Wednesday, February 20, 2008

Politik Biut 7: The art of reasoning

Written by WaJiD Manis


The Art of Reasoning

Pada zaman dahulu di negara Arab, hidup seorang atheist yang terkenal. Beliau mahir berhujah mempromosikan ide tentang ketidakwujudan Tuhan. Panjang ceritanya, tetapi sudah tentu akan aku "goreng" semula sesedap rasa.



Perhatian: Kepada semua pembaca KadayanUniverse.Com, artikel ini ditulis dengan diselangselikan dengan beberapa perkataan Kadayan di mana-mana. Kesulitan untuk anda memahami adalah dikesali, tetapi ianya bukan dibuat dengan tujuan untuk menyukarkan pemahaman anda. Sebaliknya, perkara ini selaras dengan tema KadayanUniverse.Com untuk mengetengahkan kebudayaan dan bahasa Kadayan di mata masyarakat. Jika anda ingin mengetahui maksud perkataan-perkataan (selain dari bahasa Inggeris) yang diitalikkan, sila rujuk (dan anda dialu-alukan) ke laman web Kedayan.Org Wiki Apakian? Project di http://kedayan.org

Beliau kemudian mengajak seorang ulamak berdebat dengannya di khalayak umum. Ulamak berkenaan tidak datang, sebaliknya menghantar seorang anak muridnya yang paling pintar [macam aku].


Betullah strategi ulamak itu. Jika murid berkenaan kalah, orang akan berpendapat memang padanlah dia kalah, kan dia hanyalah seorang pelajar. Akan tetapi, jika beliau sebaliknya menang, orang akan memberikan publisiti berganda-ganda tentang kepintarannya.

Anak murid ini sengaja datang lewat. Orang atheist pula sudah terasa menang. Beliau lalu mengumumkan kepada para hadirin bahawa ulamak ini takut untuk berhadapan dengannya.

Akhirnya si murid sampai dengan tergesa-gesa.

“Maaflah, saya terlewat” kata beliau.

“Tadi semasa saya dalam perjalanan ke sini jambatan telah putus. Nasib baiklah tiba-tiba ada sebilah kapak ajaib datang terapung-apung. Dengan sendirinya ia telah menebang pokok besar di tebing sungai menjadi titi untuk saya menyeberang”, sambung beliau lagi.

“Kamu hilang akalkah”, bentak si atheist sambil memandang kepada para hadirin lalu meneruskan kata kata, “mustahil, mustahil ada kapak boleh buat kerja-kerja begitu”

“Nah kan tuan-tuan”, jawab si murid. “Saudara ini pun tidak percaya sesuatu benda boleh bergerak dengan sendirinya. Itu baru kapak. Bagaimana dengan alam semesta yang luas ini boleh terjadi dengan sendirinya tanpa ada Tuhan?”
------------------------------------------------------------------------------------

Ada mantik yang kuat, banyak mantik yang lemah. Anda mungkin akan jadi rujukan bijak atau rujukan dungu di masa depan.
------------------------------------------------------------------------------------

Itulah mantik.

Art of reasoning adalah logic. Mantik. Ia hanyalah kata-kata beralasan yang boleh dibuat walaupun semestinya tidak bersandar kepada mana-mana fakta pun.

Malah fakta pun boleh dipesongkan sesedap rasa. Sesedap rasa, keluarkan apa saja dari mulut anda.

Asal namanya menjawab, jangan pedulikan betul atau salahnya.

Di masa yang sama mantik boleh menjadi mantik yang kuat; juga mantik yang lemah.

Tetapi terutamanya di dalam soal politik, anda mungkin akan jadi rujukan bijak atau rujukan dungu di masa depan.

Ada beberapa insiden mantik ini anda boleh tafsirkan sendiri bijak atau dungunya.

Salah seorang pemimpin pemuda UMNO – dengan gahnya disiarkan melalui berita TV semasa Parti Keadilan Rakyat mula-mula memperkenalkan logo parti mereka dulu. Dia menyatakan bahawa lambang parti itu adalah sama dengan ukiran di matawang kertas Amerika. Bagi beliau ini menandakan adanya agenda tersorok parti keadilan.

Keadilan dan wang kertas Amerika?

Tengku Razaliegh Hamzah dari parti Semangat 46 [telah berkubur dan dinisankan oleh UMNO] pernah ditimpa bencana semasa melawat Sabah. Di sana beliau dipakaikan dengan sigah kaum Kadazan sebagai tanda setiakawan semasa berkempen. Lalu dengan tidak samena-mena beliau dituduh menyokong ugama kristian oleh akhbar arus perdana negara, Utusan Melayu. Sedangkan sigah seperti itu juga sebelumnya pernah dipakai oleh Tun Dr Mahathir.

Sigah dan Kristian?

Itu aku inda tahu lah. Tetapi, biasanya motif anyaman tradisional sigah adalah terhad. Bentuk motif biasa adalah derdasarkan pola empat segi dan pola ini telah dituduh sebagai lambang salib.

Tan Sri Muhammad Muhammad Taib semasa menjadi Menteri Besar, ketika ditanya mengenai kemampuan salah seorang calon BN yang bertanding di negeri beliau telah menyatakan “sudah tentulah si anu ini boleh memberikan khidmat yang lebih baik berbanding calon pembangkang kerana dia adalah anak jati kawasan ini”.

Anak jati dan kampung sendiri?

German pernah dimusnahkan oleh Hitler, anak jati Jerman dan memperjuangkan "Aryan Supremacy".

Jepun juga dimusnahkan oleh pemimpin jati mereka sendiri dalam Perang Dunia Ke II.

Tun Ghaffar Baba semasa mengulas tindakan Datuk Pairin membawa PBS keluar dari BN pada 1990 dulu mengatakan “... dulu kita ajar dia, sekarang dah pandai, dia lawan kita kita balik”.

Maksud terdekat “kita” ialah sipenutur dan sekutu-sekutunya, “dia” ditujukan kepada Datuk Pairin dan sekutu-sekutu beliau pula. Atau maksudnya “orang semenanjung [lebih popular dipanggil "orang Malaya" ” dan “orang sabah”?

Begitu?

Sekarang ini aku lihat, Bung Mokhtar Radin dan Datuk Mohd Said Yusof sangat layak untuk menjadi rujukan dungu di masa hadapan. Dengan segala mak nenek "bocor" lah, apalah, aku rasa YB-YB begini patut dihantar berkursus "pengucapan awam - public speaking" dan "perhubungan awam - public relation".

Beginilah. Aku mesti belajar lagi tentang art of reasoning, logik atau mantik ini. Aku inda mahu nanti sampai 10 tahun, 50 tahun, 100 tahun orang lagi memetik kata-kata aku kerana kedunguannya.

Aku kan ahli politik...


Akan datang. Didikan Biut Politik

No comments:

Post a Comment