Aku Oang Daat - Part 7 |
Written by kalajiau ingaa | |
Monday, 05 May 2008 | |
Tambak, dapur kedayan. Bersebelahan, di pisuk atau sunduk yang berdekatan dengan ruang penyimpanan air, terletak tambak* – dapur orang kedayan. Tambak merupakan struktur kayu berbentuk segiempat bujur. Bahagian dalam ruangan tambak diisi dengan tanah yang menjadi tempat pembakaran bahanapi. Dahulunya, tambak dibina tanpa tiang. Tambak jenis ini dikenali dengan nama tambak baampai. Para ibu duduk di atas kalang atau bangku kecil yang disediakan di hadapan tambak semasa menjalankan aktiviti masak-memasak. Namun lama-kelamaan kelihatan semua tambak di kampung kami menjadi bertiang. Agaknya ini adalah hasil pertembungan budaya dengan kampung-kampung lain. Tambak bertiang mempunyai kelebihan berbanding dengan tambak baampai. Antaranya anak-anak kecil tidak boleh bermain api kerana kedudukannya yang agak tinggi, sekitar 0.6 – 1 meter dari aras lantai. Ruangan "bahumah"** tambak pula boleh dijadikan tempat penyimpanan kayu api. Kepingan zink biasanya diletak sebagai pengadang api pada ruangan yang menghala ke tepi dinding rumah. Gunanya untuk mengelakkan api menyambar dinding rumah. Namanya dah pun tambak. Jadi lengkaplah dengan bahan bakarnya sekali. Bahan bakar tambak adalah menggunakan kayu api. Sebab itulah ia juga dikenali dengan nama “tambak kayu”. Bagaimanapun sama ada baampai atau bertiang, tambak sentiasa menghadapi masalah yang sama. Kucing amat suka menjadikannya sebagai tandas semulajadi! Hanya kemudian barulah timbul tambak samawaa*** yang menggunakan minyak gas minyak tanah – kerosene sebagai bahan bakar. Selepas itu datang pula tambak gas****. Nampaknya ia sekarang ini merupakan suatu kemestian termasuklah di daat – kawasan dunia kami yang sedikit demi sedikit dijamah oleh kemodenan. Nota akhir: * tambak, dapur. Di dalam bahasa melayu baku, tambak adalah kawasan rendah yang ditimbun menjadi tinggi. Mungkin ini juga merupakan asal perkataan tambak – dapur orang kedayan. Binaan segiempat ini walaupun bersaiz kecil, juga ditimbun dengan tanah di bahagian dalam. ** mungkin perkataan yang dikorup dari perkataan melayu baku ba(wa)h+(r)umah. *** dapur semawar, tambak samawaa **** dapoo gas, dapur gas. |
No comments:
Post a Comment