Written by kalajiau ingaa | |
Anak Daat, Sekolah Hulu 3 - Sekolah tanpa Kantin Sekarang ini agak ganjil untuk kita membayangkan sebuah sekolah wujud tanpa kantin. Tetapi katakanlah jika ketika itu anda bercerita kepada kami bahawa terdapat sekolah tanpa padang di dunia ini, giliran kamilah pula yang merasa amat ganjil mengenainya.
Sekolah kami memang tiada kantin! Sekolah ini mungkin sekolah kelas 'C'. Ia hanya terdiri dari satu blok bangunan kayu yang agak kukuh dibina di tebing sungai. Muridnya dalam lingkungan 100 orang dan guru-guru yang mengajar tidak lebih dari 10 orang. Tiada pekerja pejabat dan tukang kebun, hanya guru-guru.
Bersebelahan dengan blok sekolah terdapat beberapa buah rumah untuk guru-guru. Ada daripadanya merupakan rumah berkembar, sementara dua lagi merupakan unit rumah berasingan (fully detached). Kawasan persekolahan ini merupakan lapangan permainan (playing field) tetap bagi saya dan sepupu-sepupu semasa dan selepas sekolah, malah sehingga ke pohon malamaii. Untuk beberapa ketika, perkarangan rumah guru ini dijadikan tempat permainan badminton oleh para belia kampung termasuk guru-guru yang menghuni rumah berkenaan. Kerana aktiviti ini, seorang guru wanita telah mendapat jodohnya dengan pemuda di kampung kami. Kedai runcit yang terletak di kepala jalan masuk menghala ke sekolah merupakan 'kantin tidak rasmi' yang kami hurungi pada setiap kali rehat. Bagaimana pun, ketiadaan kantin sekolah ini juga merupakan perkara yang menarik. Setiap pagi, beberapa orang mak cik termasuklah ibu saya berjualan kuih-muih di beranda rumah guru yang paling hujung. Rumah ini seingat saya memang tidak pernah dihuni sejak sekian lama. Makanan yang dijual ialah nasi kuning, kuih-muih dan sasagon yang dibungkus dengan kertas suratkhabar! Ibu kemudian mendapat idea yang lebih mudah. Beliau menyuruh saya menjual nasi lemak setiap hari.
Jadi untuk beberapa tahun saya ke sekolah sambil menjaja nasi lemak dan kadangkala, sasagon. Abang sepupu saya juga begitu – ahh, saya tidak tahu apa yang saya buat, tidak akan dibuatnya. Kami merupakan sepasang kembar yang tidak terpisah, kecuali apabila sudah dewasa. Kini, kami berdua adalah seperti orang asing di antara satu sama lain. Murid-murid bebas menjaja di sekolah. Ini merupakan kawasan “wild wild west”. Kalau suka buat, mun dangki nuut. Kawan-kawan lain juga berjaja sambil bersekolah. Ada yang menjual buah-buahan eksotik; suapit, tampoi, sentul – sampai menjual petai! Harganya RM0.10 satu (bukan sebiji). Petai ini kami tidak makan sebagai ulam, sebaliknya RM0.10 itu adalah semata-mata untuk merasa selaput bijinya yang enak, lemak dan agak manis, berwarna oren. Anda boleh pergi ke bahumah sekolah, dan biji petai yang hijau baampa di setiap sudut. |
Tuesday, May 20, 2008
Aku Oang Daat - Part 10
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment