinggi seperti Oooohhhhhhh! atau Uhhhhhoiiiii!. Ia kelihatan agak pelik tetapi selepas bertahun – tahun, setiap orang boleh mengenali suara dan dua tiga jenis kokokan seorang. Suara dan nada kokokan ini dikenali secara khas, boleh dibezakan dan sukar untuk ditiru oleh orang yang baru datang ke satu – satu tempat itu.

2Hutan yang belum dipugar, belum dipersiapkan untuk dikebuni.

3Tali yang digunakan untuk menggandar senapang.
--------------------------------

Peringatan: Pendapat pengarang di dalam artikel ini dan mana – mana artikel di laman web ini tidak melambangkan pendirian rasmi kadayanuniverse.com. Oleh itu budibicara para pembaca adalah diperlukan untuk menilai sendiri setiap kandungan artikel yang dipaparkan di dalam laman web ini. Terutama di dalam soal norma – norma sosial, metafizik, fekah, tassauf, kesufian, kebatinan dan seumpamanya, pendirian kadayanuniverse.com bersandar kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut persepsi Mahzab Syafie yang diamalkan di Malaysia. Paparan artikel adalah berdasarkan pandangan peribadi penulis mengenai elemen - elemen yang ada di dalam lingkungan masyarakat Kadayan di tempat – tempat tertentu sahaja dan; mungkin TIADA pada masyarakat Kadayan di tempat lain. Artikel ini dibuat dengan tujuan baik [on good faith] dan kadayanuniverse.com adalah platform untuk para penulis untuk menyalurkan ide mereka secara bebas selari dengan semangat dunia terbuka internet. Kadayanuniverse.com menyiarkannya dengan kepercayaan ia dibuat tanpa tujuan untuk mempersendakan sesiapa atau mengaitkan orang Kadayan dan mana-mana kaum di Malaysia dengan kemunduran dan kebodohan.

Tuesday, June 20, 2006

Kadayan dan Orang Bunian 6

Written by WaJiD Manis


Oang Kabanaan: Manusia?

Beberapa orang tua – tua Kadayan yang ditemui masing – masing memberikan teori mereka sendiri mengenai siapa yang dinamakan sebagai Oang Kabanaan. Menurut mereka Oang Kabanaan sebenarnya adalah manusia biasa yang mempunyai ilmu yang tinggi, memiliki keistimewaan dan kelebihan – kelebihan tertentu sehingga mereka menjadi Oang Kabanaan. Oang Kabanaan adalah manusia yang telah menemui sesuatu rahsia alam yang tersembunyi.


Rahsia ini mereka gunakan untuk hidup secara tersendiri di dunia secara terpisah dari manusia – manusia biasa yang lain. Oleh kerana keistimewaan ini mereka kemudian wujud menjadi orang alus. Mereka hidup dalam masyarakat mereka sendiri [self sustenance]. Sekali sekala berdasarkan keperluan jika mereka mahu, mereka akan berhubung dengan kita. Mereka juga mungkin akan membantu kita [mungkin juga mengganggu] jika mereka mahu. Ringkasnya, Oang Kabanaan adalah manusia istimewa yang menjadi alus disebabkan mereka mempunyai ilmu, kelebihan atau pun kerana mereka menemui rahsia – rahsia alam yang tidak diketahui oleh orang lain.

Perkataan alus di sini bukannya bermaksud damit, tetapi kerana ia tidak dapat dicapai dengan pandangan mata kasar kita. Istilah lathif, latif di dalam bahasa Arab lebih tepat menerangkan keadaan ini. Sesetengah orang tua – tua memberikan sebab kenapa mereka menjadi orang alus; “mun inda sasak kita luan hantap banyak yang tinggal jan kita di dunia ani”. Satu penyelesaian kepada masalah kependudukan yang baik, jika ia benar – benar berlaku. Setidak – tidaknya, kita tidak lagi perlu bersandar kepada teori kependudukan Malthus untuk menyelesaikan masalah perkembangan kependudukan dan perkembangan makanan.

---------------------------------------------------------------------------------------------------
Gambar diambil menggunakan kamera telefon di dalam apartment di Mont Kiara, Selangor. Perhatikan "wanita" yang duduk di sebelah belakang lelaki ini. Dia tidak sepatutnya berada di situ kerana tiada tempat untuk duduk di sebelah luar pagar beranda apartment berkenaan.



http://www.liewcf.com/blog/archives/2004/07/believe-it-or-not-hantu/
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Istilah Oang Kabanaan itu sendiri adalah mengundang rasa ingin tahu kita, kenapa orang Kadayan memanggil mereka dengan istilah itu. Istilah yang terhampir Oang Kabanaan di dalam istilah Bahasa Melayu ialah “Orang Bunian”, entahkan betul entahkan tidak. Penyelarasan istilah ini sebenarnya tidak pernah dibuktikan, sebaliknya dibuat kerana wujudnya persamaan bentuk komunikasi yang berlaku antara Oang Kabanaan – Orang Bunian – manusia.

Perkataan pokok “Kabanaan” ialah banaa. Jika dimelayukan secara literal1 bermaksud kebenaran2. Oleh itu Kabanaan3 dengan dengan menambilkira fungsi imbuhannya boleh membawa maksud luan hantap banaa, kebenaran dan membenarkan. Tiga perkataan ini nampaknya mudah tetapi maksudnya amatlah dalam. Perhatikan, Al-Amin adalah gelaran kepada Nabi SAW dan Siddiq merupakan sifat Baginda. As-Siddiq juga merupakan gelaran kepada Saidina Abu Bakr. Al-Amin dan As-Siddiq membawa erti yang sama iaitu kebenaran dan membenarkan. Di dalam sejarah Islam, hanya Saidina Abu Bakr yang digelar dengan gelaran ini. Ini kerana sifat beliau yang mempunyai keimanan [kepercayaan] yang amat tinggi, membenarkan kata kata Nabi SAW serta mengikutinya dengan penuh keyakinan tanpa keraguan. Beliau percaya sejak dari kali pertama mendengar perkara tauhid yang tidak sebelum itu asing kepadanya daripada Rasulullah SAW.

Perkataan membenarkan juga mempunyai tempat yang tinggi di dalam pengajian kesufian dan tassauf. Ia adalah keadaan, pandangan, sikap dan perilaku yang tidak diikuti dengan penafian, prasangka dan sebarang tanggapan apa jua pun. Hamzah Fansuri menjelaskan bahawa di dalam maqam makrifat keadaannya ialah menyaksikan [syahid] mengenai apa yang disaksikan [tasyahud] dan apa yang disaksikan itulah kesaksian [syuhud] dan alam ini ialah alam kesaksian [musyahadah] yakni alam yang membenarkan.

Kesimpulannya, jika manusia menjadi Oang Kabanaan kerana ilmu maka sudah pasti ilmu mereka adalah sangat tinggi. Ilmu yang dimiliki membolehkan mereka tinggal di alam parallel4 secara beramai –ramai dengan membawa seluruh keluarga mereka ke alam berkenaan. Bukan itu sahaja, sehingga keturunan mereka juga masih memiliki keistimewaan berkenaan! Jika benar, maqam makrifat yang mereka miliki melebihi kemampuan tokoh – tokoh sufi terkenal dunia seperti Mansor Al-Hallaj, Abdul Qadir Al-Jilani, Muhyuddin Al-Arabi, Jalaluddin Al-Rumi dan Hamzah Fansuri. Al-Hallaj dan Fansuri misalnya, tidak akan berserah untuk dihukum bunuh jika mereka mempunyai cara untuk tinggal di dunia parallel.

Bagaimana jika manusia menjadi Oang Kabanaan kerana kelebihan dan keistimewaan yang dianugerahkan kepada Allah SWT kepada mereka?

Ini adalah persoalan menarik, tetapi anugerah yang terlalu istimewa dan berlawanan dengan sunnatullah [hukum alam] biasanya terjadi untuk keadaan tertentu yang sangat istimewa dan kepada orang yang terpilih bagi menunjukkan kekuasaanNya. Contohnya Nabi Isa AS dilahirkan tanpa bapa, Nabi Khidir AS dianugerahkan dengan umur yang panjang dan tujuh penghuni gua5 tidur sehingga melebihi tiga abad lamanya. Tetapi para faquha6 telah memberikan panduan, perkara berkenaan tidak terjadi kepada manusia biasa, hanya kepada manusia – manusia pilihan. Jadi, sukar untuk membayangkan bagaimana keistimewaan berkenaan diberikan kepada begitu ramai orang sehingga manusia mampu membentuk kelompok Oang Kabanaan.

Kemungkinan ketiga ialah manusia menjadi Oang Kabanaan kerana menemui rahsia tertentu alam sehingga mereka berupaya melakukan perkara – perkara yang luarbiasa termasuk tinggal secara parallel di dunia ini. Rahsia alam memang ada dan banyak. Selaras dengan namanya iaitu rahsia, ia adalah suatu pauntungan kepada mereka yang mempunyainya sahaja dan tetap tersembunyi dari pandangan luar. Di antara rahsia alam yang baru – baru diketahui dan diketahui ada tetapi tidak diketahui sebab musababnya ialah:


a) Di udara terdapat kelompang arus yang merupakan rahsia kenapa rama – rama yang biasanya tidak terbang laju mengembara beribu kilometer di antara Taiwan dan Jepun dengan kelajuan yang tinggi.

b) Kemajuan teknologi geografi kuno lebih maju dari masa sekarang. Di dalam kurun ke 16 seorang Panglima Tentera Turki, Pirri Reis menemui peta purba yang menggambarkan bentuk mukabumi benua Antartika di Kutub Selatan sebelum benua berkenaan dilitupi ais sedangkan, sehingga tahun 1970an, tiada siapa pun yang tahu mengenai mukabumi benua berkenaan.

c) Orang Atzec di Amerika Selatan boleh meraut, membentuk dan menempa batu –batuan seperti orang Kadayan bertukang kayu.

d) Di kawasan tertentu seperti kawasan misteri Bermuda Triangle di Amerika Selatan yang ditakuti kerana banyak peristiwa kehilangan kapal dan kapalterbang, ada ciri – ciri alam di sana yang tidak sepatutnya ada di mukabumi seperti ada aliran magnetic yang aneh dan sebagainya.


Tetapi bukti – bukti di atas masih belum menjawab persoalan mengenai kehadiran rahsia alam berkaitan dengan wujudnya ruang parallel di dunia ini. Mungkinkah?



Bersambung ke Siri 7.
--------------------------------
Nota Kaki

1Diterjemahkan secara harfiah, secara kasar mengikut congak lebih kurangnya.

2Perkataan seerti yang lain ialah truth, true, hakikat.

3Tetapi sebelum itu kita harus memahami kewujudan imbuhan “ka” dan “an” pada perkataan berkenaan di dalam konteks bahasa Kadayan. Bagi orang Kadayan, penambahan imbuhan boleh menyebabkan erti sesuatu perkataan berkenaan menjadi berlainan langsung berbanding dengan maksud asalnya. Contohnya kabilangan. Bilang bermaksud hitung, tetapi penambahan “ka” dan “an” padanya membawa masuk terbilang, tersohor malah juga perilaku seseorang yang berlagak. Contoh lain ialah kabalikan. Balik bermaksud songsang, tetapi penambahan “ka” dan “an” menerangkan proses – proses karma iaitu merupakan balasan yang seakan akan sama ke atas perbuatan dan perkataan yang dilakukan oleh seseorang kepada orang lain.

4Ruang, tempat tinggal selari dengan alam kita tetapi tidak kelihatan. Jalan tinggal yang batapas tapas, aah kita aah basia jua tapi kita inda taasai, basia pun inda taasai, masing masing jan dunianya.

5Ashabul Kahfi.


6Cerdik pandai di dalam bidang perundangan Islam , ahli – ahli fekah.
--------------------------------


Peringatan: Pendapat pengarang di dalam artikel ini dan mana – mana artikel di laman web ini tidak melambangkan pendirian rasmi kadayanuniverse.com. Oleh itu budibicara para pembaca adalah diperlukan untuk menilai sendiri setiap kandungan artikel yang dipaparkan di dalam laman web ini. Terutama di dalam soal norma – norma sosial, metafizik, fekah, tassauf, kesufian, kebatinan dan seumpamanya, pendirian kadayanuniverse.com bersandar kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut persepsi Mahzab Syafie yang diamalkan di Malaysia. Paparan artikel adalah berdasarkan pandangan peribadi penulis mengenai elemen - elemen yang ada di dalam lingkungan masyarakat Kadayan di tempat – tempat tertentu sahaja dan; mungkin TIADA pada masyarakat Kadayan di tempat lain. Artikel ini dibuat dengan tujuan baik [on good faith] dan kadayanuniverse.com adalah platform untuk para penulis untuk menyalurkan ide mereka secara bebas selari dengan semangat dunia terbuka internet. Kadayanuniverse.com menyiarkannya dengan kepercayaan ia dibuat tanpa tujuan untuk mempersendakan sesiapa atau mengaitkan orang Kadayan dan mana-mana kaum di Malaysia dengan kemunduran dan kebodohan.

Saturday, June 17, 2006

Kadayan dan Orang Bunian 5

Written by WaJiD Manis

Paradox 2: Giin dan Manusia

Pada kali ini kita melihat kemungkinan bahawa manusialah sebenarnya yang boleh mengganggu Giin dan bukan sebaliknya di dalam hubungan Giin dan manusia, jika Giin adalah golongan yang dikenali oleh orang – orang Kadayan sebagai Oang Kabanaan.

Ungkapan “dari tanah kembali kepada tanah” merupakan satu kenyataan yang tidak boleh dinafikan bagi kehidupan biasa di dunia ini. Semua organisma hidup termasuk manusia, binatang segala lulu dan kayu – kayuan terjadi dari unsur tanah, bernyawa hidup dari muda, dewasa dan tua lalu mati dan menjadi tanah semula. Tetapi, tanah sebagai unsur utama penciptaan manusia sebenarnya tidaklah selemah yang disangka walaupun semasa ia berhadapan dan berurusan dengan api yang perkasa. Perkara yang paling asas, tanah tidak memerlukan apa – apa bahantara1 untuk menjadi tanah, tidak seperti api. Sebaliknya api yang memerlukan sesuatu yang terbakar terutamanya dari unsur tanah seperti kayu kering, rumput, minyak dan sebagainya bagi membolehkan ia bertenggek dan seterusnya menjadi wujud sebagai api.

Tanah juga membentuk struktur jasad, sesuatu yang tidak dimiliki oleh Giin. Jasad ini amat berguna sebagai acuan zahir bagi menjamin kelangsungan baka kehidupan yang bertali temali sehingga ke akhir zaman dengan kuasa Allah SWT. Penyatuan jasad bapa dan ibu pula adalah wajib berlaku sebagai bahantara untuk menyalin paduan diri mereka ke lembaga baru. Penyatuan ini membentuk lembaga yang menjadi “rumah” kepada diri baru iaitu anak mereka, seterusnya membentuk rantaian anak demi anak yang dinamakan keturunan. Perkara ini adalah sunatullah atau hukum alam yang wajib ada di sepanjang zaman.

---------------------------------------------------------------------------------------------------
Hantu UiTM? Ia dikatakan diambil oleh pelajar UiTM Shah Alam menggunakan kamera yang boleh mengambil gambar dalam gelap dan hanya memerlukan bantuan sedikit cahaya. Sepatutnya ada tiga orang yang cuba bergambar. Ketika gambar diambil tiada siapa melainkan ketiga-tiga mereka itu tetapi setelah gambar siap dicuci terdapat lembaga berwarna putih yang merupakan lembaga seorang wanita sedang berdiri yang mengakibatkan gambar ketiga-tiga mereka tidak kelihatan. Apa yang jelas dalam gambar tersebut adalah lembaga wanita yang seperti memegang sesuatu dan ada yang mengatakan ia mendukung bayi.


http://www.geocities.com/muzzafar/hantuitm.html
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Kecuali Nabi Adam AS, Nabi Isa AS dan Siti Hawa, proses salin menyalin manusia memerlukan kehadiran jasad kedua – belah pihak iaitu jasad ibu dan jasad bapa. Jasad zahir meliputi tubuh badan dan anggota kelamin sehinggalah jasad di dalam bentuk cecair yang dikenali sebagai air mani bapa dan ovari [telur] ibu. Kepincangan tentu timbul di dalam kelangsungan proses ini jika hanya satu pihak yang berjasad manakala yang satu lagi tidak. Di dalam soal ini jika Giin adalah Oang Kabanaan seperti yang dikenali oleh orang – orang Kadayan, mereka perlu berjasad untuk membolehkan jasad mereka disalin bersama – sama jasad manusia ke dalam jasad baharu, iaitu anak mereka. Tanpa jasad perkara ini tidak mungkin berlaku samada di dalam bentuk manusia beranak kan Giin dan sama ada Giin beranakkan manusia.

Di dalam hal yang lain, apabila Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran menyatakan bahawa manusia dijadikan khalifah di mukabumi ini, ianya bukanlah suatu mainan mahupun satu pernyataan yang sia – sia. Malah Dia yang Maha Kuasa tentunya telah mengambilkira kemampuan manusia untuk mempertahankan diri mereka hatta apabila berhadapan dengan Giin sekalipun. Sebagai khalifah manusia diciptakan bukan dari unsur tanah semata – mata tetapi juga mengandungi unsur air, angin dan API. Jadi, adanya unsur api mensetarakan wujud manusia dengan wujud Giin. Akan tetapi kejadian manusia adalahlebih lengkap kerana selain dari mempunyai unsur api, manusia juga mempunyai tiga lagi unsur tambahan berbanding dengan Giin.

Oleh yang demikian, manusia sebenarnya boleh mengatasi Giin. Di dalam Al-Quran dinyatakan kisah Nabi Sulaiman bahawa manusia mengatasi kemampuan Giin di dalam tugas mengambil takhta Ratu Saba’ di mana seorang yang berilmu berupaya mengambil takhta berkenaan sebelum mata sempat berkelip, mengatasi kemampuan segala Giin yang hadir ketika itu.

Jika Oang Kabanaan itu merupakan Giin, Adakah kita manusia kadayan yang sebenarnya yang memasuki alam mereka? Manusia [kita] Kadayan yang memiliki keistimewaan samaada secara belajar atau kerana kelebihan semulajadi akan berupaya menggunakan unsur api di dalam diri untuk berkomunikasi, bersahabat, bersosial, berkahwin dan beranak di alam Giin, bukan sebaliknya. Jika ini berlaku, ia menjelaskan kita keadaan kenapa proses gangguan Oang Kabanaan berlaku pada manusia. Mereka yang terganggu adalah kerana keupayaan sendiri yang belum cukup atau memiliki ilmu yang belum “masak”!

Bersambung ke Siri 6.
--------------------------------

Nota Kaki


1Medium, bahan yang menjadi perantara membolehkan sesuatu itu melakukan sesuatu. Contohnya, api memerlukan minyak sebagai bahantara bagi membolehkan ia menyala.

--------------------------------

Peringatan: Pendapat pengarang di dalam artikel ini dan mana – mana artikel di laman web ini tidak melambangkan pendirian rasmi kadayanuniverse.com. Oleh itu budibicara para pembaca adalah diperlukan untuk menilai sendiri setiap kandungan artikel yang dipaparkan di dalam laman web ini. Terutama di dalam soal norma – norma sosial, metafizik, fekah, tassauf, kesufian, kebatinan dan seumpamanya, pendirian kadayanuniverse.com bersandar kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut persepsi Mahzab Syafie yang diamalkan di Malaysia. Paparan artikel adalah berdasarkan pandangan peribadi penulis mengenai elemen - elemen yang ada di dalam lingkungan masyarakat Kadayan di tempat – tempat tertentu sahaja dan; mungkin TIADA pada masyarakat Kadayan di tempat lain. Artikel ini dibuat dengan tujuan baik [on good faith] dan kadayanuniverse.com adalah platform untuk para penulis untuk menyalurkan ide mereka secara bebas selari dengan semangat dunia terbuka internet. Kadayanuniverse.com menyiarkannya dengan kepercayaan ia dibuat tanpa tujuan untuk mempersendakan sesiapa atau mengaitkan orang Kadayan dan mana-mana kaum di Malaysia dengan kemunduran dan kebodohan.

Friday, June 16, 2006

Tahniah [Kadayan Universe Forum]

Kadayan Universe Community Hall: Kedai Kopi General Discussion

TOPIC: tahniah

siti salmah zaini (Visitor)

« on: June 16, 2006, 03:44:29 pm »
assalamualaikum,

tahniah atas kewujudan kedayan universe nik,baru sayanikku tahuk kewujudan nyak.nasib baik aku tergerak hati mehunja info pasal uwang kedayan di internet ,maklumla dikit hantap maklumat pasal uwang kedayan ni, mun indak sampai kaang anik ku natahuk pasal laman nik.


arimi
Administrator
« Reply #1 on: June 23, 2006, 10:47:17 pm »
taima kasih,

andang tu payah kan mancahai laman web kan oang kadayan...
bukan saja laman web yang kuang, yang banaa yang manyumbang tulisan pun kuang...
Tapi suko lah kuang labihnya dapat jua kita inggot-inggot di internet.

Aku mohon lah pada saudara - saudari, antat tia apa saja penulisan, panjang kah, buntak kah... ilmiah kah, cincaikah.. antat saja kita siarkan ni..

Thursday, June 15, 2006

Kadayan dan Orang Bunian 4

Written by WaJiD Manis


Paradox 1: Oang Kabanaan

Secara rasionalnya penyatuan diantara Giin, jika Giin adalah Oang Kabanaan; dengan manusia tidak mungkin terjadi, apatah lagi sehingga ke peringkat yang membuahkan baka keturunan. Namun perbincangan mengenai perkara ini kita teruskan untuk membolehkan kita lebih memahami misteri mengenai Oang Kabanaan.

Rumusan dari perbincangan sebelum ini memutuskan bahawa Iplis, Saitan1 dan Giin adalah diciptakan dari unsur api. Jadi kita harus memahami ciri – ciri api yang berhubung kait dengan perbincangan kita kali ini. Terdapat tiga perilaku utama api seperti yang dinyatakan berikut:


a) Api merupakan sumber cahaya. Manakala cahaya, berbanding dengan kegelapan adalah berkemampuan untuk menerangkan rupa bentuk wujud, memperjelaskan ruang sekeliling dan memungkinkan pemandangan bersatu dengan pandangan. Pandangan, seperti juga pemandangan boleh berlaku di dalam bentuk real [sebenar] dan surreal [ imaginasi / bawah sedar / bukan sebenar] bergantung kepada cahaya, si pemandang dan apa yang dipandangnya. Jika bentuk seperti manusia yang dipandang adalah manusia sebenar ianya adalah satu pandangan real. Tetapi bayangkan semasa anda melalui jalan yang sunyi seorang diri, tunggul di tepi jalan boleh membentuk suatu lembaga manusia yang sedang duduk, dan ini merupakan bentuk pandangan imaginatif, surreal. Di dalam keadaan ini, pandangan dan pemandangan tetap sama, tetapi ia menggambarkan bentuk yang tidak sepatutnya dan pandangan ini dikenali sebagai ilusi. Ringkasnya, cahaya boleh membentuk ilusi!


b) Api menerbitkan bahang. Bahang yang dimaksudkan ialah kepanasan dan panas ini mempengaruhi deria kita, dipanggil rasa.


c) Api mempunyai kuasa untuk membakar. Keseluruhan kuasa membakar ini mengakibatkan suatu proses yang dipanggil perubahan.


Berdasarkan fakta di atas, manusia akan menerima kesan tertentu apabila Giin yang berunsurkan api bersatu dan berhubungan dengannya kerana manusia dijadikan dari unsur tanah. Pertamanya, cahaya api akan menerangi dan memperjelaskan rupa dan rupabentuk tanah. Ini termasuklan memperlihatkan perincian – perincian tanah, juga menjelaskan keburukan dan kelemahan tanah secara sepatutnya dan yang lebih buruk, mendatangkan ilusi. Kedua, bahang api mampu untuk membuatkan tanah yang dihampiri menjadi kering kontang. Akhir sekali, kuasa membakar api boleh mengubah bentuk tanah, yakni menyebabkan perubahan ke atas tanah2.


Perbincangan diatas boleh dipermudahkan seperti berikut. Giin mampu menerbitkan ilusi di dalam fikiran manusia. Mereka mampu membuai manusia dengan memperjelaskan sifat sifat manusiawi kita, menerangkan perincian – perincian kehidupan, memanipulasi keburukan dan kelemahan serta menzahirkan keindahan separa sedar kita sehingga keperingkat melalaikan. Selanjutnya manusia boleh merasakan kehadiran Giin malah sehingga boleh tertipu dengan menganggap ilusi yang dialami sebagai kejadian sebenar; seolah – olah ianya benar – benar terjadi dan dialaminya. Giin boleh membawa perubahan dengan mempengaruhi jasad dan menunggangi fikiran sehingga orang yang mengalaminya tenggalam menjadi surrealist, terasing hidup di dalam alamnya sendiri dan hidup dengan kaki mereka tidak lagi berpijak di bumi nyata.


Ilusi ialah keadaan yang melampaui batas ruang, masa dan tempat. Pengalaman ilusi alias khayal ini boleh menyangkut apa – apa sahaja pengalaman manusia yang tidak – tidak, termasuklah berkomunikasi, bersahabat, bersosial, berkahwin dan beranak pinak dengan mereka. Jika di dalam sedar ini pun kita boleh berkhayal pergi ke bulan, menakluki bintang, menjadi presiden, perdana menteri dan sebagainya, apatah lagi jika dipengaruhi oleh anasir yang tidak kita ketahui. Semakin kuat pengaruh berkenaan, semakin berkesanlah ilusi yang dialami sehinga bukan saja mempengaruhi dirinya, tetapi orang yang berada di lingkungan persekitarannya, mungkin juga seluruh kampung!


---------------------------------------------------------------------------------------------------
Peristiwa di sekitar tahun 2005 di Brunei. Khabarnya juga 2 pelajar yang bertanggungjawab dengan 'games spirit' menggunakan darah di STPRI, Brunei menyebabkan kerasukan. Gambar ini menunjukkan seorang kerasukan jin. Jin berkenaan kemudian memeluk islam dan memilih Idrus sebagai nama barunya. Video klip ini sangat popular dan di dapati dengan meluas di internet dan di dalam bentuk MMS.



Peristiwa berkenaan turut mengundang lawatan DYMM Sultan Brunei. Khabarnya Baginda sendiri bercakap-cakap dengan pelajar yang di rasuk tadi dan permintaan yang sama masih lagi di nyatakan 'darah kamu'.


http://www.tokeikedai.net
---------------------------------------------------------------------------------------------------

Soalnya Giin yang bagaimana yang mengganggu manusia sehingga manusia tenggelam di dalam ilusinya?

Kita patut memahami maksud satu hadis Nabi SAW bahawa “Sebaik – baik jin adalah sejahat – jahat manusia”. Maksudnya sebaik – baik Giin adalah sama seperti Firaun, Abu Lahab, Hitler dan lain – lain penyangak? Jika kenyataan ini dijadikan sandaran, maka gangguan ini boleh terjadi samaada kebetulan atau disengajakan; samaada oleh Giin biasa ataupun Saitan. Tetapi apa yang penting ialah, walaupun Giin boleh mengganggu manusia, mereka tidak berkuasa untuk memusnahkan manusia. Kita harus percaya bahawa hanya Allah SWT yang maha berkuasa melakukan segala – galanya. Ini malah boleh dibuktikan secara rasional, tanah akan menjadi lebih subur selepas dibakar. Maksudnya, gangguan – gangguan sedemikian hanya akan menjadikan manusia lebih tabah dan memahami kehidupan dengan lebih baik, dengan syarat manusia sendiri berusaha ke arah itu.


Bagaimana pula jika manusialah sebenarnya yang mengganggu Giin?


Perbincangan ini akan Bersambung ke Siri 5.
--------------------------------

Nota Kaki

1Selain dari Saitan manusia kerana seperti yang telah dibincangkan pada siri 3 sebelum ini kerana Saitan boleh jadi dari golongan Giin dan manusia.

2Ironinya, kesuburan tanah akan menjadi lebih baik selepas dibakar.

--------------------------------

Peringatan: Pendapat pengarang di dalam artikel ini dan mana – mana artikel di laman web ini tidak melambangkan pendirian rasmi kadayanuniverse.com. Oleh itu budibicara para pembaca adalah diperlukan untuk menilai sendiri setiap kandungan artikel yang dipaparkan di dalam laman web ini. Terutama di dalam soal norma – norma sosial, metafizik, fekah, tassauf, kesufian, kebatinan dan seumpamanya, pendirian kadayanuniverse.com bersandar kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut persepsi Mahzab Syafie yang diamalkan di Malaysia. Paparan artikel adalah berdasarkan pandangan peribadi penulis mengenai elemen - elemen yang ada di dalam lingkungan masyarakat Kadayan di tempat – tempat tertentu sahaja dan; mungkin TIADA pada masyarakat Kadayan di tempat lain. Artikel ini dibuat dengan tujuan baik [on good faith] dan kadayanuniverse.com adalah platform untuk para penulis untuk menyalurkan ide mereka secara bebas selari dengan semangat dunia terbuka internet. Kadayanuniverse.com menyiarkannya dengan kepercayaan ia dibuat tanpa tujuan untuk mempersendakan sesiapa atau mengaitkan orang Kadayan dan mana-mana kaum di Malaysia dengan kemunduran dan kebodohan.

Monday, June 12, 2006

Kadayan dan Orang Bunian 3

Written by WaJiD Manis


Oang Kabanaan: Saitan kah atau Giin?

Analisis di dalam artikel yang lepas merumuskan bahawa Oang Kabanaan bukan dari golongan malaikat, Iplis, Binatang sagala lulu dan kayu – kayuan. Oleh itu hanya dua golongan yang belum dibincangkan iaitu Saitan dan Giin. Mungkinkah Oang Kabanaan termasuk di dalam salah satu atau kedua – dua golongan ini?

Mula – mula sekali, kita menyentuh golongan pertama iaitu Saitan. Sebenarnya di dalam agama kita Saitan adalah merupakan satu bentuk kerier, bukan suatu spesis. Saitan ialah merujuk kepada mereka yang berada di bawah telunjuk Iplis dan membantunya menyesatkan umat manusia malah Giin sendiri. Oleh itu Saitan boleh jadi dari spesis Giin dan juga manusia, yakni dari kalangan kita sendiri. Giin dan manusia juga adalah Saitan selagi mereka berpaut dan mengikut kehendak Iplis yang durjana di dalam kerja kerja yang menyesatkan. Kita tinggalkan aspek Saitan yang berasal dari manusia bagi membolehkan kita memfokus kepada kehendak artikel ini. Kesimpulan yang kita dapat buat ialah, sejauh yang menyentuh Saitan dari golongan Giin, mereka adalah Giin, berunsur sama iaitu dari anasir api dengan makanan utama mereka kalsium1.

Akhirnya hanya satu kemungkinan yang tinggal dengan satu – satunya golongan yang belum dibincangkan, iaitu Giin. Adakah dan mungkinkah Oang Kabanaan sebenarnya datang daripada golongan ini?

Bagi menjadikan kita lebih memahami persoalan ini, mari kita lihat perincian yang dipaparkan di bawah



Berdasarkan perincian di atas, unsur kejadian manusia ialah dari anasir tanah, dan kita pasti dalam aspek perhubungan sesama manusia [sesama kita], kita boleh berkomunikasi, bersahabat, mengganggu antara satu sama lain, berkahwin dan beranak pinak.

Bagi Giin pula, unsur kejadian mereka ialah dari Api. Sejauh yang difahami, mereka boleh berkomunikasi di antara satu sama lain, mungkin juga bersahabat tetapi tidak pula diketahui samaada mereka mengganggu antara satu sama lain. Mereka juga mungkin berkahwin dan beranak pinak, Cuma tidak diketahui persamaannya dengan cara perkahwinan dan beranak pinak Giin berbanding dengan kita, manusia biasa.

Di dalam soal interaksi Giin dan manusia, yang jelas ialah ada manusia yang diganggu oleh Giin sementara komunikasi dan persahabatan antara Giin – manusia adalah sesuatu yang mungkin. Tetapi di dalam perbincangan kita mengenai Oang Kabanaan ini, corak perhubungan yang di dakwa oleh orang – orang Kadayan yang mengalami dan menceritakannya adalah lebih serius dan mendalam dari yang diketahui pernah berlaku di antara kedua golongan ini. Perhubungan orang - orang Kadayan dan Oang Kabanaan adalah didakwa terjalin sejauh berkahwin dan beranak pinak. Jika Oang Kabanaan adalah Giin, mungkinkah perkara ini terjadi?

---------------------------------------------------------------------------------------------------
Asap membentuk lembaga. Gambar yang diambil oleh Pay_23 pada 01-05-2003 di Inuyama, Jawa. Di belakang rumah beliau terdapat satu tasik dan agak berbukit di sekitarnya. Setelah di proses beliau mendapati asap di dalam gambar berkenaan, dan pada mulanya beliau mengira ia hanya asap biasa. Beliau menegaskan bahawa dia tidak merokok ketika itu. Klik gambar di bawah untuk melihat imej yang lebih besar di tetingkap baru.


http://members.lycos.co.uk/payz/Goblinx.jpg


---------------------------------------------------------------------------------------------------

Paparan pada ruangan C rajah di atas membawa kita kepada beberapa kenyataan yang penting di dalam soal interaksi inter-spesis. Pertama, kedua – dua golongan diciptakan oleh Allah SWT dari unsur – unsur yang berlainan. Manusia dicipta dari tanah manakala Giin pula dicipta dari api. Sifat yang berlainan ini tidak mungkin bersatu, kerana sifat api akan membakar rentung tanah walaupun ironinya tanah akan menjadi subur setelah dibakar. Di dalam urusan berkomunikasi, bersahabat dan kejadian manusia diganggu Giin, ia diyakini ada dan mungkin berlaku walaupun sifat kedua – dua makhluk ini adalah berbeza.

Soalnya bagaimana dengan berkahwin dan beranak? Mungkinkah inter breeding manusia dan Giin berlaku? Kajian dan penemuan saintifik dan teknologi dunia sehingga kini membuktika bahawa soal pembenihan amatlah sensitif di dalam perhubungan antara sepsis. Sensitiviti inilah yang membentuk pola silsilah keturunan manusia, Binatang sagala lulu dan Kayu – kayuan seperti yang kita kenali pada hari ini. Misalnya, selagi perhubungan jenis itu dilakukan sesama manusia, tidak kira apa bangsa, warna kulit, saiz badan dan tempat asalnya, kelahiran anak yakni keturunan adalah satu perkara yang mungkin. Tetapi lain ceritanya apabila manusia berhubungan jenis dengan spesis lain seperti lembu. Perbezaan sperma dan ovari tidak memungkinkan keturunan manusia – lembu dihasilkan. Had ini bukan terhad kepada manusia sahaja malah juga kepada sesama binatang segala lulu dan kayu – kayuan. Selagi kucing sesama kucing, keturunan adalah mungkin, tetapi penyatuan kucing dengan kambing dan pembentukan baka hybrid keduanya adalah tidak mungkin. Sama juga halnya dengan Kayu – kayuan. Percantuman sesama pokok rambutan adalah mungkin, tetapi paduan di antara pokok rambutan dengan pokok timun dan baka rambutan – timun tidak mungkin berlaku, sekurang – kurangnya sehingga penulisan artikel ini dibuat.

Perlu diingat bahawa kesemua kes yang dibincangkan melibatkan manusia , binatang segala lulu dan kayu – kayuan di atas MASIH lagi berada di dalam golongan – golongan yang berasal dari unsur yang sama iaitu tanah. Kita dapati walaupun unsurnya sama, tetap terdapat had yang tidak boleh dilangkaui di dalam soal pembiakan dan baka. Jika perhubungan jenis di antara spesis yang berunsurkan tanah sudah tertakluk kepada had pembiakan [hukum alam], bagaimana pula halnya perhubungan jenis manusia – Giin yang datang dari unsur berbeza iaitu dari tanah dan api menjadi satu perkara yang mungkin dan lebih dari itu, mampu menerbitkan baka.

Jadi rasionalnya, Oang Kabanaan bukan dari golongan Giin. Pembentukan keturunan adalah TIDAK MUNGKIN berlaku diantara kedua spesis manusia – Giin kerana asal kejadian keduanya yang begitu jauh, kecuali terdapat anomaly, paradox yang boleh diterima memungkinkan ia boleh berlaku. Adakah anomaly berkenaan wujud dan adakah Oang Kabanaan ini sebenarnya Manusia seperti kita?

Perbincangan ini akan Bersambung ke Siri 4.

--------------------------------

Nota Kaki

1Kefahaman ini ialah dari hadis Nabi SAW yang melarang kita beristinjak menggunakan tulang kerana tulang merupakan makanan Giin, sementara itu kalsium adalah unsur utama yang terdapat di dalam tulang. Tidak dinafikan juga mungkin unsur makanan utama Giin bukanlah kalsium yang terdapat di dalam tulang. Ini sekadar analogi bahawa bagi kita umat kadayan, makanan ruji kita nasi kerana kita memerlukan unsur utama yang terdapat di dalamnya iaitu karbohidrat.

--------------------------------



Peringatan: Pendapat pengarang di dalam artikel ini dan mana – mana artikel di laman web ini tidak melambangkan pendirian rasmi kadayanuniverse.com. Oleh itu budibicara para pembaca adalah diperlukan untuk menilai sendiri setiap kandungan artikel yang dipaparkan di dalam laman web ini. Terutama di dalam soal norma – norma sosial, metafizik, fekah, tassauf, kesufian, kebatinan dan seumpamanya, pendirian kadayanuniverse.com bersandar kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah mengikut persepsi Mahzab Syafie yang diamalkan di Malaysia. Paparan artikel adalah berdasarkan pandangan peribadi penulis mengenai elemen - elemen yang ada di dalam lingkungan masyarakat Kadayan di tempat – tempat tertentu sahaja dan; mungkin TIADA pada masyarakat Kadayan di tempat lain. Artikel ini dibuat dengan tujuan baik [on good faith] dan kadayanuniverse.com adalah platform untuk para penulis untuk menyalurkan ide mereka secara bebas selari dengan semangat dunia terbuka internet. Kadayanuniverse.com menyiarkannya dengan kepercayaan ia dibuat tanpa tujuan untuk mempersendakan sesiapa atau mengaitkan orang Kadayan dan mana-mana kaum di Malaysia dengan kemunduran dan kebodohan.