Written by kalajiau ingaa | |
Anak Daat, Sekolah Hulu 2 Ini merupakan lanjutan kepada artikel sekolah saya yang terdahulu, bertajuk "Anak Daat, Sekolah Hulu 1 ".
Tiada kantin di sekolah kami. Tetapi ada sebuah kedai runcit persendirian kepunyaan seorang penduduk kampung dalam jarak 200 meter dari perkarangan halaman sekolah. Berbondong-bondonglah kami ke kedai berkenaan semasa rehat pukul 10 pagi. Masa ini kami panggil taim – agaknya dari perkataan time's up. Kebanyakan barangan yang dijual merupakan junk food. Ini terutamanya gula-gula, keropok-keropok dan segala barangan tidbits yang bersesuaian dengan bajet murid-murid daat yang tidak seberapa. Kesemuanya datang dalam paket-paket kecil. Gula-gula empat biji harganya RM0.10. Bagi keropok harganya ada yang RM0.05, tetapi kebanyakannya RM0.10 setiap satu. Makanan ringan yang paling kami minati ialah 'aiskrim bungkus'. Perisa aiskrim yang paling biasa ialah air sirap oren atau bubur kacang manis yang dibeku dalam plastik kecil panjang. Ia adalah satu-satunya jenis aiskrim yang kami ketahui wujud di dunia ini. Sebenarnya ia tidak lebih dari air minuman yang dibancuh, dimasukkan ke dalam paket plastik dan disejukbekukan sebelum sedia untuk dijual kepada kami. Perniagaan aiskrim pada masa itu merupakan perniagaan yang lumayan. Sebab utamanya ialah ais dan peti sejuk merupakan benda ajaib bagi kami. Sedangkan, ais merupakan barang berharga yang paling diminati oleh kami anak-anak oang daat. Seingat saya abang dan kakak sanggup berbasikal sejauh empat batu semata-mata untuk mendapatkan blok ais semasa bulan puasa. Sungguh nyaman bersungkai dengan minuman sejuk. Kerana ais jugalah saya dan adik adik sering menanti-nanti kedatangan pakcik penjual ikan yang sekali-sekala bertandang dengan basikal menjaja ikan ke rumah kami. Dengan sedikit rengekan dan dek kerana segan dengan ibu, pasti kami akan diberikan sedikit ketulan ais 'lantuh' setiap kali. Di masa sekolah, saya dan abang sepupu sangat pandai mengendalikan ais. Kami membeli ais krim sepotong dua ketika taim. Kemudian kami bergegas ke rumahnya yang terletak kira-kira 100 meter dari sekolah. Sebaik sampai dirumahnya, kami mengaulkan ais krim berkenaan ke dalam air kemudian menambahnya dengan gula. Alangkah seronok hasilnya. Kami menikmati minuman sejuk di dalam gelas seorang satu. Pendek kata, perniagaan aiskrim memang merupakan perniagaan yang bagus. Juga, kerana kelebihan mereka memiliki peti ajaib di rumah, nampaknya bidang ini dimonopoli oleh guru-guru dari pekan yang mengajar di sekolah kami. Merekalah yang membekalkan serta menjualnya setiap hari. Selain dari meletakkan peti aiskrim di kedai pak haji tempat kami membeli belah, cikgu aiskrim yang lain mengambil keputusan menjualnya sendiri di sekolah. Kabarnya ada yang membawa empat lima peti dan meletakkan aiskrim mereka di banyak destinasi di sepanjang jalan ke sekolah, menjadikan mereka ini merupakan tauke aiskrim yang tidak rasmi di dunia oang daat. Ada sekali pengalaman lucu saya mengenai aiskrim cikgu ini. Seorang dari cikgu-cikgu penjual aiskrim ini nampaknya mengamalkan konsep mesra alam – kitar semula. Semua aiskrim pada masa itu dimakan dengan mengigit muncungnya atau memutar pada bahagian simpulan plastik sehingga putus. Tetapi peliau menggunakan plastik yang muncungnya boleh dibuka dan ditutup berulang kali tanpa perlu digigit. Ia seperti paket plastik ubat yang dibekalkan oleh doktor sekarang ini, cuma bentuknya kecil dan panjang.
Semua murid yang membeli aiskrim beliau diiringi dengan satu pesanan; selepas makan plastik aiskrim mesti dikembalikan semula kepada beliau. Cikgu aiskrim ini memang pintar berniaga. Nampaknya beliau hanya memerlukan air sirap yang dibekukan sebagai modal. Plastiknya pula boleh digunakan berulang kali. Tapi alamak, kalau dah anak oang daat tu, oang daat juga. Saya dah terlanjur menggigitnya seperti biasa. Matilah, macam mana ni? Jangan pandang rendah dengan oang daat. Otak kecil saya ketika itu ligat juga, macam Mr. Bean. Saya dah terlanjur membocorkannya, tetapi arahan cikgu harus dipatuhi. Penyelesaiannya? Saya pun melilau mencari seorang murid junior. Dengan 'murah hati' saya memberikan ais krim berkenaan kepadanya. Syaratnya dia harus mengembalikan plastik berkenaan kepada cikgu aiskrim. Dia bersetuju dan saya menarik lepas lega. Saya cuma memandangnya melahap aiskrim sehingga habis walaupun saya juga masih sangat 'tais lio' dengan aiskrim berkenaan. Saya ingat sudah terlepas, kerana dia nampaknya sangat berselera. Malangnya dia lebih pintar. Selepas habis memakan, dia mungkir janji! Saya yang betul bendul terpaksa memulangkan plastik aiskrim berkenaan kepada cikgu. “Apa ni, plastik sudah bubus” getus beliau. Hee, rugikah, cikgu? |
Friday, May 9, 2008
Aku Oang Daat - Part 8
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment