Friday, February 29, 2008

Politik Biut 8: Didikan biut Politik

Written by WaJiD Manis

Politik Biut 8: Didikan biut politik

Entah bagaimana, semalam aku terlalu mengantuk. Senja kelmarin aku sibuk mencari Hayam Laki yang selama ini aku jadikan mentor politik. Ia tidak kelihatan di reban seperti biasanya. Entah ke mana agaknya ia ba tapuk. Jadi aku terlelap di meja tulis.



Hayam Laki & Parti Politik

Aneh, Hayam Laki muncul di dalam mimpi aku. Di dalam mimpi ini, ia tetap juga seekor hayam, tetapi ia sangat petah berkata-kata. Menurutnya, hakikat politik sebenarnya jauh lebih biut dari buku-buku, majalah dan suratkhabar yang pernah aku baca.


Rooster Cartoon

Di dunia sebenar, ia merupakan sebuah rimba. Hayam Laki mencabar aku, cubalah bertandang kalau tidak percaya. Ia adalah dunia yang lengkap seperti rimba biasa. Ada tempat yang ceria dan menghijau dek sinar suria. Tetapi di bahagian-bahagian yang terlindung dan suram, kawasan ini penuh dengan harimau, biawak, musang-musang politik yang buas.

Di peringkat marga satwa yang seni pula, pacat-pacat, "halim bada", nyamuk dan "agas" sentiasa mengelilingi kita, ujar beliau lagi.

Kalau tidak mampu bertahan dan tidak berupaya membiut dan menyusuri jalan yang bersimpang siur, tempat anda bukan di sebelah sini.

Adeh, ambong bana hayam ni. Sudahlah hilang, pandai pula nak menasihatkan aku. Buat gulai kari kang baru dia tahu.

Aku terjaga dan merenung kembali apa yang diutarakannya. Memang ada yang betullah. Di negara kita, ideologi parti hanyalah roman picisan dan hanya akan keluar sebagai manifesto parti sekali dalam setiap lima tahun.

Kualitinya pula sama rendah dengan modul kursus universiti terbuka yang main tangkap muat, asal ada.

Tiada anjuran yang bernas selain dari janji-janji pilihanraya yang tidak masuk akal. Tiada yang menarik selain menabur janji manis yang pasti tidak akan ditunaikan.

Tiada gagasan dan wawasan yang mencabar minda aku yang kehilangan Hayam Laki ini.

Apa yang ada aku lihat hanyalah warisan-legacy. Hampir semua parti, sama ada pemerintah mahupun pembangkang adalah adalah pendukung legacy yang kaya harta tetapi kemarau idea.

Legacies yang aku maksudkan termasuklah legacy racist-nationalist 50an yang berwarna garang. Hatta parti agama pun masih berlandaskan legacy 50an.
Kenapa politik mendidik kita dengan begitu biut?

Parti parti politik kita hanyalah merupakan kilang fotostat idea, tidak lebih dari itu. Politik kita pula sama dengan dunia hayam, kokok seekor kokok sekampung. Sudah lah cuma tahu ikut berkokok, tidak pula pernah hendak mengambil tahu apa yang sebenarnya akan terjadi kalau mereka tidak ikut berkokok.


Big Rooster picture

Sebagai contoh yang mudah, lihat saja apa jadi dengan slogan - slogan kerajaan seperti ”Pandang ke Timur”, ”Ke arah 70 Juta Penduduk”, ”Bersih, Cekap dan Amanah”, ”Wawasan 2020”, ”Cemerlang, Gemilang dan Terbilang” dan sebagainya.

Darjah semua slogan berkenaan telah jatuh merudum menjadi sekadar momokan rasmi-rasmian, tidak lebih dari itu.

Kesimpulannya, bagi aku tiada parti yang boleh dikatakan terbaik di negara ini.

Untuk kita lebih mudah berkira, silalah undi berdasarkan individu terbaik yang bertanding kali ini, hatta dari parti Setia sekalipun.

Tapi alahai, Hayam Laki aku ini pun entah di mana sekarang. Besoklah aku teruskan mencari...

No comments:

Post a Comment