Friday, February 22, 2008

Apa yang saya perlukan di Sipitang

Written by giin buagas


Apa yang saya perlukan di Sipitang

Barisan Nasional – BN telah mengumumkan barisan calon mereka untuk kawasan Dewan Undangan Negeri Sindumin kelmarin, 21 Februari 2008. Tn Haji Ahmad bin Hj Bujang dipilih untuk bertanding sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri – ADUN. Manakala penyandangnya, YB Datuk Hj Sapawi Hj Ahmad beralih ke Dewan Rakyat. Belasungkawa untuk karier politik Datuk Dr Hj Yussof Hj Yacob – nama beliau lenyap langsung dari senarai.


Pemimpin Sipitang

Sementara itu, Tn Hj Ramlee Dua jelas menjadi bakal calon PKR setakat ini, walaupun saya tidak pasti tentang sebarang pengumuman PKR mengenainya sehingga ke hari ini.

Pertama sekali, saya berbangga menjadi seorang Kadayan walaupun tidak sampai ke tahap taksub dengan bangsa sendiri. Manakala Sindumin atau Sipitang adalah tanah tumpah darah saya. Saya tidak begitu peduli sangat apa jadi dengan jiran sebelah – Lumadan. Biarlah mereka sendiri yang memutuskan apa yang terbaik untuk diri mereka sendiri.

Dari sudut pandangan bangga saya, sebenarnya para pengundi di Sindumin merupakan di antara yang terbaik di Sabah. Mereka merupakan rakyat yang paling sabar dan mudah bersyukur, patuh serta orang-orang yang cintakan keamanan di muka bumi.

Kecuali beberapa orang yang bermulut lancang dan tidak pernah duduk diam – termasuklah saya sendiri – mereka tidak banyak merungut. Umpamanya, mereka terpaksa menunggu lebih dari tiga dekad supaya kerajaan menyediakan tanda paling asas bagi dunia moden – jalan bertar KK-Sindumin yang sewajarnya dan menghubungkan Sipitang dengan dunia luar.

Tetapi, sekarang selepas “50” tahun merdeka, kemudahan ini masih lagi merupakan impian yang tidak kesampaian bagi penduduk di kampung Banting, Kuala Mengalong dan beberapa kampung lain.

Mari kita mulakan dengan perkara paling asas, pembangunan daerah Sipitang. Sebenarnya bukan susah untuk membangunkan daerah ini. Cuba ingat pelajaran pengurusan pemasaran yang kita pelajari di sekolah. Ia bersangkutan dengan kedudukan tempat, tempat dan tempat.

Selaras dengan ini, kedudukan Sipitang ADALAH strategik.

Ia terletak bersempadan dengan Sarawak – sebuah negeri yang lebih membangun di pulau Borneo. Sipitang merupakan pintu terakhir ke Brunei dan Sarawak.

Lebih dari itu, ia juga terletak bersebelahan dengan Wilayah Persekutuan Labuan – “peliharaan” kesayangan kerajaan persekutuan sebagai sebuah wilayah persekutuan sejak dari 1982. Keadaan ini menyerupai Pulau Pinang and Seberang Perai di semenanjung Malaysia.

Jadi, apa yang benar-benar kita perlukan ialah cara untuk menterjemahkan kedudukan strategik ini ke dalam ringgit dan sen . Untuk itu, kita SANGAT-SANGAT dahagakan manusia yang kreatif – YB yang berkebolehan.

Sesiapa yang berkesempatan merayau ke daerah ini dan celik, beliau akan dapat melihat potensi-potensi berikut hampir serta-merta.

Pertama, ikuti kegemaran kerajaan sekarang. Bina saja sebuah “corridor” pembangunan, segitiga pembangunan, kawasan pertumbuhan atau gunakan apa saja istilah yang berkaitan – di antara Sabah, Sarawak, Labuan dan Brunei tepat-tepat di daerah ini – untuk memacu pertumbuhan ekonomi.

Wujudkan sebuah "Corridor”, bukan “esplanade”. “Esplanade” tidak bermakna apa-apa pun untuk sebuah pekan malap seperti Sipitang – ia hanya akan membuat kontraktor yang membina “esplanade” berkenaan menjadi lebih kaya. Pak cik dan mak cik saya TIDAK akan bertandang ke “esplanade” berkenaan hanya untuk berehat-rehat dan melihat pemandangan, rasa-rasanyalah.

Kedua, kita bercakap mengenai potensi-potensi pelancongan – yang saya rasa tiada kurang satu apapun. Kita boleh menyenaraikan segala-galanya daripada Batu Narit lagenda di Long Pasia, Ulu Bole, Bukit Jabih, Wasai, Pantai Marintaman, Pantai Kuala Mengalong, musim durian dan sebagainya.

Jika kita benar-benar berkeinginan, kita malah mewujudkan sesuatu yang baru, seperti taman tema atau muzium seperti Kampung Budaya Monsopiad di Penampang, Sabah. Saya tidaklah sempat bertanya kepada datuk saya sendiri, tetapi rasanya Monsopiad bukanlah terlalu terkenal di seluruh Borneo semasa hayat beliau dahulu.

Ketiga, wujudkan sebuah Universiti di daerah ini. Berilah peluang untuk daerah terkucil ini untuk menjadi pengkalan pendidikan untuk kawasan-kawasan sekitarnya. Jangan merendah-rendahkan ide ini. Ini merupakan ide Tun Dr. Mahathir untuk membangunkan Sintok – pekan yang lebih “malap” di Kedah apabila beliau memutuskan untuk membina Universiti Utara Malaysia (UUM) di sana beberapa dekad yang lepas.

Tidak susah untuk membina sebuah universiti. Malah individu seperti Datuk Dr Lim Kok Wing berupaya membina universiti beliau sendiri – Universiti Limkokwing.

Keempat, pilih yang lebih berani. Ia lebih mudah dibuat, tetapi juga merupakan idea UMNO, bukan saya sendiri. JANGAN SEKALI-KALI menuduh saya sebagai tidak beragama, kerana sebenarnya saya patuh mengenainya.

Bina sebuah Kasino sama ada di Long Pasia atau lagi baik di Bukit Jabih.

Ini merupakan sebenar-benar cara UMNO di dalam membangunkan kawasan rimba Genting [Bentong] di negeri Pahang. Kawasan ini merupakan 'sarang' Komunis satu masa dahulu.

Jika anda merasakan ide ini tidak masuk akal langsung, orang asli di Pahang juga berfikiran demikian semasa pertama kali mendengarnya.

Keempat cara mudah untuk membangunkan daerah ini hanya boleh dilaksanakan jika dan hanya jika, YB Sipitang mempunyai kriteria-kriteria berikut:

a) Pemimpin itu merupakan orang yang berpengalaman

Bukan pengalaman sebagai kakitangan kerajaan, tetapi sebagai 'setan' politik. Orang selalu menyarankan untuk 'memilih yang paling kurang di antara dua setan' di dalam memilih calon – semuanya pun 'setan', setan politik. Tetapi bagi saya, 'setan' lemah adalah lebih tidak berguna berbanding dengan manusia yang paling buruk sekalipun. Saya akan memilih yang terkuat – ini merupakan sebab kenapa empayar Inca di Amerika Latin sangat berkuasa satu ketika dulu, mereka malah berani menjadikan manusia sebagai korban sembahan untuk membuktikan mereka berkuasa.

b) YB yang saksama dan berakal

Hampir semua YM memilih pusat kekuasaan di kampung mereka sendiri. Begitulah juga dengan segala proses pembangunan dan prasarana, sehingga ke tahap mengabaikan kampung-kampung lain. Jika tidak percaya, pergilah ke Sipitang, lawati kampung YB, dan bandingkannya dengan kampung-kampung di penjuru lain daerah ini. Jika anda merasakan tiada apa-apa perbezaan pun yang kelihatan, saya syorkan supaya anda pergi berjumpa doktor mata dengan segera.

c) Parti-parti politik TIDAK penting untuk Sipitang

Bersikap setia dan patuh merupakan kelemahan penduduk Sipitang yang sebenar selama ini. Di masa lalu mereka sangat menyayangi USNO, walaupun hakikatnya USNO gagal seluruhnya untuk meningkatkan taraf hidup penduduk daerah ini.

Mereka mengundi berdasarkan simbol parti, bukan kualiti calon yang bertanding secara individu yang menurut fikiran saya, adalah SANGAT SALAH. Jika orang Sipitang benar-benar mahu membangunkan diri, pilihlah calon berdasarkan kualiti seseorang, bukan parti.

Tiada apa yang hendak dimalukan dengan melompat parti kemudiannya – ia tidak berkaitan apa-apa pun dengan dosa besar menukar agama, atau “murtad”.

d) YB tidak sepatutnya menyandang jawatan terlalu lama

Saya berpendapat dua penggal adalah cukup panjang untuk seseorang YB. Mereka harus faham dari awal lagi bahawa kedudukan sebagai YB bukan dari jenis jawatan “P&P – tetap dan berpencen".

Rakyat Amerika belajar mengenai perkara ini dari kesilapan lalu. Kerana itulah mereka menghadkan jawatan presiden kepada hanya dua penggal.

Tetapi rasanya kerajaan Filipina kelihatan agak dungu di dalam hal ini. Apa yang boleh dibuat oleh presiden yang hanya berkuasa selama satu penggal?

Di Sabah, kita sebenarnya banyak belajar dari sistem penggiliran ketua menteri sebelum ianya dimansuhkan oleh kerajaan persekutuan. Tiada apa yang boleh dibuat oleh Ketua Menteri yang 'berumur' singkat – hatta untuk mengaut wang untuk membayar hutang judi dan membina 'esplanade' sekalipun.

Kecualilah seseorang YB itu merupakan genius – seperti Tun Dr. Mahathir atau Tan Sri Taib Mahmud [Saya menghadkan pujian ini ke atas perkara yang telah mampu mereka lakukan tidak termasuk kes sodomi], lebih baiklah berhenti selagi masih boleh.

Berkhidmat terlalu lama dan hampir tidak melakukan apa-apa kecuali bersalaman di sana sini sepanjang masa – bagi saya, blah la lu.

e) Sipitang perlukan pemimpin lancang

Lihat saja Bung Mokhtar Raden dari Kinabatangan. Usia politik beliau adalah lebih 'muda' berbanding dengan pemimpin BN Sipitang semasa. Bagi saya, beliau ini tidak pintar pun, selain dari memiliki mulut yang berkuasa laser dan tidak bertapis.

Namun saya berkesempatan untuk melawat kawasan Kinabatangan sebanyak dua kali pada tahun lepas. Dari apa yang saya lihat, kelajuan pembangunan di kawasan berkenaan adalah mengkagumkan, tidak seperti yang terdapat di Sipitang.

Terus terang, saya tidak suka dengan pemimpin yang terlalu berbudi bahasa.

Mereka biasanya dari jenis yang licik. Pemimpin begini sentiasa memilih jalan selamat, sentiasa bersembunyi di mana mana tempat yang tersorok – mengelakkan jawapan yang paling berterus terang iaitu YA dan TIDAK. Ini merupakan jenis manusia yang paling saya cuba elakkan selagi boleh.

Kaedah penyingkiran yang paling mereka sukai ialah tikam belakang. Ini kerana tidak mampu untuk berbincang secara berhadapan, berterus terang dan berbahas dengan cara yang wajar.

Mereka dengan sendirinya adalah suatu penghinaan – menganggukkan apa saja yang anda katakan, berpura-pura seolah-oleh seorang yang mengambil berat. Seorang kawan melabelkan YB jenis ini sebagai“YB boleh boleh”. Kali ini saya akan menukar istilah ini menjadi “YB bulls**t”.

Telah saya nyatakan, saya berbangga sebagai seorang Kadayan dan tidak suka berbasa-basi.

Saya tidak sensitif mengenai isu sama ada YB Sipitang hanya mengisi tembolok mereka dan mengkayakan diri sendiri semasa menyandang jawatan berkenaan. Beritahu saya siapa di antara mereka yang tidak berbuat demikian sejak kita merdeka. Dan beritahu saya, kecuali Datuk Nik Aziz Nik Mat di Kelantan, mana-mana Ketua Menteri yang tidak mengkayakan diri mereka sendiri juga?

Jadi, para pemimpin sekalian, angkutlah segala yang mampu anda bawa menggunakan kedua tangan yang ada.

ULANG SIARAN. HANYA angkut menggunakan KEDUA TANGAN.

Jangan terlalu tamak, jangan terlalu pentingkan diri, tinggalkan yang selebihnya untuk kami di Sipitang.

Jadi, jika anda berfikir saya seorang glamor [sebenarnya tidak], silalah anda meneka siapa yang akan saya undi dari sekarang.

Saya masih belum membantu mana-mana calun, BELUM sehingga kini kerana nampaknya mereka semua pun begitu kuat tanpa saya di sisi. Lagipun saya juga seorang yang sibuk. Tetapi sebenarnya, saya bukan hanya pandai menulis [saya seorang yang bangga diri, sebarang kata saya jangan terlalu disimpan di hati] tetapi juga seorang orator yang sangat bagus, jadi hubaya-hubayalah. Tetapi tentunya, undi saya akan selama-lamanya menjadi rahsia.


Artikel ini merupakan pandangan peribadi pengarang dan tidak semestinya menggamberkan pandangan rasmi KadayanUniverse.Com mengenainya – Kaawai Tanah.

No comments:

Post a Comment